x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

23 Disember 2010

46. BERMULANYA KEHIDUPAN DI DUNGUN

.
AKU, isteri dan anak-anak tiba di Dungun pada waktu menjelang Subuh. Bas Transnasional yang kami naiki berhenti di hadapan Hospital Dungun. Abah dan mama isteriku sudah menunggu kami. Bapa mentuaku tiba lebih awal dengan lori kerana mereka bertolak terus ke Terengganu sebaik-baik sahaja meninggalkan Pantai Dalam petang semalam.

Kami dibawa ke rumah baharu mentuaku di Kampung Paya, Balai Besar. Jaraknya lebih kurang lima kilometer dari Hopsital Dungun, berbanding dengan rumah asal mentuaku yang hanyalah kira-kira 500 meter dari hospital itu. Rumah baharu itu dibina di atas tapak yang tanah yang baru diteroka, dan belum mendapat milik yang sah. Rumah itu juga tidak sebesar rumah sewa mereka di Jalan Bunga Raya, di depan Hospital Dungun itu. Oleh itu, keputusan isteriku tidak mahu tinggal bersama dengan ibu bapanya aku kira amat tepat. Aku sendiri juga tidak selesa tinggal bersama mereka kerana kami ingin mempunyai kebebasan sendiri.

Pada pukul 9.00 pagi, selepas sarapan, kedua-dua mentuaku itu membawa kami ke rumah sewa yang telah dicarikan untuk kami. Rumah itu terletak di Jalan Pak Dagang. Rumah itu amat luas berbanding dengan rumah sewaku di Pantai Dalam dahulu. Rumah kayu itu mengandungi dua buah bilik, ruang tamu dan ruang dapur yang luas, serta ruang makan yang selesa. Bilik mandi dan bilik tandas dibina berasingan tetapi bersebelahan sahaja. Bilik utama yang aku dan isteri diami mempunyai dua buah pintu: sebuah menghala terus ke bilik air, dan sebuah lagi menghala ke ruang tamu. Ruang di luar rumah juga luas, dapat memberi peluang kepada kami menanam pokok ulam.

Lori yang membawa barang kami tiba ke rumah sewa baharuku itu pada pukul 9.30 pagi. Kami memunggah semua barang ke dalam rumah. Jiran di sebelah kiri rumah kami dikenali sebagai Ayah Wan, pembaca meter di Tenaga Nasional Dungun, di kiri rumah. Jiran di sebelah kanan dipanggil Mak Long. Arwah suaminya dikenali oleh bapa mentuaku kerana pernah bekerja di Jabatan Hutan. Di hadapan rumahku terdapat tiga buah rumah. Hampir setiap rumah di sekitar kawasan itu mempunyai sekurang-kurangnya sebatang pokok mempelam. Pokok mempelam di rumah jiran di depan rumah sewaku sedang berbuah lebat dan kelihatannya sudah matang.

Pemilik rumah sewaku itu ialah isteri Cikgu Harun. Orang memanggilnya cikgu kerana pernah menjadi cikgu, tetapi sudah berhenti kerana dipilih menjadi wakil rakyat Dewan Negeri Terengganu. Kami mengunjunginya selepas mengemas rumah sewa kami. Rumah batu dua tingkat yang didiaminya terletak di Jalan Masjid di Kampung Molek, betul-betul di hadapan Masjid Intan Zaharah. Dia meminta sewanya RM200.00 sahaja sebulan, yang perlu kami bayar pada akhir bulan. Dia tidak meminta wang deposit dan bayaran bulan pertama. Dia juga menyuruh kami menggunakan kelapa yang ada di belakang rumah itu sekiranya luruh, tanpa apa-apa bayaran. Sebelum kami, rumah tersebut disewa oleh seorang peniaga. Cikgu Harun membenarkan kami mendiami rumah itu hari itu juga.

Rumah sewaku itu agak strategik. Letaknya tidak jauh dari Pasar Dungun dan Stesen Bas Dungun. Di Jalan Besar yang lebih kurang 100 meter di hadapan rumah kami, terdapat Kedai Buku Wan Ariffin, yang memudahkan kami mendapatkan surat khabar dan majalah bulanan. Dua buah kedai runcit ada di belakang rumah, dan terdapat dua tiga buah lagi di Jalan Besar. Lebih kurang 200 meter di belakang Kedai Buku Wan Ariffin, terbentang hujung Pantai Teluk Lipat di muka kuala Sungai Dungun. Di kuala sungai itu terletak pula kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun.

Dua tiga hari sebelum bulan April 1998, bermulalah kehidupanku di daerah Dungun.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan