x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

30 Julai 2010

38. MEMOHON PINJAMAN

.
TEKANAN perbelanjaan bermula tahun kedua pengajian amat dirasa. Hal ini terjadi kerana aku dan rakan-rakan perlu membayar yuran universiti. Sekiranya tidak dijelaskan, kami tidak dapat menduduki peperiksaan. Kami pun mula sibuk mencari penaja.

2. Aku memohon pinjaman daripada Yayasan Kelantan. Borangnya aku peroleh dengan pertolongan Kamaruzaman. Aku ditemu duga pada 21 Disember 1995 di bahagian Hal Ehwal Pelajar UM. Pada bulan Februari 1996, aku dimaklumkan bahawa permohonanku berjaya. Aku dijamin oleh adikku, Azmi yang sedang berkhidmat di Bank Bumiputra Kota Bharu, dan seorang rakannya, Encik Zamaluddin bin Zainal Abidin, yang bekerja di tempat yang sama. Pinjaman itu berkuat kuasa selama tiga tahun, mulai penggal pertama sesi 1995/1996 hingga penggal kedua sesi 1997/1998. Nilainya RM3,000.00 setahun. Oleh itu, untuk pengajian selama tiga tahun, aku akan dibantu sebanyak RM9,000.00. Bayaran disalurkan melalui Bendahari UM pada setiap penggal, dan aku akan mendapat jumlah bersih setelah ditolak pelbagai yuran yang perlu melalui Bank Bumiputra Cawangan UM.

3. Sebelum pinjaman Yayasan Kelantan diluluskan, aku juga memohon dua pinjaman daripada UM. Kedua-dua pinjamanku ini dijamin oleh Encik Ghani bin Jambol, bapa saudara isteriku yang tinggal di Binjai, Chukai, Kemaman, dan Encik Aliyas bin Yahya, seorang kenalan bapa mentuaku yang tinggal di belakang rumahnya di Kampung Mak Cili, Chukai, Kemaman. Pinjaman pertama ialah Pinjaman Penuntut yang diluluskan dan ditandatangani perjanjian pada 16 Disember 1995 bernilai RM1,500.00. Pinjaman kedua ialah Pinjaman Bagi Menampung Kenaikan Yuran, yang berjumlah RM510.00, yang diluluskan dan ditandatangani perjanjian pada 2 Januari 1996. Dengan itu, pinjamanku dengan UM berjumlah RM2,010.00.

4. Setelah pinjaman Yayasan Kelantan yang berjumlah RM3,000.00 setahun diluluskan, pihak UM telah menarik balik Pinjaman Bagi Menampung Kenaikan Yuran yang berjumlah RM510.00 itu. Hal itu terjadi kerana dasar UM tidak membenarkan pelajarnya mendapat pembiayaan melebihi RM4,500.00 setahun.

5. Pihak Bendahari UM didapati selalu melewatkan bayaran pinjaman itu kepada pelajar walaupun telah mendapat bayaran daripada yayasan atau penaja. Hal ini disebabkan bahagian kewangan mendapat untung sekiranya wang dimasukkan oleh yayasan atau penaja ke dalam akaunnya dapat dibiarkan lama dalam simpanan. Pelajar yang sentiasa sensitif dan memerlukan wang, tidak berdiam diri. Apabila mendapat tahu daripada penaja bahawa wang telah dikreditkan ke dalam akaun universiti, mereka akan menyerbu bahagian kewangan. Tidak beberapa hari kemudian, pelajar akan mendapati bahagian mereka telah dikreditkan ke dalam akaun masing-masing. Selalunya aku akan mengeluarkan pinjamanku daripada bank untuk keperluan secara berdikit-dikit pada awal bulan berikutnya.

6. Pinjaman itu membantuku mengurangkan beban perbelanjaan keluarga. Belanja makan kami tidaklah besar kerana kami berjimat. Aku menjadi “bendahari” keluarga, membolehkan aku mengawal perbelanjaan. Untuk apa-apa keperluan, isteriku akan memintanya daripadaku. Yang sangat membebankan ialah bayaran sewa rumah dan bil elektrik dan air. Oleh sebab blok B itu mempunyai satu meter elektrik dan satu meter air sahaja, maka kami terpaksa berkongsi bayaran bil kedua-duanya sama banyak, walaupun mungkin ada sesetengah rumah yang menggunakan jumlah yang lebih. Ketika aku tahun kedua di UM, tuan rumah menaikkan sewaan kerana telah membaiki bahagian atap yang bocor, termasuk di bahagian bilikku. Dia meminta sehingga RM350.00 sebulan, kenaikan sebanyak RM70.00. Aku segera menelefon tuan rumah dan membuat rayuan. Dia membenarkan aku membayar RM320.00 sahaja sebulan tetapi mahu hal itu tidak diketahui penyewa lain. Aku pula ditugaskan memungut sewaan itu daripada penghuni lain setiap bulan. Pada hari kelima atau keenam bulan berikutnya, dia akan datang mengambil sewaan itu daripadaku, selalunya pada awal malam. Aku juga diminta menjadi pemungut bayaran kongsi bil elektrik dan air dan membuat bayaran agar tidak tertunggak. Aku menerima tugas itu dan melaksanakannya tanpa masalah.
.

23 Julai 2010

37. MENDAFTAR DI UNIVERSITI MALAYA

.
DENGAN keputusan peperiksaan tahun pertama itu, aku layak untuk mengikuti kursus tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Sastera yang diadakan di kampus Universiti Malaya (UM) sepenuh masa. Semua rakanku juga layak ke tahun kedua. Pada bulan Julai 1995, aku diarahkan melapor diri di Kolej Kesembilan. Kolej ini merupakan asrama paling baharu di UM, yang terletak tidak jauh dari Seksyen 17 Petaling Jaya.

2. Pada hari yang ditetapkan, aku dan rakan-rakan mendaftar di asrama itu. Di situ aku terjumpa dengan Pak Ishak, seorang peneroka di Felda Sungai Tekam Utara, Pahang. Dia menemani anaknya yang pintar ketika bersekolah di SMJX dulu mendaftar untuk Kursus Asasi Sains. Ketika pelajar baharu mengikuti minggu suai kenal, kami dari Program Kembar IB-UM dikecualikan daripada mengikuti program itu di sekitar kampus atau di Asrama Kesembilan. Kami yang meminta pengecualian itu kerana kami pelajar tahun kedua. Alhamdulillah, permohonan kami diterima. Walaupun begitu, kami diminta hadir dalam acara yang melibatkan ceramah dan taklimat yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, khususnya Majlis Ikrar Siswa.

4. Setelah tamat minggu suai kenal itu, kami berebut-rebut mendaftar subjek atau kursus pilihan kami yang diadakan sehari suntuk. Pada hari itu, aku bertemu pula dengan pelajarku di SMJX dulu. Pelajar perempuan itu yang mulanya beratur di depanku menunggu giliran pengesahan mata pelajaran Sejarah, mengenaliku sebaik-baik dia berpaling. Dia berseru nyaring sambil melonjak kegirangan, menyebabkan pelajar lain memandang kami secara spontan. Ketika memasuki ruang hadapan Perpustakaan Utama UM, seorang lagi bekas pelajarku di SMJX memanggilku dengan suara lantang dari jarak yang agak jauh dan tergesa-gesa datang bertemuku. Ramai orang memandangku, menyebabkan aku terpaksa memberi isyarat kepada pelajar perempuan itu supaya tidak bising. Meskipun begitu, aku terasa sungguh bahagia kerana anak didikku telah berjaya ke menara gading. Yang uniknya, kami sama-sama belajar dalam tahun kedua. Pelajarku yang mengambil mata pelajaran Sejarah itu pula sama tutorial denganku. Suatu kali, ketika aku berbahas dengan seorang pelajar Cina dalam satu tutorial, bekas pelajarku itu bersungguh-sungguh membela dan menyokong pendapatku.

5. Semasa tahun kedua itu, aku mengambil sembilan mata pelajaran, iaitu Tatabahasa Normatif Bahasa Melayu Moden II, Prosa dan Puisi Melayu Klasik dan Moden, Sejarah Asia Tenggara dari Kurun Pertama Sehingga Awal Kurun ke-15, Sejarah Malaysia, Etnografi Alam Melayu, Pengantar Linguistik dengan Rujukan Khas kepada Bahasa Melayu, Tamadun Islam, Isu-isu Alam Sekitar: Suatu Pandangan Dunia, dan Bahasa Inggeris. Kuliah bermula pada pukul 8.00 pagi, dan kadang-kadang terdapat kuliah atau tutorial sehingga jam 6.00 petang. Kadang-kadang, ada pensyarah meminta kami datang pada waktu malam atau pada hari Sabtu untuk menggantikan kuliahnya yang tidak dapat dilaksanakan kerana dia tidak dapat hadir.

6. Seperti juga semasa berkuliah di IB, aku yang tidak mempunyai kenderaan sendiri menggunakan perkhidmatan bas awam untuk ke kampus. Pada pukul 7.00 pagi aku menaiki bas yang berpusing arah tidak jauh dari rumah sewaku. Aku turun di simpang yang berhadapan dengan pejabat Tenaga Nasional di Jalan Pantai Baru. Dari situ, aku akan berjalan kaki ke kampus UM. Ketika balik, aku berjalan kaki dari kampus, dan menaiki bas di simpang depan Tenaga Nasional itu. Ketika menunggu kuliah atau tutorial petang, aku akan makan tengah hari di kafetaria Fakulti Sastera atau di kafetaria Asasi Sains, ataupun di Perdana Siswa. Aku selalu menunaikan solat di surau Pengajian Melayu. Sekiranya kuliah atau tutorialku tamat jam 5.00 atau 6.00 petang, aku akan tiba di rumah ketika Maghrib sudah menjenguk. Hal ini cukup memenatkan aku. Walau bagaimanapun, hal itu tidak menghalangku untuk mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan kerja yang dibekalkan oleh pensyarah pada waktu malam. Sudah menjadi kebiasaanku, nota yang kusalin semasa kuliah atau tutorial, akan aku salin semula dengan kemas, dan selalunya berserta dengan tambahan atau rujukan tertentu. Ketika ada ruang kosong sementara menunggu waktu kuliah atau tutorial, aku akan menghabiskan masa di Perpustakaan Utama atau di Perpustakaan Pengajian Melayu, atau membelek-belek buku baharu di Kedai Buku UM.

7. Bilik kuliahku terletak di sekitar bangunan pentadbiran Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Kuliah selalunya diadakan di Dewan Syarahan A, Dewan Syarahan B, dan Dewan Syarahan C. Tutorial diadakan di bilik-bilik yang terdapat di blok Jabatan Pengajian Melayu dan blok Jabatan Pengajian Media. Walaupun kami warga baharu di UM, kami sebagai guru selalu menjadi sandaran kepada pelajar tahun kedua yang sedia berada di UM. Kami selalu mempunyai banyak idea, pendapat dan kerenah, sehingga ada pensyarah atau tutor hanya menggeleng-geleng kepala dengan telatah kami yang selalu lucu dan meriuhkan suasana.

9. Selalunya pada hari Jumaat aku mempunyai kelapangan dan sering berpeluang rehat di rumah. Tidak disebabkan tiada kuliah atau tutorial pada hari itu, tetapi selalunya ditiadakan kerana sering diminta oleh pihak “mahasitua” dengan menggantikannya pada hari lain. Pensyarah yang memahami keadaan kami yang berkeluarga dan berjauhan, kerap mengizinkan kami berbuat demikian. Rakan-rakanku sanggup menghadapi jadual yang padat pada setiap hari supaya hari Jumaat menjadi kosong. Dengan cara ini, mereka dapat pulang ke kampung pada malam Jumaat, dan kembali semula ke Kuala Lumpur pada malam Isnin. Sampai sahaja pada pagi Isnin, jika ada kuliah pagi, mereka akan terus ke kampus. Dua orang rakan karibku, Kamaruzaman dan Suhaimi, oleh sebab setiap minggu berulang-alik, menjadi sangat rapat dengan drebar bas, sehinggakan tiket mereka juga ditempah melalui drebar bas sahaja. Sebulan sekali, dalam keadaan lapang berturut-turut hari begini, aku sekeluarga mengambil peluang mengunjungi rumah adik bongsuku, Aini di kuarters askar Kem Sungai Besi, dan bermalam di sana. Apabila cuti penggal atau hari raya sahaja kami pulang ke kampung, sama ada ke Dungun atau ke Temangan Lama.

10. Kami juga diberi banyak tugasan. Setiap tugasan perlu disiapkan dan dihantar dalam masa dua minggu sahaja. Tugasan tersebut kadang-kadang perlu disiapkan secara berkumpulan, tetapi seringnya merupakan tugasan individu. Sekiranya tugasan berkumpulan, kami dibenarkan membentuk kumpulan sendiri. Untuk tugasan kumpulan ini, selalunya aku ditugaskan sebagai penulis tugasan, manakala ahli lain bertanggungjawab mencari bahan rujukan. Sekiranya rujukan dalam bahasa Inggeris, rakan yang fasih bahasa itu diminta membuat terjemahan. Kami akan berbincang tentang format dan isi kasar, dan yang selebihnya akan aku susun dan kelentong sendiri. Aku akan menaip tugasan dengan kemas menggunakan mesin taip dan diserahkan kepada rakan lain untuk diperbanyak. Sebagai penulis tugasan, aku sering dikecualikan daripada sebarang bayaran fotostat bahan nota atau rujukan. Pembentangan juga dibuat oleh ahli lain. Bagi tugasan individu, selalunya aku siapkan lebih awal. Sekiranya diminta oleh rakan, aku akan memberi format, isi dan bahan rujukannya, atau drafnya, tetapi jarang aku memberi mereka skripku yang telah sempurna.

11. Universiti Malaya sangat mementingkan pencapaian akademik. Walaupun banyak tugasan dibuat, 80% pencapaian pelajar dibuat dengan berdasarkan peperiksaan. Oleh itu, setiap subjek perlu mengadakan peperiksaan. Dalam peperiksaan akhir tahun kedua, aku mendapat Pangkat Lulus apabila aku memperoleh gred A+ bagi Tatabahasa Normatif Bahasa Melayu Moden II, gred A bagi Pengantar Linguistik, dan Tamadun Islam, gred B bagi Prosa dan Puisi Melayu Klasik dan Moden, Sejarah Malaysia, dan Etnografi Alam Melayu, gred C bagi Sejarah Asia Tenggara Kurun Pertama sehingga Awal Kurun ke-15, dan Bahasa Inggeris, dan gred D bagi Isu-isu Alam Sekitar.
.

21 Julai 2010

36. DUA TAHUN DALAM DIPLOMA PENGAJIAN TINGGI

.
AKU dan rakan-rakan sewajarnya berbangga kerana menjadi perintis Program Kembar antara Maktab Perguruan dengan Universiti Tempatan, yang diperkenalkan pada tahun 1993. Semasa aku mula-mula mengikuti Program Kembar Institut Bahasa dan Universiti Malaya ini, terdapat dua buah kelas sahaja, iaitu yang dikenali sebagai Diploma Pengajian Tinggi 1 (DPT 1), dan Diploma Pengajian Tinggi 2 (DPT 2). Aku termasuk dalam DPT 1 kerana aku belum pernah mengikuti sebarang Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) anjuran Kementerian Pendidikan. DPT 1 dapat dianggap sebagai KDP, kerana gaji kami masih dibayar penuh oleh sekolah sebagai majikan, dan menikmati elaun RM10.00 sehari, di samping tidak perlu membayar yuran pengajian. Pada tahun berikutnya, setelah kami lulus peperiksaan DPT 1, barulah kami masuk ke DPT 2. Kursus DPT 2 ini dianggap sebagai tahun pertama di Universiti Malaya, dan gaji dan elaun khidmat awam kami dipotong separuh kerana sudah dianggap mengikuti pengajian dengan separuh gaji. Namun begitu, oleh sebab DPT 2 dilaksanakan di maktab (Institut Bahasa), kami tidak perlu juga membayar yuran pengajian.

2. Aku dan rakan-rakan dalam DPT 1 ditempatkan di dalam kelas tetap yang terletak di bangunan pentadbiran. Kami tidak perlu bergerak ke bilik itu dan ke bilik ini, sebaliknya hanya menunggu kedatangan pensyarah, seperti murid menunggu kedatangan guru di sekolah. Penghuni kelas ini terdiri daripada:

• Abdul Rahim bin Pendek
• Azimah binti Abd Aziz
• Azizah binti Abdul Hamid
• Che Hashidah binti Che Harun
• Che Mansor bin Mat Zain
• Jariah binti Ratman
• Md. Aris bin Markom
• Md. Roslim bin Che Musa,
• Muhamad Amin bin Mansor,
• Nordian binti Estee
• Normah binti Abdul Aziz
• Saad bin Darus
• Salmah binti Hussin
• Saruchi bin Sawal
• Suhaimi bin Mohd Salleh
• Syed Anuar bin Syed Abdul Rahman
• Umi Kalsom binti Md Lope
• Zulkifli bin Sharif.

3. Semasa DPT 1, kebanyakan pensyarah kami adalah dari IB sendiri, kecuali bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Puan Raminah binti Shabran dari Universiti Malaya. Kami pernah membuat kajian budaya di Kedah untuk subjek Masyarakat dan Budaya Melayu selama seminggu. Kami menginap di sebuah hotel yang terletak tidak jauh dari rumah Dr. Mahathir Mohamad semasa kecil. Seperti yang dialami pelajar pengajian tinggi lain, kami juga dikehendaki menyediakan pelbagai kerja kursus dari semasa ke semasa dan membentangkannya di hadapan rakan-rakan.

4. Semasa di sini, setiap program pengajian perlu membuat persembahan di Dewan Besar IB, yang dihadiri oleh semua pensyarah dan pelajar IB. Ketika DPT 1, kami bergabung dengan DPT 2 mempersembahkan pantomin. Aku tidak berlakon tetapi ditugaskan mendeklamasi pantun. Empat rangkap pantun perlu dibaca dengan penuh semangat. Alhamdulillah, persembahan kami memuaskan hati pentadbiran IB. Pada masa itu Pengetua IB ialah Puan Hajah Kalthum binti Mohamed.

5. Keputusan Peperiksaan DPT 1 aku agak baik. Aku mendapat gred A+ dalam mata pelajaran Psikologi Pendidikan & Tamadun Ilmu, gred A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu, Sejarah (Dunia, Asia Tenggara dan Malaysia), dan Seminar Isu Semasa, manakala gred B bagi Bahasa Inggeris, dan gred C bagi Masyarakat dan Budaya Melayu. Purata Markah Keseluruhan yang kuperoleh ialah 73.17, cukup untuk membolehkan aku diserapkan ke DPT 2.

5. Aku dan rakan-rakan memasuki DPT 2 mulai 5 Julai 1994. Kali ini kami ditempatkan di kelas yang terletak di bahagian atas bangunan Pusat Sumber. Mulai DPT 2 ini, kami melepaskan jawatan guru di sekolah, dan dengan itu kami mula belajar dengan status Cuti Belajar Separuh Gaji. Bayaran separuh gaji itu diambil alih oleh Bahagian Pendidikan Guru, sebagai majikan baharu kami. Pada tarikh yang sama, kumpulan kedua DPT 2 masuk menyertai kami, iaitu:

• Abdul Ghafar bin Abdullah
• Abdul Halim bin Mohd Noor
• Ariffin bin Md Yusof
• Chai Loon Guan
• Halee bin Ulul Azmi
• Hamidah binti Minhad
• Jamil bin Jamaluddin
• Kalthom bin Samiain
• Kamaruzaman bin Mohd Yusof
• Kirar a/l Sare
• Md Affindi bin Haji Sukiran
• Mohd Hanifah bin K. Koya Moideen Kutty,
• Noor Haslina binti Hashim
• Nooriza binti Mohd Nor
• Norsaedah binti Che Ree
• Robil bin Abdul Rahman
• Sazali bin Bahaudin
• Sharifah binti Hj. Abdul Rahman
• Suhaimi bin Ibrahim
• Siti Norngaliah binti Mohd Salihin
• V.S. Lingam a/l Velu
• Wan Rosmawati binti Wan Abd Rahim.

6. Ketika mengikuti DPT 2 yang sudah bertaraf Tahun Pertama Kursus Ijazah Sarjana Muda (Universiti Malaya) ini, keseluruhan pensyarahnya datang dari Universiti Malaya, antaranya, Prof. Dr. Nik Safiah binti Karim (Tatabahasa Normatif Bahasa Melayu Moden), Prof. Hashim bin Haji Musa (Bahasa Melayu), dan Prof. Madya Dr. Ramlah binti Adam (Sejarah Tamadun di Asia Zaman Awal), dan Encik Azmi bin Abdul Khalid (Sejarah Tamadun di Eropah). Demikian juga pensyarah Perlembagaan Malaysia dan Bahasa Inggeris, kecuali Kesusasteraan Melayu diajarkan oleh pensyarah IB sendiri, Encik Mohd Kassim bin Ismail. Prof. Dr. Nik Safiah Karim mengajar kami seperti pelajar sekolah. Dalam set induksi, beliau akan memperdengarkan lagu, selalunya lagu nyanyian Sudirman Haji Arshad (Allahyarham), menggunakan radio kaset kecil yang dibawanya sendiri. Kemudian kami dikehendaki menganalis setiap perkataan dan baris seni kata lagu itu mengikut tatabahasa bahasa Melayu. Sekiranya kami menggunakan rajah pohon, kami perlu membentuknya di papan putih. Prof. Hashim Haji Musa pula akan memberi kami kerja rumah, lalu kami akan menunjukkan penyelesaian di hadapannya dalam kuliah berikutnya. Prof. Hashim menggunakan bukunya sendiri, Binaan dan Fungsi Perkataan dalam Bahasa Melayu: Suatu Huraian dari Sudut Tatabahasa Generatif, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993).

7. Semasa dalam kursus DPT 2 atau Tahun Pertama Ijazah Sarjana Muda ini, kami diberi kebenaran memasuki kampus Universiti Malaya untuk membuat rujukan, membaca dan meminjam bahan dari Perpustakaan Universiti Malaya. Kami diberi kad pinjaman khas yang membolehkan kami ke perpustakaan itu untuk meminjam bahan pada bila-bila masa seperti juga siswa Universiti Malaya.

8. Dalam Peperiksaan Ijazah Tahun Pertama ini, aku memperoleh pangkat Kepujian, dengan Purata Markah Keseluruhan yang kuperoleh iala 68.00. Gred A kuperoleh bagi mata pelajaran Tatabahasa Normatif Bahasa Melayu Moden, Bahasa Melayu Lisan, Perlembagaan Malaysia, dan Kesusasteraan Melayu; gred B bagi mata pelajaran Penulisan Bahasa Melayu, Masyarakat Melayu, Sejarah Tamadun di Asia Zaman Awal, dan Sejarah Tamadun di Eropah; manakala mata pelajaran Bahasa Inggeris pula aku berpuas hati dengan gred C sahaja.
.

20 Julai 2010

35. MEMBAWA KELUARGA KE KUALA LUMPUR

.
SEMASA mengikuti pengajian, aku pulang ke Jengka 10 dua minggu sekali sahaja, menjenguk keluargaku yang masih tinggal di rumah guru. Ketika tidak pulang, aku merayau di kawasan Pantai Dalam, Pantai Baru, Kampung Kerinchi, Kampung Pasir, Kampung Limau dan sekitarnya untuk mencari rumah sewa.

2. Aku tidak boleh terus tinggal menyewa bersama dengan rakan lain kerana keluargaku di Jengka 10 menghadapi masalah. Isteriku tidak mahu tinggal bersama keluarganya di Dungun. Barang rumah kami dirasakan tidak dapat ditampung oleh rumah sewa usang keluarganya itu. Pada masa yang sama, pengetua baharu SMKJX, Encik Wan Muhammad Nawi bin Muhamood, mahu keluargaku segera meninggalkan rumah guru itu dengan alasan isteriku bukan guru di mana-mana sekolah. Hal ini menyebabkan aku terpaksa menghantar surat memohon ihsan dan budi bicaranya agar membenarkan isteriku dan anak-anak tinggal di situ sehingga aku memperoleh rumah sewa.

3. Ketika pulang ke Jengka 10, aku sendiri turut bertemu pengetua itu memberitahu masalahku, dan meminta tempoh sehingga cuti akhir tahun. Dia menerima permohonanku itu, tetapi ayat terakhirnya cukup berbekas di hatiku: “Tak apalah. Kalau saya tak izinkan, nanti dikatakan saya tidak menghargai jasa pula.” Aku tidak tahu punca dia berkata begitu. Yang aku tahu daripada pekerja am sekolah itu, pengetua itu memang amat berkira dalam hal perbelanjaan, walaupun melibatkan sebatang paku. Dia mula berkhidmat di sekolah itu pada 1 Jun 1993, menggantikan tempat Tuan Haji Muhammad Mustaffa yang kembali berkhidmat di SM Clifford, Kuala Lipis.
.
4. Selalunya aku pulang ke Jengka 10 pada petang hari Jumaat. Setiap kali aku pulang ke Jengka 10, rumah guru bujang yang pernah kududuki dahulu akan kukunjungi, sama ada pagi atau petang Sabtu. Tengah hari atau awal petang hari Ahad, aku akan kembali ke Kuala Lumpur. Suatu kali, ketika aku masuk ke rumah bujang itu dengan memberi salam, aku mendengar suara rakanku, yang kukenal tuannya, berkata dari dalam bilik utama, "Suhaimi!". Selepas suara berbisik itu, aku dapati tiada sebarang suara lagi. Salamku yang kedua dan ketiga juga tidak berjawab. Aku mengambil keputusan keluar dari rumah itu dengan dua tanggapan: sama ada mereka sengaja mahu mengusikku, atau mereka sudah tidak mahu berjumpa denganku. Aku tidak pernah memikirkan jawapannya. Selepas itu, aku tidak lagi ke rumah itu, walaupun aku menegur mereka seperti biasa apabila bertembung.

5. Sukarnya untuk mendapatkan rumah sewa yang harganya sederhana. Masa tinggal sebulan sahaja lagi sebelum cuti. Aku semakin risau. Aku kerap terserempak dengan seniorku di IB semasa Kursus Perguruan Asas dahulu, yang sedang menuntut di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Amiruddin bin Mamat. Aku memberitahu masalahku itu kepadanya. Dia membantuku dengan meminta saudaranya yang menetap di Kampung Limau bertanya tentang rumah yang sesuai. Akhirnya, Amiruddin membawa berita gembira untukku. Terdapat sebuah rumah yang baru dikosongkan oleh penyewa di Pantai Dalam. Dia memintaku segera ke sana berjumpa dengan seorang penyewa rumah di situ yang dapat menghubungi tuan rumah. Melalui penghuni itu, aku menyerahkan bayaran satu bulan deposit dan sewa bulan pertama, kesemuanya berjumlah RM560.00, yang memastikan rumah itu dapat aku masuki pada bulan masa cuti akhir tahun.

6. Rumah itu sebenarnya bahagian daripada sebuah blok yang dibahagi empat. Terdapat empat buah blok rumah kayu di situ, yang asalnya merupakan asrama yang pernah digunakan oleh pelajar Universiti Malaya. Asrama itu dijual kepada orang ramai apabila Universiti Malaya mempunyai asrama sendiri. Tuan punya baharu Blok A, B, dan C membahagikan blok itu kepada empat bahagian. Blok D terletak di atas bukit, dan dibahagikan kepada lebih daripada empat bahagian kerana lebih panjang. Rumahku itu terletak di hujung Blok B, iaitu bahagian keempat. Walaupun sudah dihuni orang awam, rumah di situ terus dikenali sebagai Asrama Pantai Dalam. Dalam sebarang urusan, alamat yang kugunakan ialah Blok B-4, Asrama Pantai Dalam, Jalan Pantai Dalam, 59200 Kuala Lumpur. Setiap bahagian yang dihuni mempunyai satu bilik tidur, satu ruang hadapan, dan ruang dapur, yang saiznya sama besar. Pintu depan rumahku betul-betul di ruang hadapan. Di situlah ruang rehat kami dan ruang untuk menyambut tetamu. Pintu rumahku bertentang pula dengan pintu rumah pertama Blok C.

7. Pada cuti akhir tahun itu, kami pun berpindah ke rumah itu. Barang dibawa menggunakan sebuah lori yang ditempah dengan pertolongan Cikgu Mazlan Abdul Samad. Aku menaiki lori itu, sementara isteriku dan anak-anak menaiki kereta Cikgu Razali Haji Ahmad. Oleh sebab kebetulan lori itu hendak ke Kuala Lumpur untuk mengambil barang, maka aku menyewanya dengan harga yang sangat rendah, RM200.00 sahaja. Barang-barang kami terpaksa disusun dengan rapi untuk menampung keperluan ruang yang sempit.
.
.

17 Julai 2010

34. DARI RUMAH KE RUMAH

.
KERAGUANKU tentang kesukaran untuk mendapatkan tempat tinggal sepanjang pengajianku benar-benar terjadi. Beberapa orang rakan kursus, khususnya yang lelaki, belum mempunyai tempat tinggal. Mereka dibenarkan untuk menumpang di Bilik Rawatan Lelaki di asrama institut untuk tempoh sehingga selesai menjalani minggu suai kenal itu. Aku juga mulai hari pertama melaporkan diri, turut menyertai mereka. Hujung minggu itu kami diminta mengosongkan bilik rawatan itu.

2. Pada waktu petang hingga malam, kami berkeliaran di sekitar Lembah Pantai, Bukit Pantai, Pantai Dalam, Kampung Kerinchi, Bangsar, malahan hingga Petaling Jaya, mencari rumah sewa. Sama ada terlalu mahal dan kami tidak mampu atau tempat kecil dan tidak sesuai, maka kami gagal mencarinya hinggalah saat kami dikehendaki meninggalkan bilik rawatan itu.

3. Berjalan membawa beg dan melangkah masuk ke dalam bangunan asrama itu, yang pertama hinggap dalam diriku ialah nostalgia 1984 hingga 1986. Tiga tahun aku tinggal di situ, dan sekarang aku seperti tidak percaya, aku kembali bermalam di situ setelah hampir tujuh tahun berlalu. Bilik Rawatan Lelaki itu tempat aku huni hampir seminggu pada tahun 1984 dulu kerana dijangkiti penyakit kulit. Kenangan begitu kuat menyerap diriku apabila aku masuk ke Bilik Rehat A. Di situlah tempat aku selalu menonton televisyen, dan tempat aku berbicara dengan orang yang berjaya menambat hatiku pada saat akhir pengajianku pada tahun 1986 dahulu. Wajahnya yang selalu ceria itu segera terbayang, dan sealur sebak membuih di hatiku. Ah, kalaulah dia juga kembali ke sini ketika ini!

4. Pada malam terakhir kami dibenarkan menginap di bilik rawatan itu, kami telah berpakat untuk berpecah. Sesiapa yang mempunyai saudara-mara atau sahabat handai di kawasan yang mudah untuk berulang-alik ke kuliah, diminta menumpang dahulu buat sementara sehingga dapat dicari satu tempat yang lebih baik. Aku dan dua tiga orang yang tiada saudara-mara di kawasan berhampiran mengikut Abdul Rahim bin Pendek tinggal di rumah saudaranya yang tidak dihuni pada masa itu di Subang Jaya. Pada malam pertama di situ, aku tidak dapat tidur kerana tidak biasa dengan bunyi kapal terbang yang kerap turun dan naik di Lapangan Terbang Subang tidak jauh dari situ. Kami berulang-alik dengan kereta Abdul Rahim pada setiap hari. Sambil itu, kami terus mencari rumah sewa yang sesuai dan dapat tinggal beramai-ramai.

5. Tidak beberapa hari kemudian, rumah saudara Abdul Rahim itu kami tinggalkan kerana ada orang yang akan tinggal di situ. Kami terpaksa berpecah lagi kepada kumpulan yang lebih kecil. Aku bernasib baik kerana diajak oleh Abdul Rahim menumpang di bilik sewa adiknya di Sentul. Adiknya bekerja dengan syarikat penerbitan majalah dan tinggal dengan seorang lain. Aku sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Abdul Rahim. Sekiranya aku tidak diajaknya, aku tidak tahu hal yang terjadi kepadaku.

6. Beberapa ketika berkelana mencari tempat tinggal tetap, akhirnya kami mendapat sebuah rumah di pangsa puri Bukit Angkasa di Pantai Dalam. Rumah itu di tingkat bawah, mengandungi dua buah bilik sahaja, tetapi ruang tamunya agak luas. Alhamdulillah, kami selesa tinggal di situ. Sewanya RM400.00 sahaja sebulan. Pemilik rumah itu duda dalam tiga puluhan, sangat baik dan mesra dengan kami kemudiannya. Dia jarang tidur di rumah itu kerana menginap di sebuah rumah lain di Kampung Kerinchi. Apabila cukup bulan, dia akan datang untuk memungut wang sewaan daripada kami, selalunya pada waktu malam. Selain aku dan Abdul Rahim, yang tinggal di rumah itu ialah Md. Roslim bin Che Musa, Robil bin Abdul Rahman, dari kumpulan DPT 1, bersama dengan kumpulan DPT 2 iaitu Fihat bin Salleh, Ibrahim bin Ahmad, dan Mokhtar bin Mustaffa.

7. Pemilik itu yang kami panggil abang, dan dia bercakap dengan panggilan “aku” dan “engkau” sahaja, bekerja sebagai buruh Majlis Perbandaran Shah Alam selalu membawa baju, seluar atau kasut terpakai dan dijualnya kepada kami dengan harga yang murah. Menurutnya, pakaian terpakai itu diambilnya dari pintu pagar rumah orang berada, sengaja diletakkan untuk diambil oleh pekerja majlis perbandaran. Kalau pakaian terpakai itu tidak laku kerana kami tidak mahu, dia akan memberi kami percuma sahaja. Berebut-rebutlah kami mendapatkannya. Yang seronoknya, apabila datang mengambil wang sewaan, dia akan membelanjai kami makan roti canai. Kadang-kadang, apabila dia sampai, sebungkus roti canai sudah dibawanya bersama. Kami akan makan bersama-sama dan bercerita itu dan ini. Dia kemudiannya berkahwin, dan kami membantunya dalam banyak hal. Perkahwinannya dijalankan di surau flat Kampung Kerinchi.

8. Sebelum ke kuliah setiap pagi, kami akan membeli nasi lemak bungkus dan makan beramai-ramai dengan air teh yang kami bancuh sendiri. Kebanyakan rakan mempunyai motosikal. Aku yang tiada kenderaan menumpang ihsan Abdul Rahim, dan setiap bulan aku menghulurkan wang kepadanya. Waktu tengah hari selalunya kami makan sendiri-sendiri di kafetaria IB atau di warung di simpang jalan masuk ke IB dan Universiti Malaya. Untuk makan malam, kami bergilir-gilir membeli lauk, dan makan dengan nasi yang kami tanak sendiri.

.

14 Julai 2010

33. INSTITUT BAHASA, AKU DATANG SEKALI LAGI!

.
KETIKA isteriku berada di Dungun sebagai persiapan menunggu kelahiran anak kedua kami pada awal Februari 1993, aku membuat permohonan untuk mengikuti Program Kembar antara Maktab Perguruan dengan Universiti Dalam Negeri yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia. Borang itu sebenarnya dipohon oleh rakanku, Mazlan bin Abdul Samad, yang tinggal di Rumah Guru 14-Q, bersebelahan dengan blok rumahku. Apabila memperoleh borang itu, tujuh orang rakan lain membuat salinan fotostat, dan tanpa kuminta, Mazlan membuat satu salinan untukku.

2. Aku pun mengisi borang itu selengkapnya dan menghantarnya dengan dokumen yang diperlukan. Termasuk aku dan Mazlan, sembilan orang semuanya guru di sekolahku yang membuat permohonan. Aku memilih kursus Pengajian Melayu di Institut Bahasa-Universiti Malaya, kerana itulah kelayakanku, di samping Institut Bahasa itu bekas maktabku. Aku memilih kategori Diploma Pengajian Tinggi 1 (DPT 1) kerana aku belum pernah mengikuti sebarang Kursus Dalam Perkhidmatan semenjak aku berkhidmat. Aku tidak berharap sangat tentang permohonan itu. Dalam hatiku, sudah tidak ada niat untuk melanjutkan pelajaran lagi. Cukuplah rasanya dengan kedudukanku sekarang sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah Kategori C2 Tingkatan Biasa.

3. Pada bulan awal bulan Mei, aku menerima surat daripada Bahagian Pendidikan Guru yang mengarahkan aku menjalani temu duga di Institut Bahasa pada 12 Mei 1993, pukul 2.00 petang. Dua orang rakanku juga dipanggil menjalani temu duga kursus Pengajian Matematik di Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang. Aku pun membuat persediaan yang diperlukan. Selain mengumpul semua sijil akademik dan aktivitiku sepanjang di Institut Bahasa dan semasa di SMJX, aku mengumpul semua genre karyaku yang telah disiarkan, difotostat dan dijilid.

4. Pada hari temu duga itu, aku menaiki bas di Temerloh, dan tiba di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pada waktu hampir tengah hari. Aku ditemu duga di sebuah bilik kuliah “Rumah Panjang” oleh tiga ahli panel. Seorang daripadanya ialah Puan Raminah binti Shabran, pensyarah dari Universiti Malaya, yang kutahu namanya sebagai pengarang buku Bahasa Malaysia yang ditulisnya untuk kegunaan maktab perguruan bersama dengan Rahim bin Syam. Seorang lagi dari Bahagian Pendidikan Guru, yang memang tidak kukenali. Wakil dari IB pula ialah Encik Mohd Kassim bin Ismail, pensyarah IB, yang juga tidak kukenal, kerana dia belum bertugas di situ semasa aku dalam Kursus Perguruan Asas 1984-1986.

5. Pada pertengahan Jun 1993, aku menerima surat daripada Bahagian Pendidikan Guru yang menawariku kursus itu dan diminta melaporkan diri di Institut Bahasa pada 5 Julai 1993, pukul 8.30 pagi. Mula-mulanya aku diserang serba salah. Aku ragu tentang dua perkara. Pertama, tempat tinggal sepanjang aku melanjutkan pelajaran. Yang kedua, tentang perbelanjaan yang besar terpaksa kugunakan sepanjang kursus itu. Aku terpaksa mengeluarkan belanjaku yang besar untuk sewaan rumah dan berkaitan pengajian, dan pada masa yang sama menyara hidup keluargaku di Jengka. Pada masa itu gajiku belum seberapa, sekadar RM900.00 sebulan. Oleh sebab aku belajar dengan status cuti separuh gaji, separuh gajiku terpaksa dipotong. Bayangkan hidupku dengan RM450.00 dan separuh Elaun Khidmat Awam, walaupun simpananku masih ada.

6. Isteriku menggalakkan aku pergi kerana dia mampu menjaga anak-anak kami yang masih kecil itu sendirian. Rakan-rakanku juga meminta aku tidak melepaskan peluang itu. Aku dianggap bertuah, kerana daripada sembilan orang yang membuat permohonan, aku sahaja yang berjaya. Mereka menganggap aku memang layak. Pengetua SMJX yang baharu, Encik Muhammad Mustafa bin Muhammad Nor, memanggilku apabila dia diberitahu oleh rakan-rakan tentang keberatanku untuk menerima tawaran itu. Dia memelukku erat sambil menyatakan bahawa dia tidak akan menganggap aku anak buahnya yang baik sekiranya aku menolak tawaran itu.

7. Aku berasa amat terharu. Aku pun mengisi Borang Jawapan (A) yang menyatakan bahawa aku menerima tawaran tersebut. Aku pun membuat persediaan untuk ke sana. Tugasku sebagai Penyelaras Pusat Sumber kuserahkan kepada penolongku, Cikgu Wan Noor Azmi. Tugasku sebagai Penyelaras Majalah Sekolah kuserahkan kepada Cikgu Zaliha. Borang Perjanjian Pendidikan Guru diselesaikan, dengan Cikgu Diauudin bin Omar, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, dan Cikgu Mohd Nazri bin Mohamed masing-masing menjadi saksi pertama dan kedua, dan Cikgu Bahari bin Mat, Penolong Kanan Pentadbiran menjadi saksi untuk kedua-duanya.

8. Aku bertolak ke Kuala Lumpur pada petang 4 Julai 1993. Pada malamnya aku bermalam di sebuah hotel murah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, iaitu di Chow Kit. Semalaman itu aku berperang dengan keraguanku itu yang masih belum padam. Pagi esoknya, ketika aku bersiap, perasaanku masih tidak tetap. Kemudiannya, aku membuat keputusan nekad. Aku keluar dari hotel, tidak menuju ke Institut Bahasa, sebaliknya menuju ke hentian bas Jalan Pekeliling. Isteriku terkejut melihat kepulanganku. Rakan-rakanku juga demikian. Isteriku tidak membantah.

9. Dua hari aku kembali ke Jengka 10, aku tidak pergi ke sekolah, sebaliknya berada di rumah. Aku membuat pertimbangan semula. Aku sudah menyerahkan tugasku kepada rakan-rakan, sudah tentu aku tidak berhak menuntutnya semula. Alangkah malunya aku nanti. Dengan dorongan daripada Azni, jiranku, aku menelefon Naib Pengetua Institut Bahasa bertanya tentang statusku. Dia menasihatiku datang melaporkan diri. Akhirnya aku membuat keputusan untuk kembali ke IB. Isteriku menasihatiku supaya bermalam dahulu di rumah Abang Zakaria, kenalan dan saudara jauh mentuaku yang tinggal di Selayang. Aku juga mengenalinya dan isterinya kerana pernah berjumpa ketika mereka pulang ke Kemaman, kawasan tempat asal isteriku. Isteriku menelefon Abang Zakaria, dan Abang Zakaria memintaku menelefonnya apabila sampai di Kuala Lumpur nanti.

10. Azni menghantarku ke Bandar Pusat Jengka dengan keretanya. Aku tiba pada waktu tengah hari di Kuala Lumpur. Oleh sebab Abang Zakaria tidak dapat datang menjemputku, dia memintaku menaiki bas di hujung Jalan Raja dan turun berdekatan Balai Polis Selayang. Aku tidak dapat membayangkan tempatnya, walaupun semasa di IB dahulu, aku masih ingat telah menyertai rombongan Kelab Drama melakukan kunjungan mesra di rumah orang tua dan anak yatim di situ. Akhirnya, selepas seketika tercari-cari apabila turun berhampiran Balai Polis Selayang, aku sampai juga di rumah Abang Zakaria. Rumahnya terletak di tingkat atas, manakala bahagian bawahnya terdapat Klinik Zakaria. Namun begitu, klinik itu bukan kepunyaannya.

11. Keesokannya, aku menaiki bas ke Kuala Lumpur. Aku tiba di IB dalam pukul 9.00 pagi dan terus ke pejabat pentadbiran. Ketika itu peserta kursus DPT 1 dan DPT 2 sedang menjalani suai kenal untuk hari terakhir, dan sedang berada di Pusat Sumber. Ketua Pustakawan, Cik Fatimah binti Ibrahim yang masih kukenali mengucapkan selamat kembali ke IB kepadaku.
.

10 Julai 2010

32. DARI RUMAH SEWA KE RUMAH GURU

.
SEMASA isteriku mula bersamaku di Jengka 10, kami menumpang di rumah guru bujang lelaki, 14-W, rumah yang aku menjadi ketuanya selama ini. Kami tinggal di dalam bilik yang sebelum ini aku huni bersama dengan Mohd Sharim. Rakanku itu dengan senang hati berpindah ke bilik utama, yang dihuni oleh dua orang rakan lain. Hal tersebut telah diatur lebih awal sebelum cuti sekolah kerana rumah yang hendak kami sewa masih dalam proses mengubahsuai oleh pemiliknya, Encik Alimon, peneroka di Jengka 10.

2. Sebulan kemudian baru kami dapat berpindah ke rumah sewa itu yang terletak betul-betul di hadapan sekolahku. Sewanya RM75.00 sebulan. Rumah itu terletak hanya 150 meter dari rumah guru yang kami tinggalkan. Dari pintu atau tingkap dapur rumah itu, dapat kami lihat blok rumah guru dan gelanggang badminton yang terletak di pinggir jalan. Bilik airnya dan tandas terletak di luar rumah, yang menyebabkan aku terpaksa membina pagar daripada papan untuk menutup pandangan pelajar sekolah ketika kami masuk dan keluar dari situ. Yang tidak seronoknya rumah itu ialah dinding di bahagian dapur dan bilik kami dibina dua lapis tetapi berongga di antara lapisan itu. Hal ini menyebabkan tikus bersarang di dalamnya. Kami terpaksa memasang jerat tikus. Setiap malam berekor-ekor tikus mengena perangkap yang dipasang.

3. Empat lima langkah di depan rumah kami terbentang jalan yang memisahkan rumah itu daripada deretan kedai runcit Haji Din dan kedai makan kepunyaan Mak Haji dan suaminya, Pak Soh, manakala di kiri rumah terletak kedai runcit Pak Rashid dan isterinya, Mak Yam. Ketika pasar malam diadakan, gerai-gerai yang didirikan di sepanjang jalan itu betul-betul berada di depan tingkap bilik tidur kami. Bil air dan elektrik kami bayar di Pejabat Pos Bandar Pusat Jengka, Namun, setelah Jengka 10 mendapat perkhidmatan Pos Bergerak sekali seminggu, kami menunggu kedatangan van pos itu yang beroperasi tidak jauh dari rumah sewa kami.

4. Selepas lebih kurang sembilan bulan perkahwinan kami, pada pukul 10.00 malam hari Ahad, 9 Disember 1990, anak sulungku dilahirkan di Hospital Daerah Dungun. Isteriku sudah beberapa lama tinggal dengan ibu bapanya sebagai persediaan untuk bersalin. Pada waktu itu aku juga pulang ke Dungun. Isteriku sakit untuk bersalin pada hari Sabtu malam Ahad, sedangkan pada hari petang kami masih sempat menjamu selera di gerai makan di tepi Pantai Teluk Lipat. Pada mulanya emaknya mahu anak sulungnya itu bersalin di rumah, tetapi oleh sebab kesukaran, jururawat dari Klinik Desa Sura yang datang ke rumah menasihati mentuaku itu menghantarnya ke hospital. Jururawat itu sendiri yang memanggil ambulans dari Hospital Daerah Dungun yang terletak lebih kurang 400 meter sahaja dari rumah mentuaku. Aku yang sepatutnya kembali ke Jengka 10 pada hari Ahad itu, terpaksa berbuat demikian lewat sehari.

5. Anak perempuan itu kunamai Suzati. Aku sendiri yang mereka nama itu. Isteriku mengikut sahaja. Su pada pangkal namanya memang bahagian awal namaku, yang pada pendapatku bermaksud “indah”. Zati pula bermaksud “hakiki” dan berkaitan dengan jati atau sejati yang bemaksud “asli”, “murni” dan “tulen”. Namun begitu, sebahagian daripada perkataan zati ialah sisipan yang ada kaitan dengan perasaan lalu tetapi kekal di dalam hati. Selepas pantang barulah isteriku dan anak sulung kami itu kembali ke Jengka 10, dihantar oleh keluarganya.

6. Pada hari Sabtu, 7 Disember 1991, kami berpindah ke rumah guru 14-R. Barang-barang diangkut menggunakan lori kepunyaan Encik Baharum dengan bayaran RM10.00 sahaja. Rakan-rakan guru dan jiran-jiran datang memberi bantuan. Mereka dijamu dengan bubur kacang dan roti. Asalnya rumah itu dihuni oleh Cikgu Bidi bin Mat Nor dan isterinya, Cikgu Normah. Setelah kedua-duanya bertukar ke sekolah di bandar Mentakab, Penolong Kanan Pentadbiran menawarkan rumah itu kepadaku kerana aku memegang jawatan Penyelaras Pusat Sumber Sekolah. Di sebelah rumahku tinggal Azni bin Ismail, Setiausaha Sukan, yang ketika itu juga sudah mempunyai seorang anak lelaki.

7. Rumah guru ini mempunyai tiga buah bilik. Bilik utamanya terletak di tengah-tengah. Oleh sebab pada waktu itu Suzati masih kecil, dua bilik lain tidak dihuni. Bilik ketiga dijadikan stor dan tempat simpanan permainan anak sulungku itu, dan selalunya Suzati akan bermain di situ. Bilik kedua pula kosong, dan hanya dihuni apabila datang tetamu, khususnya bapa mentuaku yang kerap datang mengunjungi kami. Apabila memperoleh tuntutan perpindahan dari rumah sewa ke rumah kerajaan, kami membeli satu set sofa yang ringkas dan murah.

8. Selepas lebih setahun menghuni rumah ini, pada pukul 2.52 petang 19 Februari 1993, lahir pula anak kedua kami, juga di Hospital Daerah Dungun. Anak lelaki ini dinamai Syafiq Hakimi, hasil persepakatan kami. Seperti juga ketika melahirkan Suzati, isteriku menghabiskan masa pantangnya di rumah ibu bapanya di Dungun. Ketika mengandungkan Syafiq Hakimi, isteriku menghadapi cabaran yang hebat. Dua kali dia jatuh di bilik air. Kali pertama dia terjatuh di rumah ibuku di Temangan Lama kerana tergelincir, dan kali kedua pula dia jatuh tertiarap ketika keluar dari bilik air di rumah kami di Jengka 10. Namun, ternyata kandungannya amat kuat kerana dia tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang dia mengandung, tetapi dia mengalami kesukaran ketika melahirkan anak kami itu.
.

09 Julai 2010

31. MENDIRIKAN RUMAH TANGGA

.
DALAM “Ruangan Pembaca Muda”, Utusan Zaman (25 Februari 1990), tersiar catatan pemimpin ruangan itu, Pak Matlob, dengan tajuk “Setelah Membina Kata-kata, Penulis Muda Pun Membina Rumah Tangga”. Catatan ini tentang pernikahanku yang berlangsung pada 1 Mac 1990, hampir hujung minggu cuti persekolahan pertengahan penggal.

2. Pasanganku ialah Sabariah Nor binti Salleh, seorang penulis dari Dungun, Terengganu, merupakan peminat karyaku yang ke-107. Dia ahli yang aktif dalam Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita). Selain di Terengganu, dia mempunyai ramai kenalan penulis di Kelantan, kerana dia selalu ke sana menyertai aktiviti penulisan. Pertama kali kami bertemu adalah semasa perkampungan Hari Sastera 1985 di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Sabariah Nor, yang kupanggil Nor dengan permintaannya, mahu kami diijabkabulkan pada awal cuti, namun dengan kehendak ayahnya, kami tidak dapat menolak tarikh itu.

3. Perbelanjaan untuk semua urusan perkahwinan itu kutanggung semuanya dengan wang yang kukumpul selama ini. Wang hantaran dan mas kahwin yang diminta keluarga Sabariah Nor RM2,000.00 sahaja. Hal-hal persiapan dilakukan oleh mek dengan bantuan isteri bapa saudaraku, jiran dan kenalan rapat mekku. Urusan menyewa bas untuk membawa rombongan kami pada mulanya dibuat oleh ayah dan pak su aku, namun kemudiannya aku sendiri yang berurusan dengan Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) Machang.

4. Pernikahan ini berlangsung setahun selepas kami bertunang. Kami mengikat tali pertunangan pada 18 Februari 1989. Tarikh itu dicadang oleh tunangku kerana hari itu ialah hari ulang tahun kelahirannya; mahu dianggapnya sebagai hadiah hari lahir yang sangat bermakna daripadaku. Pada hari pertunangan itu, aku sedang bertugas di Jengka 10. Mek dan ayahku ke rumahnya dengan bantuan adik angkatnya, yang juga adik angkatku, Irza Daud, dari Wakaf Bharu.

5. Rombongan kami dengan sebuah bas itu tiba pada waktu Zuhur di Dungun. Kami berkumpul di Masjid Pak Sabah, Dungun, untuk sembahyang Zuhur, dan membuat persiapan ke rumah Sabariah Nor. Mak Nik Hawa, emak saudaraku yang menetap di Temerloh, Pahang, mengatakan aku kelihatan pucat. Dia sibuk menggincu bibirku supaya kelihatan ceria. Aku memakai sepasang baju Melayu satin putih dan bersamping biru.

6. Kami diijabkabulkan pada pukul 3.45 petang, di rumah beralamat No. 425, Jalan Bunga Raya, Dungun. Lafaz jawapan nikahnya ringkas sahaja: “Aku terima nikahnya dengan mas kahwin yang tersebut itu.” Tidak perlu kusebut nama pasanganku itu dan jumlah mas kahwin yang disetujui. Namun, aku terpaksa menjawabnya dua kali, kerana pembantu jurunikah tidak berpuas hati dengan jawapan pertamaku yang dikatakan tidak jelas. Selepas majlis yang tiada acara bersanding itu, keluargaku, jiran dan kenalan bertolak pulang dengan bas yang kami sewa itu. Rakan dari Institut Bahasa, Zakaria Taib dan Jailani, tidak kusangka, datang ke majlis itu. Aku melayan mereka sendirian sehingga mereka meminta diri.

7. Keesokan harinya, aku dan isteri dihantar oleh keluarga baharuku itu ke rumahku di Temangan Lama. Acara “menghantar dan menyambut menantu” itu perlu dibuat segera kerana aku dan isteri akan kembali ke Jengka 10 pada hari Sabtu malam. Kami disambut dengan jamuan kecil, diraikan jiran-jiran dan kenalan rapat mekku. Hari Sabtu malam, kami menaiki bas SKMK ke Temerloh dan tiba ke bandar itu pada pagi esoknya.

8. Di Temerloh, dengan menggunakan wang hantaran, isteriku mahu kami membeli set bilik tidur. Kami bernasib baik kerana tauke kedai perabot itu bersetuju menghantar katil, almari solek, dan almari pakaian ke Jengka 10 pada hari itu juga.
.