x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

19 Jun 2011

54. BERKUMANDANG LAGU "SMKSO CEMERLANG"


TAHUN 2003 ialah tahun keenam aku berkhidmat di SMK Sultan Omar. Ketika itu sekolah itu ditadbir oleh Encik Jain Awang. Sehingga tahun itu, lagu sekolah tidak pernah kudengar. Ketika Perhimpunan Mingguan, yang dinyanyikan hanyalah lagu “Negaraku” dan “Negeri Terengganu”, tiada lagu sekolah.

Cikgu Delfy binti Amrin, Bendahari Koperasi SMKSO, berpendapat bahawa sekolah kami wajar mempunyai lagu sendiri. Aku bersetuju dengan pendapatnya itu, tetapi aku tidak mengaku bahawa aku yang layak mencipta lagu itu. Dia bersungguh-sungguh mahu aku menulis lirik tersebut. Akhirnya aku bersetuju. Cikgu Delfy tidak memberiku tempoh untuk menyiapkan seni kata itu, tetapi mahu agar disegerakan.

Memang sukar untukku menulis liriknya. Aku teringat betapa rumitnya hendak menggaul seni kata dengan iramanya ketika aku dikehendaki oleh Encik Abdul Murad Hamid menulis lirik nasyid bersempena dengan Tilawah al-Quran pada tahun 1985 di Institut Bahasa dahulu. Namun, Cikgu Delfy meyakinkan aku bahawa nadanya rancak dan penggubah akan menyesuaikan lagunya dengan lirikku, dan bukan sebaliknya.

Penggubah lagu itu nanti tidak lain daripada Encik Muhammad bin Tahir. Dia suami Cikgu Delfy. Cikgu Muhammad, yang selalu dipanggil Mat Tahir, guru Muzik di SK Sultan Omar, dan kemudiannya bertukar ke SK Balai Besar. Aku tahu dia merupakan rakan baik kepada penggubah lagu tanah air, Manan Ngah. Beberapa buah lagu gubahan Manan Ngah mendapat sentuhan dan pertolongan Cikgu Muhammad.

Untuk menulis lirik itu, aku terpaksa meneliti beberapa lirik lagu sekolah yang pernah kudengar. Aku juga meneliti lirik beberapa buah lagu khas yang selalu disiarkan dalam media elektronik. Seterusnya, aku perlu memahami misi dan visi sekolahku, di samping menerapkan nilai yang sesuai.

Lama juga aku mengambil masa untuk menyiapkan lirik itu. Lirik harus ringkas, tepat, dan padat. Aku harus mengambil kira irama yang bakal digubah oleh Cikgu Mat Tahir nanti. Aku tidak mahu memberinya masalah. Sekiranya lirikku diubahsuai dengan banyak untuk disesuaikan dengan lagunya, aku mungkin akan agak kecewa seperti yang kualami ketika menghasilkan lirik dua buah nasyid Tilawah al-Quran pada tahun 1985 itu.

Pada bulan Ogos 2003, aku menyerahkan lirik yang kujudulkan, “SMKSO Cemerlang” kepada Cikgu Delfy. Judul itu sesuai dengan slogan sekolah “SMKSO Cemerlang Pada Alaf Baharu” yang diguna pakai mulai tahun 2001. Ketika itu aku diberitahu oleh Cikgu Delfy bahawa Cikgu Jain belum mengetahui program kami itu. Dia mahu membuat kejutan. Apabila aku menyerahkan lirik itu, aku tidak menghiraukannya lagi. Terpulanglah kepada Cikgu Mat Tahir untuk membuat tindakan seterusnya. Namun, sebelum cuti akhir tahun bermula, Cikgu Delfi memaklumkan bahawa proses menggubah lagu itu sudah tiba ke peringkat akhir. Dia juga memberitahuku bahawa Cikgu Jain ada menyebutkan hal penggubahan lagu sekolah. Menurutnya, pengetua itu agak terperanjat apabila dimaklumkan bahawa hasratnya akan tertunai pada awal tahun hadapan.





Sebelum berakhir tahun 2003, ketika Mesyuarat Guru Sesi 2004 Kali Pertama diadakan, Cikgu Jain mengumumkan bahawa mulai awal tahun 2004 nanti lagu sekolah akan diperkenalkan. Pelajar tingkatan satu 2004 akan dilatih untuk menyanyikan lagu itu semasa Minggu Suai Kenal pada minggu pertama. Nyanyian pertama akan dipersembahkan dalam Perhimpunan Mingguan minggu kedua nanti. Semasa mesyuarat itu, Cikgu Delfy memperdengarkan lagu itu kepada guru-guru. Lirik lagunya telah dimasukkan ke dalam Buku Info Guru 2004 yang diedarkan kepada semua guru.

Perancangan itu benar-benar menjadi. Semasa Perhimpunan Mingguan Minggu Kedua (Januari 2004), lagu itu dinyanyikan secara rasmi buat pertama kalinya oleh pelajar Tingkatan 1 dengan bantuan sekumpulan pelajar yang lebih senior. Liriknya adalah seperti yang berikut:

Kami bina impian
Kami galas harapan
Langkah serentak berganding lengan
Peluang kami maju tak sanggup dilepaskan
Warga Sultan Omar mendukung wawasan.

Di gelanggang kami cergas
Pelajaran kami cerdas
Di mana-mana bergerak pantas
Setiap rintangan cuba direntas
Usaha gigih pasti ‘kan berbalas.

Sekolah kami SMK Sultan Omar
Sejak mula gah terdengar
Sekolah kami SMK Sultan Omar
Cemerlang Pada Alaf Baru kian terpancar.


Kerana menulis lirik lagu itu, aku diberi penghargaan sewaktu Mesyuarat Agung PIBG 2004. Aku menerima wang tunai RM200.00, sehelai baju batik, dan sekeping sijil penghargaan. Sehingga sekarang, apabila Perhimpunan Mingguan atau Perhimpunan Khas diadakan, lagu itu ciptaanku berkumandang dengan rancaknya, selepas lagu kebangsaan dan lagu negeri dinyanyikan.

Sekolahku mempunyai kumpulan koir yang sering juga mewakili peringkat daerah Dungun ke peringkat negeri. Namun, lagu sekolah ini belum dirakamkan ke dalam cakera padat dalam bentuk nyanyian. Yang dikumandangkan pada setiap perhimpunan yang kukatakan itu hanyalah bunyi muziknya. Walau bagaimanapun, yang baiknya ialah pelajar harus menyanyikannya sendiri pada setiap kali perhimpunan diadakan.