x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

29 Mac 2011

51. KURSUS INDUKSI DI LANGKAWI

UNTUK pengesahan jawatan, aku harus mengikuti Kursus Induksi untuk memenuhi keperluan Sistem Saraan Baru (SSB) pada tahun 2000. Mula-mulanya aku diminta mengikuti kursus yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bagi siri kedua pada bulan Mac. Namun demikian, beberapa hari sebelum tarikh itu tiba, pegawai dari jabatan itu, Encik Mohamad bin Acob memintaku agar memberi tempatku kepada seorang guru lain yang tercicir. Guru itu perlu segera mengikuti kursus kerana tempoh percubaannya sudah hampir tamat. Dia berjanji aku pasti mendapat tempat pada siri ketiga nanti. Beliau menunaikan janjinya apabila aku dipanggil mengikuti kursus pada bulan Mei. Kursusku itu diadakan di Pusat Latihan Chandek Kura, Langkawi.

Penangguhan yang aku alami itu membolehkan aku berkursus bersama dengan dua orang rakanku, Cikgu Mohd Marzuki bin Mat Jusoh, dan Cikgu Mazuki bin Jaafar. Kebetulan pula kami sekapal; semuanya berasal dari Kelantan. Cikgu Mazuki yang ketika itu sedang bertugas dalam aktiviti perkhemahan untuk sekumpulan pelajar sekolah kami di Kemaman dipanggil serta-merta.

Kursus bermula pada 9 Mei 2000 hingga 27 Mei 2000. Kami diminta berkumpul di Jabatan Pendidikan Terengganu pada malam 8 Mei 2000. Kami bertolak ke Langkawi pada pukul 11.00 malam dengan dua buah bas. Terdapat peserta kursus yang menaiki bas di Setiu. Kami tiba di jeti feri Kuala Perlis semasa waktu Subuh esoknya. Selepas menikmati sarapan pagi secara sendiri-sendiri di Kuala Perlis, kami menaiki feri ke Pulau Langkawi, dan melapor diri untuk kursus ketika tengah hari. Selepas makan tengah hari dan mengerjakan sembahyang, kami terus mengikuti sesi pertama kursus kami, iaitu taklimat perjalanan kursus.

Ini kali kedua aku tiba di Langkawi. Kali pertama pada bulan Disember 1991. Ketika itu umurku 29 tahun. Anak sulungku, Suzati, berusia setahun. Dia baru pandai berjalan ketika itu. Aku ke Langkawi bersama dengan isteri, kedua-dua ibu bapanya, adiknya yang sudah berkahwin bersama dengan suami dan dua orang anaknya, bapa dan emak saudaranya dengan dua orang anak mereka, dan seorang rakan isteriku yang selalu datang ke rumahnya. Ketika itu Langkawi sedang sibuk dengan kemeriahan Pameran Laut dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Kursus kami diadakan di Hotel Chandek Kura, Langkawi. Kursus diadakan pada waktu pagi, petang dan malam setiap hari, kecuali hari Jumaat. Terdapat satu hari semasa kursus kami berlangsung itu merupakan hari cuti umum, tetapi kami tidak diberi pelepasan. Aku tinggal sebilik dengan kedua-dua rakan sesekolahku itu. Seorang daripada fasilitator kursus itu ialah Pengetua sekolahku sendiri, YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam. Ketika kursus berlangsung, perlawanan pusingan akhir Piala Thomas sedang berlangsung. Kami kecewa kerana pasukan Malaysia terkeluar daripada persaingan sangat awal.

Walaupun kami selalu kesuntukan masa, aku dan rakan-rakan mengambil kesempatan ke pekan Kuah selepas berakhirnya sesi petang pada pukul 4.30. Kami akan membeli barang yang sempat, dan terpaksa bergegas pulang segera untuk makan malam dan menyertai sesi kursus. Pada suatu hari, kami dibawa mengelilingi pulau legenda itu. Kami ke akuarium bawah laut, Under Water World, Makam Mahsuri, kilang membuat minyak gamat, dan membeli-belah di pekan Kuah. Aku tidak berbelanja banyak kerana aku memang kesuntukan wang. Aku cuma membeli baju-T bercap Langkawi untuk isteri dan anak-anak, di samping untuk diriku sendiri. Selain itu, aku membeli dua helai kain batik untuk isteriku. Di samping aku kekurangan duit, sebenarnya aku tidak pandai membeli barang yang sesuai.

Pada suatu pagi kami dikehendaki berlari ala rentas desa. Biasanya aku tidak kisah hal berlari. Namun, mungkin kerana sudah lama tidak berlari jarak jauh, aku berasa sungguh letih. Jarak yang hendak dihabiskan itu rasanya seperti akan berakhir beberapa hari. Punggungku terasa sakit dan aku gagal berlari lancar. Akhirnya aku dapat menghabiskan larian tetapi berasa sangat menderita. Sebaik tiba di hotel, kami mengambil sarapan, dan kembali ke bilik untuk membersihkan diri. Kami harus masuk ke bilik kuliah tepat pada pukul 8.00 pagi.

Dalam agenda kursus itu, kami dikehendaki memilih satu tajuk dan membuat pembentangan di hadapan peserta dan akan dinilai oleh pegawai yang berkenaan. Setelah berfikir keras dan yakin mempunyai isi yang sesuai untuk diperkatakan, aku memilih tajuk tentang perkembangan sastera. Aku mencadangkan pihak berwajib mengkaji semula hal mata pelajaran sastera yang semakin dilupakan. Aku mahu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM tidak diberikan kepada pelajar yang lemah, kerana subjek itu memerlukan pemikiran dan kreativiti. Pelajar sederhana dan lemah tidak mampu memahami mesej dalam sastera. Untuk mencapai keputusan yang baik dalam mata pelajaran itu, pelajar harus rajin dan cekap. Mula-mulanya aku agak gementar ketika membentangkan pendapatku. Alhamdulillah, aku dapat menguasai perasan gemuruhku. Aku dapat menamatkan pembentangan dalam masa yang ditetapkan.

Kami juga dikehendaki menyiapkan tugasan bertulis. Satu tugasan kumpulan dan satu lagi tugasan individu. Tugasan kumpulan dapat disiapkan semasa berkursus dan dihantar kepada urus setia, namun kebanyakan kami tidak sempat menyiapkan tugasan individu. Hal tersebut terjadi kerana kekangan masa, kekurangan komputer dan ketiadaan buku rujukan di tempat kursus. Kami akhirnya dibenarkan menyerahkan tugasan dalam masa seminggu selepas kursus, dengan menghantar sendiri ke jabatan pendidikan atau mengeposnya. Aku mengeposnya tiga hari selepas pulang dari Langkawi.

Satu hal yang tidak terlepas daripada ingatanku ketika berkursus ialah hal isteriku yang sedang sarat mengandung. Dia dijangka melahirkan anak ketiga kami itu pada pertengahan bulan Jun. Aku berharap tidak ada musibah menimpa isteriku. Aku masih teringat dia terjatuh dua kali ketika mengandungkan Syafiq Hakimi dahulu.

Penilaian terakhir ialah peperiksaan. Ujian diadakan pada 26 hingga 27 Mei 2000. Selepas menamatkan peperiksaan kertas terakhir, kami terus menikmati makan tengah hari di restoran hotel. Selepas itu, kami segera berkemas untuk pulang. Bas akan membawa kami ke jeti Kuah. Kami bertolak dari Kuala Perlis ketika petang sudah agak tua.

Keputusan kursus diketahui lebih setahun kemudian. Surat pengesahan jawatanku dikeluarkan oleh SPP melalui surat SPP yang bertarikh 20 Julai 2001. Pergerakan gajiku tetap pada 1 April. Pengesahanku dalam perkhidmatan ditetapkan bermula 1 Jun 2001. Pada tahun itu juga pergerakan gaji tahunanku diputuskan secara MENDATAR dengan prestasi CEMERLANG. Pada bulan September 2001, aku menerima opsyen bersara wajib pada umur 56 tahun.

.

24 Mac 2011

50. TEMU DUGA UNTUK PELANTIKAN

.
AKU melapor diri di SMK Sultan Omar, Dungun pada 1 April 1998, tidak sampai sebulan menamatkan pengajian ijazah pertama di Universiti Malaya. Aku menjalani temu duga pelantikan ke jawatan tetap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) DG3 di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jalan Air Jerneh, Kuala Terengganu pada 22 Julai 1998. Seorang guru kaunselor sekolahku, lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia, Encik Che Wan Ismail bin Che Wan Ngah, turut ditemu duga pada hari dan tempat yang sama. Aku menumpang keretanya ke sana.

Aku tidak mempunyai kot. Nasib baiklah Cikgu Che Wan Ismail mempunyai kot lama yang sudah tidak muat untuknya. Aku meminjam kot itu. Di sekolah, aku jarang memakai tali leher. Sebenarnya aku tidak pandai mengikat tali leher. Pernah aku berpeluh untuk memakainya tetapi tidak menjadi. Sekali ikat terlalu pendek, tetapi ikat kali lain, panjang pula. Akhirnya, aku menggunakan tali leher berzip yang selalu aku gunakan ketika temu duga pelantikan Gred C2 di Jengka 10 dahulu. Dengan tali leher itulah aku masuk menghadapi penemu duga.

Rupa-rupanya seorang saja penemu duga yang akan aku hadapi. Penemu duga itu keturunan Sikh. Dia memberitahuku dia sebenarnya seorang doktor, dipinjamkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam untuk temu duga SPP. Ketika itu demam bola sepak Piala Dunia sedang melanda dunia. Penemu duga itu sangat meminati bola sepak. Beberapa soalan umum berkisar di sekitar hal bola sepak, terutamanya pemain. Alhamdulillah, aku dapat “berbincang” dengan baik kerana ketika itu aku masih mengikuti perkembangan bola sepak negara dan dunia. Aku dapat menamakan pemain mengikut negara yang diwakili. Penemu duga itu juga mengajakku berbincang tentang hal agama Islam, termasuk tentang zakat dan puasa. Daripada percakapannya, dia menghormati semua agama, dan sangat menjaga hak yang telah ditentukan untuk sesuatu kaum.

Soalan terakhirnya menjerat aku apabila dia bertanya tentang konsep piramid dalam matematik. Aku yang sangat lemah dalam mata pelajaran itu, dan semenjak menceburi bidang keguruan tidak pernah ambil tahu hal matematik, tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukakan. Aku mengaku bahawa aku gagal untuk memberi jawapan. Kebimbangan terpacak dalam benakku kalau-kalau aku gagal dalam temu duga itu kerana kegagalan menjawab soalan tersebut. Tambahan pula aku ada mendengar khabar, yang entah sah atau tidak, bahawa kelulusan diberi berdasarkan kuota. Sungguh malang nasibku kalau aku tidak termasuk dalam kuota yang dikatakan itu. Kegagalan, kalau terjadi, akan menyebabkan pelantikanku tertangguh dan akan merugikan waktu dari segi kekananan dan menjejaskan peluang tertentu.

Syukurlah, kebimbangan aku itu tidak menjadi kenyataan. Aku diberi tawaran pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan pada bulan Oktober 1998. Akhirnya aku menerima surat pelantikanku yang mengesahkan aku dilantik ke jawatan PPPS DG3 Kumpulan Pengurusan dan Profesional mulai 1 Jun 1998 dengan tempoh percubaan selama tiga tahun. Pelantikan itu dibuat melalui surat SPP.70/1/12-62697/(23) bertarikh 14 Disember 1998. Gaji permulaanku pada tangga P1T4, iaitu RM1360.00.


.

18 Mac 2011

49. MENYAMBUNG HAYAT MAJALAH "PELITA"

PADA tahun 1999, aku ditugaskan memimpin Kelab Seni Foto. Dengan itu, aku turut ditugaskan sebagai jurugambar Unit Dokumentasi Sekolah. Aku menjadi pembantu kepada Cikgu Khuzainol bin Che Abdullah. Sebagai pembantu, aku yang lebih banyak bertugas merakam gambar setiap peristiwa di sekolah dengan menggunakan kamera biasa. Cikgu Khuzainol ketika itu mempunyai penyakit yang tidak membolehkannya bergerak pantas dan sentiasa mundar-mandir.
.
Kamera pada masa itu kamera manual yang menggunakan filem. Aku yang sudah biasa dengan kamera tidaklah terlalu kekok menggunakan kamera yang disediakan. Selalunya aku memasukkan filem bilangan 24, tetapi jika peristiwa itu melibatkan masa yang panjang, aku akan memasukkan filem bilangan 36. Kadang-kadang aku menyediakan filem tambahan.
.
Walaupun ada pelajar dari Kelab Seni Foto yang boleh diharapkan merakam gambar, aku tidak melepaskan kamera sepanjang masa kepada pelajar. Aku harus memastikan setiap keping gambar yang diambil itu elok dan dapat digunakan. Harga segulung filem bilangan 36 mahal. Apabila habis digunakan, filem itu perlu dicuci di kedai gambar. Bayaran untuk membuka segulung filem juga sudah RM3.00 ketika itu, ditambah lagi dengan setiap keping filem yang dicuci bernilai 40 sen. Nasib baik kos mencucinya diberikan oleh Unit Kokurikulum. Kadang-kadang Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang menghulur bantuan.
.
Pada tahun itu juga, Pengetua sekolahku, Haji Abdullah bin Ali, akan bersara pada 31 Oktober 1999. Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Awang bin Junoh, memintaku menerbitkan majalah sekolah khas untuk persaraan Pengetua. Selama ini aku memang terfikir tentang majalah sekolah, tetapi aku tidak pernah menyatakan hal itu kepada sesiapa, kerana tidak mahu menjadi "tiada batu beban digalas". Sudah lama aku tidak mengendalikan tugas yang berat itu, namun aku tidak menolaknya. Sudah sampai masanya aku kembali bergelumang dengan tugas yang sudah menjadi kebiasaanku itu.
.
Koperasi sekolahku menghadiahkan sebuah kamera baharu khas untuk kegunaan majalah sekolah. Kamera itu lebih besar daripada kamera yang sebelum ini sudah agak usang. Kamera baharu ini juga menggunakan kawalan atau fokus. Aku terpaksa membiasakan diri dengan kamera baharu ini.
.
Majalah sekolahku ini diberi nama Pelita. Cikgu Awang memberiku sebuah majalah bilangan ke-17, yang diterbitkan pada tahun 1992, yang dianggapnya yang terakhir diterbitkan. Jika benar demikian, majalah terakhir itu diterbitkan lapan tahun sebelum aku menjadi warga guru di sekolah ini. Aku meminta Cikgu Awang menyediakan aku guru-guru yang dapat membantuku mengumpul karya dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina, mendapatkan maklumat guru dan sekolah, mendapatkan laporan daripada kelab dan persatuan, sukan dan permainan, dan unit uniform. Aku memilih Amaniah binti Yob sebagai Ketua Editor Pelajar, dan memilih 17 orang sidang redaksi lain untuk membantu guru-guru yang terlibat. Guru yang terlibat ialah Encik Suhaimi bin Sulong (Setiausaha), Encik Marzuki bin Abdullah (Bendahari), Yang Mulia Raja Zahri bin Raja Haron (Bahasa Melayu), Puan Mazmin binti Mohd Shariff (Bahasa Inggeris), Puan Loh Chin Eng (Bahasa Cina), Encik Khuzainol bin Che Abdullah dan Encik Wan Ikhram Zaki bin Wan Abas (Rakaman Foto), Puan Nik Zainab binti Nik Mood dan Puan Rohana binti Abdul Rahman (Laporan/Data), Encik Zul bin Mohamad (Grafik), dan Encik Kamaruddin bin Saman (Iklan).
.
Majalah Pelita (Bil. 18) ini setebal 176 halaman. Pencetaknya ialah Penerbitan Seri Kota, yang beroperasi di Kuala Lumpur. Aku dapati semua majalah sebelum ini dicetak oleh syarikat itu. Ketika itu aku belum lagi menggunakan komputer sepenuhnya. Terdapat artikel yang bertulis tangan sahaja, dan sebahagian lagi bertaip menggunakan mesin taip. Gambar dipotong dan ditampal pada bahagian yang diperlukan pada kertas taip ukuran A4. Tampalan dibuat dengan menggunakan gam yang boleh ditanggalkan dengan mudah tanpa merosakkan kertas dan gambar. Apabila siap, manuskrip awal itu diserah kepada pencetak. Pihak pencetak akan menaip bahan itu semula, dan manuskripnya dikembalikan kepadaku untuk disemak.
.
Aku menghabiskan banyak waktu mengendalikan majalah ini dari awal hinggalah aku mengembalikan manuskrip yang banyak pembetulan ejaan, binaan ayat, latar letak gambar, dan sebagainya. Aku terpaksa tidur lewat malam pada setiap hari, kerana pada waktu malam sahajalah aku dapat menumpukan perhatianku tentang proses penyiapannya. Apabila diserahkan kepada pencetak, aku berasa sungguh lega. Namun demikian, majalah itu tidak sempat siap semasa Tuan Haji Abdullah bin Ali bersara. Gambarnya semasa majlis persaraan itu turut disiarkan bersama-sama dengan artikel ringkas yang memuatkan biodatanya yang kutulis sendiri pada muka surat 35 hingga 36. Majalah itu dapat diedarkan pada tahun berikutnya.
.
Penerbitan majalah tahun 1999 itu menjadi titik tolak kepada lanjutnya usia Pelita. Majalah edisi seterusnya telah diterbitkan pada tahun 2002 (Bil. 19), 2004 (Edisi 20), 2006 (Edisi 21), 2008 (Edisi 22), dan 2009 (Edisi Khas 50 Tahun).
.

20 Februari 2011

48. GURU DUA ALAM

SETELAH pelajar tamat peperiksaan, aku mendapat jadualku sendiri. Pada mulanya aku ditugaskan untuk mengajarkan Bahasa Melayu Tingkatan 4, di samping mata pelajaran Pendidikan Seni Tingkatan 3 dan Sejarah Tingkatan 3.

Daripada ketiga-tiga subjek itu, aku lebih bertumpu kepada Bahasa Melayu. Beban pun lebih berat dalam mata pelajaran itu. Apabila aku memeriksa kertas penulisan, sama ada karangan atau rumusan, aku akan menanda setiap kesalahan bahasa yang dapat kukesan. Pendek kata, penuhlah halaman buku latihan pelajar dengan tanda garis panjang, tanda palang, tanda kurung, pembetulan perkataan dan ejaan, dan sebagainya, dengan menggunakan dakwat merah. Selain itu, aku akan mencatatkan komen seperti isi tidak cukup, huraian tidak kemas, tiada huraian, contoh perlu disertakan, dan sebagainya. Apabila aku memulangkan buku itu kepada pelajar, aku akan menyatakan hal itu semula kepada pelajar berkenaan. Namun, selalunya dalam karangan berikutnya, pelajar masih mengulangi kesilapan yang sama dan remeh, seperti ejaan, tanda baca, imbuhan, dan binaan ayat. Sesekali terfikir sia-sia aku menghabiskan banyak waktu membuat penilaian terperinci, tetapi aku tidak berpuas hati kalau tidak berbuat demikian.

Mulai tahun 1999, aku diarahkan bertugas pada sesi petang. Aku masih mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu, di samping Pendidikan Seni, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Aku tidak seronok mengajar pada sebelah petang. Walaupun pada waktu pagi aku tidak perlu tergesa-gesa ke sekolah, selewat-lewatnya pukul 12.00 tengah hari aku perlu makan tengah hari kerana pada pukul 12.30 tengah hari aku sudah perlu turun dari rumah. Sesi persekolahan petang bermula pada pukul 1.15 tengah hari. Hal itu menyebabkan aku berasa waktu sangat terbatas. Paling awal pun waktu persekolahan tamat pada pukul 6.00 petang. Beberapa minit setelah tiba di rumah, malam pun menjenguk. Sudah menjadi tabiatku, aku tidak suka keluar pada waktu malam, kecuali ada hal yang sangat mustahak. Malam bagiku masa untuk berehat. Pada waktu malamlah aku meluangkan masa menonton televisyen.

Pada satu tahun, terdapat hari tertentu aku ditugaskan mengajar pada kedua-dua sesi. Kami memanggil hal itu sebagai dua alam. Pada mulanya jiran di kiri dan di kanan rumahku hairan melihat aku masih ada di rumah pada waktu pagi, dan ada juga pada waktu sebelum pukul 6.00 petang, sedangkan guru lain berada di sekolah. Ketika terlibat dengan sesi dua alam ini, tugasku bermula selepas tamat waktu rehat, kira-kira pada pukul 10.30. Selalunya, pada pukul 10.00 aku akan turun dari rumah. Pada waktu petang pula, aku dibenarkan pulang pada pukul 5.00 petang. Untuk sesi pagi aku mengajarkan Bahasa Melayu dan Sejarah, manakala untuk sesi petang aku terlibat dengan mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni.
.
Mengajarkan Pendidikan Moral sangat mendugaku. Hal ini demikian kerana mata pelajaran itu diikuti oleh pelajar bukan Islam sahaja, yang sudah tentu terdiri daripada pelajar Cina. Kelas yang aku ajari itu pula kelas yang ke belakang. Mereka tidak memberi tumpuan kepada subjek ini kerana tidak diuji melalui peperiksaan. Aktiviti yang kuberikan jarang sekali diambil perhatian serius oleh mereka. Kadang-kadang aku mengajar mereka seperti mengajar pemahaman dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Acap kali aku rasakan bahawa masa pengajaran subjek itu terlalu lambat berlalu.

Apabila pengetua membenarkan guru membuat pilihan sama ada mahu mengajar pada sidang pagi atau petang, aku memilih untuk mengajar pada waktu pagi. Dengan itu aku terlibat dengan pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 4. Aku berasa lebih selesa mengajar pada sidang pagi. Apabila pulang dari sekolah, sekiranya tiada aktiviti kokurikulum pada sebelah petang, aku dapat bebas ke mana-mana walaupun hingga malam.

Sejak itu aku tidak lagi bertugas pada sesi petang. Mulai tahun 2001, SMK Sultan Omar memulakan persekolahan satu sesi apabila dua buah blok bangunan tiga tingkat siap.
.

12 Februari 2011

47. MENDAFTAR DIRI DI SMK SULTAN OMAR

NAMA SMK Sultan Omar tidaklah asing bagiku setelah aku berkahwin. Sekolah paling tua dan amat gah di Dungun pada dekad lalu itu selalu kulihat dari luar pagarnya. Ketika sesekali balik ke Dungun ketika cuti penggal semasa di Jengka 10 atau setelah aku menuntut di Universiti Malaya, sekali-sekala aku mengunjungi pasar malam di Sura Gate. Ketika itu aku pasti nampak sekolah itu kerana pagarnya dibina di tepi Jalan Merbok tempat pasar malam itu diadakan. Pintu pagar belakang sekolah itu menghadap jalan tersebut. Selain itu, ketika hendak ke kedai makan ibu mentuaku di Kuala Dungun, aku selalu menunggang motosikal mentuaku melalui jalan itu. Sekiranya aku ke Pejabat Pos Dungun dan Perpustakaan Awam Dungun pun, aku akan dapat melihat bangunan sekolah itu. Letaknya sekolah itu di kawasan pekan Sura Gate. Isteriku juga merupakan bekas pelajar sekolah itu sehingga tingkatan lima (1980).

Pagi 1 April 1998, pertama kali aku melangkah ke kawasan sekolah itu. Aku masuk melalui pintu hadapan sekolah di Jalan Pejabat. Pintu pagar utama itu terletak tidak sampai lima puluh meter dari Jalan Besar. Dari semalam dadaku asyik berdebar-debar. Terasa bagai malas untuk kembali ke sekolah. Sudah lima tahun aku berada dalam suasana di luar aktiviti sekolah: tidak berhadapan dengan pelajar, tidak menulis buku rekod mengajar, dan tidak mengendalikan kegiatan kokurikulum. Dapatkah aku kembali menjiwai hal itu setelah sekian lama mesra dengan kampus sahaja?

Pada hari itu pengetua sekolah itu, Encik Abdullah bin Ali, tiada di sekolah. Aku mendafar diri dengan Penolong Kanan 1, Puan Hajah Midah binti Mamat. Kemudian aku berkenalan dengan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Awang bin Junoh. Sekolah itu mempunyai dua sidang. Penyelia Petang ialah Puan Hajah Fatimah binti Mat Jusoh. Aku ditempatkan di Bilik Guru Bahasa yang dihuni oleh guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Sekolah itu memang luas kawasannya. Terdapat sebelas buah blok yang menempatkan bilik darjah, makmal sains, bengkel, bilik khas dan bilik guru, termasuk pejabat pentadbiran. Terdapat juga sebuah dewan tidak jauh dari kantin. Dari depan dewan itu kita boleh nampak padang sekolah, dan di sebalik pagar di tepi padang itu, kita boleh kenderaan kenderaan yang lalu-lalang di Jalan Besar. Kantin sekolah terletak dekat dengan pagar yang memisahkan kawasan sekolah itu dengan Jalan Merbok.

Pada peringkat awalnya aku belum ditugaskan untuk mengajar kerana pelajar sedang menjalani Peperiksaan Pertengahan Tahun. Aku hanya ditugaskan menggantikan guru yang tidak hadir. Banyaklah kelas yang aku masuk untuk mengawasi peperiksaan. Sekolah itu menampung pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan enam.

Yang menariknya, ketika hari pertama aku bertugas di sekolah ini, aku terserempak dengan beberapa orang pelajar lelaki yang melondehkan baju masing-masing di luar seluar. Aku agak terkejut melihat hal itu. Apabila aku bertanya kepada seorang daripadanya, dia menjawab, “Biasalah, cikgu.” Rupa-rupanya, bukanlah guru tidak menegur mereka, tetapi apabila terlepas daripada pandangan guru, mereka akan melondehkan baju itu semula. Hal ini berbeza daripada muridku ketika di Jengka 10 dahulu, yang tidak berani melondehkan ekor baju ketika dalam kawasan sekolah.

23 Disember 2010

46. BERMULANYA KEHIDUPAN DI DUNGUN

.
AKU, isteri dan anak-anak tiba di Dungun pada waktu menjelang Subuh. Bas Transnasional yang kami naiki berhenti di hadapan Hospital Dungun. Abah dan mama isteriku sudah menunggu kami. Bapa mentuaku tiba lebih awal dengan lori kerana mereka bertolak terus ke Terengganu sebaik-baik sahaja meninggalkan Pantai Dalam petang semalam.

Kami dibawa ke rumah baharu mentuaku di Kampung Paya, Balai Besar. Jaraknya lebih kurang lima kilometer dari Hopsital Dungun, berbanding dengan rumah asal mentuaku yang hanyalah kira-kira 500 meter dari hospital itu. Rumah baharu itu dibina di atas tapak yang tanah yang baru diteroka, dan belum mendapat milik yang sah. Rumah itu juga tidak sebesar rumah sewa mereka di Jalan Bunga Raya, di depan Hospital Dungun itu. Oleh itu, keputusan isteriku tidak mahu tinggal bersama dengan ibu bapanya aku kira amat tepat. Aku sendiri juga tidak selesa tinggal bersama mereka kerana kami ingin mempunyai kebebasan sendiri.

Pada pukul 9.00 pagi, selepas sarapan, kedua-dua mentuaku itu membawa kami ke rumah sewa yang telah dicarikan untuk kami. Rumah itu terletak di Jalan Pak Dagang. Rumah itu amat luas berbanding dengan rumah sewaku di Pantai Dalam dahulu. Rumah kayu itu mengandungi dua buah bilik, ruang tamu dan ruang dapur yang luas, serta ruang makan yang selesa. Bilik mandi dan bilik tandas dibina berasingan tetapi bersebelahan sahaja. Bilik utama yang aku dan isteri diami mempunyai dua buah pintu: sebuah menghala terus ke bilik air, dan sebuah lagi menghala ke ruang tamu. Ruang di luar rumah juga luas, dapat memberi peluang kepada kami menanam pokok ulam.

Lori yang membawa barang kami tiba ke rumah sewa baharuku itu pada pukul 9.30 pagi. Kami memunggah semua barang ke dalam rumah. Jiran di sebelah kiri rumah kami dikenali sebagai Ayah Wan, pembaca meter di Tenaga Nasional Dungun, di kiri rumah. Jiran di sebelah kanan dipanggil Mak Long. Arwah suaminya dikenali oleh bapa mentuaku kerana pernah bekerja di Jabatan Hutan. Di hadapan rumahku terdapat tiga buah rumah. Hampir setiap rumah di sekitar kawasan itu mempunyai sekurang-kurangnya sebatang pokok mempelam. Pokok mempelam di rumah jiran di depan rumah sewaku sedang berbuah lebat dan kelihatannya sudah matang.

Pemilik rumah sewaku itu ialah isteri Cikgu Harun. Orang memanggilnya cikgu kerana pernah menjadi cikgu, tetapi sudah berhenti kerana dipilih menjadi wakil rakyat Dewan Negeri Terengganu. Kami mengunjunginya selepas mengemas rumah sewa kami. Rumah batu dua tingkat yang didiaminya terletak di Jalan Masjid di Kampung Molek, betul-betul di hadapan Masjid Intan Zaharah. Dia meminta sewanya RM200.00 sahaja sebulan, yang perlu kami bayar pada akhir bulan. Dia tidak meminta wang deposit dan bayaran bulan pertama. Dia juga menyuruh kami menggunakan kelapa yang ada di belakang rumah itu sekiranya luruh, tanpa apa-apa bayaran. Sebelum kami, rumah tersebut disewa oleh seorang peniaga. Cikgu Harun membenarkan kami mendiami rumah itu hari itu juga.

Rumah sewaku itu agak strategik. Letaknya tidak jauh dari Pasar Dungun dan Stesen Bas Dungun. Di Jalan Besar yang lebih kurang 100 meter di hadapan rumah kami, terdapat Kedai Buku Wan Ariffin, yang memudahkan kami mendapatkan surat khabar dan majalah bulanan. Dua buah kedai runcit ada di belakang rumah, dan terdapat dua tiga buah lagi di Jalan Besar. Lebih kurang 200 meter di belakang Kedai Buku Wan Ariffin, terbentang hujung Pantai Teluk Lipat di muka kuala Sungai Dungun. Di kuala sungai itu terletak pula kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun.

Dua tiga hari sebelum bulan April 1998, bermulalah kehidupanku di daerah Dungun.
.

01 Disember 2010

45. SELAMAT TINGGAL KUALA LUMPUR

.

MUNCULNYA tahun 1998 memberi tekanan kepadaku. Bulan Mac nanti peperiksaan tahun akhir. Sejak memasuki UM, aku bertekad untuk muncul antara siswa yang menerima ijazah kelas pertama. Oleh itu, aku harus mengekalkan pencapaian yang baik yang kuperoleh dalam semua peperiksaan di UM sebelum ini. Aku dan rakan-rakan mengerapkan sesi perbincangan dan belajar berkumpulan, pada waktu pagi hari yang tiada kuliah, dan pada waktu petang juga apabila ada kelapangan.
.
Pada awal tahun, kami mendapat khabar bahawa banyak pelatih maktab perguruan yang tamat pengajian pada hujung tahun 1997 belum ditempatkan di sekolah. Hal ini amat mendebarkan kami. Kalaulah pelatih maktab menghadapi keadaan demikian, tentu kami juga mengalami hal yang sama, kerana kami juga bernaung di bawah pengurusan Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Walau bagaimanapun, kami amat lega dan bersyukur apabila BPG menjelaskan bahawa nama kami sudah diagihkan ke jabatan-jabatan pendidikan negeri mengikut permohonan yang kami buat. Sekolah-sekolah menengah di Kelantan sahaja tiada kekosongan. Oleh itu, sesiapa yang memohon untuk berkhidmat di Kelantan ditempatkan di negeri berhampiran, khususnya Terengganu. Ketika mengisi borang penempatan, aku tidak memohon untuk ke Kelantan dan Terengganu, sebaliknya kekal memohon agar ditempatkan di Pahang, sebagai pilihan pertama dan kedua.
.
Dalam pada itu, aku masih berdebar juga. Susah hati juga memikirkan tempat yang akan ditugaskan nanti. Kalaulah ditempatkan di Pahang pun, sudah tentu tidak di Jengka lagi, kemungkinan di daerah lain. Penempatan baharu ini tentu menimbulkan masalah dalam urusan untuk mendapatkan tempat tinggal dan pertukaran sekolah Suzati. Kos berpindah rumah juga sudah tentu tinggi, khususnya untuk hal pengangkutan barang dari rumah sewaku ke rumah sewa di tempat baharu nanti.
.
Semasa peperiksaan akhir tinggal dua atau tiga kertas lagi pada pertengahan Mac, kami menerima surat arahan penempatan. Hal ini amat menggembirakan kami. Mentuaku di Dungun menghubungiku bahawa aku ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Aku diarahkan melapor diri di sekolah itu pada 1 April 1998. Bapa mentuaku telah cuba mencari rumah sewa di sekitar Kuala Ibai.
.
Sebelum menduduki kertas peperiksaan pada suatu pagi, rakanku yang satu-satunya dari Terengganu, Syed Anuar bin Syed Abdul Rahman, menyerahkan sepucuk surat daripada Jabatan Pendidikan Terengganu kepadaku. Menurutnya, surat yang ditujukan kepadaku itu sampai di rumahnya di Kuala Terengganu. Surat itu mengarahkan aku melapor diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, Dungun pada 1 April 1998 juga. Aku menggaru kepala yang tidak gatal seketika. Rupa-rupanya kakitangan jabatan pelajaran tersilap memasukkan surat untukku ke dalam sampul surat yang ditujukan kepada rakanku itu. Syed Anuar yakin bahawa surat untuknya tentu tersalah masuk ke dalam sampul surat yang bertulis alamat aku di Dungun. Dia telah mengambil salinan surat arahan lain di Jabatan Pendidikan Terengganu.
.
Apabila aku menghubungi mentua mengenai hal itu, bapa mentuaku ketawa besar. Memang benar, surat yang diterimanya ditujukan kepada Syed Anuar. Dia tidak perasan nama itu walaupun melihat surat itu beberapa kali. Namun, hal itu menggembirakannya kerana aku dan anaknya ditempatkan di sekolah yang tidak jauh dari rumah yang didiaminya sekarang. Dia akan mencarikan kami rumah sewa apabila isteriku dengan tegas enggan tinggal di rumah baharu mereka di Gong Pasir yang akan diduduki mereka pada akhir bulan Mac itu juga. Dia juga akan menguruskan hal lori untuk mengangkut barang kami dari rumah sewa di Pantai Dalam. Aku bersyukur kerana tidak perlu memikirkan hal yang rumit itu lagi.
.
Kami pun mula mengemaskan barangan sedikit demi sedikit. Apabila ayah mentua aku memberitahu bahawa dia telah memperoleh sebuah lori dari Dungun yang akan ke Kuala Lumpur, aku pun membeli tiket bas untuk pulang. Aku juga segera menguruskan pertukaran Suzati dari Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist 1 ke sebuah sekolah di Dungun. Dalam permohonan pertukaran itu, kami memohon untuk menempatkannya di Sekolah Kebangsaan Sultan Omar sebagai pilihan pertama kerana sekolah itu bersebelahan dengan sekolah baharuku, serta Sekolah Kebangsaan Bandar dan Sekolah Kebangsaan Kuala Dungun masing-masing sebagai pilihan kedua dan ketiga.
.
Bapa mentuaku juga telah berjaya mendapatkan sebuah rumah sewa di Jalan Pak Dagang. Tempat itu tidak jauh dari sekolah tempat aku akan bertugas dan sekolah baharu Suzati nanti. Pada pagi lori barang akan sampai, semua barang sudah sedia dibungkus, dan rumah sewa yang akan ditinggalkan itu juga sudah dibersihkan. Sewa bulan itu tidak perlu dibayar lagi kerana tuan rumah mengambil deposit yang aku bayar ketika mula-mula memasuki rumah itu dahulu sebagai bayarannya. Lewat petang baru lori dari Dungun itu sampai ke Pantai Dalam kerana lori itu lambat tiba di tempat penghantaran muatannya. Bapa mentuaku turut datang dengan menaiki lori itu dari Dungun lagi. Kami pun cepat-cepat memunggah barang ke dalam lori dengan bantuan jiran-jiran yang sudah amat mesra dengan kami. Nampak sahaja barang di dalam rumah sewaku yang sempit itu sedikit, tetapi hampir penuh lori panjang itu berisi. Barang terakhir yang dinaikkan ialah motosikal Hondaku.
.
Lori itu dan bapa mentuaku meninggalkan rumah sewa itu petang itu juga, dan akan bertolak awal malam ke Dungun. Aku, isteri dan anak-anakku, Suzati dan Syafiq Hakimi, juga meninggalkan rumah sewa itu sebelum malam. Kami menaiki teksi ke Perhentian Bas Putra. Selamat tinggal Pantai Dalam! Selamat tinggal Kuala Lumpur!

.

28 Ogos 2010

44. AKU DAN PELAJARANKU

.
CARA belajarku di universiti, semenjak tahun pertama di IB, tidak berubah sehingga tahun akhir. Setiap subjek aku salin nota semasa kuliah dan tutorial, dan dikemas kini di rumah. Sekiranya terdapat maklumat tambahan yang kuperoleh daripada buku rujukan, aku masukkan ke dalam buku nota. Kekemasan itu menyebabkan notaku selalu dipinjam rakan untuk difotostat. Sebagai balasan, kebanyakan rakan selalu memberiku nota atau bahan rujukan yang diperoleh mereka secara percuma.

2. Pada tahun akhir, aku belajar secara berkumpulan. Ahli kumpulanku ialah rakan-rakan rapatku: Suhaimi bin Ibrahim, Kamaruzaman bin Mohd Yusoff, dan Che Hashidah binti Che Harun. Kesemua rakanku itu berasal dari Kelantan. Suhaimi sudah kukenal di Jengka kerana dia juga pernah mengajar di sana, manakala Kamaruzaman mengajar di Kelantan. Che Hashidah pula datang atas tiket Pahang sepertiku, kerana dia bersama suaminya pegawai di sebuah bank di Raub, dan kemudiannya mereka berpindah ke Jerantut. Kamaruzaman dan Che Hashidah fasih bahasa Inggeris, tidak seperti aku dan Suhaimi.

3. Perbincangan dilakukan pada hari cuti hujung minggu, atau semasa tiada kuliah. Mereka akan datang ke rumah sewaku pada sebelah pagi, dengan membawa buah tangan. Isteriku pula menyediakan air. Sebelum datang membuat perbincangan, kami menetapkan tajuk yang perlu disentuh. Dalam perbincangan, kami akan membentangkan isi masing-masing. Bagi mata pelajaran bahasa Melayu, akulah yang menjadi fasilitator, yang akan memberi pandangan dan pembetulan sekiranya perlu. Selalunya penjelasan yang kuberi lebih mendalam daripada yang diberi oleh pensyarah, sehinggakan Kamaruzaman kerap mengatakan lebih baik mengikuti kuliahku daripada kuliah di kampus. Selalunya kami mengambil masa dua hingga tiga jam sahaja bagi setiap perbincangan. Namun begitu, seringnya setengah jam, dan kadang-kadang lebih, masa terbuang kerana banyak bercakap tentang hal lain.

4. Di kampus, aku aktif bertanya dan bercakap ketika subjek bahasa. Apabila pensyarah bertanya tentang tatabahasa, kerap aku menjadi penyelamat dengan memberi jawapan yang tepat. Acap juga Encik Nuwairi menyuruhku membuat huraian tentang tatabahasa berdasarkan buku Tatabahasa Dewan. Aku pernah menegur Puan Indirawati binti Zahid ketika dia mengajarkan topik fonologi kerana kesilapannya menggunakan lambang fonetik dan padanan bunyi. Dalam satu tutorial bagi kursus Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu, aku menyatakan kepada pensyarah, Prof. Madya Sanat bin Mohd Nasir, bahawa huraian dalam satu artikel oleh Prof. Dr. Asmah binti Haji Omar mengelirukan dan bertentangan. Prof. Madya Sanat tidak mahu menerima pendapatku, namun aku tetap dengan pandanganku walaupun aku tidak memanjangkan hal itu untuk menghormati guruku itu.

5. Dalam subjek Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu pada tahun ketiga, pensyarahnya, Encik Wong Khek Seng, antaranya menggunakan rujukan daripada buku Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita oleh Ismail Hussein (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1992), Sejarah Pertumbuhan Bahasa Melayu oleh Darwis Harahap (Universiti Sains Malaysia: 1992), dan Masyarakat dan Budaya Melayu oleh Ismail Hamid (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1991). Kesemua buku ini merujuk penggunaan bahasa Melayu, khususnya yang bentuk bertulis, bermula pada akhir abad ketujuh, iaitu pada zaman bahasa Melayu kuno, sezaman dengan perkembangan pengaruh Sriwijaya di Asia Tenggara. Dalam tutorial, aku mengutarakan pendapat Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, sebaliknya menganggap bahasa Melayu bermula pada zaman kedatangan pengaruh Arab dn Islam ke Nusantara, iaitu pada zaman bahasa Melayu klasik. Aku memberitahu sumber rujukanku ialah buku Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (Universiti Kebangsaan Malaysia: 1972), iaitu berdasarkan ucapan penerimaan beliau sebagai profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia. Encik Wong mengakui bahawa beliau belum membaca buku itu dan mengucapkan terima kasih kerana memberi input baharu kepadanya. Namun aku memberi pendapat bahawa pandangan Prof. Syed Muhammad Naquib itu masih boleh dihujahkan kerana bahasa Melayu sebenarnya telah lama ada, kerana bahasa itu wujud bersama lahirnya bangsa Melayu, yang sudah tentu sudah cukup lama, cuma penggunaan bahasa itu tidak dirakam atau ditulis.

6. Semasa tahun ketiga juga, bagi kursus Prinsip Pemahaman, Penikmatan dan Penilaian Kesusasteraan Bentuk Prosa, pensyarah dan tutornya, Encik Hashim bin Ismail, menggunakan novelet karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Tivi (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1995) sebagai teks kajian utama. Dalam tutorial, aku mengutarakan pendapat bahawa pengarang novel itu sangat melampau dalam membicarakan keburukan pengaruh televisyen, dan amat menghina pemilik televisyen, dengan tidak menyentuh kebaikan televisyen kepada masyarakat. Aku sudah lapan kali khatam buku yang tidak tebal itu dengan bacaan sebagai penulis dan pengkaji. Aku memberitahu sidang tutorial bahawa aku suka akan cara Shahnon yang teliti menghurai sesuatu sehingga kita dapat merasai dan membayangnya dengan mendalam. Namun kebanyakan novel lain karya penulis Ranjau Sepanjang Jalan itu selalu pesimis dan sering dipengaruhi politik sebelah pihak, seperti dalam Srengenge (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1981), Tok Guru (Fajar Bakti: 1988), dan Baginda Sutan (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1989).

7. Kebanyakan buku aku baca berkali-kali, terutamanya buku yang aku jadikan bahan kajian atau rujukan. Setiap aspek yang ingin kukaji aku selongkar dengan tekun. Ketelitianku membuat rujukan dan kajian memberi faedah yang banyak kepadaku. Ternyata aku dapat menguasai sesuatu tajuk dengan baik, dan dapat mengutarakan pandangan sendiri, dengan menyatakan alasan dan bukti tertentu.
.

24 Ogos 2010

43. AKTIVITI LAIN



.
KETIKA di UM, aku tidak terlibat langsung dengan aktiviti kokurikulum. Pada masa itu belum ditekankan tentang kepentingan kokurikulum. Aku pernah mendaftar sebagai ahli Persatuan Mahasiswa Anak-anak Kelantan, tetapi tidak pernah mengikuti aktiviitinya, malahan tidak mengetahui apa-apa tentang aktivitinya.

2. Walaupun universiti mengadakan pilihan raya universiti pada setiap tahun, tiada antara peserta Program Kembar yang terlibat. Sungguhpun begitu, ramai juga yang mengundi, termasuk aku. Aku sentiasa memilih pihak Barisan Mahasiswa Bersatu (BMB), yang mendukung aspirasi kerajaan. Aku tidak berminat dengan pihak yang bertentangan dengan BMB kerana pihak itu mencanangkan dasar Islam tetapi selalu berkempen dan bertindak memburuk-burukkan pihak lawan secara melampau. Pihak ini terpengaruh dengan parti politik di luar kampus yang juga melakukan hal yang sama. Walau bagaimanapun, pihak ini sangat kuat, mendapat sokongan dari luar kampus, dan memenangi sebahagian besar kerusi yang dipertandingkan.


3. Meskipun tidak melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, aku pernah mendapat kepercayaan untuk menjadi hakim Pertandingan Bercerita Peringkat Sekolah Rendah Sekitar Wilayah Persekutuan. Pertandingan dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) sempena Minggu Bahasa dan Sastera Melayu. Pertandingan diadakan pada 24 Ogos 1997 bagi peringkat saringan di Auditorium, Kompleks Perdana Siswa, UM. Oleh sebab pendingin hawa di auditorium itu sangat sejuk, aku tidak selesa meneliti kehebatan murid sekolah rendah bercerita, kerana terasa hendak buang air kecil. Rupa-rupanya bukan aku sahaja yang merasakan “derita” itu, kerana seorang hakim dari kalangan pensyarah telah meminta pertandingan ditangguhkan sebentar. Aku dan empat orang hakim lain berebut-rebut ke tandas Kompleks Perdana Siswa. Aku tidak terlibat dalam pertandingan peringkat akhir yang diadakan beberapa hari selepas itu.

4. Selain itu, aku juga dijemput oleh Institut Bahasa untuk menjadi salah seorang panel Penghayatan Puisi Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang diadakan di Dewan Besar, IB. Aku menerima pelawaan itu atas permintaan pensyarah IB, Encik Omar bin Mamat, seorang penulis, yang kukenalinya pernah mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan di IB semasa aku menjalani Kursus Perguruan Asas dahulu. Aku terpaksa membeli buku puisi yang digunakan oleh pelajar dan buku ulasan sebagai panduan untuk membuat kupasan. Sebagai persediaan, aku tulis nota ringkas untuk melancarkan tugasku pada hari itu. Majlis itu diadakan pada waktu petang. Oleh sebab pada sebelah paginya aku menghadiri kuliah, maka aku terus ke IB sebaik-baik sahaja tamat kuliah di UM. Dua orang lagi panel yang bersamaku ialah pegawai dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada akhir majlis, aku menerima sekeping sampul surat daripada penganjur, dan apabila kubuka, terdapat sekeping wang kertas RM50.00 di dalamnya.

5. Pada tahun 1997, semasa Institut Bahasa mengadakan majlis konvokesyen pelajarnya, kami dari kumpulan Program Kembar IB-UM ambilan 1993, 1994, 1995 dan 1996 juga turut menerima sijil. Kami turut disenaraikan apabila wujud perbincangan antara kami dengan pihak IB, dengan bantuan dan sokongan daripada Universiti Malaya dan Bahagian Pendidikan Guru. Majlis diadakan di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 18 September 1997 (hari Khamis). Kami menerima sijil daripada Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak. Ketika konvokesyen itu diadakan, keadaan cuaca di Kuala Lumpur tidak baik kerana diselubungi jerebu. Gambar yang kami ambil di luar dewan kelihatan tidak jelas.


.

17 Ogos 2010

42. WEU 4744

.
AKU telah memiliki lesen memandu kelas D dan kelas B2 pada tahun 1992, ketika masih di Jengka 10. Walaupun aku tidak mempunyai motosikal, apatah lagi kereta, aku tetap mengambil lesen kedua-dua kenderaan itu kerana rakan-rakanku di SMJX sibuk mendapatkan lesen tersebut. Syarikat yang mengendalikan latihan memandu di Jengka 10 itu dimiliki oleh seorang peneroka yang kami kenali, dan dibantu oleh anaknya yang menjadi rakan baik kami, Dollah. Aku lulus ujian memandu kereta dan menunggang motosikal serentak pada hari yang sama.

2. Motosikal memang selalu aku tunggang dengan meminjam motosikal kepunyaan Cikgu Daniel, Cikgu Ibrahim Putra, atau Cikgu Abdul Mubin Hussain. Namun demikian, aku tidak pernah meminjam kereta orang lain. Aku takut sekiranya berlaku sesuatu pada kereta itu, aku perlu membayar ganti rugi. Selepas mendapat lesen memandu kereta, pernah sekali sahaja aku memandu kereta Proton Saga kepunyaan suami adik angkatku yang mengunjungi kami.

3. Setelah memasuki tahun akhir pada tahun 1997, oleh sebab banyak hari aku perlu mengikuti kuliah dan tutorial hingga pukul 5.00 dan 6.00 petang, aku mengambil keputusan untuk membeli sebuah motosikal. Mula-mulanya aku mahu membeli motosikal terpakai sahaja untuk menjimatkan wang. Namun, aku akhirnya mengambil keputusan untuk membeli motosikal baharu. Aku mendapat bantuan daripada ayah dan mek. Ayah memberiku RM1,000.00, daripada simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB), dan mek memberiku RM500.00. Aku mengunjungi sebuah kedai menjual motosikal di Jalan Bangsar. Kedai itu membenarkan aku membuat bayaran secara ansuran selama setahun setelah aku sanggup membayar pendahuluan RM1500.00. Mulai pertengahan Julai 1996, aku pun memiliki sebuah motosikal Honda C70, WEU 4744, yang memudahkan aku berulang-alik ke kuliah. Setiap bulan aku membayar ansuran sebanyak lebih kurang RM100.00 lebih. Penggunaan motosikal itu ternyata dapat mengurangkan penatku, dan kos minyaknya sangat kurang berbanding dengan bayaran tambang bas mini atau bas Intrakota.

4. Mulai bulan Disember 1996, anak sulungku, Suzati, mula memasuki darjah satu, setelah mengikuti pelajaran prasekolah di Tadika Kemas Pantai Dalam, tidak jauh dari rumah sewaku. Aku mendaftarkannya di Sekolah Rendah Pantai Baru, supaya memudahkan aku menghantarnya dan menjemputnya pulang kerana tidak jauh dari rumah sewa. Walau bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan menempatkan Suzati di SRK (Perempuan) Methodist (1), Brickfields. Sekolah itu terletak jauh dari rumah sewaku. Sekolah itu sebenarnya berkongsi bangunan dengan SRK (Perempuan) Methodist 1. Semasa Methodist 1 melaksanakan pengajaran pada waktu pagi hingga tengah hari, Methodist 2 pula menyambungnya pada waktu tengah hari hingga petang. Apabila cukup enam bulan, kedua-dua sekolah itu bertukar sesi pula. Ketika Suzati dalam tahun satu, aku menghantarnya hingga ke dalam bilik darjah, sebelum aku berkejar ke kampus sekiranya ada kuliah atau tutorial, sama ada ketika dia terlibat dengan sesi pagi atau petang. Ketika dia belajar pada sesi pagi, aku akan menjemputnya pulang ke rumah pada tengah hari, dan aku akan kembali ke kampus sekiranya terdapat kuliah atau tutorial.

5. Ketika aku pulang ke kampung, sama ada pada hari raya atau cuti sekolah, motosikal itu kubawa masuk ke dalam rumah. Kuletakkan di bahagian dapur. Bimbang sekali aku meninggalkan harta itu di luar rumah. Pada suatu pagi, apabila aku hendak menggunakan motosikal itu, kenderaan itu tidak dapat dihidupkan seperti biasa. Apabila kubuka tangki minyak, kudapati tiada setitik pun petrol di dalamnya. Rupa-rupanya minyak itu dicuri orang dengan cara memotong salur getah yang menyalirkan minyak ke enjin. Bahagian yang dipotong itu terpaksa kusambung semula. Aku menumpang motosikal jiranku untuk ke pam minyak yang terletak di Jalan Pantai Baru. Nasib baik hari itu aku tidak ada kuliah pada waktu pagi.
.

10 Ogos 2010

41. MEMBELI KOMPUTER

.
UNTUK menyiapkan tugasan, sama ada untuk kumpulan atau individu, aku menggunakan mesin taip sahaja pada mulanya. Mesin taip itu bukanlah yang jenamanya Brother yang dibeli oleh mekku. Mesin taip itu sudah rosak, dan aku sudah membeli mesin taip baharu, yang tidaklah seselesa atau setanding dengan Brother itu.

2. Untuk menyiapkan projek Latihan Ilmiahku, Encik Nuwairi menasihatiku agar membeli sebuah komputer. Peralatan teknologi baharu itu memudahkan penulisan latihan ilmiah, kerana penulisan itu memerlukan penyuntingan dan perubahan yang berkali-kali. Sudah tentu aku tidak sanggup menaip semula manuskripku setiap kali dibuat pembetulan, sama ada penambahan atau pengurangan oleh penyeliaku, Encik Nuwairi. Pada masa itu harga komputer masih mahal, tetapi untuk kemudahanku sendiri, aku bertekad mahu membeli sebuah komputer.

3. Aku terjumpa iklan komputer baharu yang murah dalam akhbar bahasa Inggeris yang ditawarkan oleh sebuah kedai di Bangsar Baru. Harganya RM2000.00, berserta sebuah pencetak jenama Canon percuma yang berharga RM400.00. Kukorek duit simpananku. Aku pun ke kedai tersebut dan mendapat sebuah komputer dengan unit pemprosesan pusat (CPU) Microsoft 95, sebuah monitor jenama kurang terkenal, sebuah pencetak Canon yang sudah dipasang kartrij dakwat hitam dan warna, dan sebuah tetikus. Aku juga mendapat satu kartrij dakwat hitam percuma. Semua itu kubawa pulang dengan sebuah teksi.

4. Aku sendiri yang menyambung kabel dari belakang CPU ke belakang monitor dan ke pencetak, serta menyambung kabel kuasa elektrik ke soket di rumah sewaku. Mula-mulanya aku bimbang akan berlaku letupan atau lintar pintas akibat tersalah pasang, kerana aku tidak ada pengetahuan atau kemahiran langsung hal itu. Namun begitu, tauke kedai itu meyakinkanku bahawa semua kabel itu tidak akan tersalah pasang, kerana jika tidak betul sambungan, palamnya tidak dapat dimasukkan ke dalam soket. Kata-katanya memang benar. Komputer klon itu dapat beroperasi. Namun, masalahku timbul ketika hendak menutup komputer itu dengan cara yang betul. Olehh sebab tidak tahu, puas aku mencari butang yang sesuai, tetapi tidak tertemukan. Apabila aku bosan kerana gagal mendapat cara yang betul, aku menutupnya dengan mematikan suis soket di dinding sahaja. Beberapa kali aku bertindak begitu. Akhirnya, aku mendapat cara yang betul apabila aku meminta pertolongan jiran di blokku yang menghuni rumah kedua. Selepas itu aku dapat menggunakan komputerku itu dengan betul, khususnya perisian Word, untuk menaip sebarang tugasan.
.
5. Komputer itu aku tempatkan di ruang hadapan, berdekatan dengan televisyen. Hanya itu ruang yang paling sesuai dan yang ada di rumah sewa itu. Ketika aku balik ke kampung, komputer itu aku simpan di dalam bilik tidur yang berkunci, demi keselamatannya. Hal itu perlu kerana keselamatan pintu utama dan pintu belakang rumah itu tidaklah dapat diharapkan sangat, dengan hanya menggunakan ibu kunci biasa.

6. Menulis latihan ilmiah memang cerewet. Setiap bab yang telah dipersetujui dengan penyelia perlu diserah kepadanya dalam bentuk cetakan untuk dibuat penilaian awal. Kadang-kadang, bab yang sama mengalami dua atau tiga kali perubahan. Aku perlu kerap berjumpa dengan Encik Nuwairi. Seringnya aku gagal bertemunya pada hari dan waktu yang dijanjikan kerana beliau ada urusan atau tugasan yang perlu disegerakan. Aku terpaksa menunggu beliau lapang. Namun begitu, dengan kecanggihan komputer, aku dapat mengubahsuai kandungannya dengan cepat. Aku akan menggunakan setiap masa lapangku untuk menyelesaikan segala kekalutan yang sentiasa timbul, di samping menyiapkan tugasan lain yang selalu datang dari semasa ke semasa. Pada waktu malam, aku terpaksa tidur lewat, paling awal pun pukul 1.00 pagi. Akhirnya aku dapat menyiapkan latihan ilmiahku, Pemendekan Kata dalam Dialek Kelantan yang setebal 159 halaman itu – tidak termasuk lampirannya – dengan jayanya. Aku menggunakan 46 buah buku rujukan, 7 buah tesis dan latihan ilmiah, dan 13 buah artikel. Aku juga menggunakan 10 orang responden untuk mendapatkan transkripsi dialek Kelantan, selain percakapan dialek Kelantan yang aku rakam daripada siaran televisyen dan radio. Latihan itu dijilidkan menggunakan kulit kertas tebal berwarna hijau. Lima salinan diserahkan kepada Jabatan Pengajian Melayu. Aku membuat satu salinan tambahan untuk simpananku.

7. Dengan komputer itu jugalah aku dapat menulis novel untuk melengkapkan kursus Menulis Cereka II (Novel) dengan lancar. Penulisan novel ini tidak memerlukan apa-apa pandangan atau perubahan daripada pensyarah. Kami hanya perlu menyiapkan manuskrip kami dan menghantarnya kepada Tuan Haji S. Othman Kelantan pada masa yang ditetapkan. Novel Sepiah yang kutulis itu tidaklah tebal, tidak sampai pun 200 halaman. Namun begitu, dalam menggarap karya itu, pelbagai hal menggangguku. Kekeringan idea, gagal menulis ayat yang berkesan, hilang tumpuan, tidak puas hati akan cara garapan, penambahan serta-merta, penyusunan semula, dan sebagainya, amat menyusahkan hati. Pada masa yang sama, aku juga perlu menyiapkan latihan ilmiah. Dengan kekuatan semangat, aku berjaya menyiapkan novel itu. Aku menjilidnya dengan kaedah paling murah, tetapi dapat dibuka dan dibaca dengan mudah.

8. Komputer itu turut memudahkan aku menghasilkan karya ketika berada di Universiti Malaya, khususnya cerpen dan puisi, yang disiarkan dalam akhbar perdana, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, beberapa buah akhbar tabloid, dan majalah lain seperti Jelita, Wanita, Ibu, dan Pesona.
.
.

06 Ogos 2010

40. TAHUN TERAKHIR PENGAJIAN

.
TAHUN akhir pengajian yang bermula Julai 1997 aku anggap sebagai tahun yang sangat kritikal. Aku harus mengekalkan pencapaianku yang agak baik dalam peperiksaan tahun-tahun sebelumnya agar cita-citaku untuk memperoleh Kelas Pertama tercapai. Sudah masuk tahun kelima aku mengalami susah senang seorang yang bakal bergelar graduan. Harapanku pengorbananku selama ini akan berbalas dengan keputusan yang baik. Sekiranya aku berjaya mendapat pangkat Cemerlang semasa dalam Kursus Perguruan Asas di IB dahulu dan memperoleh Anugerah Akademik Terbaik Pengajian Melayu, tidak mustahil untuk kuulangi kegemilanganku itu. Aku mahu menjadi graduan yang bukan sekadar lulus, tetapi dalam tahap cemerlang.

2. Pada tahun terakhir ini, aku hanya perlu mengambil lapan kursus sahaja, kerana aku sudah lulus Bahasa Inggeris. Kursus wajib yang kuambil ialah Pengajaran Bahasa Melayu; Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu; Dialektologi Bahasa Melayu; dan Latihan Ilmiah (2 unit). Kursus Fakulti pula kupilih Menulis Cereka II (Novel); dan Isu-isu Alam Sekitar di Malaysia. Kursus bahasa asing pula kuteruskan dengan Bahasa Filipino II. Latihan Ilmiah dianggap sebagai dua unit kerana diperiksa oleh dua orang, iaitu pensyarah penyelia dan seorang penyelia lain.

3. Pemilihan Bahasa Filipino sekali lagi menimbulkan kekecohan dalam kalangan peserta Rancangan Bahasa Melayu. Banyak kalangan pelajar lain mahu bersaing dengan kumpulan “mahasitua” untuk mengambil mata pelajaran itu. Akhirnya kami tetap menang kerana pendaftar mata pelajaran memilih kami juga dengan dua alasan: kami sudah mengambil Bahasa Filipino I, maka wajar meneruskannya, dan pelajar yang masih muda perlu belajar yang lebih mencabar, sesuai dengan kemampuan mereka. Pensyarah Bahasa Filipino II pada awalnya pensyarah yang sama, tetapi kemudiannya bertukar kepada seorang pensyarah lain, yang juga berasal dari Filipina. Pensyarah baharu ini lelaki, sudah lama menetap di Malaysia, dan banyak perkataan Melayu yang difahaminya. Menurutnya, anak lelakinya yang belajar di Malaysia tidak mahu belajar di Sekolah Antarabangsa, sebaliknya belajar di sekolah biasa, dan dapat menguasai bahasa Melayu, sehingggakan dia sendiri belajar daripada anaknya itu. Anaknya itu juga enggan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di negara asalnya, kerana mahu meneruskan pengajian di universiti di Malaysia. Aku pernah membaca kisah pensyarah itu dalam surat khabar. Dia juga ramah seperti pensyarah sebelumnya.

4. Pada tahun terakhir ini juga, aku mengambil keputusan memilih Latihan Ilmiah. Melalui Latihan Ilmiah, satu latihan atau tugasan, aku akan dikira mengikuti dua unit. Aku tertarik dengan bentuk dialek yang kupelajari dalam subjek Dialektologi yang diajarkan oleh Encik Nuwairi bin Khazaie. Dengan itu, aku mengambil keputusan menulis latihan ilmiah tentang dialek, dan memohon dia menjadi penyeliaku. Jenuh juga aku memilih tema dan judul latihan ilmiahku itu. Yang kubimbangi ialah fakta yang sedikit atau tidak dapat dikembangkan akan menyebabkan penulisannya tergendala. Setelah beberapa ketika membuat pertimbangan, akhirnya aku menghantar kertas cadangan untuk menulis latihan ilmiah berjudul Pemendekan Kata dalam Dialek Kelantan. Setelah dibuat perbincangan, Encik Nuwairi dan Jabatan Pengajian Melayu meluluskan kertas cadanganku itu.

4. Pemilihan Kursus Fakulti, Menulis Cereka II (Novel) memang kena benar dengan minatku. Sebelum ini, aku tidak berpeluang untuk mengikutinya. Pensyarahnya ialah Haji Abdullah bin Tahir, penulis dari Kelantan yang memang dikenali ramai. Walau bagaimanapun, Abdullah Tahir tidak lama bersama kami kerana menyahut panggilan Illahi. Kekosongan tempatnya diganti oleh seorang lagi penulis terkenal dari Kelantan, yang merupakan Sasterawan Negara, Syed Othman bin Syed Omar, yang lebih dikenali sebagai S. Othman Kelantan. Beberapa buah bukunya pernah kubaca, antaranya Wajah Seorang Wanita (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990). S. Othman tidak banyak berteori. Dalam tutorial, dia memberi peluang kepada sesiapa sahaja memberi pandangan tentang novel yang dibaca. Aku memang selalu mengambil peluang untuk bercakap tentang novel yang kubaca. Dengan mengikuti kursus ini kami berpeluang mengenali pelajar yang mengikuti kursus Pengajian Media. Antara yang dapat kukenal ialah Uthaya Sankar S.B. yang banyak cerpennya disiarkan dalam akhbar dan Dewan Sastera, namun belum pernah menghasilkan novel. Turut mengikuti kursus ini ialah Hajah Haslinda binti Hamzah, penyampai Berita Perdana di TV1.

5. Untuk melengkapkan kursus penulisan itu, kami perlu menyiapkan sebuah novel. Bagiku, inilah masanya untuk aku hasilkan novel. Dengan menggunakan komputer, aku mula menulis novel yang kujudulkan Sepiah. Semasa tutorial, aku bentangkan jalan ceritanya kepada Prof. S. Othman Kelantan. Aku mengambil sebahagian kisah ibuku dan rakan baiknya yang masih tinggal di kampung kami sebagai inti cerita. Perjalanan hidup mek aku semasa remajanya yang penuh dengan jerih perih, tidak pernah diberi peluang bersekolah, bekerja sendiri, dan sering diabaikan, aku garap dengan jelas. Apabila sudah berumah tangga, pekerjaannya menoreh getah dan mengalami kesusahan hidup, turut kumasukkan. Peristiwa banjir yang selalu kami alami pada bulan Disember juga aku masukkan dengan gaulan imaginasi tertentu. Pergolakan politik antara dua parti siasah Melayu dan Islam terbesar di Malaysia juga aku tuangkan dalam novel ini secara gaulan realiti dengan imaginasi. Namun, penamatan novel ini sungguh tragis: watak utamanya kemalangan.

.

02 Ogos 2010

39. PELAJARAN & PEPERIKSAAN

.
JULAI 1996, aku memasuki tahun ketiga. Aku mengambil sembilan mata pelajaran lagi. Lima kursus wajib yang kupilih ialah Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu; Kosa Kata dan Peristilahan Bahasa Melayu; Laras Bahasa Melayu; Prinsip Pemahaman, Penikmatan dan Penilaian Kesusasteraan Bentuk Prosa; dan Prinsip Pemahaman, Penikmatan dan Penilaian Kesusasteraan Bentuk Puisi. Dua unit kursus am fakulti yang kuambil ialah Sistem Pentadbiran Malaysia; dan Pembangunan Pertanian di Asia Tenggara. Satu kursus bahasa asing yang diwajibkan mulai tahun ketiga yang kupilih ialah Bahasa Filipino I; selain Bahasa Inggeris yang memang wajib diambil oleh semua pelajar walaupun telah mempunyai kelulusan luar negeri.

2. Kursus bahasa asing yang diwajibkan mulai tahun ketiga ditetapkan mengikut aliran pengajian masing-masing. Beberapa pilihan diberi kepada kami yang mengikuti Rancangan Bahasa Melayu, termasuklah bahasa Filipino, bahasa Portugis, bahasa Perancis, bahasa Belanda dan bahasa Arab. Namun begitu, aku mengambil keputusan memilih bahasa Filipino kerana kutahu bahasa ini menyerupai bahasa Melayu dalam banyak perkataan. Sekali-sekala aku pernah menonton drama atau filem dari Filipina yang menggunakan bahasa Tagalog.

3. Tempat untuk kursus Bahasa Filipino sangat terhad. Ramai daripada peserta Program Kembar IB-UM memilih kursus itu, dan bersaing dengan ramai pelajar lain. Akhirnya pensyarah menasihati pelajar berkenaan memberi peluang kepada “mahasitua” mengambil subjek itu, dan mereka yang masih muda perlu menyahut cabaran dengan mengambil bahasa lain. Kuliahnya diadakan di Fakulti Bahasa, yang terletak tidak jauh dari Jabatan Pengajian Melayu. Pensyarahnya seorang perempuan dari Filipina, yang memang kurang fasih dalam bahasa Melayu. Kami terpaksa berinteraksi dalam bahasa Inggeris. Aku yang tidak fasih bahasa Inggeris terpaksalah menggunakan bahasa burukku, tetapi sempat juga sesekali mengajar pensyarah itu perkataan dalam bahasa Melayu.

4. Suasana di dalam kelas Bahasa Filipino sangat menyeronokkan. Kami saling ketawa apabila bercakap atau membina ayat kerana memang masing-masing tidak betul dari segi sebutan dan binaan ayat. Pelajaran bermula dengan pengenalan huruf dan sebutannya. Kemudian kami mempelajari perkataan bagi nombor. Dalam suatu kuliah, kami tiba-tiba diuji oleh pensyarah agar menyebut nombor satu hingga 10 tanpa melihat nota. Tidak kusangka pensyarah itu menjadikan aku mangsa pertamanya hari itu. Dengan agak gementar aku pun membilang dengan agak laju supaya tidak terlupa, “Isa, dalawa, tatlo, apat, lima, anim, pito, walo, siyam, sampu.” Pensyarah itu memberi pujian, “Good boy!” Kawan-kawanku tercengang seketika sambil memandangku dan kemudiannya bertepuk tangan. Sebenarnya pada malamnya aku sudah menghafaz nombor-nombor tersebut. Mulai hari itu, nama aku selalu dipanggil oleh pensyarah itu memberi jawapan kalau rakan lain gagal memuaskan hatinya.
.
5. Sistem menghadapi peperiksaan di UM berbeza daripada sistem di maktab dan di sekolah. Calon boleh memilih tempat duduk masing-masing dalam kawasan yang disediakan. Peperiksaan kertas yang berlainan dan tahun yang berlainan diadakan serentak di dalam dewan di Bangunan Peperiksaan. Oleh itu, sekiranya ada pengumuman tentang kertas lain, kami turut mendengarnya. Semasa peperiksaan, kami diawasi oleh pengawas peperiksaan dengan rapi. Sekiranya kami mahu ke tandas, pengawas akan mengekori kami hingga ke bilik itu. Namun begitu, pada setiap masa, pensyarah atau tutor kami akan ada bersama-sama di kawasan kami. Sekiranya ada kemusykilan, kami boleh bertanya. Ketika peperiksaan Bahasa Filipino I, aku dan rakan asyik memanggil pensyarah, bukan untuk menyatakan masalah pemahaman, tetapi untuk bertanya jawapan. Pensyarah itu selalunya tidak lokek untuk memberitahu satu dua jawapan. Selain itu, peperiksaan diadakan juga di Dewan Tuanku Canselor dan di Kompleks Perdana Siswa. Apabila tamat masa menjawab, kami perlu memasukkan skrip jawapan kami ke dalam kotak yang disediakan.

6. Kertas bahasa Inggeris lebih rumit dugaannya bagi pelajar atau yang “buta” bahasa Inggeris. Aku yang tergolong dalam kumpulan ini diletakkan dalam kelas yang agak belakang. Bagiku, hal itu memang adil. Inilah subjek yang paling aku tidak suka. Ketika pensyarah mengajar, aku hanya memandang. Selepas membuat latihan, pensyarah akan bertanya jawapannya daripada kami. Apabila aku dikehendaki memberi jawapan, aku akan memberi jawapan. Jarang sekali jawapan yang kuberi betul, kerana aku menjawab lain daripada yang aku tulis dalam buku latihan. Masa satu jam untuk pelajaran bahasa asing itu kurasakan seperti sehari lamanya!

7. Kami perlu menghadapi tiga corak ujian, iaitu pemahaman mendengar, penulisan karangan, dan lisan. Bahagian ujian lisan ini sungguh mencabar. Kami diletakkan dalam kumpulan yang terdiri daripada enam hingga lapan orang. Apabila diberikan judul oleh pensyarah yang bertugas sebagai penguji, kami akan diminta memberi pendapat masing-masing seorang demi seorang. Selepas itu, kami akan dikemukakan soalan tertentu oleh penguji berdasarkan judul yang telah dikupas. Pada waktu ini, kami perlu berebut-rebut memberi pendapat yang sesuai. Kami juga boleh memberi pandangan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju tentang pendapat calon lain, dengan memberi rasionalnya. Jika kami gagal berbuat demikian, kami akan kehilangan markah.

8. Pada tahun lepas, aku menyertai ujian ini dengan bercakap mengikut gaya dan perkataan yang kufikir betul dan sesuai. Penguji waktu itu, seorang pensyarah India yang tidak mengajarku, dua tiga kali menggangguku yang dianggapnya tidak tepat. Aku tidak peduli tentang bahasa yang salah dan pendapat yang tidak tepat itu, kerana bagiku yang penting ialah aku dapat bercakap. Aku hanya mahu lulus dalam mata pelajaran itu. Aku terus memberi pendapatku tanpa mempedulikan teguran penguji itu, dan senyuman calon lain yang lebih pintar bahasa Inggeris. Selepas itu, kami mendapat tahu penguji itu membuat laporan bahawa bahasa Inggeris dalam kalangan guru Program Kembar sangat lemah. Namun begitu, pensyarah yang mengajar kami semasa tahun pertama di IB, berpendapat kami tidaklah seburuk itu.

9. Pada tahun ketiga ini, apabila aku masuk ke bilik ujian bersama dengan rakan yang selalu hendak bersamaku, Suhaimi Ibrahim, aku berdebar kencang. Pengujiku kali ini masih pensyarah yang sama. Kali ini mesti aku diganggu lagi, fikirku. Aku masih bercakap bahasa Inggeris mengikut kosa kata yang sempat aku fikir pada masa itu, tanpa mengira perkataan tersebut tepat atau tidak. Dalam keadaan itu, perkataan “family” aku samakan dengan “parents”. Pada pusingan pertama aku tidak diganggu. Dalam pusingan kedua, aku masih tidak diganggu. Aku tidak pasti sama ada bahasa dan pendapat aku betul, atau pensyarah itu malas hendak melayan keburukan bahasa dan pendapatku itu. Walaupun begitu, aku agak senang hati. Apabila Suhaimi Ibrahim senyap sahaja dalam pusingan kedua, aku risau dia tidak mendapat markah. Aku kerap menyikunya supaya mencelah di mana-mana, dan akhirnya dia bersuara. Sekiranya kami lulus subjek Bahasa Inggeris pada tahun ini, pada tahun hadapan kami tidak perlu lagi mendudukinya.

10. Dalam peperiksaan akhir tahun ketiga itu, aku memperoleh gred A bagi subjek Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu; dan Bahasa Filipino I, gred B bagi Kosa Kata dan Peristilahan Bahasa Melayu; Laras Bahasa Melayu; Prinsip Pemahaman, Penikmatan dan Penilaian Kesusasteraan Bentuk Puisi; Pembangunan Pertanian di Asia Tenggara; dan Sistem Pentadbiran Malaysia, dan gred C bagi Prinsip Pemahaman, Penikmatan dan Penilaian Kesusasteraan Bentuk Prosa; dan Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, walaupun aku agak teruk dalam bahasa Inggeris, aku berjaya memperoleh gred C juga dalam mata pelajaran itu. Keputusan C itu bagiku memang sudah cukup baik jika dibandingkan dengan “kepandaianku”.
.

30 Julai 2010

38. MEMOHON PINJAMAN

.
TEKANAN perbelanjaan bermula tahun kedua pengajian amat dirasa. Hal ini terjadi kerana aku dan rakan-rakan perlu membayar yuran universiti. Sekiranya tidak dijelaskan, kami tidak dapat menduduki peperiksaan. Kami pun mula sibuk mencari penaja.

2. Aku memohon pinjaman daripada Yayasan Kelantan. Borangnya aku peroleh dengan pertolongan Kamaruzaman. Aku ditemu duga pada 21 Disember 1995 di bahagian Hal Ehwal Pelajar UM. Pada bulan Februari 1996, aku dimaklumkan bahawa permohonanku berjaya. Aku dijamin oleh adikku, Azmi yang sedang berkhidmat di Bank Bumiputra Kota Bharu, dan seorang rakannya, Encik Zamaluddin bin Zainal Abidin, yang bekerja di tempat yang sama. Pinjaman itu berkuat kuasa selama tiga tahun, mulai penggal pertama sesi 1995/1996 hingga penggal kedua sesi 1997/1998. Nilainya RM3,000.00 setahun. Oleh itu, untuk pengajian selama tiga tahun, aku akan dibantu sebanyak RM9,000.00. Bayaran disalurkan melalui Bendahari UM pada setiap penggal, dan aku akan mendapat jumlah bersih setelah ditolak pelbagai yuran yang perlu melalui Bank Bumiputra Cawangan UM.

3. Sebelum pinjaman Yayasan Kelantan diluluskan, aku juga memohon dua pinjaman daripada UM. Kedua-dua pinjamanku ini dijamin oleh Encik Ghani bin Jambol, bapa saudara isteriku yang tinggal di Binjai, Chukai, Kemaman, dan Encik Aliyas bin Yahya, seorang kenalan bapa mentuaku yang tinggal di belakang rumahnya di Kampung Mak Cili, Chukai, Kemaman. Pinjaman pertama ialah Pinjaman Penuntut yang diluluskan dan ditandatangani perjanjian pada 16 Disember 1995 bernilai RM1,500.00. Pinjaman kedua ialah Pinjaman Bagi Menampung Kenaikan Yuran, yang berjumlah RM510.00, yang diluluskan dan ditandatangani perjanjian pada 2 Januari 1996. Dengan itu, pinjamanku dengan UM berjumlah RM2,010.00.

4. Setelah pinjaman Yayasan Kelantan yang berjumlah RM3,000.00 setahun diluluskan, pihak UM telah menarik balik Pinjaman Bagi Menampung Kenaikan Yuran yang berjumlah RM510.00 itu. Hal itu terjadi kerana dasar UM tidak membenarkan pelajarnya mendapat pembiayaan melebihi RM4,500.00 setahun.

5. Pihak Bendahari UM didapati selalu melewatkan bayaran pinjaman itu kepada pelajar walaupun telah mendapat bayaran daripada yayasan atau penaja. Hal ini disebabkan bahagian kewangan mendapat untung sekiranya wang dimasukkan oleh yayasan atau penaja ke dalam akaunnya dapat dibiarkan lama dalam simpanan. Pelajar yang sentiasa sensitif dan memerlukan wang, tidak berdiam diri. Apabila mendapat tahu daripada penaja bahawa wang telah dikreditkan ke dalam akaun universiti, mereka akan menyerbu bahagian kewangan. Tidak beberapa hari kemudian, pelajar akan mendapati bahagian mereka telah dikreditkan ke dalam akaun masing-masing. Selalunya aku akan mengeluarkan pinjamanku daripada bank untuk keperluan secara berdikit-dikit pada awal bulan berikutnya.

6. Pinjaman itu membantuku mengurangkan beban perbelanjaan keluarga. Belanja makan kami tidaklah besar kerana kami berjimat. Aku menjadi “bendahari” keluarga, membolehkan aku mengawal perbelanjaan. Untuk apa-apa keperluan, isteriku akan memintanya daripadaku. Yang sangat membebankan ialah bayaran sewa rumah dan bil elektrik dan air. Oleh sebab blok B itu mempunyai satu meter elektrik dan satu meter air sahaja, maka kami terpaksa berkongsi bayaran bil kedua-duanya sama banyak, walaupun mungkin ada sesetengah rumah yang menggunakan jumlah yang lebih. Ketika aku tahun kedua di UM, tuan rumah menaikkan sewaan kerana telah membaiki bahagian atap yang bocor, termasuk di bahagian bilikku. Dia meminta sehingga RM350.00 sebulan, kenaikan sebanyak RM70.00. Aku segera menelefon tuan rumah dan membuat rayuan. Dia membenarkan aku membayar RM320.00 sahaja sebulan tetapi mahu hal itu tidak diketahui penyewa lain. Aku pula ditugaskan memungut sewaan itu daripada penghuni lain setiap bulan. Pada hari kelima atau keenam bulan berikutnya, dia akan datang mengambil sewaan itu daripadaku, selalunya pada awal malam. Aku juga diminta menjadi pemungut bayaran kongsi bil elektrik dan air dan membuat bayaran agar tidak tertunggak. Aku menerima tugas itu dan melaksanakannya tanpa masalah.
.

23 Julai 2010

37. MENDAFTAR DI UNIVERSITI MALAYA

.
DENGAN keputusan peperiksaan tahun pertama itu, aku layak untuk mengikuti kursus tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Sastera yang diadakan di kampus Universiti Malaya (UM) sepenuh masa. Semua rakanku juga layak ke tahun kedua. Pada bulan Julai 1995, aku diarahkan melapor diri di Kolej Kesembilan. Kolej ini merupakan asrama paling baharu di UM, yang terletak tidak jauh dari Seksyen 17 Petaling Jaya.

2. Pada hari yang ditetapkan, aku dan rakan-rakan mendaftar di asrama itu. Di situ aku terjumpa dengan Pak Ishak, seorang peneroka di Felda Sungai Tekam Utara, Pahang. Dia menemani anaknya yang pintar ketika bersekolah di SMJX dulu mendaftar untuk Kursus Asasi Sains. Ketika pelajar baharu mengikuti minggu suai kenal, kami dari Program Kembar IB-UM dikecualikan daripada mengikuti program itu di sekitar kampus atau di Asrama Kesembilan. Kami yang meminta pengecualian itu kerana kami pelajar tahun kedua. Alhamdulillah, permohonan kami diterima. Walaupun begitu, kami diminta hadir dalam acara yang melibatkan ceramah dan taklimat yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, khususnya Majlis Ikrar Siswa.

4. Setelah tamat minggu suai kenal itu, kami berebut-rebut mendaftar subjek atau kursus pilihan kami yang diadakan sehari suntuk. Pada hari itu, aku bertemu pula dengan pelajarku di SMJX dulu. Pelajar perempuan itu yang mulanya beratur di depanku menunggu giliran pengesahan mata pelajaran Sejarah, mengenaliku sebaik-baik dia berpaling. Dia berseru nyaring sambil melonjak kegirangan, menyebabkan pelajar lain memandang kami secara spontan. Ketika memasuki ruang hadapan Perpustakaan Utama UM, seorang lagi bekas pelajarku di SMJX memanggilku dengan suara lantang dari jarak yang agak jauh dan tergesa-gesa datang bertemuku. Ramai orang memandangku, menyebabkan aku terpaksa memberi isyarat kepada pelajar perempuan itu supaya tidak bising. Meskipun begitu, aku terasa sungguh bahagia kerana anak didikku telah berjaya ke menara gading. Yang uniknya, kami sama-sama belajar dalam tahun kedua. Pelajarku yang mengambil mata pelajaran Sejarah itu pula sama tutorial denganku. Suatu kali, ketika aku berbahas dengan seorang pelajar Cina dalam satu tutorial, bekas pelajarku itu bersungguh-sungguh membela dan menyokong pendapatku.

5. Semasa tahun kedua itu, aku mengambil sembilan mata pelajaran, iaitu Tatabahasa Normatif Bahasa Melayu Moden II, Prosa dan Puisi Melayu Klasik dan Moden, Sejarah Asia Tenggara dari Kurun Pertama Sehingga Awal Kurun ke-15, Sejarah Malaysia, Etnografi Alam Melayu, Pengantar Linguistik dengan Rujukan Khas kepada Bahasa Melayu, Tamadun Islam, Isu-isu Alam Sekitar: Suatu Pandangan Dunia, dan Bahasa Inggeris. Kuliah bermula pada pukul 8.00 pagi, dan kadang-kadang terdapat kuliah atau tutorial sehingga jam 6.00 petang. Kadang-kadang, ada pensyarah meminta kami datang pada waktu malam atau pada hari Sabtu untuk menggantikan kuliahnya yang tidak dapat dilaksanakan kerana dia tidak dapat hadir.

6. Seperti juga semasa berkuliah di IB, aku yang tidak mempunyai kenderaan sendiri menggunakan perkhidmatan bas awam untuk ke kampus. Pada pukul 7.00 pagi aku menaiki bas yang berpusing arah tidak jauh dari rumah sewaku. Aku turun di simpang yang berhadapan dengan pejabat Tenaga Nasional di Jalan Pantai Baru. Dari situ, aku akan berjalan kaki ke kampus UM. Ketika balik, aku berjalan kaki dari kampus, dan menaiki bas di simpang depan Tenaga Nasional itu. Ketika menunggu kuliah atau tutorial petang, aku akan makan tengah hari di kafetaria Fakulti Sastera atau di kafetaria Asasi Sains, ataupun di Perdana Siswa. Aku selalu menunaikan solat di surau Pengajian Melayu. Sekiranya kuliah atau tutorialku tamat jam 5.00 atau 6.00 petang, aku akan tiba di rumah ketika Maghrib sudah menjenguk. Hal ini cukup memenatkan aku. Walau bagaimanapun, hal itu tidak menghalangku untuk mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan kerja yang dibekalkan oleh pensyarah pada waktu malam. Sudah menjadi kebiasaanku, nota yang kusalin semasa kuliah atau tutorial, akan aku salin semula dengan kemas, dan selalunya berserta dengan tambahan atau rujukan tertentu. Ketika ada ruang kosong sementara menunggu waktu kuliah atau tutorial, aku akan menghabiskan masa di Perpustakaan Utama atau di Perpustakaan Pengajian Melayu, atau membelek-belek buku baharu di Kedai Buku UM.

7. Bilik kuliahku terletak di sekitar bangunan pentadbiran Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Kuliah selalunya diadakan di Dewan Syarahan A, Dewan Syarahan B, dan Dewan Syarahan C. Tutorial diadakan di bilik-bilik yang terdapat di blok Jabatan Pengajian Melayu dan blok Jabatan Pengajian Media. Walaupun kami warga baharu di UM, kami sebagai guru selalu menjadi sandaran kepada pelajar tahun kedua yang sedia berada di UM. Kami selalu mempunyai banyak idea, pendapat dan kerenah, sehingga ada pensyarah atau tutor hanya menggeleng-geleng kepala dengan telatah kami yang selalu lucu dan meriuhkan suasana.

9. Selalunya pada hari Jumaat aku mempunyai kelapangan dan sering berpeluang rehat di rumah. Tidak disebabkan tiada kuliah atau tutorial pada hari itu, tetapi selalunya ditiadakan kerana sering diminta oleh pihak “mahasitua” dengan menggantikannya pada hari lain. Pensyarah yang memahami keadaan kami yang berkeluarga dan berjauhan, kerap mengizinkan kami berbuat demikian. Rakan-rakanku sanggup menghadapi jadual yang padat pada setiap hari supaya hari Jumaat menjadi kosong. Dengan cara ini, mereka dapat pulang ke kampung pada malam Jumaat, dan kembali semula ke Kuala Lumpur pada malam Isnin. Sampai sahaja pada pagi Isnin, jika ada kuliah pagi, mereka akan terus ke kampus. Dua orang rakan karibku, Kamaruzaman dan Suhaimi, oleh sebab setiap minggu berulang-alik, menjadi sangat rapat dengan drebar bas, sehinggakan tiket mereka juga ditempah melalui drebar bas sahaja. Sebulan sekali, dalam keadaan lapang berturut-turut hari begini, aku sekeluarga mengambil peluang mengunjungi rumah adik bongsuku, Aini di kuarters askar Kem Sungai Besi, dan bermalam di sana. Apabila cuti penggal atau hari raya sahaja kami pulang ke kampung, sama ada ke Dungun atau ke Temangan Lama.

10. Kami juga diberi banyak tugasan. Setiap tugasan perlu disiapkan dan dihantar dalam masa dua minggu sahaja. Tugasan tersebut kadang-kadang perlu disiapkan secara berkumpulan, tetapi seringnya merupakan tugasan individu. Sekiranya tugasan berkumpulan, kami dibenarkan membentuk kumpulan sendiri. Untuk tugasan kumpulan ini, selalunya aku ditugaskan sebagai penulis tugasan, manakala ahli lain bertanggungjawab mencari bahan rujukan. Sekiranya rujukan dalam bahasa Inggeris, rakan yang fasih bahasa itu diminta membuat terjemahan. Kami akan berbincang tentang format dan isi kasar, dan yang selebihnya akan aku susun dan kelentong sendiri. Aku akan menaip tugasan dengan kemas menggunakan mesin taip dan diserahkan kepada rakan lain untuk diperbanyak. Sebagai penulis tugasan, aku sering dikecualikan daripada sebarang bayaran fotostat bahan nota atau rujukan. Pembentangan juga dibuat oleh ahli lain. Bagi tugasan individu, selalunya aku siapkan lebih awal. Sekiranya diminta oleh rakan, aku akan memberi format, isi dan bahan rujukannya, atau drafnya, tetapi jarang aku memberi mereka skripku yang telah sempurna.

11. Universiti Malaya sangat mementingkan pencapaian akademik. Walaupun banyak tugasan dibuat, 80% pencapaian pelajar dibuat dengan berdasarkan peperiksaan. Oleh itu, setiap subjek perlu mengadakan peperiksaan. Dalam peperiksaan akhir tahun kedua, aku mendapat Pangkat Lulus apabila aku memperoleh gred A+ bagi Tatabahasa Normatif Bahasa Melayu Moden II, gred A bagi Pengantar Linguistik, dan Tamadun Islam, gred B bagi Prosa dan Puisi Melayu Klasik dan Moden, Sejarah Malaysia, dan Etnografi Alam Melayu, gred C bagi Sejarah Asia Tenggara Kurun Pertama sehingga Awal Kurun ke-15, dan Bahasa Inggeris, dan gred D bagi Isu-isu Alam Sekitar.
.

21 Julai 2010

36. DUA TAHUN DALAM DIPLOMA PENGAJIAN TINGGI

.
AKU dan rakan-rakan sewajarnya berbangga kerana menjadi perintis Program Kembar antara Maktab Perguruan dengan Universiti Tempatan, yang diperkenalkan pada tahun 1993. Semasa aku mula-mula mengikuti Program Kembar Institut Bahasa dan Universiti Malaya ini, terdapat dua buah kelas sahaja, iaitu yang dikenali sebagai Diploma Pengajian Tinggi 1 (DPT 1), dan Diploma Pengajian Tinggi 2 (DPT 2). Aku termasuk dalam DPT 1 kerana aku belum pernah mengikuti sebarang Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) anjuran Kementerian Pendidikan. DPT 1 dapat dianggap sebagai KDP, kerana gaji kami masih dibayar penuh oleh sekolah sebagai majikan, dan menikmati elaun RM10.00 sehari, di samping tidak perlu membayar yuran pengajian. Pada tahun berikutnya, setelah kami lulus peperiksaan DPT 1, barulah kami masuk ke DPT 2. Kursus DPT 2 ini dianggap sebagai tahun pertama di Universiti Malaya, dan gaji dan elaun khidmat awam kami dipotong separuh kerana sudah dianggap mengikuti pengajian dengan separuh gaji. Namun begitu, oleh sebab DPT 2 dilaksanakan di maktab (Institut Bahasa), kami tidak perlu juga membayar yuran pengajian.

2. Aku dan rakan-rakan dalam DPT 1 ditempatkan di dalam kelas tetap yang terletak di bangunan pentadbiran. Kami tidak perlu bergerak ke bilik itu dan ke bilik ini, sebaliknya hanya menunggu kedatangan pensyarah, seperti murid menunggu kedatangan guru di sekolah. Penghuni kelas ini terdiri daripada:

• Abdul Rahim bin Pendek
• Azimah binti Abd Aziz
• Azizah binti Abdul Hamid
• Che Hashidah binti Che Harun
• Che Mansor bin Mat Zain
• Jariah binti Ratman
• Md. Aris bin Markom
• Md. Roslim bin Che Musa,
• Muhamad Amin bin Mansor,
• Nordian binti Estee
• Normah binti Abdul Aziz
• Saad bin Darus
• Salmah binti Hussin
• Saruchi bin Sawal
• Suhaimi bin Mohd Salleh
• Syed Anuar bin Syed Abdul Rahman
• Umi Kalsom binti Md Lope
• Zulkifli bin Sharif.

3. Semasa DPT 1, kebanyakan pensyarah kami adalah dari IB sendiri, kecuali bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Puan Raminah binti Shabran dari Universiti Malaya. Kami pernah membuat kajian budaya di Kedah untuk subjek Masyarakat dan Budaya Melayu selama seminggu. Kami menginap di sebuah hotel yang terletak tidak jauh dari rumah Dr. Mahathir Mohamad semasa kecil. Seperti yang dialami pelajar pengajian tinggi lain, kami juga dikehendaki menyediakan pelbagai kerja kursus dari semasa ke semasa dan membentangkannya di hadapan rakan-rakan.

4. Semasa di sini, setiap program pengajian perlu membuat persembahan di Dewan Besar IB, yang dihadiri oleh semua pensyarah dan pelajar IB. Ketika DPT 1, kami bergabung dengan DPT 2 mempersembahkan pantomin. Aku tidak berlakon tetapi ditugaskan mendeklamasi pantun. Empat rangkap pantun perlu dibaca dengan penuh semangat. Alhamdulillah, persembahan kami memuaskan hati pentadbiran IB. Pada masa itu Pengetua IB ialah Puan Hajah Kalthum binti Mohamed.

5. Keputusan Peperiksaan DPT 1 aku agak baik. Aku mendapat gred A+ dalam mata pelajaran Psikologi Pendidikan & Tamadun Ilmu, gred A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu, Sejarah (Dunia, Asia Tenggara dan Malaysia), dan Seminar Isu Semasa, manakala gred B bagi Bahasa Inggeris, dan gred C bagi Masyarakat dan Budaya Melayu. Purata Markah Keseluruhan yang kuperoleh ialah 73.17, cukup untuk membolehkan aku diserapkan ke DPT 2.

5. Aku dan rakan-rakan memasuki DPT 2 mulai 5 Julai 1994. Kali ini kami ditempatkan di kelas yang terletak di bahagian atas bangunan Pusat Sumber. Mulai DPT 2 ini, kami melepaskan jawatan guru di sekolah, dan dengan itu kami mula belajar dengan status Cuti Belajar Separuh Gaji. Bayaran separuh gaji itu diambil alih oleh Bahagian Pendidikan Guru, sebagai majikan baharu kami. Pada tarikh yang sama, kumpulan kedua DPT 2 masuk menyertai kami, iaitu:

• Abdul Ghafar bin Abdullah
• Abdul Halim bin Mohd Noor
• Ariffin bin Md Yusof
• Chai Loon Guan
• Halee bin Ulul Azmi
• Hamidah binti Minhad
• Jamil bin Jamaluddin
• Kalthom bin Samiain
• Kamaruzaman bin Mohd Yusof
• Kirar a/l Sare
• Md Affindi bin Haji Sukiran
• Mohd Hanifah bin K. Koya Moideen Kutty,
• Noor Haslina binti Hashim
• Nooriza binti Mohd Nor
• Norsaedah binti Che Ree
• Robil bin Abdul Rahman
• Sazali bin Bahaudin
• Sharifah binti Hj. Abdul Rahman
• Suhaimi bin Ibrahim
• Siti Norngaliah binti Mohd Salihin
• V.S. Lingam a/l Velu
• Wan Rosmawati binti Wan Abd Rahim.

6. Ketika mengikuti DPT 2 yang sudah bertaraf Tahun Pertama Kursus Ijazah Sarjana Muda (Universiti Malaya) ini, keseluruhan pensyarahnya datang dari Universiti Malaya, antaranya, Prof. Dr. Nik Safiah binti Karim (Tatabahasa Normatif Bahasa Melayu Moden), Prof. Hashim bin Haji Musa (Bahasa Melayu), dan Prof. Madya Dr. Ramlah binti Adam (Sejarah Tamadun di Asia Zaman Awal), dan Encik Azmi bin Abdul Khalid (Sejarah Tamadun di Eropah). Demikian juga pensyarah Perlembagaan Malaysia dan Bahasa Inggeris, kecuali Kesusasteraan Melayu diajarkan oleh pensyarah IB sendiri, Encik Mohd Kassim bin Ismail. Prof. Dr. Nik Safiah Karim mengajar kami seperti pelajar sekolah. Dalam set induksi, beliau akan memperdengarkan lagu, selalunya lagu nyanyian Sudirman Haji Arshad (Allahyarham), menggunakan radio kaset kecil yang dibawanya sendiri. Kemudian kami dikehendaki menganalis setiap perkataan dan baris seni kata lagu itu mengikut tatabahasa bahasa Melayu. Sekiranya kami menggunakan rajah pohon, kami perlu membentuknya di papan putih. Prof. Hashim Haji Musa pula akan memberi kami kerja rumah, lalu kami akan menunjukkan penyelesaian di hadapannya dalam kuliah berikutnya. Prof. Hashim menggunakan bukunya sendiri, Binaan dan Fungsi Perkataan dalam Bahasa Melayu: Suatu Huraian dari Sudut Tatabahasa Generatif, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993).

7. Semasa dalam kursus DPT 2 atau Tahun Pertama Ijazah Sarjana Muda ini, kami diberi kebenaran memasuki kampus Universiti Malaya untuk membuat rujukan, membaca dan meminjam bahan dari Perpustakaan Universiti Malaya. Kami diberi kad pinjaman khas yang membolehkan kami ke perpustakaan itu untuk meminjam bahan pada bila-bila masa seperti juga siswa Universiti Malaya.

8. Dalam Peperiksaan Ijazah Tahun Pertama ini, aku memperoleh pangkat Kepujian, dengan Purata Markah Keseluruhan yang kuperoleh iala 68.00. Gred A kuperoleh bagi mata pelajaran Tatabahasa Normatif Bahasa Melayu Moden, Bahasa Melayu Lisan, Perlembagaan Malaysia, dan Kesusasteraan Melayu; gred B bagi mata pelajaran Penulisan Bahasa Melayu, Masyarakat Melayu, Sejarah Tamadun di Asia Zaman Awal, dan Sejarah Tamadun di Eropah; manakala mata pelajaran Bahasa Inggeris pula aku berpuas hati dengan gred C sahaja.
.

20 Julai 2010

35. MEMBAWA KELUARGA KE KUALA LUMPUR

.
SEMASA mengikuti pengajian, aku pulang ke Jengka 10 dua minggu sekali sahaja, menjenguk keluargaku yang masih tinggal di rumah guru. Ketika tidak pulang, aku merayau di kawasan Pantai Dalam, Pantai Baru, Kampung Kerinchi, Kampung Pasir, Kampung Limau dan sekitarnya untuk mencari rumah sewa.

2. Aku tidak boleh terus tinggal menyewa bersama dengan rakan lain kerana keluargaku di Jengka 10 menghadapi masalah. Isteriku tidak mahu tinggal bersama keluarganya di Dungun. Barang rumah kami dirasakan tidak dapat ditampung oleh rumah sewa usang keluarganya itu. Pada masa yang sama, pengetua baharu SMKJX, Encik Wan Muhammad Nawi bin Muhamood, mahu keluargaku segera meninggalkan rumah guru itu dengan alasan isteriku bukan guru di mana-mana sekolah. Hal ini menyebabkan aku terpaksa menghantar surat memohon ihsan dan budi bicaranya agar membenarkan isteriku dan anak-anak tinggal di situ sehingga aku memperoleh rumah sewa.

3. Ketika pulang ke Jengka 10, aku sendiri turut bertemu pengetua itu memberitahu masalahku, dan meminta tempoh sehingga cuti akhir tahun. Dia menerima permohonanku itu, tetapi ayat terakhirnya cukup berbekas di hatiku: “Tak apalah. Kalau saya tak izinkan, nanti dikatakan saya tidak menghargai jasa pula.” Aku tidak tahu punca dia berkata begitu. Yang aku tahu daripada pekerja am sekolah itu, pengetua itu memang amat berkira dalam hal perbelanjaan, walaupun melibatkan sebatang paku. Dia mula berkhidmat di sekolah itu pada 1 Jun 1993, menggantikan tempat Tuan Haji Muhammad Mustaffa yang kembali berkhidmat di SM Clifford, Kuala Lipis.
.
4. Selalunya aku pulang ke Jengka 10 pada petang hari Jumaat. Setiap kali aku pulang ke Jengka 10, rumah guru bujang yang pernah kududuki dahulu akan kukunjungi, sama ada pagi atau petang Sabtu. Tengah hari atau awal petang hari Ahad, aku akan kembali ke Kuala Lumpur. Suatu kali, ketika aku masuk ke rumah bujang itu dengan memberi salam, aku mendengar suara rakanku, yang kukenal tuannya, berkata dari dalam bilik utama, "Suhaimi!". Selepas suara berbisik itu, aku dapati tiada sebarang suara lagi. Salamku yang kedua dan ketiga juga tidak berjawab. Aku mengambil keputusan keluar dari rumah itu dengan dua tanggapan: sama ada mereka sengaja mahu mengusikku, atau mereka sudah tidak mahu berjumpa denganku. Aku tidak pernah memikirkan jawapannya. Selepas itu, aku tidak lagi ke rumah itu, walaupun aku menegur mereka seperti biasa apabila bertembung.

5. Sukarnya untuk mendapatkan rumah sewa yang harganya sederhana. Masa tinggal sebulan sahaja lagi sebelum cuti. Aku semakin risau. Aku kerap terserempak dengan seniorku di IB semasa Kursus Perguruan Asas dahulu, yang sedang menuntut di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Amiruddin bin Mamat. Aku memberitahu masalahku itu kepadanya. Dia membantuku dengan meminta saudaranya yang menetap di Kampung Limau bertanya tentang rumah yang sesuai. Akhirnya, Amiruddin membawa berita gembira untukku. Terdapat sebuah rumah yang baru dikosongkan oleh penyewa di Pantai Dalam. Dia memintaku segera ke sana berjumpa dengan seorang penyewa rumah di situ yang dapat menghubungi tuan rumah. Melalui penghuni itu, aku menyerahkan bayaran satu bulan deposit dan sewa bulan pertama, kesemuanya berjumlah RM560.00, yang memastikan rumah itu dapat aku masuki pada bulan masa cuti akhir tahun.

6. Rumah itu sebenarnya bahagian daripada sebuah blok yang dibahagi empat. Terdapat empat buah blok rumah kayu di situ, yang asalnya merupakan asrama yang pernah digunakan oleh pelajar Universiti Malaya. Asrama itu dijual kepada orang ramai apabila Universiti Malaya mempunyai asrama sendiri. Tuan punya baharu Blok A, B, dan C membahagikan blok itu kepada empat bahagian. Blok D terletak di atas bukit, dan dibahagikan kepada lebih daripada empat bahagian kerana lebih panjang. Rumahku itu terletak di hujung Blok B, iaitu bahagian keempat. Walaupun sudah dihuni orang awam, rumah di situ terus dikenali sebagai Asrama Pantai Dalam. Dalam sebarang urusan, alamat yang kugunakan ialah Blok B-4, Asrama Pantai Dalam, Jalan Pantai Dalam, 59200 Kuala Lumpur. Setiap bahagian yang dihuni mempunyai satu bilik tidur, satu ruang hadapan, dan ruang dapur, yang saiznya sama besar. Pintu depan rumahku betul-betul di ruang hadapan. Di situlah ruang rehat kami dan ruang untuk menyambut tetamu. Pintu rumahku bertentang pula dengan pintu rumah pertama Blok C.

7. Pada cuti akhir tahun itu, kami pun berpindah ke rumah itu. Barang dibawa menggunakan sebuah lori yang ditempah dengan pertolongan Cikgu Mazlan Abdul Samad. Aku menaiki lori itu, sementara isteriku dan anak-anak menaiki kereta Cikgu Razali Haji Ahmad. Oleh sebab kebetulan lori itu hendak ke Kuala Lumpur untuk mengambil barang, maka aku menyewanya dengan harga yang sangat rendah, RM200.00 sahaja. Barang-barang kami terpaksa disusun dengan rapi untuk menampung keperluan ruang yang sempit.
.
.

17 Julai 2010

34. DARI RUMAH KE RUMAH

.
KERAGUANKU tentang kesukaran untuk mendapatkan tempat tinggal sepanjang pengajianku benar-benar terjadi. Beberapa orang rakan kursus, khususnya yang lelaki, belum mempunyai tempat tinggal. Mereka dibenarkan untuk menumpang di Bilik Rawatan Lelaki di asrama institut untuk tempoh sehingga selesai menjalani minggu suai kenal itu. Aku juga mulai hari pertama melaporkan diri, turut menyertai mereka. Hujung minggu itu kami diminta mengosongkan bilik rawatan itu.

2. Pada waktu petang hingga malam, kami berkeliaran di sekitar Lembah Pantai, Bukit Pantai, Pantai Dalam, Kampung Kerinchi, Bangsar, malahan hingga Petaling Jaya, mencari rumah sewa. Sama ada terlalu mahal dan kami tidak mampu atau tempat kecil dan tidak sesuai, maka kami gagal mencarinya hinggalah saat kami dikehendaki meninggalkan bilik rawatan itu.

3. Berjalan membawa beg dan melangkah masuk ke dalam bangunan asrama itu, yang pertama hinggap dalam diriku ialah nostalgia 1984 hingga 1986. Tiga tahun aku tinggal di situ, dan sekarang aku seperti tidak percaya, aku kembali bermalam di situ setelah hampir tujuh tahun berlalu. Bilik Rawatan Lelaki itu tempat aku huni hampir seminggu pada tahun 1984 dulu kerana dijangkiti penyakit kulit. Kenangan begitu kuat menyerap diriku apabila aku masuk ke Bilik Rehat A. Di situlah tempat aku selalu menonton televisyen, dan tempat aku berbicara dengan orang yang berjaya menambat hatiku pada saat akhir pengajianku pada tahun 1986 dahulu. Wajahnya yang selalu ceria itu segera terbayang, dan sealur sebak membuih di hatiku. Ah, kalaulah dia juga kembali ke sini ketika ini!

4. Pada malam terakhir kami dibenarkan menginap di bilik rawatan itu, kami telah berpakat untuk berpecah. Sesiapa yang mempunyai saudara-mara atau sahabat handai di kawasan yang mudah untuk berulang-alik ke kuliah, diminta menumpang dahulu buat sementara sehingga dapat dicari satu tempat yang lebih baik. Aku dan dua tiga orang yang tiada saudara-mara di kawasan berhampiran mengikut Abdul Rahim bin Pendek tinggal di rumah saudaranya yang tidak dihuni pada masa itu di Subang Jaya. Pada malam pertama di situ, aku tidak dapat tidur kerana tidak biasa dengan bunyi kapal terbang yang kerap turun dan naik di Lapangan Terbang Subang tidak jauh dari situ. Kami berulang-alik dengan kereta Abdul Rahim pada setiap hari. Sambil itu, kami terus mencari rumah sewa yang sesuai dan dapat tinggal beramai-ramai.

5. Tidak beberapa hari kemudian, rumah saudara Abdul Rahim itu kami tinggalkan kerana ada orang yang akan tinggal di situ. Kami terpaksa berpecah lagi kepada kumpulan yang lebih kecil. Aku bernasib baik kerana diajak oleh Abdul Rahim menumpang di bilik sewa adiknya di Sentul. Adiknya bekerja dengan syarikat penerbitan majalah dan tinggal dengan seorang lain. Aku sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Abdul Rahim. Sekiranya aku tidak diajaknya, aku tidak tahu hal yang terjadi kepadaku.

6. Beberapa ketika berkelana mencari tempat tinggal tetap, akhirnya kami mendapat sebuah rumah di pangsa puri Bukit Angkasa di Pantai Dalam. Rumah itu di tingkat bawah, mengandungi dua buah bilik sahaja, tetapi ruang tamunya agak luas. Alhamdulillah, kami selesa tinggal di situ. Sewanya RM400.00 sahaja sebulan. Pemilik rumah itu duda dalam tiga puluhan, sangat baik dan mesra dengan kami kemudiannya. Dia jarang tidur di rumah itu kerana menginap di sebuah rumah lain di Kampung Kerinchi. Apabila cukup bulan, dia akan datang untuk memungut wang sewaan daripada kami, selalunya pada waktu malam. Selain aku dan Abdul Rahim, yang tinggal di rumah itu ialah Md. Roslim bin Che Musa, Robil bin Abdul Rahman, dari kumpulan DPT 1, bersama dengan kumpulan DPT 2 iaitu Fihat bin Salleh, Ibrahim bin Ahmad, dan Mokhtar bin Mustaffa.

7. Pemilik itu yang kami panggil abang, dan dia bercakap dengan panggilan “aku” dan “engkau” sahaja, bekerja sebagai buruh Majlis Perbandaran Shah Alam selalu membawa baju, seluar atau kasut terpakai dan dijualnya kepada kami dengan harga yang murah. Menurutnya, pakaian terpakai itu diambilnya dari pintu pagar rumah orang berada, sengaja diletakkan untuk diambil oleh pekerja majlis perbandaran. Kalau pakaian terpakai itu tidak laku kerana kami tidak mahu, dia akan memberi kami percuma sahaja. Berebut-rebutlah kami mendapatkannya. Yang seronoknya, apabila datang mengambil wang sewaan, dia akan membelanjai kami makan roti canai. Kadang-kadang, apabila dia sampai, sebungkus roti canai sudah dibawanya bersama. Kami akan makan bersama-sama dan bercerita itu dan ini. Dia kemudiannya berkahwin, dan kami membantunya dalam banyak hal. Perkahwinannya dijalankan di surau flat Kampung Kerinchi.

8. Sebelum ke kuliah setiap pagi, kami akan membeli nasi lemak bungkus dan makan beramai-ramai dengan air teh yang kami bancuh sendiri. Kebanyakan rakan mempunyai motosikal. Aku yang tiada kenderaan menumpang ihsan Abdul Rahim, dan setiap bulan aku menghulurkan wang kepadanya. Waktu tengah hari selalunya kami makan sendiri-sendiri di kafetaria IB atau di warung di simpang jalan masuk ke IB dan Universiti Malaya. Untuk makan malam, kami bergilir-gilir membeli lauk, dan makan dengan nasi yang kami tanak sendiri.

.