x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

01 Disember 2010

45. SELAMAT TINGGAL KUALA LUMPUR

.

MUNCULNYA tahun 1998 memberi tekanan kepadaku. Bulan Mac nanti peperiksaan tahun akhir. Sejak memasuki UM, aku bertekad untuk muncul antara siswa yang menerima ijazah kelas pertama. Oleh itu, aku harus mengekalkan pencapaian yang baik yang kuperoleh dalam semua peperiksaan di UM sebelum ini. Aku dan rakan-rakan mengerapkan sesi perbincangan dan belajar berkumpulan, pada waktu pagi hari yang tiada kuliah, dan pada waktu petang juga apabila ada kelapangan.
.
Pada awal tahun, kami mendapat khabar bahawa banyak pelatih maktab perguruan yang tamat pengajian pada hujung tahun 1997 belum ditempatkan di sekolah. Hal ini amat mendebarkan kami. Kalaulah pelatih maktab menghadapi keadaan demikian, tentu kami juga mengalami hal yang sama, kerana kami juga bernaung di bawah pengurusan Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Walau bagaimanapun, kami amat lega dan bersyukur apabila BPG menjelaskan bahawa nama kami sudah diagihkan ke jabatan-jabatan pendidikan negeri mengikut permohonan yang kami buat. Sekolah-sekolah menengah di Kelantan sahaja tiada kekosongan. Oleh itu, sesiapa yang memohon untuk berkhidmat di Kelantan ditempatkan di negeri berhampiran, khususnya Terengganu. Ketika mengisi borang penempatan, aku tidak memohon untuk ke Kelantan dan Terengganu, sebaliknya kekal memohon agar ditempatkan di Pahang, sebagai pilihan pertama dan kedua.
.
Dalam pada itu, aku masih berdebar juga. Susah hati juga memikirkan tempat yang akan ditugaskan nanti. Kalaulah ditempatkan di Pahang pun, sudah tentu tidak di Jengka lagi, kemungkinan di daerah lain. Penempatan baharu ini tentu menimbulkan masalah dalam urusan untuk mendapatkan tempat tinggal dan pertukaran sekolah Suzati. Kos berpindah rumah juga sudah tentu tinggi, khususnya untuk hal pengangkutan barang dari rumah sewaku ke rumah sewa di tempat baharu nanti.
.
Semasa peperiksaan akhir tinggal dua atau tiga kertas lagi pada pertengahan Mac, kami menerima surat arahan penempatan. Hal ini amat menggembirakan kami. Mentuaku di Dungun menghubungiku bahawa aku ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Aku diarahkan melapor diri di sekolah itu pada 1 April 1998. Bapa mentuaku telah cuba mencari rumah sewa di sekitar Kuala Ibai.
.
Sebelum menduduki kertas peperiksaan pada suatu pagi, rakanku yang satu-satunya dari Terengganu, Syed Anuar bin Syed Abdul Rahman, menyerahkan sepucuk surat daripada Jabatan Pendidikan Terengganu kepadaku. Menurutnya, surat yang ditujukan kepadaku itu sampai di rumahnya di Kuala Terengganu. Surat itu mengarahkan aku melapor diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, Dungun pada 1 April 1998 juga. Aku menggaru kepala yang tidak gatal seketika. Rupa-rupanya kakitangan jabatan pelajaran tersilap memasukkan surat untukku ke dalam sampul surat yang ditujukan kepada rakanku itu. Syed Anuar yakin bahawa surat untuknya tentu tersalah masuk ke dalam sampul surat yang bertulis alamat aku di Dungun. Dia telah mengambil salinan surat arahan lain di Jabatan Pendidikan Terengganu.
.
Apabila aku menghubungi mentua mengenai hal itu, bapa mentuaku ketawa besar. Memang benar, surat yang diterimanya ditujukan kepada Syed Anuar. Dia tidak perasan nama itu walaupun melihat surat itu beberapa kali. Namun, hal itu menggembirakannya kerana aku dan anaknya ditempatkan di sekolah yang tidak jauh dari rumah yang didiaminya sekarang. Dia akan mencarikan kami rumah sewa apabila isteriku dengan tegas enggan tinggal di rumah baharu mereka di Gong Pasir yang akan diduduki mereka pada akhir bulan Mac itu juga. Dia juga akan menguruskan hal lori untuk mengangkut barang kami dari rumah sewa di Pantai Dalam. Aku bersyukur kerana tidak perlu memikirkan hal yang rumit itu lagi.
.
Kami pun mula mengemaskan barangan sedikit demi sedikit. Apabila ayah mentua aku memberitahu bahawa dia telah memperoleh sebuah lori dari Dungun yang akan ke Kuala Lumpur, aku pun membeli tiket bas untuk pulang. Aku juga segera menguruskan pertukaran Suzati dari Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist 1 ke sebuah sekolah di Dungun. Dalam permohonan pertukaran itu, kami memohon untuk menempatkannya di Sekolah Kebangsaan Sultan Omar sebagai pilihan pertama kerana sekolah itu bersebelahan dengan sekolah baharuku, serta Sekolah Kebangsaan Bandar dan Sekolah Kebangsaan Kuala Dungun masing-masing sebagai pilihan kedua dan ketiga.
.
Bapa mentuaku juga telah berjaya mendapatkan sebuah rumah sewa di Jalan Pak Dagang. Tempat itu tidak jauh dari sekolah tempat aku akan bertugas dan sekolah baharu Suzati nanti. Pada pagi lori barang akan sampai, semua barang sudah sedia dibungkus, dan rumah sewa yang akan ditinggalkan itu juga sudah dibersihkan. Sewa bulan itu tidak perlu dibayar lagi kerana tuan rumah mengambil deposit yang aku bayar ketika mula-mula memasuki rumah itu dahulu sebagai bayarannya. Lewat petang baru lori dari Dungun itu sampai ke Pantai Dalam kerana lori itu lambat tiba di tempat penghantaran muatannya. Bapa mentuaku turut datang dengan menaiki lori itu dari Dungun lagi. Kami pun cepat-cepat memunggah barang ke dalam lori dengan bantuan jiran-jiran yang sudah amat mesra dengan kami. Nampak sahaja barang di dalam rumah sewaku yang sempit itu sedikit, tetapi hampir penuh lori panjang itu berisi. Barang terakhir yang dinaikkan ialah motosikal Hondaku.
.
Lori itu dan bapa mentuaku meninggalkan rumah sewa itu petang itu juga, dan akan bertolak awal malam ke Dungun. Aku, isteri dan anak-anakku, Suzati dan Syafiq Hakimi, juga meninggalkan rumah sewa itu sebelum malam. Kami menaiki teksi ke Perhentian Bas Putra. Selamat tinggal Pantai Dalam! Selamat tinggal Kuala Lumpur!

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan