x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

29 Mac 2011

51. KURSUS INDUKSI DI LANGKAWI

UNTUK pengesahan jawatan, aku harus mengikuti Kursus Induksi untuk memenuhi keperluan Sistem Saraan Baru (SSB) pada tahun 2000. Mula-mulanya aku diminta mengikuti kursus yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bagi siri kedua pada bulan Mac. Namun demikian, beberapa hari sebelum tarikh itu tiba, pegawai dari jabatan itu, Encik Mohamad bin Acob memintaku agar memberi tempatku kepada seorang guru lain yang tercicir. Guru itu perlu segera mengikuti kursus kerana tempoh percubaannya sudah hampir tamat. Dia berjanji aku pasti mendapat tempat pada siri ketiga nanti. Beliau menunaikan janjinya apabila aku dipanggil mengikuti kursus pada bulan Mei. Kursusku itu diadakan di Pusat Latihan Chandek Kura, Langkawi.

Penangguhan yang aku alami itu membolehkan aku berkursus bersama dengan dua orang rakanku, Cikgu Mohd Marzuki bin Mat Jusoh, dan Cikgu Mazuki bin Jaafar. Kebetulan pula kami sekapal; semuanya berasal dari Kelantan. Cikgu Mazuki yang ketika itu sedang bertugas dalam aktiviti perkhemahan untuk sekumpulan pelajar sekolah kami di Kemaman dipanggil serta-merta.

Kursus bermula pada 9 Mei 2000 hingga 27 Mei 2000. Kami diminta berkumpul di Jabatan Pendidikan Terengganu pada malam 8 Mei 2000. Kami bertolak ke Langkawi pada pukul 11.00 malam dengan dua buah bas. Terdapat peserta kursus yang menaiki bas di Setiu. Kami tiba di jeti feri Kuala Perlis semasa waktu Subuh esoknya. Selepas menikmati sarapan pagi secara sendiri-sendiri di Kuala Perlis, kami menaiki feri ke Pulau Langkawi, dan melapor diri untuk kursus ketika tengah hari. Selepas makan tengah hari dan mengerjakan sembahyang, kami terus mengikuti sesi pertama kursus kami, iaitu taklimat perjalanan kursus.

Ini kali kedua aku tiba di Langkawi. Kali pertama pada bulan Disember 1991. Ketika itu umurku 29 tahun. Anak sulungku, Suzati, berusia setahun. Dia baru pandai berjalan ketika itu. Aku ke Langkawi bersama dengan isteri, kedua-dua ibu bapanya, adiknya yang sudah berkahwin bersama dengan suami dan dua orang anaknya, bapa dan emak saudaranya dengan dua orang anak mereka, dan seorang rakan isteriku yang selalu datang ke rumahnya. Ketika itu Langkawi sedang sibuk dengan kemeriahan Pameran Laut dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Kursus kami diadakan di Hotel Chandek Kura, Langkawi. Kursus diadakan pada waktu pagi, petang dan malam setiap hari, kecuali hari Jumaat. Terdapat satu hari semasa kursus kami berlangsung itu merupakan hari cuti umum, tetapi kami tidak diberi pelepasan. Aku tinggal sebilik dengan kedua-dua rakan sesekolahku itu. Seorang daripada fasilitator kursus itu ialah Pengetua sekolahku sendiri, YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam. Ketika kursus berlangsung, perlawanan pusingan akhir Piala Thomas sedang berlangsung. Kami kecewa kerana pasukan Malaysia terkeluar daripada persaingan sangat awal.

Walaupun kami selalu kesuntukan masa, aku dan rakan-rakan mengambil kesempatan ke pekan Kuah selepas berakhirnya sesi petang pada pukul 4.30. Kami akan membeli barang yang sempat, dan terpaksa bergegas pulang segera untuk makan malam dan menyertai sesi kursus. Pada suatu hari, kami dibawa mengelilingi pulau legenda itu. Kami ke akuarium bawah laut, Under Water World, Makam Mahsuri, kilang membuat minyak gamat, dan membeli-belah di pekan Kuah. Aku tidak berbelanja banyak kerana aku memang kesuntukan wang. Aku cuma membeli baju-T bercap Langkawi untuk isteri dan anak-anak, di samping untuk diriku sendiri. Selain itu, aku membeli dua helai kain batik untuk isteriku. Di samping aku kekurangan duit, sebenarnya aku tidak pandai membeli barang yang sesuai.

Pada suatu pagi kami dikehendaki berlari ala rentas desa. Biasanya aku tidak kisah hal berlari. Namun, mungkin kerana sudah lama tidak berlari jarak jauh, aku berasa sungguh letih. Jarak yang hendak dihabiskan itu rasanya seperti akan berakhir beberapa hari. Punggungku terasa sakit dan aku gagal berlari lancar. Akhirnya aku dapat menghabiskan larian tetapi berasa sangat menderita. Sebaik tiba di hotel, kami mengambil sarapan, dan kembali ke bilik untuk membersihkan diri. Kami harus masuk ke bilik kuliah tepat pada pukul 8.00 pagi.

Dalam agenda kursus itu, kami dikehendaki memilih satu tajuk dan membuat pembentangan di hadapan peserta dan akan dinilai oleh pegawai yang berkenaan. Setelah berfikir keras dan yakin mempunyai isi yang sesuai untuk diperkatakan, aku memilih tajuk tentang perkembangan sastera. Aku mencadangkan pihak berwajib mengkaji semula hal mata pelajaran sastera yang semakin dilupakan. Aku mahu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM tidak diberikan kepada pelajar yang lemah, kerana subjek itu memerlukan pemikiran dan kreativiti. Pelajar sederhana dan lemah tidak mampu memahami mesej dalam sastera. Untuk mencapai keputusan yang baik dalam mata pelajaran itu, pelajar harus rajin dan cekap. Mula-mulanya aku agak gementar ketika membentangkan pendapatku. Alhamdulillah, aku dapat menguasai perasan gemuruhku. Aku dapat menamatkan pembentangan dalam masa yang ditetapkan.

Kami juga dikehendaki menyiapkan tugasan bertulis. Satu tugasan kumpulan dan satu lagi tugasan individu. Tugasan kumpulan dapat disiapkan semasa berkursus dan dihantar kepada urus setia, namun kebanyakan kami tidak sempat menyiapkan tugasan individu. Hal tersebut terjadi kerana kekangan masa, kekurangan komputer dan ketiadaan buku rujukan di tempat kursus. Kami akhirnya dibenarkan menyerahkan tugasan dalam masa seminggu selepas kursus, dengan menghantar sendiri ke jabatan pendidikan atau mengeposnya. Aku mengeposnya tiga hari selepas pulang dari Langkawi.

Satu hal yang tidak terlepas daripada ingatanku ketika berkursus ialah hal isteriku yang sedang sarat mengandung. Dia dijangka melahirkan anak ketiga kami itu pada pertengahan bulan Jun. Aku berharap tidak ada musibah menimpa isteriku. Aku masih teringat dia terjatuh dua kali ketika mengandungkan Syafiq Hakimi dahulu.

Penilaian terakhir ialah peperiksaan. Ujian diadakan pada 26 hingga 27 Mei 2000. Selepas menamatkan peperiksaan kertas terakhir, kami terus menikmati makan tengah hari di restoran hotel. Selepas itu, kami segera berkemas untuk pulang. Bas akan membawa kami ke jeti Kuah. Kami bertolak dari Kuala Perlis ketika petang sudah agak tua.

Keputusan kursus diketahui lebih setahun kemudian. Surat pengesahan jawatanku dikeluarkan oleh SPP melalui surat SPP yang bertarikh 20 Julai 2001. Pergerakan gajiku tetap pada 1 April. Pengesahanku dalam perkhidmatan ditetapkan bermula 1 Jun 2001. Pada tahun itu juga pergerakan gaji tahunanku diputuskan secara MENDATAR dengan prestasi CEMERLANG. Pada bulan September 2001, aku menerima opsyen bersara wajib pada umur 56 tahun.

.

24 Mac 2011

50. TEMU DUGA UNTUK PELANTIKAN

.
AKU melapor diri di SMK Sultan Omar, Dungun pada 1 April 1998, tidak sampai sebulan menamatkan pengajian ijazah pertama di Universiti Malaya. Aku menjalani temu duga pelantikan ke jawatan tetap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) DG3 di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jalan Air Jerneh, Kuala Terengganu pada 22 Julai 1998. Seorang guru kaunselor sekolahku, lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia, Encik Che Wan Ismail bin Che Wan Ngah, turut ditemu duga pada hari dan tempat yang sama. Aku menumpang keretanya ke sana.

Aku tidak mempunyai kot. Nasib baiklah Cikgu Che Wan Ismail mempunyai kot lama yang sudah tidak muat untuknya. Aku meminjam kot itu. Di sekolah, aku jarang memakai tali leher. Sebenarnya aku tidak pandai mengikat tali leher. Pernah aku berpeluh untuk memakainya tetapi tidak menjadi. Sekali ikat terlalu pendek, tetapi ikat kali lain, panjang pula. Akhirnya, aku menggunakan tali leher berzip yang selalu aku gunakan ketika temu duga pelantikan Gred C2 di Jengka 10 dahulu. Dengan tali leher itulah aku masuk menghadapi penemu duga.

Rupa-rupanya seorang saja penemu duga yang akan aku hadapi. Penemu duga itu keturunan Sikh. Dia memberitahuku dia sebenarnya seorang doktor, dipinjamkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam untuk temu duga SPP. Ketika itu demam bola sepak Piala Dunia sedang melanda dunia. Penemu duga itu sangat meminati bola sepak. Beberapa soalan umum berkisar di sekitar hal bola sepak, terutamanya pemain. Alhamdulillah, aku dapat “berbincang” dengan baik kerana ketika itu aku masih mengikuti perkembangan bola sepak negara dan dunia. Aku dapat menamakan pemain mengikut negara yang diwakili. Penemu duga itu juga mengajakku berbincang tentang hal agama Islam, termasuk tentang zakat dan puasa. Daripada percakapannya, dia menghormati semua agama, dan sangat menjaga hak yang telah ditentukan untuk sesuatu kaum.

Soalan terakhirnya menjerat aku apabila dia bertanya tentang konsep piramid dalam matematik. Aku yang sangat lemah dalam mata pelajaran itu, dan semenjak menceburi bidang keguruan tidak pernah ambil tahu hal matematik, tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukakan. Aku mengaku bahawa aku gagal untuk memberi jawapan. Kebimbangan terpacak dalam benakku kalau-kalau aku gagal dalam temu duga itu kerana kegagalan menjawab soalan tersebut. Tambahan pula aku ada mendengar khabar, yang entah sah atau tidak, bahawa kelulusan diberi berdasarkan kuota. Sungguh malang nasibku kalau aku tidak termasuk dalam kuota yang dikatakan itu. Kegagalan, kalau terjadi, akan menyebabkan pelantikanku tertangguh dan akan merugikan waktu dari segi kekananan dan menjejaskan peluang tertentu.

Syukurlah, kebimbangan aku itu tidak menjadi kenyataan. Aku diberi tawaran pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan pada bulan Oktober 1998. Akhirnya aku menerima surat pelantikanku yang mengesahkan aku dilantik ke jawatan PPPS DG3 Kumpulan Pengurusan dan Profesional mulai 1 Jun 1998 dengan tempoh percubaan selama tiga tahun. Pelantikan itu dibuat melalui surat SPP.70/1/12-62697/(23) bertarikh 14 Disember 1998. Gaji permulaanku pada tangga P1T4, iaitu RM1360.00.


.

18 Mac 2011

49. MENYAMBUNG HAYAT MAJALAH "PELITA"

PADA tahun 1999, aku ditugaskan memimpin Kelab Seni Foto. Dengan itu, aku turut ditugaskan sebagai jurugambar Unit Dokumentasi Sekolah. Aku menjadi pembantu kepada Cikgu Khuzainol bin Che Abdullah. Sebagai pembantu, aku yang lebih banyak bertugas merakam gambar setiap peristiwa di sekolah dengan menggunakan kamera biasa. Cikgu Khuzainol ketika itu mempunyai penyakit yang tidak membolehkannya bergerak pantas dan sentiasa mundar-mandir.
.
Kamera pada masa itu kamera manual yang menggunakan filem. Aku yang sudah biasa dengan kamera tidaklah terlalu kekok menggunakan kamera yang disediakan. Selalunya aku memasukkan filem bilangan 24, tetapi jika peristiwa itu melibatkan masa yang panjang, aku akan memasukkan filem bilangan 36. Kadang-kadang aku menyediakan filem tambahan.
.
Walaupun ada pelajar dari Kelab Seni Foto yang boleh diharapkan merakam gambar, aku tidak melepaskan kamera sepanjang masa kepada pelajar. Aku harus memastikan setiap keping gambar yang diambil itu elok dan dapat digunakan. Harga segulung filem bilangan 36 mahal. Apabila habis digunakan, filem itu perlu dicuci di kedai gambar. Bayaran untuk membuka segulung filem juga sudah RM3.00 ketika itu, ditambah lagi dengan setiap keping filem yang dicuci bernilai 40 sen. Nasib baik kos mencucinya diberikan oleh Unit Kokurikulum. Kadang-kadang Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang menghulur bantuan.
.
Pada tahun itu juga, Pengetua sekolahku, Haji Abdullah bin Ali, akan bersara pada 31 Oktober 1999. Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Awang bin Junoh, memintaku menerbitkan majalah sekolah khas untuk persaraan Pengetua. Selama ini aku memang terfikir tentang majalah sekolah, tetapi aku tidak pernah menyatakan hal itu kepada sesiapa, kerana tidak mahu menjadi "tiada batu beban digalas". Sudah lama aku tidak mengendalikan tugas yang berat itu, namun aku tidak menolaknya. Sudah sampai masanya aku kembali bergelumang dengan tugas yang sudah menjadi kebiasaanku itu.
.
Koperasi sekolahku menghadiahkan sebuah kamera baharu khas untuk kegunaan majalah sekolah. Kamera itu lebih besar daripada kamera yang sebelum ini sudah agak usang. Kamera baharu ini juga menggunakan kawalan atau fokus. Aku terpaksa membiasakan diri dengan kamera baharu ini.
.
Majalah sekolahku ini diberi nama Pelita. Cikgu Awang memberiku sebuah majalah bilangan ke-17, yang diterbitkan pada tahun 1992, yang dianggapnya yang terakhir diterbitkan. Jika benar demikian, majalah terakhir itu diterbitkan lapan tahun sebelum aku menjadi warga guru di sekolah ini. Aku meminta Cikgu Awang menyediakan aku guru-guru yang dapat membantuku mengumpul karya dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina, mendapatkan maklumat guru dan sekolah, mendapatkan laporan daripada kelab dan persatuan, sukan dan permainan, dan unit uniform. Aku memilih Amaniah binti Yob sebagai Ketua Editor Pelajar, dan memilih 17 orang sidang redaksi lain untuk membantu guru-guru yang terlibat. Guru yang terlibat ialah Encik Suhaimi bin Sulong (Setiausaha), Encik Marzuki bin Abdullah (Bendahari), Yang Mulia Raja Zahri bin Raja Haron (Bahasa Melayu), Puan Mazmin binti Mohd Shariff (Bahasa Inggeris), Puan Loh Chin Eng (Bahasa Cina), Encik Khuzainol bin Che Abdullah dan Encik Wan Ikhram Zaki bin Wan Abas (Rakaman Foto), Puan Nik Zainab binti Nik Mood dan Puan Rohana binti Abdul Rahman (Laporan/Data), Encik Zul bin Mohamad (Grafik), dan Encik Kamaruddin bin Saman (Iklan).
.
Majalah Pelita (Bil. 18) ini setebal 176 halaman. Pencetaknya ialah Penerbitan Seri Kota, yang beroperasi di Kuala Lumpur. Aku dapati semua majalah sebelum ini dicetak oleh syarikat itu. Ketika itu aku belum lagi menggunakan komputer sepenuhnya. Terdapat artikel yang bertulis tangan sahaja, dan sebahagian lagi bertaip menggunakan mesin taip. Gambar dipotong dan ditampal pada bahagian yang diperlukan pada kertas taip ukuran A4. Tampalan dibuat dengan menggunakan gam yang boleh ditanggalkan dengan mudah tanpa merosakkan kertas dan gambar. Apabila siap, manuskrip awal itu diserah kepada pencetak. Pihak pencetak akan menaip bahan itu semula, dan manuskripnya dikembalikan kepadaku untuk disemak.
.
Aku menghabiskan banyak waktu mengendalikan majalah ini dari awal hinggalah aku mengembalikan manuskrip yang banyak pembetulan ejaan, binaan ayat, latar letak gambar, dan sebagainya. Aku terpaksa tidur lewat malam pada setiap hari, kerana pada waktu malam sahajalah aku dapat menumpukan perhatianku tentang proses penyiapannya. Apabila diserahkan kepada pencetak, aku berasa sungguh lega. Namun demikian, majalah itu tidak sempat siap semasa Tuan Haji Abdullah bin Ali bersara. Gambarnya semasa majlis persaraan itu turut disiarkan bersama-sama dengan artikel ringkas yang memuatkan biodatanya yang kutulis sendiri pada muka surat 35 hingga 36. Majalah itu dapat diedarkan pada tahun berikutnya.
.
Penerbitan majalah tahun 1999 itu menjadi titik tolak kepada lanjutnya usia Pelita. Majalah edisi seterusnya telah diterbitkan pada tahun 2002 (Bil. 19), 2004 (Edisi 20), 2006 (Edisi 21), 2008 (Edisi 22), dan 2009 (Edisi Khas 50 Tahun).
.