Semasa kursus itu aku dapat menyelesaikan persoalan tatabahasa yang dikemukakan oleh kedua-dua orang penatar tersebut. Setiap kali dapat menyelesaikan masalah tatabahasa, aku diberikan sebatang pensel sebagai penghargaan. Pada akhir penataran, Encik Johari membuat pengumuman bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang mencari munsyi baharu dan meminta sesiapa yang berminat agar membuat permohonan melalui borang yang diedarkan ke sekolah-sekolah.
Dua bulan selepas itu, borang permohonan untuk pemilihan Munsyi Dewan sudah sampai di sekolahku. Aku dan seorang lagi guru Bahasa Melayu di sekolahku, YM Raja Zahri bin Raja Haron mengisi borang tersebut. Pada bulan Ogos 2000, kami menerima surat penerimaan permohonanku itu daripada Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun begitu, kami tidak menerima apa-apa berita tentang hal itu selepas tarikh tutup permohonan pada akhir Ogos 2000. Aku dan kawanku itu menganggap permohonan kami sudah ditolak pada peringkat awal.
Pada awal bulan Mac 2002, hampir dua tahun lamanya, aku mendapat surat daripada DBP yang dialamatkan ke sekolah memintaku hadir untuk menjalani ujian pemilihan pada 9 April 2002 di Hotel Primula Parkroyal, Batu Buruk, Kuala Terengganu. YM Raja Zahri yang sudah bertukar ke sekolah lain kerana dilantik sebagai Guru Kanan Bahasa juga menerima surat sedemikian. Sudah tentu aku gembira namun aku sangat serba salah kerana pada tarikh yang sama sekolahku mengadakan lawatan bermaklumat ke SMK Padang Midin, Kuala Terengganu. Aku antara yang tersenarai kerana aku merupakan jurugambar sekolah. Pengetua, Encik Jain bin Awang, memintaku menghadiri pemilihan tersebut, dan membenarkan aku tidak menyertai lawatan itu sekiranya aku tidak sempat berbuat demikian.
Aku sudah berjanji dengan YM Raja Zahri untuk pergi bersama-sama. Pada hari yang dikehendaki itu, kami ke Kuala Terengganu menggunakan keretaku. Selepas membuat pendaftaran, kami dibenarkan membuat rujukan ringkas menggunakan lembar bahasa yang diterbitkan oleh DBP. Di situ aku berjumpa dengan Abdul Hamid bin Yahya, juniorku semasa di Institut Bahasa dahulu, yang sudah pun memiliki ijazah sarjana, dan sedang berkhidmat di SMK Sungai Tong di Setiu. Aku juga berjumpa dengan Alias bin Ismail, seorang penulis, yang mengajar di SMK Landas, Kuala Berang.
Seperti yang dijadualkan, ujian kami bermula dengan menjawab 50 soalan objektif tentang tatabahasa, ejaan, terjemahan, pinjaman perkataan, serta tulisan Rumi dan Jawi. Aku tidak menghadapi masalah besar kerana kebanyakan yang ditanya sudah aku kuasai kerana hampir sama dengan aspek yang kuajarkan di tingkatan enam. YM Raja Zahri duduk di sebelahku. Dia kerap meminta aku mendedahkan jawapanku untuk ditirunya kerana dia tidak tahu. Dengan berhati-hati aku menunaikan permintaannya ketika pegawai DBP yang mengawas ujian itu memandang ke arah lain.
Apabila tamat ujian objektif, kami berehat seketika untuk minum pagi. YM Raja Zahri berpendapat dia tiada harapan. Aku juga tidak pasti dengan harapanku walaupun aku yakin aku dapat menjawab banyak soalan dengan tepat. Ketika rehat itu aku dan YM Raja Zahri bersepakat untuk membuat persembahan awal agar aku dapat pulang ke sekolah segera, dan dapat menyertai lawatan ke SMK Padang Midin dari Dungun. Pegawai DBP juga bersetuju aku menjadi peserta pertama membuat persembahan, diikuti oleh YM Raja Zahri.
Dadaku berdebar kencang ketika hendak memulakan persembahan. Nasib baik persembahan itu tidak ditonton oleh peserta lain. Yang duduk di depanku ialah tiga orang pegawai DBP. Aku membuat persembahan tentang “Kesalahan Penggunaan Imbuhan Apitan ‘memper-...-kan’ dan ‘memper-...-i” dengan menggunakan dua keping transparensi. Sebaik-baik sahaja aku selesai menyampaikan pendapatku, lima soalan terpaksa aku jawab. Yang paling banyak bertanya ialah Puan Hajah Zaiton binti Abdul Rahman, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam DBP. Aku dapat menjawab semua soalan dengan penuh keyakinan, kecuali untuk soalan terakhir aku teragak-agak ketika menyatakan alasan dan pendapatku.
Leganya perasaanku setelah selesai menjalani ujian itu. Aku menunggu YM Raja Zahri membuat persembahan. Apabila dia selesai, kami pun segera pulang ke Dungun. Dengan yang demikian, aku sempat menyertai rakan-rakanku yang lain dalam lawatan bermaklumat ke SMK Padang Midin yang mencatat banyak kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Pada bulan Mei 2002, aku menerima surat keputusan daripada DBP. Aku telah lulus ujian tersebut dan dikehendaki menghadiri kursus penataran sebagai syarat wajib untuk dipilih sebagai Munsyi Dewan. Kursus tersebut diadakan di Hotel Swiss Garden, Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada 27 Mei hingga 1 Jun 2002. Aku menghubungi adikku di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Aini, memberitahunya bahawa aku akan ke rumahnya pada tarikh itu. Pada malam 26 Mei 2002 aku bertolak dari Dungun, dan dijemput oleh Ayub, adik iparku, di Hentian Putra pada pagi esoknyaa. Selepas makan tengah hari, Ayub menghantarku dengan motosikalnya ke Hotel Swiss Garden yang letaknya tidak jauh dari Hentian Pudu Raya.
Seramai 37 orang bakal munsyi, termasuk aku, mengikuti kursus ini. Peserta dari Terengganu pula ialah aku sendiri, Ramly bin Deraman dari SMK Agama Kuala Abang, Dungun, dan Sharif bin Ibrahim dari SMK Kuala Besut, Besut. Aku juga bertemu dengan empat orang kenalan lama. Mereka ialah Chai Loon Guan dari Perak dan Rogayah binti Osman dari Pahang yang sama-sama mengikuti Program Kembar Institut Bahasa dan Universiti Malaya. Dua orang lagi ialah Puan Hajah Mahaya binti Mohd Yassin, pensyarah Maktab Perguruan Raja Melewar, yang pernah mengajarku beberapa bulan semasa beliau berkhidmat di Institut Bahasa, dan Encik Ab. Rahim bin Md. Yasin, pensyarah Maktab Perguruan Teknik, yang juga pernah menjadi pensyarah di Institut Bahasa. Sesi Taklimat dan Suai Kenal dijalankan pada malam itu juga. Turut berceramah dalam kursus ini ialah Pak Matlob, yang pernah membimbingku menjadi penulis dalam Utusan Pelajar; berceramah tentang ejaan Jawi kepada kami.
Kursus itu bukanlah yang terakhir. Pada 11 hingga 15 September 2002, kami dipanggil untuk mengikuti Kursus Pengucapan dan Persembahan Yang Berkesan di Hotel Crown Princess, City-Square Centre, di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Aku menaiki bas dari Dungun pada malam 10 September, dan tiba di Hentian Putra pada pagi esoknya. Kali ini, untuk ke rumah adikku, aku menggunakan Komuter dari Hentian Putra ke Sungai Besi. Adik iparku juga yang menghantarku ke hotel tersebut.
Aku dan 35 orang lain menerima tauliah sebagai Munsyi Dewan Kumpulan IV semasa Konvensyen Munsyi Dewan III yang diadakan di Hotel Berjaya Time Square, Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada 15 hingga 18 Mac 2004. Seperti biasa, sebelum mendaftar, aku ke rumah adikku terlebih dahulu. Adik iparku, Ayub, menghantarku ke hotel itu dengan kereta pegawai tentera kerana petang itu hendak hujan. Kami dihidangkan dengan lima kertas kerja yang dibentangkan oleh Munsyi Dewan dari kumpulan I hingga III. Aku dan rakan dari Kumpulan IV menerima surat tauliah daripada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Rafie bin Mahat pada hari terakhir konvensyen tersebut.
Semenjak dilantik sebagai Munsyi Dewan, aku tidak pernah diberi tugas. Aku tidak kisah. Aku menyertai Munsyi Dewan untuk menambah ilmu bahasa sahaja. Walaupun begitu, aku menjadi tempat rujukan bahasa dalam kalangan guru di sekolahku, termasuk pengetua, serta rakan guru dari sekolah lain di sekitar Dungun. Sekiranya aku menghadapi masalah, aku akan berbincang dengan Tuan Haji Nawi bin Ismail, munsyi berpengalaman yang mengajar di Kuala Terengganu.
Sungguhpun demikian, semasa di bawah kendalian Puan Hajah Zaiton binti Abdul Rahman, Munsyi Dewan Terengganu beberapa kali kami diberikan bengkel penataran ilmu. Antaranya pada 22 Mac 2003 di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. Kursus Penataran Munsyi Dewan peringkat kebangsaan telah diadakan pada 5 hingga 8 Disember 2005 di Hotel Flamingo, Ampang. Namun begitu, aku tidak hadir ke Konvensyen Munsyi Dewan IV pada 18 hingga 21 April 2008 di Hotel Count Princess, Kuala Lumpur, dan tidak hadir juga ke Kursus Pengukuhan Kemahiran Munsyi Dewan pada 4 hingga 5 Julai 2008 di Sutra Beach Resort, Merang, Terengganu.
Sebelum ditauliahi sebagai Munsyi Dewan, aku pernah terlibat dengan Kajian Leksikal Bahasa Daerah Terengganu anjuran Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP. Projek bermula dengan taklimat pada 13 April 2003 di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Kuala Terengganu, diikuti dengan Kursus Asas Ilmu Fonetik dan Tatacara Kajian Lapangan pada 31 Mei 2003 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. Bengkel Kerja Kajian Leksikal telah diadakan pada 3 Disember 2003 di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu. Kami dikehendaki mendapatkan data perkataan loghat Terengganu yang digunakan dalam pembuatan kuih tradisional. Pada tahun 2004, aku membentangkan dapatanku di hadapan Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP, Encik Rusli bin Abd. Ghani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan