x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

20 Februari 2011

48. GURU DUA ALAM

SETELAH pelajar tamat peperiksaan, aku mendapat jadualku sendiri. Pada mulanya aku ditugaskan untuk mengajarkan Bahasa Melayu Tingkatan 4, di samping mata pelajaran Pendidikan Seni Tingkatan 3 dan Sejarah Tingkatan 3.

Daripada ketiga-tiga subjek itu, aku lebih bertumpu kepada Bahasa Melayu. Beban pun lebih berat dalam mata pelajaran itu. Apabila aku memeriksa kertas penulisan, sama ada karangan atau rumusan, aku akan menanda setiap kesalahan bahasa yang dapat kukesan. Pendek kata, penuhlah halaman buku latihan pelajar dengan tanda garis panjang, tanda palang, tanda kurung, pembetulan perkataan dan ejaan, dan sebagainya, dengan menggunakan dakwat merah. Selain itu, aku akan mencatatkan komen seperti isi tidak cukup, huraian tidak kemas, tiada huraian, contoh perlu disertakan, dan sebagainya. Apabila aku memulangkan buku itu kepada pelajar, aku akan menyatakan hal itu semula kepada pelajar berkenaan. Namun, selalunya dalam karangan berikutnya, pelajar masih mengulangi kesilapan yang sama dan remeh, seperti ejaan, tanda baca, imbuhan, dan binaan ayat. Sesekali terfikir sia-sia aku menghabiskan banyak waktu membuat penilaian terperinci, tetapi aku tidak berpuas hati kalau tidak berbuat demikian.

Mulai tahun 1999, aku diarahkan bertugas pada sesi petang. Aku masih mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu, di samping Pendidikan Seni, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Aku tidak seronok mengajar pada sebelah petang. Walaupun pada waktu pagi aku tidak perlu tergesa-gesa ke sekolah, selewat-lewatnya pukul 12.00 tengah hari aku perlu makan tengah hari kerana pada pukul 12.30 tengah hari aku sudah perlu turun dari rumah. Sesi persekolahan petang bermula pada pukul 1.15 tengah hari. Hal itu menyebabkan aku berasa waktu sangat terbatas. Paling awal pun waktu persekolahan tamat pada pukul 6.00 petang. Beberapa minit setelah tiba di rumah, malam pun menjenguk. Sudah menjadi tabiatku, aku tidak suka keluar pada waktu malam, kecuali ada hal yang sangat mustahak. Malam bagiku masa untuk berehat. Pada waktu malamlah aku meluangkan masa menonton televisyen.

Pada satu tahun, terdapat hari tertentu aku ditugaskan mengajar pada kedua-dua sesi. Kami memanggil hal itu sebagai dua alam. Pada mulanya jiran di kiri dan di kanan rumahku hairan melihat aku masih ada di rumah pada waktu pagi, dan ada juga pada waktu sebelum pukul 6.00 petang, sedangkan guru lain berada di sekolah. Ketika terlibat dengan sesi dua alam ini, tugasku bermula selepas tamat waktu rehat, kira-kira pada pukul 10.30. Selalunya, pada pukul 10.00 aku akan turun dari rumah. Pada waktu petang pula, aku dibenarkan pulang pada pukul 5.00 petang. Untuk sesi pagi aku mengajarkan Bahasa Melayu dan Sejarah, manakala untuk sesi petang aku terlibat dengan mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni.
.
Mengajarkan Pendidikan Moral sangat mendugaku. Hal ini demikian kerana mata pelajaran itu diikuti oleh pelajar bukan Islam sahaja, yang sudah tentu terdiri daripada pelajar Cina. Kelas yang aku ajari itu pula kelas yang ke belakang. Mereka tidak memberi tumpuan kepada subjek ini kerana tidak diuji melalui peperiksaan. Aktiviti yang kuberikan jarang sekali diambil perhatian serius oleh mereka. Kadang-kadang aku mengajar mereka seperti mengajar pemahaman dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Acap kali aku rasakan bahawa masa pengajaran subjek itu terlalu lambat berlalu.

Apabila pengetua membenarkan guru membuat pilihan sama ada mahu mengajar pada sidang pagi atau petang, aku memilih untuk mengajar pada waktu pagi. Dengan itu aku terlibat dengan pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 4. Aku berasa lebih selesa mengajar pada sidang pagi. Apabila pulang dari sekolah, sekiranya tiada aktiviti kokurikulum pada sebelah petang, aku dapat bebas ke mana-mana walaupun hingga malam.

Sejak itu aku tidak lagi bertugas pada sesi petang. Mulai tahun 2001, SMK Sultan Omar memulakan persekolahan satu sesi apabila dua buah blok bangunan tiga tingkat siap.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan