x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

Komentar

GURU TIDAK MAKAN TENGAH HARI?

MENELITI judul di atas, mungkin timbul pertanyaan, benarkah demikian?
 
2. Mungkin hal itu ada benarnya. Sesetengah guru, yang ada kesempatan ketika tidak terlibat dengan pengajaran di dalam bilik darjah, akan ke kantin sekolah, makan secukupnya sekitar pukul 10.00 atau 11.00 pagi, lalu tidak perlu makan lagi pada waktu tengah hari. Golongan ini mungkin diet, atau untuk menjaga kesihatan, atau ada sebab tersendiri, mungkin akan makan pada pukul 6.30 petang atau 7.00 malam, atau mungkin tidak langsung. Hal ini berlaku tidak dalam kalangan guru sahaja; boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja dalam mana-mana perkhidmatan.

2. Mungkin guru tidak makan tengah hari itu hanya gurauan. Berdasarkan konsep masa dalam masyarakat kita, tengah hari adalah dari pukul 12.00 hingga 1.59. Oleh itu, apabila guru itu tidak makan dalam tempoh tersebut, dianggap tidak makan tengah hari. Sekiranya guru itu makan pada pukul 2.00, dia sudah dianggap 'makan petang'.

3.  Jika kita teliti waktu perkhidmatan guru di sekolah, ada benarnya juga guru tidak makan tengah hari. Mereka bukan tidak mahu makan, tetapi tidak sempat. Kebanyakan sekolah sekarang tamat waktu persekolahan paling awal pun pukul 2.10 petang, tetapi selalunya habis tugas pada pukul 2.50, atau lebih lewat kalau ada mesyuarat atau perbincangan tertentu. Walaupun kemungkinan sebelum waktu pulang itu ada guru yang tiada waktu pengajaran di bilik darjah, mereka tidak sempat makan apabila kantin sekolah hanya beroperasi hingga pukul 12.00 tengah hari sahaja. Guru bukan kakitangan sokongan sekolah, oleh itu tidak boleh keluar dari kawasan sekolah semata-mata untuk makan di kedai makan awam. Dengan sebab yang demikian, mereka terpaksalah menunggu hingga waktu mereka dapat mengetip kad perakam waktu.

4.  Sekiranya mereka meninggalkan sekolah pada pukul 3.00 petang, ada yang tiba di rumah pukul 3.30 petang. Kalau pada petang hari itu guru ada aktiviti kokurikulum di sekolah mulai pukul 5.00 petang, pukul 4.30 mereka sudah bersiap untuk meninggalkan rumah. Alangkah pendeknya masa rehat guru! Kegiatan kokurikulum mungkin berakhir pukul 6.00 petang, mereka pun pulang, dan tiba di rumah pukul 6.30 petang, dan tidak lama kemudian malam pun tiba.

5.  Esoknya, paling lewat pukul 7.00 pagi, mereka perlu turun dari rumah. Kad perakam waktu perlu diketip sebelum 7.30 pagi. Pengajaran akan bermula pada pukul 7.40 pagi. Selepas itu, kebiasaan harian pun bermula lagi. Guru pun tidak makan tengah hari sekali lagi... dan lagi...




+++++

CABARAN SESI TAHUN BAHARU

SESI persekolahan 2010 memberi saya cabaran baharu. Saya tidak lagi berjawatan Guru Perpustakaan dan Media (Guru Media) yang saya sandang semenjak 2007, apabila saya dilantik sebagai Guru Akademik Tingkatan 6 (Bahasa Melayu) mulai Januari 2008.

2. Oleh itu, saya tidak lagi "kebal" daripada menjadi guru ganti. Kalau dahulu saya tidak diberi sebarang tugas menggantikan guru yang tidak hadir kerana bercuti, menjalankan tugas di tempat lain, atau berkursus, kerana kesibukan sebagai Guru Media, hal itu sudah terbatal buat saya. Saya boleh diberi tugas itu pada bila-bila masa. Pada minggu pertama persekolahan ini, sudah dua kali saya menerima tugasan itu, iaitu pada hari Selasa dan Khamis.

3.  Selain itu, selama ini saya hanya mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 6, tetapi sekarang saya sudah ditugaskan untuk mengajarkan mata pelajaran itu bagi Tingkatan 4, tetapi sebuah kelas sahaja. Sudah lama saya meninggalkan tingkatan lain. Sekarang saya terpaksa belajar semula untuk mengajar pelbagai kemahiran dalam mata pelajaran itu. Apatah lagi, mulai tahun ini, Komponen Sastera (Komsas) menggunakan teks baharu bagi tingkatan empat, iaitu antologi "Harga Remaja", dan novel "Renyah". Saya belum membaca kedua-dua teks tersebut, dan memang sukar mengajar Komsas kalau kita tidak mengetahui kandungan teks itu.

4.  Pada masa yang sama, saya dan rakan-rakan yang dilantik sebagai Guru Akademik Tingkatan 6 perlu menyesuaikan diri dengan perubahan yang diperlukan. Kami tidak lagi menggunakan Buku Rekod Mengajar yang biasa digunakan. Sebaliknya, kami perlu menggunakan bentuk folio, iaitu mengisi semua lembaran di dalam sebuah fail. Buat masa ini, kami masih terpinga-pinga dengan format dan cara pengisian. Sebenarnya, kami seperti dalam percubaan. Saya mendengar cerita bahawa di sebuah sekolah, pengetuanya mengarahkan supaya pelaksanaan mengikut format tingkatan enam diabaikan dahulu kerana belum menerima arahan rasmi daripada Jabatan Pelajaran.

5. Bagi saya, semua itu bukanlah masalah yang besar. Betapa susah pun tugas, kami tetap menjalankannya dengan sepenuh hati kami, atau sedaya yang dapat. Mungkin kami bersungut, tetapi kami tidak pernah memboikot tugas kami. Kami tetap bekerja lebih daripada waktu yang sepatutnya tanpa sebarang upah lebih masa, walaupun orang lain selalu berpendapat bahawa kami kerap mendapat cuti. Hanya jauhari yang mengenal maknikam.

6.  Minggu hadapan minggu yang kedua. Segala-galanya harus lebih lancar dan sempurna.



+++++

MENUNGGU TAHUN BAHARU


HARI ini (2 Januari 2010) sebenarnya hari cuti terakhir bagi warga pendidikan. Setelah bercuti mulai 20 November 2009, pelajar akan kembali menuntut ilmu secara formal di bilik darjah, dan guru kembali dengan tugas rasmi sebagai pengajar dan pembimbing. Jelasnya, mulai esok, warga pendidikan akan kembali kepada rutin harian seperti sebelum cuti akhir tahun sesi 2009.
   
2.  Cuti itu, dan juga cuti persekolahan yang lain, bukanlah cuti secara hakikinya bagi kami, yang digelar guru. Kami boleh dipanggil bila-bila masa untuk bertugas. Hal pengurusan yang belum selesai perlu diselesaikan. Kebanyakan guru pula terlibat dengan pengawasan peperiksaan SPM dan STPM. Saya sendiri terlibat sebagai Timbalan Ketua Pengawas STPM di SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun. Saya bersama dengan tujuh orang guru dari sekolah lain, termasuk Ketua Pengawas dari SMK Jerangau, Dungun, mula bertugas pada 18 November 2009, setiap hari, kecuali hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, hingga 10 Disember 2009. Kebanyakan hari melibatkan sidang pagi dan petang, dan kebanyakan kertas memakan masa tiga jam bagi kertas esei, dan dua jam bagi kertas objektif.

3.  Walaupun cuti berlangsung, dan peperiksaan SPM dan STPM sudah bermula, pengurusan sekolah masih mengarahkan kami mengadakan kelas tambahan, yang dipanggil "Kelas Pecutan Terakhir", khususnya sebelum sesuatu kertas diduduki oleh pelajar. Saya sendiri terlibat mengadakan kelas tersebut pada 7 Disember 2009 (Selasa), bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia (saya lebih selesa menggunakan istilah Bahasa Melayu) Kertas 1, sebelum pelajar menduduki kertas itu pada petang 10 Disember 2009 (Khamis).

4.  Minggu terakhir sebelum sesi persekolahan 2010 bermula, kami sudah memulakan tugas pengurusan kami. Pada 27 Disember 2009, diadakan Mesyuarat Pengurusan, tetapi saya tidak terlibat. Saya terlibat pada 28 Disember 2009, Mesyuarat Guru, dan 30 Disember 2009, Mesyuarat Kokurikulum. Pada 31 Disember 2009, saya ditugaskan merakam gambar Majlis Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 yang diadakan di Dewan Warisan di sekolah saya. Seperti biasa, setiap peristiwa atau aktiviti sekolah, harus saya sebarkan dan dokumentasikan, kerana saya guru Dokumentasi Sekolah. Gambarnya saya simpan sementara dalam cakera keras laptop peribadi saya, dan laporannya dalam bentuk berita saya muatkan dalam laman sesawang sekolah, Pelita Online, http://smkso.net/.

5. Demikianlah denyut nadi insan yang bernama guru. Mulai esok, kami akan kembali kepada tugas rasmi yang melibatkan pengurusan, pengajaran, dan bimbingan dalam pelbagai aspek yang diarahkan. Saya pula, sesudah tiga empat tahun belakangan hanya mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1, tiba-tiba ditugaskan mengajarkan Bahasa Melayu Tingkatan 4. Waduh! Sudah lama saya tinggalkan tahap SPM. Banyak perkara yang perlu saya perhangat kembali ke dalam diri. Lebih-lebih lagi, mulai tahun ini, aspek Komponan Sastera (Komsas) dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu menggunakan teks baharu. Wow!


+++++

BUKU KURANG, MEMBACA PUN KURANG?

DALAM Berita Minggu hari ini (29 November 2009), pada halaman 19, dilaporkan bahawa Timbalan Menteri Pelajaran, YB Dr. Mohd Puad Zarkhashi melahirkan rasa terperanjat kerana lebih daripada 54.3% rakyat negara ini membaca bahan bacaan kurang daripada tujuh halaman sahaja dalam sehari. Beliau juga turut melahirkan rasa kurang senang dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menerbitkan 16,044 judul buku sahaja sepanjang tahun lalu (2008). Menurutnya, penerbit buku di Malaysia seharusnya menerbitkan 27,000 judul buku setahun bagi menampung keperluan 27 juta orang rakyat Malaysia sekarang.

2. Mnteri tersebut wajar berasa terperanjat dengan keadaan tersebut, tetapi pada masa yang sama, beliau harus mengakui bahawa demikianlah tahap kegemaran membaca rakyat Malaysia, dan sepatutnya beliau tidak harus terkejut, kerana hal itu sudah lama berlaku. Walau bagaimanapun, perlu difikirkan rasional Timbalan Menteri Pelajaran itu mengaitkan kurangnya tabiat suka membaca dengan kurangnya penerbitan buku di Malaysia. Secara sepintas lalu, jumlah 16,044 judul buku yang diterbitkan oleh DBP, tidak termasuk judul buku yang diterbitkan oleh penerbitan swasta dan penerbitan di universiti, dan buku import, sudah cukup banyak sekiranya ingin dibaca oleh penduduk Malaysia.

3.  Agaknya, dalam masa berapa lamakah seorang ulat buku dapat menghabiskan jumlah itu? Berapa peratuskah pembaca yang dapat membaca empat judul buku seminggu, atau 16 judul buku sebulan, atau 192 judul buku setahun? Mungkin Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan lain, termasuk perpustakaan di institut pengajian tinggi dan perpustakaan sekolah, dapat memberi jawapannya.

4. DBP yang menerbitkan buku tentang bahasa, kesusasteraan dan akademik pernah mendedahkan bahawa kebanyakan buku dicetak dalam lingkungan 3,000 naskhah sahaja, dan kebanyakannya tidak habis terjual di kedai buku dan di kedai DBP sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa buku tidak dibeli oleh orang awam. Mungkin ramai yang membaca buku di perpustakaan, tetapi jumlah bacaannya dapat diukur daripada jumlah pinjaman sesuatu judul buku.

5.  Oleh itu, harus dibuat kajian yang sepatutnya untuk menentukan faktor kurangnya tahap pembacaan dalam kalangan masyarakat kita, sama ada kekurangan bahan bacaan atau sikap rakyat yang memang tidak suka membaca. Kalau kita ke stesen bas, kereta api, LRT atau Komuter, dan menaiki kenderaan tersebut, berapa keratkah dapat kita lihat penumpangnya sedang membaca apa-apa bahan bacaan, berbanding dengan jumlah yang leka melayan telefon bimbit, terutamanya dalam kalangan remaja?

6. Sekiranya 50% atau lebih masyarakat negara kita mendakwa sudah membaca semua buku yang diterbitkan, dan oleh sebab kurangnya atau tiadanya buku baharu di pasaran, menyebabkan mereka mula muak untuk terus membaca, maka hal itu akan membenarkan kaitan antara kurangnya bahan bacaan dengan kurangnya tabiat membaca. Jika sebaliknya yang ditemukan, jelaslah bahawa jumlah buku lebih banyak daripada pembaca.



+++++


BENARKAH GURU PROFESIONAL?

SERING kita dengar frasa guru sebagai profesion, profesion keguruan, profesion guru, dan ditambah dengan rangkai kata bidang profesional, daripada mulut masyarakat dan pemimpin, termasuklah pemimpin dalam Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada ungkapan itu, dapat kita simpulkan bahawa "bidang keguruan ialah satu profesion, dan sebagai satu profesion, guru ialah orang profesional".

2. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, profesion ialah pekerjaan, terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan khas. Berdasarkan latihan khas yang dijalani oleh bakal guru dan guru sedang berkhidmat, dapatlah kita katakan bahawa bidang keguruan merupakan satu profesion. Oleh itu, pendapat di atas ada benarnya. Hal ini dapat diterima dengan mengetepikan tenaga pengajar yang terdiri daripada guru sandaran tidak terlatih yang diambil berkhidmat di sekolah kerana kekurangan guru terlatih atau untuk menjadi pengganti guru yang bersalin, melanjutkan pelajaran atau bercuti panjang kerana sakit atau berehat.

3. Perkataan profesional pula, mengikut kamus yang sama, bermaksud: (i) yang berkaitan dengan bidang profesion, (ii) berasaskan (memerlukan) kemampuan atau kemahiran yang khusus untuk melaksanakannnya, cekap (teratur) dan memperlihatkan kemahiran tertentu, (iii) melibatkan pembayaran dilakukan sebagai mata pencarian, mendapat bayaran, dan (iv) orang yang mengamalkan sesuatu profesion (kerana pengetahuan, kepakaran, dan kemahirannya). Ciri-ciri di atas kelihatan wujud dalam pekerjaan guru. Oleh itu, secara kasarnya, bolehlah diterima anggapan bahawa bidang keguruan bersifat profesional.

4. Sekiranya kita perhalus tugas dan tanggungjawab guru di sekolah pada hari ini, masih tepatkah gelaran profeisonal yang diberi kepada golongan guru? Mari kita lihat tanggungjawab asas guru di sekolah. (i) Mengajarkan mata pelajaran mengikut kelulusan akademik atau ikhtisas, di samping mata pelajaran di luar kelulusannya, (ii) membimbing murid dalam bidang kokurikulum, melibatkan sukan, kelab/persatuan, dan pasukan uniform, (iii) menjadi guru tingkatan, (iv) penggubal soalan ujian/peperiksaan, (v) pemeriksa kertas ujian/peperiksaan, (vi) mencatat, merekod, dan membuat laporan hal ujian/peperiksaan, (vii) mengawasi dan menemani murid yang menyertai pelbagai aktiviti di dalam dan di luar sekolah, dan (viii) mengawasi disiplin murid sepanjang masa.

5. Isu yang suatu ketika dahulu hangat dibincangkan ialah tugas perkeranian yang terpaksa dijalankan oleh guru di samping tugas hakiki guru. Kesemua lapan tugas asas di atas melibatkan kerja-kerja perkeranian, dengan mengisi pelbagai borang dan laporan yang perlu disiapkan dalam masa yang ditentukan, lalu guru tidak cukup kaki dan tangan menyiapkan tugasan tersebut. Ketika Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan, isu ini cuba diselesaikan. Namun, sehingga sekarang, guru masih bergelumang dengan pelbagai tugas di luar tugas hakiki. Pada masa yang sama, pihak berkuasa Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran terus mencanangkan bahawa sebagai guru, individu berkenaan harus melaksanakan segala hal yang berkaitan.

6. Dengan pelbagai tugas yang dibebankan kepada guru dari semasa ke semasa ini, masihkah layak guru dipanggil sebagai profesional? Ataupun, guru layak dipanggil pekerja am yang perofesional, yang sama taraf dengan kakitangan sokongan di pejabat? Perbezaan guru dengan kakitangan am ialah, guru melaksanakan segala kerja termasuk kerja perkeranian, namun kakitangan am dan sokongan tidak melaksanakan tugas mengajar murid dalam bidang akademik dan kokurikulum.

7. Pihak kerajaan kerap melaungkan bahawa bidang keguruan hendak diperkasakan sesuai dengan tugas guru yang semakin berat. Niat kerajaan itu sangat dialu-alukan oleh guru. Namun, kaedah dan pelaksanaannya masih tidak berkesan. Akhir-akhir ini wujud pula Guru Perpustakaan dan Media (Guru Media), Guru Penyelaras Bestari, dan Guru Data, yang dilantikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri, dengan pelbagai tugas tambahan yang khusus, dianggap sebagai satu jawatan, seperti Guru Kanan Mata Pelajaran dan Guru Penolong Kanan, tetapi tanpa elaun tambahan. Yang terakhir ini, wujud pula jawatan Guru Akademik Tingkatan 6, yang perlu mengajarkan subjek tidak kurang daripada 16 waktu seminggu, dan sekiranya tidak memenuhi peruntukan waktu itu, perlu mengajarkan mata pelajaran lain walapun tidak berkaitan dengan kelulusan dan bidangnya.

8. Untuk memerkasakan guru, supaya guru dapat mendapat hak sebagai guru yang profesional, guru harus diletakkan dalam bidangnya. Guru mungkin sesuai diletakan dalam kategori yang berikut:


  1. Guru Pengurusan
  2. Guru Akademik
  3. Guru Kokurikulum
  4. Guru Kaunseling.


9. Guru Kategori 4 sudah diwujudkan, dan guru ini sudah berkhidmat mengikut bidang pengajian atau kelulusannya. Oleh itu, isu bagi kategori ini sudah selesai. Guru Kategori 1, Kategori 2 dan Kategori 3 diberi tugas hakiki mengikut kategori itu sebanyak 80%, manakala 20% lagi tugasnya membantu bidang lain. Contohnya, Guru Akademik, harus menumpukan perhatian dalam hal akademik sebanyak 80%, dan membantu tugas guru Kategori 1 atau Kategori 3 sebanyak 20%.


10. Dengan kaedah ini, guru yang pakar dalam bidang tertentu tidak mensia-siakan kepakaran atau kemahirannya dengan menumpukan bidang lain yang di luar kemampuannya. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa hanya jauhari yang mengenal maknikam. Secara tidak langsung, pembahagian tugas dan tanggungjawab begini akan mengurangkan beban minda, kudrat dan waktu guru. Hal ini membolehkah murid mendapat ilmu dan kemahiran daripada guru yang ada kepakaran. Mungkin dengan kaedah ini, guru terletak dalam kategori profesional yang sebenar.

+++++++


MUET DATANG LAGI!

HARI ini, Sabtu, 24 April 2010, berlangsung pula Malaysian University English Test (MUET) pertengahan tahun. Nampaknya, saya tidak terlepas lagi daripada tugas mengawasi peperiksaan kelolaan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ini. Kali ini saya ditugaskan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu Kampus Dungun. Taklimat kepada Pengawas yang diberikan oleh Ketua Pengawas telah dilakukan pada hari Khamis (22/4/2010) lepas di UiTM Dungun itu.
 2. Kali ini, Ketua Pengawas ialah Encik Munawar bin Mohd Ibrahim, guru dari SMK Tengku Intan Zaharah. Tiga orang pengawas lain masing-masing seorang dari SMK Tengku Intan Zaharah, Sekolah Menengah Teknik Dungun, dan SK Batu 48. Sembilan puluh orang calon terlibat di pusat MT614 ini, tetapi dua orang calon tidak hadir, menjadikan calon yang mendudukinya hanya 88 orang. Selain calon UiTM sendiri, terdapat calon dari luar UiTM yang terlibat di pusat ini. Dua orang daripadanya calon suami isteri, yang merupakan guru sekolah rendah, yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

3. Seperti biasa, calon menduduki tiga kertas ujian. Pukul 8.00 - 9.30, ujian Reading, pukul 10.00 - 11.30, ujian Writing, dan pukul 12.00 -12.30, ujian Listening. Seperti biasa juga, walaupun calon dapat berehat selama 30 minit selepas setiap ujian, pengawas tidak berpeluang berbuat demikian. Hal ini berlaku demikian kerana selepas tamat sesuatu ujian, kami perlu menyusun dan membungkus kertas ujian untuk dihantar kepada MPM jika kertas objektif, atau individu yang telah ditetapkan jika kertas bertulis.

4. Perjalanan ujian hari ini lancar. Tiada masalah teknikal pada cakera padat (CD) bagi ujian Listening. Suara pembesar suara yang disediakan pihak UiTM jelas dan tiada gangguan. Namun, didapati calon yang berada di belakang agak malang kerana agak bergema dan sebutan dalam dialog yang kadang-kadang kurang jelas. Sebaik disuruh menjawab, kebanyakan calon hanya tersenyum dan tidak berbuat apa-apa, khususnya soalan Bahagian III yang memerlukan calon menyambung ayat.

5. Ketika ujian berlangsung, dua orang penyelia peperiksaan itu dari Pejabat Pelajaran Daerah Dungun hadir. Saya mengenali kedua-duanya. Mereka mahu saya menjadi Ketua Pengawas dalam ujian MUET dan STPM hujung tahun ini, tetapi saya menolak. Mereka sudah tahu, saya sentiasa menolak untuk menjadi Ketua Pengawas kerana tidak mahu terlibat dengan banyak urusan perkeranian. Kalau Pengawas dibayar RM40.00, Ketua Pengawas dibayar RM75.00 sahaja untuk ujian yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. Seperti yang saya catat dalam catatan lepas, "Ujian MUET Tidak Mesra Pengawas", kadar bayaran itu sangat tidak munasbah, dan telah digunakan sudah bertahun-tahun lamanya. Tuntutan perjalanan juga tidak lumayan kerana pengawas yang dipilih ialah yang tinggal berhampiran dengan pusat peperiksaan. Rumah saya dengan UiTM hanya 4 kilometer: tuntutan pergi balik hari ini hanya RM4.80 sahaja mengikut kadar Kelas A dan menggunakan kereta 1500 C.C.. Perjalanan pergi balik semasa menghadiri taklimat pada hari Khamis lepas, saya mungkin mendapat RM12.00 sahaja atas dasar 10 kilometer dari sekolah. Oleh itu, dianggarkan saya memperoleh RM56.80 sahaja. Bila kami akan memperolehnya? Wallahuaklam!

6. Sebelum pulang tadi, Ketua Pengawas menghulurkan RM3.00 kepada setiap kami. Wang itu bayaran ganti bagi peruntukan minum yang harus diperoleh Pengawas semasa hari taklimat lepas. Oleh sebab kami mengambil keputusan tidak mahu minum, Ketua Pengawas menggantikannya dengan wang tunai.

 
+++++

MUET TIDAK MESRA PENGAWAS!

HARI ini, 7 November 2009, berlangsung Malaysian University English Test (MUET) edisi hujung tahun 2009 di seluruh negara. Setiap pelajar universiti wajib lulus ujian ini untuk membolehkan mereka memperoleh ijazah.

2. Ujian hari ini nampaknya rumit juga. Tidak mudah untuk menulis sepatah kata dalam satu ruangan bagi Bahagian 1, atau menulis frasa yang tidak lebih daripada lima patah kata bagi Bahagian 3. Namun begitu, itulah hakikat yang perlu dihadapi oleh calon-calon ujian ini semenjak format baharu diperkenalkan mulai akhir tahun lalu.

3. Satu hal yang harus diambil perhatian oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ialah pelaksanaan ujian itu. Sekiranya pelajar rumit hendak menjawab soalan, pengawas yang dilantik turut menghadapi kerumitan lain. Waktu ujian yang sangat sendat menyebabkan pengawas bernafas semput.

4. Tiga kertas (800/3, 800/4 dan 800/1) yang terpaksa dikendalikan dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari sangat menekan pengawas peperiksaan itu. Ruang antara setiap kertas hanya setengah jam. Calon dapat berehat, tetapi pengawas tidak mendapat ruang sedemikian. Setiap kali tamat kertas, pengawas harus mengendalikan urusan mengira kertas jawapan dan membungkus kertas jawapan itu untuk dipos, dan perlu pula menyiapkan urusan untuk kertas selanjutnya. Begitulah yang terjadi sehingga tamat kertas ketiga pada pukul 12.30. Ketika calon sudah pulang, pengawas perlu menyelesaikan urusannya juga. Tambahan lagi sekiranya pusat yang diawasi itu mempunyai lebih daripada satu jenis calon, seperti calon sekolah dengan calon persendirian, dan lebih parah apabila ada calon menumpang.

5. Yang terjadi ialah guru pengawas MUET kelaparan. Mereka mengawas peperiksaan dalam keadaan perut berkeroncong. Hal ini berlaku kerana mereka tidak ada ruang untuk makan. Mereka keluar awal dari rumah tanpa sempat menjamah sarapan, dan tidak dapat makan hingga tengah hari. Malangnya, bayaran yang diberikan untuk tempoh ujian selama 4 jam setengah hanya RM40.00! Maksudnya, imbalan itu bernilai tidak sampai RM10.00 untuk satu jam. Bayaran itu pula diterima tiga atau empat bulan kemudian. Ramai yang percaya bahawa sekiranya pengawasan peperiksaan ini dibuka kepada kakitangan kerajaan lain, tidak ada yang sanggup menerima tawaran itu. Sebabnya ialah bayarannya tidak mesra tugas!

6. MPM harus mengubah jadual yang sangat ketat itu. Satu kertas harus dijalankan pada waktu petang supaya ruang rehat yang selesa diperoleh pengawas dan calon untuk membereskan urusan masing-masing dengan sempurna. Selain itu, kadar bayaran harus ditingkatkan sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang. Bayaran RM40.00 itu sudah ketinggalan zaman!


+++++ 
 
 
TUNTUTAN BISP BAHASA MALAYSIA WAJAR

UTUSAN MALAYSIA melalui Portal Pendidikan keluaran 6 November 2009 melaporkan bahawa tuntutan Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk guru Bahasa Malaysia telah dibuat oleh golongan guru semasa sesi dialog sempena majlis Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

2. Menurut laporan itu, tuntutan dibuat dengan alasan bahawa dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI), peranan penting guru mata pelajaran Bahasa Malaysia tidak boleh dipinggirkan, kerana mereka mengajarkan bahasa yang merupakan bahasa rasmi negara ini.

3. Wacana Saya berpendapat bahawa tuntutan itu tidak mengejutkan dan tidak keterlaluan, malahan wajar. Sudah tiba masanya guru Bahasa Malaysia diberi penghargaan kerana tugas mengajarkan mata pelajaran itu tidak mudah, dan berbeza daripada pengajaran mata pelajaran bukan bahasa. Sepatutnya imbuhan tersebut dipertimbangkan lama dahulu, iaitu ketika guru mata pelajaran Sains dan Matematik serta Bahasa Inggeris menikmati imbuhan tersebut.

4. Kewajaran pemberian imbuhan itu perlu dilihat daripada beban tugas yang terpaksa dipikul oleh guru Bahasa Malaysia (BM), terutamanya di sekolah menengah. Mari kita teliti hal-hal yang berikut:



i. Calon diwajibkan lulus Bahasa Malaysia untuk layak mendapat sijil SPM.

Dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran ini merupakan beban besar guru BM yang tidak ditanggung oleh guru bahasa lain dan guru mata pelajaran lain. Peratusan pelajar yang lulus BM merupakan peratusan kelulusan sekolah. Walaupun pelajar cemerlang dalam mata pelajaran lain, mereka tidak dianugerahi sijil kerana gagal BM. Nyatalah bahawa masa depan, nasib dan “nyawa” pelajar terletak dalam tanggungjawab guru BM. Sekiranya ramai pelajar gagal BM, Panitia BM dan guru BM “ditoleh” oleh guru lain, pengurusan sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Jemaah Nazir Sekolah. Berat sungguh beban itu!



ii. Ruang lingkup tugas guru dalam pengajaran BM.

Dalam pengajaran BM, guru harus mengajarkan 4 aspek penting: (1) Penguasaan tatabahasa, (2) Penulisan karangan, (3) Penulisan rumusan, dan (4) Penghayatan Komsas.

Guru BM perlu memastikan bahawa semua aspek itu dikuasai pelajar melalui latihan yang berterusan. Oleh itu, guru perlu mengajarkan dan memeriksa latihan aspek-aspek tersebut pada setiap minggu. Perlu diingat bahawa guru BM tidak mengajar satu kelas sahaja, tetapi lazimnya mencapai tiga kelas. Dengan enam waktu seminggu bagi setiap kelas, guru BM mengajar sebanyak 18 waktu seminggu, dan mungkin di sekolah tertentu, ada tambahan mata pelajaran lain, seperti Sejarah atau Geografi, atau sekurang-kurangnya Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, dan Pendidikan Seni Visual. Sekiranya sebuah kelas itu mengandungi 30 orang pelajar, maka guru BM harus memeriksa 360 buah buku latihan yang melibatkan keempat-empat aspek bagi ketiga-tiga kelas tersebut pada setiap minggu. Untuk mengurangkan beban itu, mungkin ada guru BM yang mengurangkan latihan atau pemeriksaan latihan, tetapi akibatnya pelajar kekurangan latihan dan bimbingan.



iii. Tugas koakademik guru BM

Banyak aktiviti koakademik melibatkan bahasa. Oleh itu, yang terlibat ialah guru BM. Mereka perlu bertindak sebagai pembimbing atau jurulatih bagi aktiviti Forum Remaja, Bahas Ala Parlimen, pidato, pertandingan pantun, pertandingan deklamasi sajak, dan berbagai-bagai pertandingan yang muncul dari semasa ke semasa. Kemudian, guru itu perlu mengiringi pelajar ke tempat pertandingan sekiranya diadakan di sekolah lain. Jika menang di peringkat daerah, khidmat mereka perlu dilanjutkan ke peringkat negeri, dan kemudiannya ke peringkat kebangsaan pula.

Terdapat juga guru BM yang dilantik sebagai hakim atau juri bagi pertandingan-pertandingan tersebut. Bergegaslah mereka ke sana dan ke sini sehingga musim pertandingan tersebut tamat.

Terdapat Jabatan Pelajaran Negeri yang tidak membenarkan pertandingan dibuat pada waktu persekolahan, terutamanya sebelah pagi. Paling awal waktu dibenarkan adalah pada pukul 10.00 atau 11.00. Jika tidak, pertandingan akan dilaksanakan selepas waktu persekolahan, lazimnya bermula 2.30 atau 3.00 petang. Kadang-kadang dibuat pada hari Sabtu.

Guru BM yang menjadi guru pengiring dan juri pertandingan tidak mendapat apa-apa habuan kerja lebih masa walaupun terpaksa sampai ke rumah lewat petang atau waktu malam kerana dianggap sedang menjalankan tugas rasmi. Sedangkan pada waktu mereka sedang bertugas itu, guru lain dapat berehat di rumah atau bersantai bersama keluarga di pantai, atau menjalankan aktiviti untuk menambahkan pendapatan.

Malangnya, pada hampir hujung bulan, guru BM dan guru lain mendapat gaji yang sama mengikut gred masing-masing. Lebih malang lagi bagi guru BM yang menjadi juri pertandingan, kerap menjadi mangsa tidak senang hati guru pembimbing yang menganggap mereka sepatutnya menang tetapi tidak dimenangkan oleh juri.

Selain itu, seringkali juga guru mata pelajaran lain meminta khidmat guru BM untuk menjayakan aktiviti mereka yang melibatkan aspek kebahasaan.

5. Dengan beban tugas yang luas dan amat berat itu, amatlah wajar guru BM diberi BISP. Guru yang menjadi pembimbing, pengiring dan juri bagi pertandingan koakademik juga wajar diberi ganjaran asas mengikut peringkat pertandingan yang melibatkan mereka.

6. Pemberian imbalan itu rasanya sesuai dengan konsep pentadbiran negara kita sekarang, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.


+++++


PELAJAR YANG SERONOK

"PELAJAR berhak mendapat keseronokan dalam proses pembelajaran mereka," kata Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong, dalam pertemuan dengan Pengetua dan Guru SPM dan STPM Peringkat Daerah Dungun di Sekolah Menengah Sains Dungun, pada 15 Oktober 2009 (Khamis), pukul 2.30 petang.

2. Menurutnya, guru harus melakukan apa-apa sahaja yang wajar agar dapat menyeronokkan pelajar dalam pembelajaran mereka, yang membolehkan mereka terus selesa belajar dan ingin terus belajar. Tambahnya lagi, guru harus rasa bersalah sekiranya pelajar tidak memperoleh keseronokan.

3. Perkataan "seronok" itu mungkin ada perkaitan dengan perkataan "menarik" yang selalu digunakan dalam buku pedagogi tentang kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan. Sekiranya pengajaran guru menarik, atau pelajar tertarik dengan pengajaran guru, maka pelajar pun seronok.

4. Apabila pelajar seronok belajar, guru juga semakin seronok mengajar. Letih lelah guru akan terubat apabila pelajar ingin belajar dan menunjukkan keseronokan mereka ketika mengikuti pelajaran. Lazimnya, guru tetap akan seronok menyampaikan pengajaran walaupun ada pelajarnya yang tidak seronok belajar. Guru tetap mengajar. Sekiranya guru tidak mengajar, guru akan dikatakan makan gaji buta atau tidak mempunyai komitmen dalam melaksanakan tugas hakiki mereka. Dalam keadaan tetap melaksanakan tugas walaupun menghadapi pelbagai masalah dari banyak penjuru, guru masih lagi diserang oleh pihak yang tidak berpuas hati.

5. Segelintir pelajar sekarang memang tidak seronok apabila disuruh melakukan tugas sebagai pelajar. Mereka seronok apabila kerja sekolah tidak disiapkan. Mereka seronok menghilangkan diri atau datang lewat apabila disuruh menghadiri perhimpunan mingguan dan harian. Masa yang sepatutnya mereka berada di dalam bilik darjah, mereka seronok meronda ke tempat lain. Terdapat juga pelajar yang seronok meninggalkan kawasan sekolah dengan melompat pagar pada waktu persekolahan, dan kemudiannya seronok kembali melompat pagar ke kawasan sekolah. Mereka seronok membiarkan ekor baju terjuih keluar daripada seluar, dan mereka makin seronok apabila cikgu menegur mereka supaya membetulkan keadaan baju itu, mereka mematuhinya sebentar, namun sebaik sahaja guru berlalu, ekor baju itu dijuihkan kembali.

6. Dalam situasi ini, sekiranya mahu pelajar demikian terus seronok, guru perlu mengajarkan hal yang dapat menyeronokkan mereka. Yang malangnya, hal yang menyeronokkan segelintir pelajar ini tidak terdapat dalam sukatan pelajaran dan bertentangan dengan disiplin sekolah.

7. Pelajar yang tidak seronok belajar ini sukar ditangani. Sekiranya ditegur dan dikenakan tindakan, ada tindakan balas yang dibuat mereka, dan lebih parah apabila tindakan mereka mendapat restu ibu bapa, termasuk ahli masyarakat tertentu. Jika tidak ditegur, gelagat mereka mengganggu emosi guru dan pelajar lain, malahan dengan tidak menegur mereka, guru dianggap telah melanggar etika keguruan. Benarlah, menjadi guru seperti berada di persimpangan yang berbahaya. Ditegur salah, tidak ditegur pun salah.

8. Pelajar yang sedemikian juga, lebih seronok berkumpul dengan kumpulan yang sehati sejiwa, melepak di tempat tertentu, dan mengusik orang yang lalu. Mengusik dan mengenakan orang lain ialah keseronokan yang tiada taranya bagi mereka. Apabila keseronokan mereka itu terhalang, seronoklah pula mereka bertindak balas! Akibatnya, orang lain pula yang tidak seronok.


9. Memang ramai juga pelajar yang ingin belajar dan seronok di sekolah. Golongan inilah yang ingin dididik dengan sempurna oleh guru. Namun demikian, dengan wujudnya golongan yang tidak seronok belajar itu, keseronokan golongan yang seronok belajar akan terjejas, maka kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

10. Oleh hal yang demikian, golongan yang tidak seronok belajar ini sepatutnya tidak dibiarkan berada dalam kawasan sekolah. Biarlah mereka meraikan keseronokan mereka dengan cara mereka di luar sekolah. Kementerian Pelajaran harus membebaskan mereka atau tidak memaksa mereka agar menikmati rasa tidak seronok di sekolah. Jika mereka tidak mahu berhenti sendiri, tidak wajarkah kita berhentikan mereka? Jangan tunggu sehingga sampai satu tahap kritikal apabila guru pula merasakan tidak seronok mengajar!

+++++

 
PELAJAR SAINS SESUAI AMBIL MATA PELAJARAN SASTERA

BERITA Harian 22 Oktober 2009 melaporkan bahawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan agar mata pelajaran Sastera kembali diajarkan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Menurutnya, pengajaran mata pelajaran itu pernah dilaksanakan di SBP sebelum ini.

2. Cadangan tersebut mempunyai asas yang kuat untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran. Tidak aneh bagi pelajar aliran Sains mengambil mata pelajaran dalam aliran Kemanusiaan. Unsur dalam subjek Sastera sebenarnya memberi banyak imbangan nilai murni kepada pelajar.

3. Selama ini, Sastera hanya diambil oleh pelajar aliran Kemanusiaan. Di sekolah harian biasa, banyak sekolah meletakkan mata pelajaran ini diambil oleh pelajar sederhana, malahan terdapat sekolah yang menetapkan subjek ini diambil oleh pelajar kelas belakang atau lemah. Hal sedemikian tidak wajar, malahan tidak tepat. Mata pelajaran Sastera bukan mata pelajaran yang mudah. Pelajar perlu rajin membaca dan harus bijak membuat tafsiran unsur cerita dan unsur sasteranya. Pelajar berpencapaian sederhana, lebih-lebih lagi yang lemah, didapati tidak dapat menghayati cerita dan unsur sastera dengan baik, menyebabkan ramai yang gagal. Pelajar kumpulan ini kurang gemar membaca berbanding dengan pelajar yang cerdik, yang kebanyakannya mengikuti aliran Sains.

4. Sekiranya dibenarkan pelajar aliran Sains mengambil Sastera, mata pelajaran ini akan dapat dipopularkan. Guru yang mengajarkan mata pelajaran ini juga seharusnya bukan guru Bahasa Melayu, tetapi sebaik-baiknya guru yang cemerlang atau mengkhusus dalam Sastera ketika di universiti atau semasa mengikuti kursus perguruan. Guru yang tidak mempunyai ilmu kesusasteraan yang tinggi dapat menyebabkan mata pelajaran ini hambar dalam kalangan pelajar. Akibatnya, banyak sekolah sudah melupakan mata pelajaran Sastera di peringkat SPM, dan sudah lama mengetepikannya pada peringkat STPM. Sastera masih hidup secara "kurang bertenaga" di sekolah hanya kerana kewujudan Kompenan Sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

5. Banyak nilai murni tersurat dan tersirat dalam karya sastera. Bahasanya yang indah, pengemukaan mesej secara bercerita, pengajaran yang secara tidak langsung, serta menuntut pelajar mencari dasar pemikirannya, merupakan elemen-elemen penting untuk memperkuat daya kreatif pelajar. Oleh itu, sekiranya pelajar Sains mengambil mata pelajaran ini, mereka dapat mengimbangkan diri dengan menggabung jalin fakta dalam Sains dengan keindahan dan seni dalam Sastera. Dengan yang demikian, pelajar ini akan menjadi pelajar yang hebat.
                          
+++++



BUDAYA MENULIS CATATAN

SEMASA Perhimpunan Mingguan, Ahad, 27 September 2009 lalu, Pengetua Kanan SMK Sultan Omar, Dungun, Encik Abdul Rahman bin Husin menyarankan agar pelajar mempunyai buku catatan dan membawa buku itu ketika menghadiri perhimpunan. Menurutnya, buku catatan sangat penting dibawa ke majlis perhimpunan kerana banyak maklumat dan pandangan dikemukakan oleh guru ketika itu. Hal ini demikian, menurut beliau, tanpa mencatat maklumat tersebut, kita mungkin terlupa dan tidak dapat dijadikan rujukan.

2. Saranan tersebut wajar diberikan perhatian. Buku catatan harus menjadi rakan akrab kita ke mana-mana sahaja kita pergi, apatah lagi dalam majlis ilmu. Ketika mendengar tazkirah di masjid atau di surau juga, elok bagi kita jika membuat catatan.

3. Dengan adanya buku tersebut, kita tidak terkial-kial mencari cebisan kertas untuk mencatat sesuatu yang mustahak yang tiba-tiba kita dapati, seperti nombor telefon baharu rakan kita, alamat, waktu, dan sebagainya. Individu yang ingin menjadi penulis harus mengamalkan tabiat ini. Bawalah sebuah buku kecil di dalam poket seluar dengan sebatang pen pendek.

4. Budaya mencatat memberi kita banyak faedah. Tanpa catatan, sesuatu maklumat atau peristiwa tidak akan kekal lama dalam perhatian dan ingatan kita, dan tidak diketahui oleh orang terkemudian. Kita dapati, orang Barat dan orang dari negara China pada zaman dahulu, apabila mereka mengembara, mereka tidak lupa untuk mencatat hal yang mereka lihat dan alami. Catatan mereka kemudiannya menjadi bahan rujukan atau jurnal yang sangat berguna pada kemudian hari. Hal mengenai Asia Tenggara, termasuk hal negara kita sendiri, umpamanya, diketahui melalui beberapa buah jurnal atau buku catatan daripada orang-orang berkenaan. I-Tsing, umpamanya, mencatat hal bahasa yang digunakan oleh orang-orang di Nusantara pada abad ke-6 Masihi. Catatannya itu kini digunakan untuk mengkaji bahasa dan nama awal negeri dan pulau di Nusantara. Saya sangat yakin bahawa kita tidak mengetahui sejarah nenek moyang kita sekiranya tiada catatan yang ditinggalkan oleh golongan pengembara tersebut.

5. Pelajar yang baik dalam karangan lazimnya terdiri daripada pelajar yang suka menulis catatan. Dengan menulis catatan harian atau diari, misalnya, membolehkan pelajar menguasai cara memperluas ayat dan maklumat. Penulis kreatif yang terkenal pada hari ini juga kebanyakannya orang yang suka menulis catatan harian, malahan catatan itu menjadi bahan rujukan yang amat berguna bagi mereka untuk menggarap karya

6. Anda boleh memulakan tabiat suka mencatat sesuatu ini dengan menulis diari. Paksa diri anda menulis catatan pada setiap hari, sekurang-kurangnya lima atau enam ayat. Catatlah apa-apa yang menarik perhatian anda pada hari itu, seperti peristiwa yang anda lihat, hal yang terjadi ke atas diri anda sendiri, tayangan menarik di televisyen, dan sebagainya. Dengan cara demikian, selain semata-mata mencatat sesuatu, secara tidak langsung anda mengasah minda anda untuk memberi ulasan atau pandangan. Kalau anda mampu menulis sehalaman pada setiap hari, anda memang hebat!
.