x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

29 Mac 2011

51. KURSUS INDUKSI DI LANGKAWI

UNTUK pengesahan jawatan, aku harus mengikuti Kursus Induksi untuk memenuhi keperluan Sistem Saraan Baru (SSB) pada tahun 2000. Mula-mulanya aku diminta mengikuti kursus yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bagi siri kedua pada bulan Mac. Namun demikian, beberapa hari sebelum tarikh itu tiba, pegawai dari jabatan itu, Encik Mohamad bin Acob memintaku agar memberi tempatku kepada seorang guru lain yang tercicir. Guru itu perlu segera mengikuti kursus kerana tempoh percubaannya sudah hampir tamat. Dia berjanji aku pasti mendapat tempat pada siri ketiga nanti. Beliau menunaikan janjinya apabila aku dipanggil mengikuti kursus pada bulan Mei. Kursusku itu diadakan di Pusat Latihan Chandek Kura, Langkawi.

Penangguhan yang aku alami itu membolehkan aku berkursus bersama dengan dua orang rakanku, Cikgu Mohd Marzuki bin Mat Jusoh, dan Cikgu Mazuki bin Jaafar. Kebetulan pula kami sekapal; semuanya berasal dari Kelantan. Cikgu Mazuki yang ketika itu sedang bertugas dalam aktiviti perkhemahan untuk sekumpulan pelajar sekolah kami di Kemaman dipanggil serta-merta.

Kursus bermula pada 9 Mei 2000 hingga 27 Mei 2000. Kami diminta berkumpul di Jabatan Pendidikan Terengganu pada malam 8 Mei 2000. Kami bertolak ke Langkawi pada pukul 11.00 malam dengan dua buah bas. Terdapat peserta kursus yang menaiki bas di Setiu. Kami tiba di jeti feri Kuala Perlis semasa waktu Subuh esoknya. Selepas menikmati sarapan pagi secara sendiri-sendiri di Kuala Perlis, kami menaiki feri ke Pulau Langkawi, dan melapor diri untuk kursus ketika tengah hari. Selepas makan tengah hari dan mengerjakan sembahyang, kami terus mengikuti sesi pertama kursus kami, iaitu taklimat perjalanan kursus.

Ini kali kedua aku tiba di Langkawi. Kali pertama pada bulan Disember 1991. Ketika itu umurku 29 tahun. Anak sulungku, Suzati, berusia setahun. Dia baru pandai berjalan ketika itu. Aku ke Langkawi bersama dengan isteri, kedua-dua ibu bapanya, adiknya yang sudah berkahwin bersama dengan suami dan dua orang anaknya, bapa dan emak saudaranya dengan dua orang anak mereka, dan seorang rakan isteriku yang selalu datang ke rumahnya. Ketika itu Langkawi sedang sibuk dengan kemeriahan Pameran Laut dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Kursus kami diadakan di Hotel Chandek Kura, Langkawi. Kursus diadakan pada waktu pagi, petang dan malam setiap hari, kecuali hari Jumaat. Terdapat satu hari semasa kursus kami berlangsung itu merupakan hari cuti umum, tetapi kami tidak diberi pelepasan. Aku tinggal sebilik dengan kedua-dua rakan sesekolahku itu. Seorang daripada fasilitator kursus itu ialah Pengetua sekolahku sendiri, YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam. Ketika kursus berlangsung, perlawanan pusingan akhir Piala Thomas sedang berlangsung. Kami kecewa kerana pasukan Malaysia terkeluar daripada persaingan sangat awal.

Walaupun kami selalu kesuntukan masa, aku dan rakan-rakan mengambil kesempatan ke pekan Kuah selepas berakhirnya sesi petang pada pukul 4.30. Kami akan membeli barang yang sempat, dan terpaksa bergegas pulang segera untuk makan malam dan menyertai sesi kursus. Pada suatu hari, kami dibawa mengelilingi pulau legenda itu. Kami ke akuarium bawah laut, Under Water World, Makam Mahsuri, kilang membuat minyak gamat, dan membeli-belah di pekan Kuah. Aku tidak berbelanja banyak kerana aku memang kesuntukan wang. Aku cuma membeli baju-T bercap Langkawi untuk isteri dan anak-anak, di samping untuk diriku sendiri. Selain itu, aku membeli dua helai kain batik untuk isteriku. Di samping aku kekurangan duit, sebenarnya aku tidak pandai membeli barang yang sesuai.

Pada suatu pagi kami dikehendaki berlari ala rentas desa. Biasanya aku tidak kisah hal berlari. Namun, mungkin kerana sudah lama tidak berlari jarak jauh, aku berasa sungguh letih. Jarak yang hendak dihabiskan itu rasanya seperti akan berakhir beberapa hari. Punggungku terasa sakit dan aku gagal berlari lancar. Akhirnya aku dapat menghabiskan larian tetapi berasa sangat menderita. Sebaik tiba di hotel, kami mengambil sarapan, dan kembali ke bilik untuk membersihkan diri. Kami harus masuk ke bilik kuliah tepat pada pukul 8.00 pagi.

Dalam agenda kursus itu, kami dikehendaki memilih satu tajuk dan membuat pembentangan di hadapan peserta dan akan dinilai oleh pegawai yang berkenaan. Setelah berfikir keras dan yakin mempunyai isi yang sesuai untuk diperkatakan, aku memilih tajuk tentang perkembangan sastera. Aku mencadangkan pihak berwajib mengkaji semula hal mata pelajaran sastera yang semakin dilupakan. Aku mahu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM tidak diberikan kepada pelajar yang lemah, kerana subjek itu memerlukan pemikiran dan kreativiti. Pelajar sederhana dan lemah tidak mampu memahami mesej dalam sastera. Untuk mencapai keputusan yang baik dalam mata pelajaran itu, pelajar harus rajin dan cekap. Mula-mulanya aku agak gementar ketika membentangkan pendapatku. Alhamdulillah, aku dapat menguasai perasan gemuruhku. Aku dapat menamatkan pembentangan dalam masa yang ditetapkan.

Kami juga dikehendaki menyiapkan tugasan bertulis. Satu tugasan kumpulan dan satu lagi tugasan individu. Tugasan kumpulan dapat disiapkan semasa berkursus dan dihantar kepada urus setia, namun kebanyakan kami tidak sempat menyiapkan tugasan individu. Hal tersebut terjadi kerana kekangan masa, kekurangan komputer dan ketiadaan buku rujukan di tempat kursus. Kami akhirnya dibenarkan menyerahkan tugasan dalam masa seminggu selepas kursus, dengan menghantar sendiri ke jabatan pendidikan atau mengeposnya. Aku mengeposnya tiga hari selepas pulang dari Langkawi.

Satu hal yang tidak terlepas daripada ingatanku ketika berkursus ialah hal isteriku yang sedang sarat mengandung. Dia dijangka melahirkan anak ketiga kami itu pada pertengahan bulan Jun. Aku berharap tidak ada musibah menimpa isteriku. Aku masih teringat dia terjatuh dua kali ketika mengandungkan Syafiq Hakimi dahulu.

Penilaian terakhir ialah peperiksaan. Ujian diadakan pada 26 hingga 27 Mei 2000. Selepas menamatkan peperiksaan kertas terakhir, kami terus menikmati makan tengah hari di restoran hotel. Selepas itu, kami segera berkemas untuk pulang. Bas akan membawa kami ke jeti Kuah. Kami bertolak dari Kuala Perlis ketika petang sudah agak tua.

Keputusan kursus diketahui lebih setahun kemudian. Surat pengesahan jawatanku dikeluarkan oleh SPP melalui surat SPP yang bertarikh 20 Julai 2001. Pergerakan gajiku tetap pada 1 April. Pengesahanku dalam perkhidmatan ditetapkan bermula 1 Jun 2001. Pada tahun itu juga pergerakan gaji tahunanku diputuskan secara MENDATAR dengan prestasi CEMERLANG. Pada bulan September 2001, aku menerima opsyen bersara wajib pada umur 56 tahun.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan