x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

10 Ogos 2010

41. MEMBELI KOMPUTER

.
UNTUK menyiapkan tugasan, sama ada untuk kumpulan atau individu, aku menggunakan mesin taip sahaja pada mulanya. Mesin taip itu bukanlah yang jenamanya Brother yang dibeli oleh mekku. Mesin taip itu sudah rosak, dan aku sudah membeli mesin taip baharu, yang tidaklah seselesa atau setanding dengan Brother itu.

2. Untuk menyiapkan projek Latihan Ilmiahku, Encik Nuwairi menasihatiku agar membeli sebuah komputer. Peralatan teknologi baharu itu memudahkan penulisan latihan ilmiah, kerana penulisan itu memerlukan penyuntingan dan perubahan yang berkali-kali. Sudah tentu aku tidak sanggup menaip semula manuskripku setiap kali dibuat pembetulan, sama ada penambahan atau pengurangan oleh penyeliaku, Encik Nuwairi. Pada masa itu harga komputer masih mahal, tetapi untuk kemudahanku sendiri, aku bertekad mahu membeli sebuah komputer.

3. Aku terjumpa iklan komputer baharu yang murah dalam akhbar bahasa Inggeris yang ditawarkan oleh sebuah kedai di Bangsar Baru. Harganya RM2000.00, berserta sebuah pencetak jenama Canon percuma yang berharga RM400.00. Kukorek duit simpananku. Aku pun ke kedai tersebut dan mendapat sebuah komputer dengan unit pemprosesan pusat (CPU) Microsoft 95, sebuah monitor jenama kurang terkenal, sebuah pencetak Canon yang sudah dipasang kartrij dakwat hitam dan warna, dan sebuah tetikus. Aku juga mendapat satu kartrij dakwat hitam percuma. Semua itu kubawa pulang dengan sebuah teksi.

4. Aku sendiri yang menyambung kabel dari belakang CPU ke belakang monitor dan ke pencetak, serta menyambung kabel kuasa elektrik ke soket di rumah sewaku. Mula-mulanya aku bimbang akan berlaku letupan atau lintar pintas akibat tersalah pasang, kerana aku tidak ada pengetahuan atau kemahiran langsung hal itu. Namun begitu, tauke kedai itu meyakinkanku bahawa semua kabel itu tidak akan tersalah pasang, kerana jika tidak betul sambungan, palamnya tidak dapat dimasukkan ke dalam soket. Kata-katanya memang benar. Komputer klon itu dapat beroperasi. Namun, masalahku timbul ketika hendak menutup komputer itu dengan cara yang betul. Olehh sebab tidak tahu, puas aku mencari butang yang sesuai, tetapi tidak tertemukan. Apabila aku bosan kerana gagal mendapat cara yang betul, aku menutupnya dengan mematikan suis soket di dinding sahaja. Beberapa kali aku bertindak begitu. Akhirnya, aku mendapat cara yang betul apabila aku meminta pertolongan jiran di blokku yang menghuni rumah kedua. Selepas itu aku dapat menggunakan komputerku itu dengan betul, khususnya perisian Word, untuk menaip sebarang tugasan.
.
5. Komputer itu aku tempatkan di ruang hadapan, berdekatan dengan televisyen. Hanya itu ruang yang paling sesuai dan yang ada di rumah sewa itu. Ketika aku balik ke kampung, komputer itu aku simpan di dalam bilik tidur yang berkunci, demi keselamatannya. Hal itu perlu kerana keselamatan pintu utama dan pintu belakang rumah itu tidaklah dapat diharapkan sangat, dengan hanya menggunakan ibu kunci biasa.

6. Menulis latihan ilmiah memang cerewet. Setiap bab yang telah dipersetujui dengan penyelia perlu diserah kepadanya dalam bentuk cetakan untuk dibuat penilaian awal. Kadang-kadang, bab yang sama mengalami dua atau tiga kali perubahan. Aku perlu kerap berjumpa dengan Encik Nuwairi. Seringnya aku gagal bertemunya pada hari dan waktu yang dijanjikan kerana beliau ada urusan atau tugasan yang perlu disegerakan. Aku terpaksa menunggu beliau lapang. Namun begitu, dengan kecanggihan komputer, aku dapat mengubahsuai kandungannya dengan cepat. Aku akan menggunakan setiap masa lapangku untuk menyelesaikan segala kekalutan yang sentiasa timbul, di samping menyiapkan tugasan lain yang selalu datang dari semasa ke semasa. Pada waktu malam, aku terpaksa tidur lewat, paling awal pun pukul 1.00 pagi. Akhirnya aku dapat menyiapkan latihan ilmiahku, Pemendekan Kata dalam Dialek Kelantan yang setebal 159 halaman itu – tidak termasuk lampirannya – dengan jayanya. Aku menggunakan 46 buah buku rujukan, 7 buah tesis dan latihan ilmiah, dan 13 buah artikel. Aku juga menggunakan 10 orang responden untuk mendapatkan transkripsi dialek Kelantan, selain percakapan dialek Kelantan yang aku rakam daripada siaran televisyen dan radio. Latihan itu dijilidkan menggunakan kulit kertas tebal berwarna hijau. Lima salinan diserahkan kepada Jabatan Pengajian Melayu. Aku membuat satu salinan tambahan untuk simpananku.

7. Dengan komputer itu jugalah aku dapat menulis novel untuk melengkapkan kursus Menulis Cereka II (Novel) dengan lancar. Penulisan novel ini tidak memerlukan apa-apa pandangan atau perubahan daripada pensyarah. Kami hanya perlu menyiapkan manuskrip kami dan menghantarnya kepada Tuan Haji S. Othman Kelantan pada masa yang ditetapkan. Novel Sepiah yang kutulis itu tidaklah tebal, tidak sampai pun 200 halaman. Namun begitu, dalam menggarap karya itu, pelbagai hal menggangguku. Kekeringan idea, gagal menulis ayat yang berkesan, hilang tumpuan, tidak puas hati akan cara garapan, penambahan serta-merta, penyusunan semula, dan sebagainya, amat menyusahkan hati. Pada masa yang sama, aku juga perlu menyiapkan latihan ilmiah. Dengan kekuatan semangat, aku berjaya menyiapkan novel itu. Aku menjilidnya dengan kaedah paling murah, tetapi dapat dibuka dan dibaca dengan mudah.

8. Komputer itu turut memudahkan aku menghasilkan karya ketika berada di Universiti Malaya, khususnya cerpen dan puisi, yang disiarkan dalam akhbar perdana, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, beberapa buah akhbar tabloid, dan majalah lain seperti Jelita, Wanita, Ibu, dan Pesona.
.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan