x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

20 Februari 2011

48. GURU DUA ALAM

SETELAH pelajar tamat peperiksaan, aku mendapat jadualku sendiri. Pada mulanya aku ditugaskan untuk mengajarkan Bahasa Melayu Tingkatan 4, di samping mata pelajaran Pendidikan Seni Tingkatan 3 dan Sejarah Tingkatan 3.

Daripada ketiga-tiga subjek itu, aku lebih bertumpu kepada Bahasa Melayu. Beban pun lebih berat dalam mata pelajaran itu. Apabila aku memeriksa kertas penulisan, sama ada karangan atau rumusan, aku akan menanda setiap kesalahan bahasa yang dapat kukesan. Pendek kata, penuhlah halaman buku latihan pelajar dengan tanda garis panjang, tanda palang, tanda kurung, pembetulan perkataan dan ejaan, dan sebagainya, dengan menggunakan dakwat merah. Selain itu, aku akan mencatatkan komen seperti isi tidak cukup, huraian tidak kemas, tiada huraian, contoh perlu disertakan, dan sebagainya. Apabila aku memulangkan buku itu kepada pelajar, aku akan menyatakan hal itu semula kepada pelajar berkenaan. Namun, selalunya dalam karangan berikutnya, pelajar masih mengulangi kesilapan yang sama dan remeh, seperti ejaan, tanda baca, imbuhan, dan binaan ayat. Sesekali terfikir sia-sia aku menghabiskan banyak waktu membuat penilaian terperinci, tetapi aku tidak berpuas hati kalau tidak berbuat demikian.

Mulai tahun 1999, aku diarahkan bertugas pada sesi petang. Aku masih mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu, di samping Pendidikan Seni, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Aku tidak seronok mengajar pada sebelah petang. Walaupun pada waktu pagi aku tidak perlu tergesa-gesa ke sekolah, selewat-lewatnya pukul 12.00 tengah hari aku perlu makan tengah hari kerana pada pukul 12.30 tengah hari aku sudah perlu turun dari rumah. Sesi persekolahan petang bermula pada pukul 1.15 tengah hari. Hal itu menyebabkan aku berasa waktu sangat terbatas. Paling awal pun waktu persekolahan tamat pada pukul 6.00 petang. Beberapa minit setelah tiba di rumah, malam pun menjenguk. Sudah menjadi tabiatku, aku tidak suka keluar pada waktu malam, kecuali ada hal yang sangat mustahak. Malam bagiku masa untuk berehat. Pada waktu malamlah aku meluangkan masa menonton televisyen.

Pada satu tahun, terdapat hari tertentu aku ditugaskan mengajar pada kedua-dua sesi. Kami memanggil hal itu sebagai dua alam. Pada mulanya jiran di kiri dan di kanan rumahku hairan melihat aku masih ada di rumah pada waktu pagi, dan ada juga pada waktu sebelum pukul 6.00 petang, sedangkan guru lain berada di sekolah. Ketika terlibat dengan sesi dua alam ini, tugasku bermula selepas tamat waktu rehat, kira-kira pada pukul 10.30. Selalunya, pada pukul 10.00 aku akan turun dari rumah. Pada waktu petang pula, aku dibenarkan pulang pada pukul 5.00 petang. Untuk sesi pagi aku mengajarkan Bahasa Melayu dan Sejarah, manakala untuk sesi petang aku terlibat dengan mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni.
.
Mengajarkan Pendidikan Moral sangat mendugaku. Hal ini demikian kerana mata pelajaran itu diikuti oleh pelajar bukan Islam sahaja, yang sudah tentu terdiri daripada pelajar Cina. Kelas yang aku ajari itu pula kelas yang ke belakang. Mereka tidak memberi tumpuan kepada subjek ini kerana tidak diuji melalui peperiksaan. Aktiviti yang kuberikan jarang sekali diambil perhatian serius oleh mereka. Kadang-kadang aku mengajar mereka seperti mengajar pemahaman dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Acap kali aku rasakan bahawa masa pengajaran subjek itu terlalu lambat berlalu.

Apabila pengetua membenarkan guru membuat pilihan sama ada mahu mengajar pada sidang pagi atau petang, aku memilih untuk mengajar pada waktu pagi. Dengan itu aku terlibat dengan pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 4. Aku berasa lebih selesa mengajar pada sidang pagi. Apabila pulang dari sekolah, sekiranya tiada aktiviti kokurikulum pada sebelah petang, aku dapat bebas ke mana-mana walaupun hingga malam.

Sejak itu aku tidak lagi bertugas pada sesi petang. Mulai tahun 2001, SMK Sultan Omar memulakan persekolahan satu sesi apabila dua buah blok bangunan tiga tingkat siap.
.

12 Februari 2011

47. MENDAFTAR DIRI DI SMK SULTAN OMAR

NAMA SMK Sultan Omar tidaklah asing bagiku setelah aku berkahwin. Sekolah paling tua dan amat gah di Dungun pada dekad lalu itu selalu kulihat dari luar pagarnya. Ketika sesekali balik ke Dungun ketika cuti penggal semasa di Jengka 10 atau setelah aku menuntut di Universiti Malaya, sekali-sekala aku mengunjungi pasar malam di Sura Gate. Ketika itu aku pasti nampak sekolah itu kerana pagarnya dibina di tepi Jalan Merbok tempat pasar malam itu diadakan. Pintu pagar belakang sekolah itu menghadap jalan tersebut. Selain itu, ketika hendak ke kedai makan ibu mentuaku di Kuala Dungun, aku selalu menunggang motosikal mentuaku melalui jalan itu. Sekiranya aku ke Pejabat Pos Dungun dan Perpustakaan Awam Dungun pun, aku akan dapat melihat bangunan sekolah itu. Letaknya sekolah itu di kawasan pekan Sura Gate. Isteriku juga merupakan bekas pelajar sekolah itu sehingga tingkatan lima (1980).

Pagi 1 April 1998, pertama kali aku melangkah ke kawasan sekolah itu. Aku masuk melalui pintu hadapan sekolah di Jalan Pejabat. Pintu pagar utama itu terletak tidak sampai lima puluh meter dari Jalan Besar. Dari semalam dadaku asyik berdebar-debar. Terasa bagai malas untuk kembali ke sekolah. Sudah lima tahun aku berada dalam suasana di luar aktiviti sekolah: tidak berhadapan dengan pelajar, tidak menulis buku rekod mengajar, dan tidak mengendalikan kegiatan kokurikulum. Dapatkah aku kembali menjiwai hal itu setelah sekian lama mesra dengan kampus sahaja?

Pada hari itu pengetua sekolah itu, Encik Abdullah bin Ali, tiada di sekolah. Aku mendafar diri dengan Penolong Kanan 1, Puan Hajah Midah binti Mamat. Kemudian aku berkenalan dengan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Awang bin Junoh. Sekolah itu mempunyai dua sidang. Penyelia Petang ialah Puan Hajah Fatimah binti Mat Jusoh. Aku ditempatkan di Bilik Guru Bahasa yang dihuni oleh guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Sekolah itu memang luas kawasannya. Terdapat sebelas buah blok yang menempatkan bilik darjah, makmal sains, bengkel, bilik khas dan bilik guru, termasuk pejabat pentadbiran. Terdapat juga sebuah dewan tidak jauh dari kantin. Dari depan dewan itu kita boleh nampak padang sekolah, dan di sebalik pagar di tepi padang itu, kita boleh kenderaan kenderaan yang lalu-lalang di Jalan Besar. Kantin sekolah terletak dekat dengan pagar yang memisahkan kawasan sekolah itu dengan Jalan Merbok.

Pada peringkat awalnya aku belum ditugaskan untuk mengajar kerana pelajar sedang menjalani Peperiksaan Pertengahan Tahun. Aku hanya ditugaskan menggantikan guru yang tidak hadir. Banyaklah kelas yang aku masuk untuk mengawasi peperiksaan. Sekolah itu menampung pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan enam.

Yang menariknya, ketika hari pertama aku bertugas di sekolah ini, aku terserempak dengan beberapa orang pelajar lelaki yang melondehkan baju masing-masing di luar seluar. Aku agak terkejut melihat hal itu. Apabila aku bertanya kepada seorang daripadanya, dia menjawab, “Biasalah, cikgu.” Rupa-rupanya, bukanlah guru tidak menegur mereka, tetapi apabila terlepas daripada pandangan guru, mereka akan melondehkan baju itu semula. Hal ini berbeza daripada muridku ketika di Jengka 10 dahulu, yang tidak berani melondehkan ekor baju ketika dalam kawasan sekolah.