x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

26 April 2010

20. ISTIMEWANYA IB

.
KETIKA aku mendaftar pada 13 Februari 1984, maktab itu dinamai Maktab Perguruan Bahasa (MPB). Walau bagaimanapun, banyak pihak, lebih mengenalinya dengan nama lamanya, Language Institute, atau ringkasnya L.I. Pemandu teksi juga apabila dinyatakan destinasi ialah L.I., segera mengangguk dan membawa penumpangnya terus ke hadapan asrama.

2. Aku menulis sejarah Institut Bahasa dalam majalah Pantai Jaya terbitan tahun 1986, dengan judul “Setelah Bertahun-tahun Terlanjur...”. MPB mula beroperasi pada 12 Januari 1958 di bangunan sementara di Bukit Senyum, Johor Bahru, kemudiannya dipindahkan ke bangunan tetap bernilai lebih $5 juta di atas bukit di Lembah Pantai, seperti yang ada sekarang. Kuliah pertama di tempat baharu ini bermula pada 12 Februari 1959.

3. “Terlanjur” yang aku maksudkan ialah berlakunya penyimpangan matlamat penubuhan MPB dengan pelaksanaan kursus yang diadakan. Matlamat asal itu asalnya hendak dipulihkan mulai 1980, sebagaimana yang diumumkan Datuk Musa Hitam di Parlimen, tetapi tertangguh, hinggalah Datuk Abdullah Haji Ahmad Badawi telah mengumumkan pengembalian fungsi MPB itu pada 7 Disember 1985 dalam “Seminar Kembali ke Pangkal Jalan” anjuran Persatuan Bekas Pelajar MPB. Mulai tarikh itu, nama Maktab Perguruan Bahasa (MPB) ditukar kepada Institut Bahasa (IB).

4. Aku berpendapat bahawa IB ialah maktab perguruan pertama yang mendapat taraf institut. Pengembalian fungsi itu menjadi realiti pada tahun 1986 apabila pengambilan yang dibuat pada 21 Julai 1986, melibatkan lebih 200 orang pelatih yang hanya mengikuti kursus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, tidak lagi bersama dengan kursus Sejarah atau Geografi seperti sebelumnya. Aku berbangga hal ini terjadi semasa aku masih menjadi pelatih di sini.

5. Selain maktab pertama yang menggunakan istilah “institut”, IB juga istimewa kerana pernah menerima pelajar dari luar negara pada tahun 1985. Sembilan orang pelajar dari Maldives menjadi perintis program ini. Mereka mengambil masa 15 bulan di IB dengan mengikuti mata pelajaran Pendidikan, Bahasa Inggeris, Pedagogi, Perkaedahan, Pendidikan Seni, Muzik, Ekonomi Rumah Tangga, Sains Perpustakaan, dan Bahasa Malaysia. Semua kursus dijalankan dalam bahasa Inggeris.

6. Satu lagi keistimewaan yang ada pada IB ialah asramanya yang setinggi 13 tingkat. Aku berpendapat, itulah satu-satunya asrama maktab perguruan yang paling tinggi di Malaysia. Dengan ketinggian itu, asrama itu dapat dilihat berdiri gah dari jauh. Terdapat beberapa keistimewaan pada asrama ini. Pertama, asrama ini mempunyai tiga sayap yang mengunjur keluar. Oleh itu, bangunannya tidaklah berbentuk segi empat seperti bangunan lain. Kedua, biliknya yang memuatkan dua buah katil dan dua buah almari, aku anggap asrama yang luas, berbanding dengan bilik asrama di universiti dan beberapa buah maktab perguruan lain. Ruang legarnya dan ruang laluan di antara deretan bilik juga luas. Dengan hal yang demikian, penghuni dapat bergerak dengan bebas dan selesa. Seingatku, tingkat 7 dan tingkat 13 mempunyai Bilik Warden.

7. Asrama IB juga mempunyai sebuah lif yang terletak berhampiran dengan tangga, dua buah bilik makan, dan dua buah bilik rehat yang mempunyai kemudahan televisyen. Penghuni asrama di tempatkan di tingkat 2 dan ke atas. Pelatih lelaki, kalau tidak silap aku, ditempatkan mulai dari tingkat 8. Tingkat 1 menempatkan tempat tinggal Juruwati, orang yang bertanggungjawab menjaga keperluan penghuni, selain dua buah bilik sakit. Aku pernah menghuni bilik sakit ini selepas Minggu Orientasi. Di asrama ini, aku menghuni bilik A1-A2 tingkat 12 pada tahun pertama (1984), bilik C3-C4 tingkat 13 pada tahun kedua (1985), dan bilik E1-E2 tingkatan 13 pada tahun ketiga (1986).

8. IB juga mempunyai kemudahan Pusat Sumber yang hebat. Ruangnya yang luas memberi keselesaan kepada pelatih. Bahagian Perpustakaan terletak di tingkat atas, manakala di bawahnya terdapat Makmal Bahasa, yang diapit oleh Dewan Syarahan A dan Dewan Syarahan B. Aku pernah menghadiahi Perpustakaan IB dua naskhah novel kanak-kanak pertamaku, Berkelah Hanya Alasan.

.

23 April 2010

19. MACAM-MACAM CERITA...

.
TINGGAL di asrama amat mengujakan. Banyak gelagat yang dapat dirakam. Aku masih ingat, semasa tahun pertama, menghuni tingkat 12, kami buat jamuan tingkat. Juadahnya hanya sate dan nasi himpitnya. Sate ditempah di pasar malam Kampung Kerinchi. Oleh sebab banyak, kami makan sepuas-puasnya. Ada rakan yang makan tiga empat cucuk sekali suap ke dalam mulut. Natijahnya, pada malam itu kami kepanasan dan berpeluh-peluh. Aku sendiri terpaksa tidur berkipas ligat, tidak berbaju, dan melupakan selimut.

2. Semasa tahun kedua, aku ditempatkan di tingkat 13 bersama dengan seorang junior tahun pertama, di sebelah Bilik Warden. Bilik aku betul-betul menghadap ke arah asrama Maktab Perguruan Lembah Pantai (MPLP) dan bangunan yang menempatkan kafetaria maktab itu. Pelajar IB selalu juga mengunjungi kafetaria MP Lembah Pantai untuk merasai masakan kafetaria itu. Aku turut turun sekali-sekala apabila diajak rakan, untuk bertukar selera. Dari bilik itu, aku dapat melihat keseluruhan maktab itu dan Maktab Perguruan Islam (MPI). Semasa tahun ketiga, aku masih ditempatkan di tingkat 13, tetapi di bilik lain, sebilik dengan Mat Rohan bin Sattar. Bilik ini menghadap ke arah kantin maktab. Dari bilik ini, aku dapat melihat padang bersama MPLP dan MPI, serta kawasan Jalan Pantai Baru, termasuk bangunan imigresen (sekarang sudah jadi bangunan Telekom), serta Angkasapuri. Ke sebelah kanan sedikit, aku dapat melihat sebahagian kawasan Kampung Kerinchi.

3. Ketika hampir hari raya puasa, berlaku “peperangan” antara penghuni asrama IB dengan penghuni asrama MPLP. Aku tiidak pasti pihak yang memulakan “peperangan” itu, tetapi selalunya berlaku pada setiap hari, terutama waktu malam, selepas solat Tarawih. Penghuni asrama IB akan menembak mercun roket ke arah asrama MPLP. Oleh sebab kami berada pada keadaan yang tinggi, tingkat 13, dan berada di atas bukit pula, tembakan mercun itu selalunya mampu masuk ke kawasan asrama mereka. Tembakan dibuat dari anjung beranda tingkat yang betul-betul menghadap asrama MPLP. Namun, mereka tidak mengaku kalah. Mereka turut membalas dengan menembak mercun roket. Tembakan mereka, walaupun dibuat di tingkat yang paling tinggi, tidak masuk ke kawasan asrama IB, sebaliknya jatuh di atas jalan yang memisahkan pagar IB dengan MPLP. Kalau dapat masuk pun, hanya di kaki bukit IB. Riuh-rendah bunyi tingkahan mercun sepanjang beberapa malam. Sorak-sorai juga menghiasi suasana.

4. Pada satu tahun, Pestarama Permainan diadakan di padang MPLP. Dalam satu pertandingan hoki lelaki antara Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) dengan IB, penyokong MPIK yang terdiri daripada pelajar lelaki bermotosikal, tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil. Penyokong-penyokong tersebut membuat onar di luar padang. Kumpulan penyokong IB yang ramai menegur perbuatan mereka. Berlakulah cabar-mencabar, lalu terjadi pertembungan. Pelajar MPIK menyerang kami dengan topi keledar. Daripada cara mereka bercakap, aku tahu kebanyakannya berasal dari Kelantan. Ah, malu aku, orang senegeriku buat kacau...

5. Yang kasihannya, dalam kalangan kami itu, ada pensyarah Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), Encik Zainal bin Abdul Rahman. Dia juga turut diasak dari belakang oleh pelajar MPIK. Melihat keadaan itu, abang Deraman bin Awang, rakan kami dari angkatan tentera, segera masuk menghadang pelajar itu. “Eh, mu tengok dulu, sapa dia. Demo gode pensyarah kami tau!” Kata Deraman dalam loghat Kelantan, kerana dia juga berasal dari Kelantan. Pelajar itu segera berhenti lalu meminta maaf. “Saya tak tau,” katanya. Kemudiannya pertembungan itu dapat dileraikan, dan gerombolan dari MPIK itu meninggalkan padang itu.

6. Seingatku, aku pernah menyertai acara merentas desa yang diadakan di IB pada tahun pertama (2004). Aku yang pernah menjadi atlet sekolah semasa di tingkatan 4 dan 5, tetapi pencen ketika berada di tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas, mahu mencuba nasib. Aku dapat menghabiskan larian, tetapi aku tidak ingat sama ada aku mendapat hadiah atau tidak. Penyampaian hadiah dilakukan di hadapan asrama, disempurnakan oleh Pengetua, Encik Eric Yeow Teck Siang.

7. Pada satu tahun, mungkin tahun kedua, aku meminta adikku, Azmi, yang kebetulan balik ke rumah, menghantarku ke Stesen Bas Machang dengan motosikalnya, untuk kembali ke IB. Ketika itu, maktab belum dibuka semula. Aku perlu datang awal kerana ada program melibatkan anak yatim di maktab. Kami ke Machang lebih kurang jam 5.00 petang, supaya Azmi dapat kembali ke rumah dengan motosikal sebelum malam tiba. Namun, sebelum meninggalkan aku, aku membelanjai Azmi makan roti canai dahulu. Malam itu, ketika dalam perjalanan, selepas aku terlena sebentar, aku terasa hendak buang air yang amat sangat. Perutku memulas hebat. Aku terpaksa ke tandas bas. Aku yang duduk di tepi tingkap terpaksa melalui seorang penumpang di sebelahku yang nyenyak tidur secara berhemah agar tidak mengganggunya. Ketika masuk ke dalam tandas, aku terasa aku telah tercirit. Benar, ada objek kuning pada seluar dalamku. Ya Allah, apa yang patut aku buat? Mahu tidak mahu, selepas membuang hampas, aku terpaksa membasuh seluar itu, dan memerahnya betul-betul. Kemudian aku memakainya semula, menyebabkan seluar pada bahagian punggungku pun lembab! Kisah ini tidak pernah diketahui sesiapa, termasuk keluargaku.

8. Ketika bas berhenti rehat berhampiran Temerloh, Pahang, aku turut turun untuk mengisi perut. Maklumlah, petang tadi cuma makan sekeping roti canai, dan sudahpun dikirim ke dalam mangkuk tandas. Aku meneguk seteguk air teh. Tiba-tiba aku hampir terlompat dan hampir terjerit. Perutku sakit yang amat sangat apabila dimasuki air tadi. Lama aku tersandar di kerusi sambil berkerut muka menahan sakit. Ya Allah, apa yang sudah terjadi? Apabila sakit reda, aku pun menyuap nasi goreng. Selepas dikunyah, aku pun menelannya. Ya Allah! Sekali lagi hal yang sama terjadi. Aku sudah tidak berani menelan air atau makanan lagi. Teh dan nasi goreng itu aku tinggalkan begitu sahaja. Aku kembali ke dalam bas. Mengapakah hal ini menimpa aku? Mungkinkah bahana roti canai tadi?

9. Setelah memasuki bilik asrama, aku cuba minum air. Hal yang sama terjadi. Adakah usus perutku sudah rosak? Mengapa tiba-tiba sahaja. Aku pun mengambil keputusan untuk tidur sahaja. Sampai tengah hari, ketika acara meraikan anak yatim sudah bermula di kantin, aku berbelah bahagi sama ada akan menyertainya atau tidak. Perutku sudah lapar. Kalau aku pergi, aku takut untuk menelan sebarang air atau makanan. Kalau aku tidak pergi, pasti ada ahli majlis PGP yang perasan aku tiada. Dilema sungguh. Namun, aku bertekad tidak akan pergi. Biarlah apa-apa pun yang terjadi. Selepas sembahyang Zuhur sendirian di bilik, aku terus tidur kembali. Hampir pukul enam, aku terbangun. Perutku berkeroncong. Ya Allah. Aku cuba menguji keadaan perutku. Aku minum air masak. Berhati-hati aku menelannya, sambil menunggu kejutan sakit. Alhamdulillah, tidak sakit lagi. Aku minum lagi beberapa teguk. Ya, benar-benar sudah tidak sakit. Aku mengambil keputusan turun mencari makanan. Aku benar-benar lapar.

10. Pada tahun 1986, aku mengalami sindrom sakit kepala, hampir dua atau tiga minggu. Pada masa itu, kuliah sebelah petang diperkenalkan. Selepas makan tengah hari di bilik makan, aku mandi dan sembahyang. Ketika turun semula ke kuliah, kepalaku berdenyut-denyut. Kepalang sakitnya. Esoknya berlaku lagi tetapi aku menelan panadol awal-awal. Namun, sakitnya terasa juga. Di dalam bilik kuliah, aku menahan sakit tanpa dapat menerima apa-apa inti pengajaran pensyarah. Anehnya, hal itu berlaku pada waktu petang. Pada sesi pagi, tidak timbul masalah. Hal itu berulang hampir setiap hari. Kemudian, aku mula ponteng kuliah tertentu untuk membolehkan aku tidur pada waktu petang. Aku berpesan kepada rakan sekuliah, sekiranya aku tidak hadir, itu bermakna aku sakit kepala yang tidak dapat ditahan. Aku ceritakan perkara yang sebenar. Aku sudah lupa jumlah kuliah yang aku tuang. Nasib baik, tiada pensyarah yang mengungkitkan hal itu. Namun, aku bersyukur, selepas itu aku tidak mengalaminya lagi. Alhamdulillah, tetapi aku hairan akan hal yang menimpaku itu, boleh datang dan pergi begitu sahaja.

.

22 April 2010

18. LAWATAN YANG DIIKUTI

-

TIGA tahun di Institut Bahasa, aku sempat mengikuti beberapa lawatan, di sekitar Kuala Lumpur dan di luar bandar raya itu. Yang aku ingat, lawatan Gerko Drama ke rumah anak-anak yatim di Selayang. Aku juga mengikuti lawatan ke Bukit Frasier, dan ke Genting Highlands. Selain itu, terdapat lawatan ke Melaka, dan lawatan Gerko Drama ke Port Dickson. Namun, lawatan yang paling jauh dari Kuala Lumpur ialah lawatan ke maktab-maktab perguruan di Pantai Timur.

2. Lawatan muhibah ke maktab-maktab perguruan di Pantai Timur ini dilakukan pada tahun 1986, sebelum kami menjalani peperiksaan akhir tahun tiga. Dengan bas Institut Bahasa, kami bertolak ke Pantai Timur melalui Lebuh Raya Karak-Kuantan. Laluan tersebut merupakan laluan biasa aku pulang ke kampung dan kembali semula ke maktab. Namun, aku lebih kerap menggunakan perjalanan pada waktu malam. Oleh itu, yang aku nampak hanyalah cahaya lampu di tepi jalan dan lampu kenderaan yang datang dari arah bertentangan. Dengan perjalanan pada waktu siang ini, pemandangan sebenar dapat kulihat. Pokok di kiri kanan lebuh raya sangat indah, dan kami tidak ketinggalan melihat puncak Genting Highlands seperti sedang berada di dalam awan.

3. Kami terlebih dahulu singgah di Maktab Perguruan Kuantan, di Semambu. Tempat itu tidak jauh dari bandar Kuantan. Kami juga berpeluang ke bandar Kuantan, dan tempat yang tidak dilepaskan ialah Pantai Teluk Chempedak. Keunikan pantai di sini ialah terdapatnya batu-batu besar di gigi air laut yang sentiasa berombak. Aku sudah lupa sama ada kami bermalam atau tidak di Kuantan. Selepas itu, kami menyusuri jalan melalui Balok untuk ke Terengganu. Seingat aku, kami melalui jalan pantai dari Kemaman ke Kuala Terengganu pada waktu petang. Aku dapat melihat rumah-rumah tradisional di sepanjang jalan. Ketika itu pada waktu petang, aku melihat hampir setiap rumah di tepi jalan itu penghuninya berada di hadapan rumah atau di atas tangga. Pemandangan seperti itu sebelum ini tidak pernah kulihat kerana perjalananku adalah pada waktu malam.

4. Di Kuala Terengganu, kami terlebih dahulu ke Maktab Perguruan Pasir Panjang. Dahulunya maktab itu dikenali sebagai Maktab Perguruan Makanan dan Pemakanan, kalau tidak silap aku. Bangunannya menyerupai bangunan sekolah. Di maktab ini, kami sempat mengadakan perlawanan persahabatan bola tampar dan bola jaring. Aku tidak terlibat dalam perlawanan persahabatan itu. Di sini, aku dan Mohshin sempat bertemu dengan Hamdan bin Taib, rakan yang sama-sama mengikuti Kursus Kepimpinan Khas Guru Pelatih di Pusat Latihan Belia Peretak, Kuala Kubu Bharu pada tahun lepas.

5. Pada petangnya, kami berlegar di sekitar Kuala Terengganu. Tempat utama ialah di kawasan Taman Syahbandar. Aku, Deti, Chong Suat Gaik, dan Ibrahim Talib sempat bergambar di hadapan Istana Maziah yang terletak di kaki Bukit Puteri. Kami makan malam di warung yang terletak di tepi pantai di sekitar Taman Syahbandar. Aku makan nasi berlaukkan sotong goreng di situ. Seorang rakan perempuan, yang sudah aku lupa, tercari-cari tandas untuk buang air kecil. “Teruk Terengganu, tak ada tandas,” katanya. Aku sendiri tidak tahu lokasi tandas pada waktu malam begitu. Nasib baik aku tidak berkeperluan demikian. Aku juga tidak tahu tempat rakan itu melepaskan “keinginannya” itu. Pada malam itu, kami bertolak ke Batu Rakit untuk bermalam di asrama Maktab Perguruan Kuala Terengganu (MPKT). Keesokannya, kami bersarapan di asrama itu dan melawat bilik kuliah dan kawasan pentadbiran. Di situ, aku dan Mohshin sempat berjumpa dengan Norliwati binti Omar, pelatih maktab itu mengikuti Kursus Kepimpinan Khas Guru Pelatih di Peretak bersama kami.

6. Apabila meninggalkan MPKT, kami menuju ke Kelantan. Aku sedang menuju ke negeri kelahiranku. Tidak ada yang aku ingat tentang perjalanan ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Kami akhirnya sampai di Maktab Perguruan Kota Bharu (MPKB), yang terletak di Pengkalan Chepa. Kami bermalam di sini. Ahli rombongan lelaki tidur di dalam bilik kuliah, manakala yang perempuan bermalam di asrama. Pada malam itu, kami yang lelaki berperang dengan nyamuk, yang seperti tertunggu-tunggu “pelatih dari ibu negara”. Di maktab inilah aku mengambil borang permohonan maktab perguruan dan menjalani temu duga, lalu berjaya ke MPB/IB. Aku cuba mencari bilik kuliah tempat aku ditemu duga dahulu, tetapi aku sudah keliru dengan tempatnya. Selesai aktiviti di MPKB, kami pulang ke ibu kota. Ketika pulang ini, penumpang bas IB tidak lagi bising seperti ketika pergi, kerana masing-masing sudah kepenatan. Aku sendiri entah beberapa kali tertidur dan tersedar.

7. Lawatan yang lain adalah ke rumah anak yatim di Selayang, yang sudah aku lupa namanya, untuk tujuan kebajikan. Yang mengikuti lawatan ini ialah ahli Gerko Drama. Lawatan ini dilakukan pada tahun pertama aku di IB. Lawatan ke Bukit Frasier pula disertai beberapa orang pelatih Pengajian Sekolah Menengah sahaja. Yang menarik ketika itu ialah pelbagai jenis bunga sedang berkembang. Ketika turun dari sana, ramai yang tidak dapat menahan diri daripada muntah. Alhamdulillah, aku dapat menahan diri. Yang aku tidak ingat langsung adalah tentang lawatan ke Genting Highlands. Sekeping gambar aku di sana yang masih kusimpan, sedang mendayung “teksi air” dengan Chang Hon Woon, mengingatkan aku bahawa aku pernah ke sana semasa di maktab. Gerko Drama sekali lagi membuat lawatan, kali ini ke Port Dickson. Aku tidak ingat destinasi lain, tetapi kami ke sana semata-mata untuk berkelah. Aku sudah lupa langsung aktiviti yang kami lakukan di sini. Ada rakan yang mandi, tetapi aku tidak berbuat demikian, kerana aku tidak berminat mandi di tempat terbuka, lebih-lebih lagi di dalam air masin.

8. Lawatan ke Melaka dilakukan dengan inisiatif pelatih sendiri. Kami dikenakan bayaran. Kami berlama di tepi Pantai Teluk Bidara, kemudian menjelajah gerai jualan cenderamata, dan melawat di kawasan bersejarah. Kami melalui pintu gerbang A Famosa dan mendaki anak tangga ke atas Bukit St. Paul.

9. Selain lawatan, aku pernah mengunjungi rumah Mustafa Kamal di Kelang, Selangor ketika bulan puasa tahun 1986. Turut bersamaku ialah Mohshin Ariffin, Sharifah Shaari, Fariza Saad, dan Chong Suat Gaik.

-

10 April 2010

17. BERSEMUKA DENGAN NAIB PENGETUA

.
PADA tahun 1986, Jawatankuasa Penerbitan dan Penerangan IB mengadakan Kursus Penulisan Kreatif dan Deskriptif. Ketika itu, Ibrahim bin Talib yang menjadi Pengerusi jawatankuasa PGP itu. Namun demikian, aku dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kerja kursus tersebut. Sebagai Setiausaha, tugasku merangka pelbagai surat, dan berurusan dengan pihak yang berkenaan.

2. Kursus ini dilaksanakan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ibrahim telah berurusan lebih awal dengan pihak di DBP, termasuk berhubung dengan Ayob Yamin. Ibrahim, aku dan Wan Azman bin Wan Daud (Allahyarham), akhirnya bersama-sama ke DBP untuk membuat perbincangan akhir. Menurut DBP, kami perlu menyediakan surat permohonan untuk meminta DBP terlibat dalam kursus tersebut. DBP akan menyediakan penceramahnya. Jika penceramahnya di luar DBP, pihaknya akan menyediakan bayaran kepada penceramah itu.

3. Pada mulanya pihak DBP bersetuju untuk menyediakan Sijil Penyertaan. Namun demikian, pada saat akhir, kami terpaksa menyediakan sijil sendiri. Dengan menggunakan reka bentuk dan contoh sijil yang pernah dikeluarkan DBP, kami terpaksa mencetak sijil sendiri dan dengan biaya sendiri.

4. Aku pun menulis surat kepada DBP seperti yang diminta oleh pihak itu. Surat daripada PGP itu sudah tentu perlu melalui Pengetua IB. Oleh sebab ketika itu Naib Pengetua, Puan Sofiah binti Hamid tiada, sedangkan aku perlu menyediakan surat itu dengan segera, maka aku terus bertemu dengan Pengetua, Encik Eric Yeow Teck Siang. Sebenarnya, aku lebih selesa berjumpa terus dengan beliau. Dia tidak banyak “songeh” seperti Puan Sofiah. Pernah sebelum itu, aku terpaksa membaiki surat dua tiga kali kerana tidak disetujui oleh Puan Sofiah. Aku tahu beliau sangat menitikberatkan hal bahasa kerana beliau orang bahasa dan aku pernah membaca buku bahasa yang ditulisnya.

5. Kursus diadakan pada 23 hingga 24 Ogos 1986. Aku sudah lupa kursus itu diadakan di Dewan Syarahan A atau B. Pesertanya terdiri daripada pelatih kursus asas dan Kursus Perguruan Khas (KPK). Ramai peserta KPK menyertainya kerana mereka mahu mendapatkan sijil yang dapat menjadi batu loncatan untuk memohon kursus peringkat ijazah di universiti, khususnya Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia). Kalau tidak silap aku, hampir 200 orang peserta. Aku sudah lupa slotnya, tetapi penceramahnya yang masih kuingat ialah Mohamad Daud Mohamad, dan Nawawee Mohamad. Nawawee memang sudah kukenal lebih awal kerana dia pensyarah di Maktab Perguruan Lembah Pantai (MPLP) yang menjadi jiran kami, dan merupakan Penasihat Kumpulan Penulisan Kreatif (Kumpetif) di maktab itu. Aku pernah ke MPLP mendeklamasi sajak dalam program puisi kumpulan itu.

6. Kursus itu diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta. Ahli jawatankuasa bertungkus lumus menaip nama peserta pada sijil yang berjumlah 200 keping itu. Sijil itu memerlukan tanda tangan Pengetua. Aku pun berjumpa Encik Eric Yeow Teck Siang. Dia mahu menurunkan tanda tangan hidup pada setiap sijil. Aku menarik nafas lega. Pertama, dia bersetuju menandatanganinya. Kedua, dia sanggup menandatangani 200 keping sijil.

7. Majlis penutup dan penyampaian sijil akan dilaksanakan pada petang hari kedua. Kami mahu Pengetua menyempurnakan kedua-dua urusan itu. Namun demikian, aku harus mengiriminya surat rasmi. Aku pun menulis surat itu kepada beliau melalui Puan Sofiah. Seperti yang kuduga, dia tidak bersetuju dengan beberapa perkataan yang aku gunakan. Aku akur dengan kehendaknya, kerana yang mustahak bagiku, surat itu dapat disampaikan, dan Pengetua bersetuju. Apabila surat itu aku serahkan kepada Pengetua, dia segera menyatakan persetujuan. Cuma pesannya, apabila sampai waktu majlis penutupan dan penyampaian sijil, dia meminta aku datang ke rumahnya.

8. Majlis penutupan dan penyampaian sijil berjalan lancar. Aku sendiri yang menjemput Pengetua ke majlis itu dari rumahnya yang terletak di kawasan maktab, tidak jauh dari asrama kami. Selesailah majlis, dan ramai peserta KPK berpuas hati. Namun demikian, hal itu tidak habis di situ. Beberapa hari selepas itu, aku dipanggil oleh Puan Sofiah ke biliknya. Aku yang sudah biasa dengan keadaan di Pejabat Pentadbiran IB itu segera menuju ke biliknya yang terletak bersebelahan dengan bilik Pengetua.

9. Aku agak terkejut apabila Puan Sofiah menimbulkan hal berurusan dengan orang luar semasa mengadakan kursus tersebut. Orang luar yang dimaksudkannya ialah DBP. Dia menganggap aku melanggar protokol kerana terus berurusan dengan Pengetua, tidak melaluinya terlebih dahulu. Aku pun memberi alasan bahawa pada waktu itu Puan Sofiah tiada di pejabat, sedangkan pihak DBP mahukan surat itu dengan segera. Dia juga menegurku kerana berurusan dengan DBP secara sendirian, tidak berbincang melalui pengurusan maktab. Aku tiada alasan untuk membalas serangannya itu lalu aku berkata, “Saya sudah biasa dengan DBP. Saya kenal beberapa orang di sana kerana saya menulis karya dalam majalah DBP. Kalau saya dapat mengurus hal ini dengan cara paling senang dan tidak menyalahi kehendak DBP, mengapa saya harus menyusahkan keadaan. Lagi pun, tanda tangan Pengetua sudah tentu lebih wibawa, kerana dia ketua di sini.”

10. Yang aku ingat, Puan Sofiah merenungku tajam. Aku menundukkan muka, kerana tidak tahan dengan wajahnya yang garang dan serius itu. Aku mendiamkan diri. Dia juga diam. Setelah beberapa minit dia tidak memberi reaksi, aku pun meminta diri. Dia tidak berkata apa-apa, lalu cepat-cepat aku menyelinap keluar.
.

08 April 2010

16. MENULIS LIRIK LAGU NASYID

.
MENJELANG bulan Ramadan tahun 1985, pensyarah Muzik, Encik Abdul Murad Hamid, memberiku sekeping pita rakaman. “Dengar dua buah lagu di dalamnya, dan masukkan lirik,” katanya, ketika itu di dalam bilik kuliah Pendidikan Muzik. “Untuk apa?” tanyaku. “Nasyid, sempena Musabaqah Membaca Quran tahun ini,” balasnya. “Peringkat kebangsaan?” tanyaku lagi. “Kebangsaan dan antarabangsa!”

2. Hah, bala! Fikirku di dalam hati. Masalahnya bukanlah hal mengeluarkan kata demi kata, tetapi masalah utamanya, dia tidak memberiku not lagu. “Saya tak pandai, cikgu,” aku tersengih-sengih. “Alah, buat sajalah!” Tugas berat buatku. Namun demikian, aku percaya inilah peluangku untuk menunjukkan bakatku dalam penulisan lirik. Selama ini aku tidak berpeluang menulis lirik lagu. Apabila lirik itu digunakan nanti, sudah tentu namaku akan berkumandang di astaka, radio, dan televisyen. Hal itu membuatkan aku senang dan senyum sendirian.

3. Ketika ada waktu lapang, aku pasang kaset itu menggunakan radio kaset. Berkali-kali aku mendengar susunan muzik itu. Pada mulanya, aku dapati kedua-dua lagu itu sama sahaja temponya. Namun demikian, akhirnya aku dapat mengesan kelainannya. Aku pun menulis lirik mengikut tema yang dikehendaki. (Aku sudah terlupa tema musabaqah pada tahun itu). Beberapa kali aku membuat perubahan. Apabila aku sudah berpuas hati, pada suatu petang, aku turun ke tingkat 7 asrama, dan mengetuk bilik Encik Murad. Dia sudah berpesan kepadaku, ketika itu dia tiada di maktab, dan memintaku menghantar ke biliknya. Kalau tidak silap aku, isterinya yang membuka pintu, dan kuserahkan pita rakaman dan kertas lirik lagu yang telah kutaip rapi kepadanya.

4. Tidak beberapa lama selepas itu, Encik Murad memberitahuku bahawa banyak bahagian yang tidak masuk dalam muzik. Aku ketawa. “Saya dah beritahu cikgu, saya tak pandai.” Cikgu Murad tersenyum sahaja. “Saya dah suruh Ismail ubahsuai. Nanti masuk namanya sekali sebagai penyesuai.” Aku mengangguk sahaja. Aku berpuas hati kerana hasil karyaku masih diterima. Selepas itu aku dapati beberapa orang pelatih lelaki tahun satu dipilih untuk mengganggotai kumpulan nasyid yang dibentuk oleh Encik Murad. Aku sudah lupa nama kumpulan itu. Aku pernah melihat mereka berlatih. Seorang ahli kumpulan itu, Awi, pada suatu hari, bertanyaku, “Sebab apa mu tak latih sendiri kumpulan ni?” Aku gelak besar. “Mu kan tulis liriknya!” Aku menjawab, “Aku mana reti hal muzik. Aku tulis lirik saja, itu pun kelam-kabut!”

5. Sampai waktunya musabaqah diadakan, ketika dalam acara perasmian peringkat kebangsaan, kumpulan nasyid IB pun muncul. Ramai penghuni asrama berkumpul di Bilik Rehat A asrama untuk menonton kumpulan koir maktab kami membuat persembahan. Aku yang baru selesai menunaikan sembahyang tarawikh di surau maktab turut berada di bilik rehat itu. Aku yang berdiri di sudut bilik rehat itu berdebar menunggu hasil karyaku dikumandangkan. Sebelum persembahan, pengacara malam itu mengumumkan tajuk lagu, gubahan muzik oleh Encik Abdul Murad Hamid, dan lirik ciptaan bersama aku dan Encik Ismail, kakitangan Jabaan Teknologi Pendidikan. Pada ketika itu, ada rakan yang berpaling kepadaku. Aku senyum dibuat-buat dalam debaran dada yang belum hilang. Apabila aku hayati lagu nasyid itu, memang banyak bahagian yang dipinda. Namun begitu, aku sangat puas kerana karyaku sudah dikumandangkan.

8. Pada malam penutup peringkat kebangsaan, sekali lagi lagu itu dipersembahkan. Kali ini aku mengikutinya di bilikku, dan merakam pengumuman dan persembahan itu ke dalam pita rakaman menggunakan radio kaset. Oleh itu, aku dapat mendengarnya berkali-kali. Ketika itu, persembahan nasyid tidak diiringi oleh alunan muzik.

9. Apabila tiba musabaqah peringkat antarabangsa, lagu tersebut dipersembahkan sekali lagi. Selain itu, sebuah lagu lagi yang menggunakan lirik ciptaanku, dipersembahnkan. Oleh itu, musabaqah peringkat antarabangsa ini memperdengarkan kedua-dua lirik ciptaanku. Seperti lirik pertama, lirik yang kedua ini juga mengalami perubahan, dan diisytiharkan ciptaan bersama dengan Encik Ismail. Aku juga membuat rakaman persembahan itu.

10. Selepas itu, aku menerima surat daripada adik bongsuku yang mengucapkan tahniah kerana aku berjaya mencipta lirik nasyid. Mengikut katanya, orang kampung turut menyatakan gembira akan kejayaanku itu. Ketika bertemu Encik Murad beberapa ketika selepas berakhirnya kedua-dua musabaqah itu, aku bertanya tentang “apa-apa” yang mungkin ada untukku sebagai penulis lirik. Aku kecewa juga apabila diberitahu bahawa penganjur tidak memberikan apa-apa imbuhan. Mukaku keruh di depan Encik Murad. Setiap ahli kumpulan nasyid yang hanya menyanyi mendapat dua pasang baju Melayu percuma lengkap dengan samping yang digunakan semasa persembahan, dan hadir makan malam bersama dengan Yang di-Pertuan Agong, tetapi aku yang memerah otak, tidak mendapat apa-apa. Kalau ada sijil penghargaan sahaja pun aku rasa berbaloi.

11. Rakaman lagu nasyid itu aku simpan hingga beberapa lama. Ketika aku bertugas di Jengka, Pahang, pita rakaman itu masih ada. Namun, selepas itu, pita rakaman itu rosak, dan lagunya tidak dapat didengar lagi. Dengan berat hati, pita rakaman itu pun dibuang. Yang turut sama terbuang ialah kedua-dua lirik lagu itu yang tidak kusalin semula. Alahai!
.

06 April 2010

15. PENGALAMAN MENJALANI LATIHAN MENGAJAR

.
SEPANJANG tiga tahun menjadi pelatih di MPB/IB, kami menjalani latihan mengajar dua kali. Latihan Tahap 1 pada tahun kedua (1985), dan Tahap 2 pada tahun akhir (1986). Kedua-dua kali latihan mengajar itu aku ditempatkan di Petaling Jaya, dan pada sesi petang. Aku dan rakan-rakan dihantar dan dijemput oleh bas maktab.

2. Untuk latihan Tahap 1, aku ditugaskan mengajar di SM Taman Sea. Tarikhnya sudah aku lupa. Sekolah ini boleh tahan ancaman disiplinnya. Sepanjang aku menjalani latihan di situ, banyak kali juga kulihat kereta peronda polis berada di hadapan pintu pagar sekolah. Kata pelajar, polis selalu datang kerana terdapat remaja luar sekolah yang selalu memeras ugut pelajar sekolah itu, dan kadang-kadang menceroboh ke dalam kawasan sekolah.

3. Aku sudah terlupa rakan-rakan yang turut menjalani latihan mengajar di situ bersamaku. Yang kuingat, pensyarah yang menyelia pengajaran Bahasa Melayu ialah Encik Wan Zulkifli. Pensyarah yang menyelia pengajaran Sejarah mungkin Puan Rohani Shaari. Puan Leela Rajaratnam, pensyarah Pendidikan Seni pula menjadi penyelia am. Aku masih ingat, Puan Leela menegurku kerana tulisanku kurang jelas untuk dilihat oleh pelajar di bahagian belakang. Namun, dia membuat kesimpulan, pengajaranku mencapai tahap yang memuaskan. Encik Wan Zul pula tidak banyak cakap. Puan Rohani memang terkenal baik dengan pelatih dan selalu ketawa. Mereka datang sekali sahaja menyeliaku. Keputusannya, aku memperoleh gred B sahaja dalam Latihan Mengajar Tahap 1 ini.

4. Latihan Tahap 2 aku jalani di SM (Perempuan) Taman Petaling. Sekolah ini terletak di kaki bukit, mungkin Bukit Gasing. Sekiranya hujan lebat, air dari bukit itu mencurah ke dalam kawasan sekolah, menyebabkan sebahagian kawasan sekolah itu digenangi air. Bersama-samaku menjalani latihan di situ ialah Mat Rohan Sattar (PMG), Mustafa Kamal Abd. Rahim (PMG), Sharifah Shari (PMS), Chong Suat Gaik (PIS), Fariza Saad (PIS), Anne Mary Perumal (PIS), dan Siti Baizura Kassim (PIS).

5. Sepanjang menjalani latihan di situ, aku dapati tiada secebis sampah yang terdiri daripada kertas atau bahan yang sengaja dibuang, selain daun pokok yang menghiasi kawasan sekolah itu. Walaupun pelajarnya semua perempuan, mereka suka akan kerja menghiasi sekolah. Dalam satu aktiviti gotong-royong, pelajar yang perlu aku selia menyuruhku duduk sahaja di bilik guru. Beberapa ketika kemudian, apabila masa gotong-royong tamat, wakil pelajar datang menemuiku. Aku dijemput melihat hasil kerja mereka. Aku tercengang dan kagum. Pagar itu bercat kemas. Rupa-rupanya pelajar di sekolah itu tidak perlu diawasi sekiranya membuat kerja sedemikian. Bertuahnya guru di sekolah itu!

6. Aku mengajarkan Bahasa Melayu di tingkatan 2, mengambil waktu Encik Onn, guru yang sangat baik denganku, dan mengajarkan Sejarah di tingkatan 1. Pensyarah yang menyeliaku ialah Puan Saedah Yunus bagi subjek Sejarah, tetapi penyelia subjek Bahasa Melayu, aku lupa. Penyelia am pula ialah Encik Wan Zulkifli. Selalunya apabila mereka hendak datang menyelia kami, mereka akan memaklumkan hal itu kepada kami terlebih dahulu. Selalu juga kami yang bertanya tarikh mereka mahu datang supaya kami dapat membuat persediaan yang "istimewa". Sekiranya diketahui tiada pensyarah datang, kami membuat persediaan yang biasa sahaja.

7. Pelajar Kelas tingkatan 2 yang aku ajar itu boleh tahan dari segi sikap mereka. Kebanyakannya terdiri daripada pelajar Cina, beberapa orang India, dan seorang dua Melayu. Ketika aku mengajar, mereka bercakap-cakap dan senyum-senyum. Terusik hati dibuat mereka. Pada suatu kali, aku sedang diselia oleh Cikgu Onn. Ketika aku menulis sesuatu pada papan hitam, aku terdengar bunyi tendangan meja yang kuat di belakang. Cepat-cepat aku berpaling ke belakang, tetapi aku tidak mengesan apa-apa, lalu kuteruskan pengajaran. Selepas tamat pengajaran, Cikgu Onn memberitahuku bahawa dia menendang kerusi seorang pelajar yang bercakap-cakap ketika aku membelakangkan mereka. Cikgu ini amat prihatin kerana setiap kali aku masuk ke kelas, dia sefring lalu di beranda untuk mengawasi pelajarnya yang dianggapnya nakal itu.

8. Aku sendiri sangat geram dengan perangai budak di dalam kelas itu. Pernah sekali, selepas aku tegur dua tiga kali, seorang budak Cina yang tembam, masih gelak-gelak. Tanpa terkawal, aku sepak betisnya dengan kuat. Dia tidak memberi apa-apa reaksi, walaupun kawannya yang lain agak terkejut dengan tindakanku. Apabila pulang ke asrama, hujung jari kakiku terasa sakit, bahana menyepak betis budak itu. Timbul kebimbanganku kalau-kalau betisnya luka, dan ibu bapanya membuat aduan. Esoknya, apabila aku masuk ke kelas itu, aku dapati dia hadir seperti biasa. Apabila aku bertanya keadaannya, dia tersengih sambil berkata tiada apa-apa. Namun, Penyelia Petang, seorang perempuan India, mengingatkan kami agar memberitahunya sekiranya ada pelajar yang kurang ajar. Seorang pengawas India perempuan, yang selalu menyapa aku dan akhirnya baik dengan aku, memerliku: “Saya dengar cikgu sepak bola semalam?” “Huh, mana kamu tahu?” Balasku. “Saya tahulah,” balasnya.

9. Kelas Sejarah di tingkatan 1 yang aku ajarkan terdiri daripada pelajar yang lebih pintar dan menumpukan perhatian kepada pelajaran. Ketika asyik mengajarkan satu tajuk, baru aku sedar bahawa satu alat bantu tidak ada di atas meja. Aku agak gelabah sebentar, kerana guru penyelia, Cikgu Saedah ada di belakang. Namun demikian, menyedari dia tidak kisah sangat akan aku, kerana asyik menulis di dalam buku, aku mendekati seorang pelajar dan berbisik kepadanya supaya ke bilik guru dan mengambil alat bantu yang tertinggal di atas meja. Apabila pelajar itu keluar, aku meneruskan pengajaran seperti biasa mengikut langkah yang aku tulis di dalam Buku Latihan Mengajar. Alhamdulillah, ketika pelajar tadi mengetuk pintu dan membawa masuk alat yang tertinggal itu, aku pun tiba pada langkah yang memerlukan penggunaan alat itu. Ketika aku pandang ke arah penyeliaku di belakang, dia seperti tidak perasan hal yang berlaku di depan. Selepas tamat pengajaran, dia memberi respon yang baik terhadap proses pengajaranku, termasuk catatan di dalam Buku Latihan Mengajar.

10. Semasa sambutan Hari Guru peringkat sekolah, majlis sambutan dikendalikan oleh Pengawas Sekolah. Guru hanya memberi nasihat dan memantau keadaan. Kami guru pelatih hanya diminta menyertai dan memeriahkan majlis. Satu aktiviti yang aku ingat ialah perlawanan bola sepak antara pasukan sekolah dengan guru. Tidak dapat aku bayangkan permainan itu kerana kami pasukan guru terdiri daripada lelaki, manakala pasukan sekolah itu perempuan. Sekolah itu mempunyai beberapa orang guru lelaki sahaja, termasuk Encik Onn dan dua tiga orang lagi. Dalam kalangan guru pelatih, aku dan Mat Rohan sahaja yang dapat bermain, kerana Mustafa Kamal baru pulih daripada kemalangan jalan raya. Untuk mencukupkan pemain, guru terpaksa meminjam pekerja kantin dan pekerja sekolah. Oleh sebab pelajar mempunyai ramai pemain, mereka boleh menukar pemain bila-bila masa, sedangkan kami tidak dapat berbuat demikian. Pengawas perempuan yang selalu menyakat aku juga bermain. Aku yang setiap petang bermain bola sepak di kampung ketika belum memasuki maktab, menggunakan kebolehan yang tidak seberapa untuk memperdaya budak-budak itu. Aku menjaringkan beberapa gol, yang membolehkan pasukan guru memenangi perlawanan itu.

11. Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah kepada guru. Guru dikehendaki duduk di tempat masing-masing. Apabila diumumkan acara penyampaian hadiah bermula, murid dengan hadiah masing-masing akan mencari guru dan memberi hadiah. Aku menerima beberapa jenis hadiah daripada beberapa orang murid. Antara yang aku ingat ialah bunga dan beg duit. Terdapat guru yang menerima jam tangan. Mustafa Kamal juga menerima hadiah yang lumayan, kerana dia antara guru pelatih yang paling tampan.

12. Sepanjang menjalani latihan, aku diselia tidak kurang daripada 10 kali oleh pensyarah. Selain itu, guru mata pelajaran juga menyeliaku beberapa kali. Alhamdulillah, aku mendapat gred A dalam Latihan Mengajar Tahap 2.

.

03 April 2010

14. KISAH PULANG BERCUTI

.
KAMI yang berasal dari Semenanjung akan pulang ke kampung setiap kali tibanya cuti penggal, cuti hari raya, atau cuti yang melibatkan jangka waktu beberapa hari. Bagi yang tinggal di asrama, dengan meninggalkan asrama, kami membuat tuntutan bayaran balik makanan untuk beberapa hari percutian itu.

2. Masalah besar pada masa itu adalah untuk mendapatkan tiket bas untuk pulang. Bagi cuti penggal, masalahnya tidak timbul kerana waktu cuti sudah terjadual, maka kami dapat menempah tiket lebih awal. Namun, bagi cuti hari raya, khususnya hari raya puasa, kami sukar membuat tempahan awal kerana kami tidak mengetahui tarikh tepat cuti bermula. Selalunya, kami akan diberi cuti awal sehari atau dua hari untuk memastikan kami sudah berada di kampung pada pagi hari raya. Walau bagaimanapun, pengumuman cuti awal itu lambat dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan dan pihak maktab. Oleh itu, sukar untuk kami mengambil tiket untuk pulang. Hati selalu berdebar bimbang akan kehabisan tiket, dan kami terpaksa beraya di asrama bersama dengan rakan dari Sabah dan Sarawak yang juga tidak pulang.

3. Untuk pulang ke kampung dan kembali ke maktab, saya selalunya menaiki bas MARA dan SKMK. Biasanya saya akan menaiki bas perjalanan hari Sabtu malam Ahad, agar sampai ke maktab pada pagi Ahad, dan dapat berehat untuk berkuliah keesokan harinya. Jika tiket hari Sabtu malam tiada, saya akan memilih bas pagi Ahad, atau hari Ahad malam Isnin. Untuk bertolak dari Kelantan, saya terpaksa keluar dari rumah pada waktu petang, untuk menaiki bas di Bengkel Bas SKMK di Jalan Langgar, atau kadang-kadang kami diarahkan naik di Stesen Bas SKMK di pusat bandar Kota Bharu. Walaupun begitu, kadang-kadang Rosniza yang mengambil tiket, dia lebih menyukai bas Budaya. Oleh itu, kami akan menaiki bas itu di Stesen Bas Jalan Hamzah, Kota Bharu. Pada masa itu belum ada perkhidmatan bas dari Machang ke Kuala Lumpur.

4. Pada suatu kali pulang untuk berhari raya, saya dan Rosniza dan beberapa orang kawan meninggalkan asrama lebih awal agar dapat berbuka puasa di Jalan Medan Tuanku, tempat kami menaiki bas untuk ke Kelantan. Bas yang bakal kami naiki ialah bas tambahan syarikat MARA. Mengikut tiket, bas akan bertolak pada pukul 8.30 malam. Namun, pukul 9.00 malam pun, bas berkenaan tidak sampai-sampai. Pukul 10.00 pun tidak sampai juga. Rosniza yang sudah mula melupakan sabarnya, spontan sahaja menjerit, “Hoi, mana bas? Jual tiket tak ada bas ke?” Pegawai syarikat berkenaan yang ada di kaunter menjelaskan bahawa bas sudah ada di bengkel tetapi masih dalam pemeriksaan akhir, dan akan tiba. “Jangan bimbang, dik, bas ada,” katanya. “Alamak, tuan, lambat-lambat nanti sampai lambat, tak sempat sembahyang rayalah kami!” Balas Rosniza yang menyebabkan aku dan Azhar (Ben) tergelak kecil dan pegawai itu tersenyum. Bas itu datang pada pukul 11.30 malam, dan hanya bergerak pada pukul 12.00 tengah malam. Memang pun kami sampai lewat. Kami tiba di Kota Bharu hampir pukul 9.00 pagi. Aku sendiri perlu menaiki bas cepat ke Machang, dan kemudiannya menaiki teksi ke Temangan. Dari Temangan, kalau tiada kereta sapu, aku terpaksa berjalan kaki ke rumahku. Aku tiba di rumah hampir waktu tengah hari. Ketika itu sudah ada orang kampung yang mula mengukus pulut untuk dibuat ketupat tiga bucu berbalut daun palas atau ketupat dakap berbalut daun pisang.

5. Kadang-kadang, ketika menaiki bas untuk kembali ke maktab, bersama kami di atas bas ialah pelajar-pelajar universiti. Mereka agak ramai dan selalu bising bercerita itu dan ini. Ketika kami juga mempunyai bilangan yang agak ramai, kami mewujudkan saingan dengan bercerita itu dan ini dengan suara yang sengaja ditinggikan. Pada masa itu, kami dari maktab sering dipandang sebelah mata oleh pelajar universiti. Maklumlah, apabila tamat kami hanya mendapat sijil, sedangkan mereka mendapat ijazah. Suatu kali, berlaku persaingan hebat di dalam bas. Ketika masing-masing kumpulan cuba mendominasi keadaan, seorang daripada pelajar universiti yang celupar mulutnya bersuara, “Oi, budak maktab! Jadi cikgu gaji tak seberapa, janganlah tunjuk lagak!” Seingatku, Rosniza segera menjawab, “Oh budak U, kami keluar terus dapat kerja walaupun gaji tak seberapa. Awak semua yang belum tentu dapat kerja, entah-entah tanam anggur tak tumbuh-tumbuh!” Kemudian seorang daripada kami mencelah, “Ingat saudara saudari, awak dapat ke U pun kerana cikgu yang gaji tak seberapa itulah yang mengajar! Kena sedar diri sikit!” Kemudian kami gelak ramai-ramai untuk mengajar kumpulan yang merasakan diri mereka lebih bernilai itu. Kesannya, selepas itu, suasana di dalam bas menjadi aman.

6. Ketika cuti maktab dan sekolah, bas berbondong-bondong menuju ke Pantai Timur, khususnya Kelantan. Aku tidak hairan akan hal ini kerana di Kuala Lumpur dan Selangor, banyak pegawai kerajaan, pekerja kilang, serta pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi berasal dari Kelantan. Bas selalunya berhenti dua kali, iaitu di Temerloh dan di Kemaman. Apabila berhenti untuk makan di sebuah restoran di tepi jalan, bas memenuhi kawasan. Aku masih ingat, ketika berhenti di suatu tempat untuk pulang berhari raya, kedai makan di situ kehabisan makanan. Sepinggan nasi terpaksa dikongsi dua orang. Jika tidak berbuat demikian, tidak bersahurlah kami jawabnya.

.

02 April 2010

13. KELAS PENYUBURAN DIRI

.
KETIKA tahun pertama, selain mata pelajaran teras - Bahasa Melayu dan Sejarah, serta mata pelajaran wajib lain - Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris, dan mata pelajaran Muzik dan Pendidikan Seni, kami dikehendaki mengambil mata pelajaran penyuburan diri, iaitu Ekonomi Rumah Tangga. Setiap pelajar, sama ada lelaki atau perempuan, dikehendaki mengambil mata pelajaran itu.

2. Aktiviti utama mata pelajaran ini ialah masakan, jahitan dan aktiviti membuat hiasan. Tujuannya supaya dapat memberi kami pengetahuan dan pengalaman asas untuk memasak makanan sendiri dan menjahit pakaian sendiri yang koyak apabila dalam keadaan memerlukan. Aku yang memang hanya pandai makan masakan emak dan memakai pakaian yang sudah disiapkan ini berdebar juga untuk mengikuti subjek yang “mencabar” ini. Semasa di tingkatan 2 dan 3 di SM Kampung Pek dahulu pernah juga pihak sekolah menawarkan mata pelajaran ini kepada pelajar lelaki, tetapi aku buat pekak sahaja, dan memang tidak ada pelajar lelaki pun yang menyertainya.

3. Seingatku, dalam seminggu, sekali sahaja mata pelajaran itu diadakan. Dalam aktiviti amali, kami dipasangkan berdua - lelaki sesama lelaki, dan perempuan sesama perempuan. Pensyarah tidak mahu pasangan lelaki-perempuan, bimbang yang lelaki mengharapkan yang perempuan sahaja. Waktu pelajar perempuan memasak, kami yang lelaki akan dapat menikmatinya selepas tamat kelas.

4. Aku dipasangkan dengan Zulkifli bin Husin. Seingatku, sempat dua kali kami menjalani amali memasak. Kami diberi penjelasan terlebih dahulu oleh pensyarah, sama ada oleh Puan Halimah binti Abdul Rahman atau oleh seorang lagi pensyarah, yang sudah terlupa namanya. Kami dibekalkan resepi, dikehendaki menyediakan bahannya dan memasak mengikut “kepakaran” masing-masing. Kami pun memakai apron, cuma yang kurang, tiada topi tukang masak. Masakan hendaklah siap sebelum masa Ekonomi Rumah Tangga pada waktu itu berakhir.

5. Menu pertama, memasak nasi goreng, tidak menjadi masalah. Semuanya berjalan lancar. Hasilnya, selepas dinilai oleh pensyarah, dikira lulus. Apabila aku mengecapnya, sendiri, boleh tahanlah, dan aku tidak sakit perut selepas itu. Namun demikian, aku dan Zulkifli tidak membuka tawaran nasi goreng itu kepada rakan perempuan di kelas kami, kerana takut malu sekiranya mereka menolak dengan sejuta sengihan. Apabila ada yang bertanya, kami mengatakan sudah habis dimakan kami berdua, kerana kami lapar. “Lain kalilah ya,” kata kami berdua sambil tersengih. Rakan perempuan pun semakin lebar sengihan mereka, menyebabkan hati kami membengkak kerana menahan geram.

6. Menu yang kedua, padaku sangat mencabar. Kali ini menyediakan agar-agar. Aku di Kelantan mengenalinya sebagai “beleda”. Kalau tidak salah ingatanku, beleda yang perlu kami siapkan ialah beleda bercampur susu. Nama masakannya aku sudah lupa, dan aku tidak kisah pun tentang nama resepi itu. Yang mustahaknya, aku akan menjadi “pemasak beleda”! Kami yang terdiri daripada beberapa pasangan mulalah sibuk dengan tugas masing-masing. Mulut bising bercakap itu ini, sambil sesekali gelak. Pensyarah buat tidak tahu sahaja, dan sesekali hilang entah ke mana, kerana pada waktu itu, kamilah tukang masak!

7. Entah macam mana, silap teknik rasanya, aku dan Zul terlewat. Pasangan lain sudah menyiapkan agar-agar dan sudah mula menuangkan susu. Dengan kelewatan itu, kami lewat untuk memasukkan susu, sedangkan masa penamat semakin dekat. Untuk mempercepat proses pembekuan agar-agar itu, dengan idea bersama, kebetulan pensyarah tiada, kami masukkan agar-agar itu ke dalam peti sejuk. Hampir waktu tamat, dan sebelum pensyarah kembali, kami keluarkan. Alhamdulillah, agar-agar kami sudah beku, tetapi terasa dingin.

8. Apabila pensyarah datang dan membuat penilaian, pensyarah itu mencedok dengan sudu. Dia pun segera memandang kami. “Hah, masukkan ke dalam peti sejuk ya!” Agar-agar itu pecah berterabur, dan susu melimpah keluar. Rupa-rupanya bahagian dalamnya belum beku. Kami digelakkan oleh rakan-rakan lain. Kami mendapat markah paling rendah. “Tak apa, boleh dimakan, tapi kurang sedap!” Ulas pensyarah. Aku dan Zul ketawa dibuat-buat menahan malu! Sekali lagi, ketika ditanya oleh rakan perempuan setelah pulang ke bilik kuliah, kami mengatakan, “Dah habis, kami lapar tadi!”

9. Bagi amali jahitan, kami ditunjukkan cara jahitan tangan bagi menampal baju carik. Aku tidak kekok sangat menjahit baju carik kerana hal sedemikian selalu dibuat oleh emakku, dan aku sendiri pernah menjahit seluar bermain yang carik. Jika dinilai, aku lulus dengan baik dalam topik itu. Namun demikian, ketika tiba waktu untuk menggunakan mesin jahit, aku mula berpeluh. Di rumahku di kampung tiada mesin jahit. Aku melihat mesin jahit di bilik ERT di sekolahku, yang pernah kami gunakan bilik itu, dan mesin jahit di kedai jahit, tetapi belum pernah menggunakannya.

10. Sampai giliranku, aku pun menghadap mesin itu. Gementar di dalam diri Allah sahaja yang tahu. Pedal mesin jahit dipijak. Seronok menjahit, fikirku sendirian, kerana dapat menggoyang kaki. Perbuatan menggoyang kaki dapat melegakan urat saraf, agaknyalah. Ketika mula menggoyang pedal, roda kepala mesin itu bergerak ke arah sebaliknya...

11. Selepas itu, aku sendiri sudah tidak ingat apa-apa yang berlaku. Yang aku pasti, hingga hari ini aku tidak pernah menjahit baju.
.

01 April 2010

12. BERLAKON: WAKIL PPI DIHALAU KELUAR BILIK

.

AKU ahli gerak kerja korikulum (Gerko) Kelab Drama. Guru penasihatnya ialah Puan Faezah Sulaiman dan Puan Radiah Nordin. Sebagai ahli kelab itu, aku harus berdrama. Aku tidak pandai sangat berlakon, tetapi sekadar melakukan gerak dalam lakonan pantomin, bolehlah aku buat walaupun selalu sumbang. Dua tiga kali juga aku muncul di pentas Dewan Besar MPB/IB sebagai pelakon drama bagi kelab itu.

2. Lakonan yang paling kuingat ialah dalam pantomin, yang sudah aku lupa tajuk dan majlisnya. Dalam persembahan itu, kami terpaksa bersentuhan jari untuk menggambarkan keakraban, kalau tidak silap aku. Mulanya kami dikehendaki berpegangan tangan, tetapi aku mencadangkan agar lebih baik sekadar bersentuhan jari sepintas lalu. Aku sendiri sudah rakan pemilik jari itu, pelajar Cina. Oleh sebab aku tidak biasa bersentuhan dengan perempuan, ketika sentuhan dua tiga kali itu terjadi, hujung jariku yang terlibat terasa agak panas. Namun demikian, persembahan itu boleh dianggap berjaya.


3. Perlu aku sebutkan bahawa selain berkhidmat dalam Jawatankuasa Penerbitan dan Penerangan, aku turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penerbitan bagi Persatuan Pelajar Islam (PPI). Pelantikan aku itu disebabkan aku dianggap berkebolehan dalam hal penerbitan, di samping aku selalu menjadi pengunjung surau ketika solat lima waktu, dan rapat dengan beberapa orang kuat persatuan itu. Aku menerima pelantikan itu kerana tugasku hanyalah menerbitkan buletin bulanan tentang persatuan itu.

4. Aku tidak pasti, sama ada sehari atau beberapa hari selepas itu, waktu hampir 11.30 malam, ketika aku hendak “mendarat di atas katil”, aku dikunjungi rakan setingkatku di Tingkat 12 asrama maktab, orang kuat Persatuan Pelajar Islam. Seingatku, ketika itu aku bersendirian di bilik kerana rakan sebilikku, Mohd Tajuddin Azizan belum pulang. Rakanku itu ialah rakan baik Rosniza Ismail. Dia menyatakan rasa kurang senang dengan penglibatanku dalam persembahan drama yang melibatkan sentuhan dengan orang bukan muhrim. “Jawatankuasa PPI tidak wajar buat macam itu,” katanya. Dia menegurku dengan lembut sahaja.

5. Aku tidak kisah sekiranya dia menegurku hal itu. Memang benar aku patut ditegur. Yang aku tidak senang ialah dia menyalahkan aku kerana berada dalam Kelab Drama. Aku sudah lupa hal lain yang diperkatakan, tetapi yang nyata, teguran-tegurannya menimbulkan kemarahan aku. Di puncak kemarahanku, aku dengan tidak segan-silu menghalaunya keluar dari bilikku dengan suara lantang: “Keluar! Keluar!” Kebetulan ketika itu, pintu tidak bertutup. Suaraku yang kuat menyebabkan rakanku yang menginap di bilik bertentangan dengan bilikku membuka pintu. Shamsudin Ramli, yang mula-mulanya terpinga-pinga, kemudiannya datang menyabarkan aku, dan meminta orang kuat PPI kembali ke biliknya dahulu.

6. Peristiwa itu tersebar kepada rakan-rakan lain, malahan sampai kepada Puan Radiah Nordin. Dia memanggil aku. Aku ceritakan hal yang berlaku. Pensyarah ini juga tidak senang dengan tindakan pelajar tersebut. Namun begitu, tiada apa-apa tindakan yang dibuat. Aku juga tidak kisah. Walaupun begitu, aku tidak bercakap dengan Mat Azmi buat beberapa ketika. Kesannya, aku menulis surat kepada PPI untuk melepaskan jawatan aku sebagai Ahli Jawatankuasa Penerbitan PPI dengan alasan bahawa aku telah mencalarkan maruah PPI. Aku sudah lupa sama ada permohonan itu diterima atau tidak.

7. Rakan itu baik orangnya. Kata-katanya lembut, tetapi sesekali sinis. Pernah sekali, kami tidak sempat bersolat di surau maktab. Ketika aku mahu bersolat sendirian, Rosniza datang dan mengajakku bersolat jemaah di biliknya. Apabila aku pergi, rakan itu sudah menunggu kami. Aku menghampar sejadahku yang sudah usang, tetapi dia melarang aku. “Sejadah buruk,” katanya perlahan sambil tersenyum. Entah mengapa, tiba-tiba telingaku berdesing. Tanpa berfikir panjang, aku mengambil sejadahku, dan meninggalkan mereka, lalu bersolat sendirian di bilikku.

8. Dia dan Rosniza antara pengikut kumpulan Tabligh, dan selalu mengikuti kegiatan kumpulan itu di luar maktab. Pada masa itu, ada juga pelajar yang menjadi pengikut Al-Arqam dan selalu mengunjungi perkampungan jemaah itu. Aku juga sudah lupa tempoh aku berkonfrontasi dengannya akibat kes lakonanku itu, dan juga lupa hal yang menyebabkan kami berbaik-baik semula.

25 Mac 2010

11. KURSUS KEPIMPINAN KHAS GURU PELATIH DI PERETAK

AKU diarahkan mengikuti Kursus Kepimpinan Khas Guru Pelatih sesi kedua pada tahun 1985 ketika berada di tahun kedua di Institut Bahasa. Ketika itu aku merupakan Naib Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan dalam Persatuan Guru Pelatih. Turut bersamaku ialah Naib Bendahari Kehormat, Mohsin bin Ariffin, rakan sekelasku.

2. Kami ke Kuala Kubu Bharu dengan menaiki bas pada pagi Sabtu, 27 Julai 1985. Dari pekan Kuala Kubu Bharu, kami dibawa ke Pusat Latihan Belia Peretak. 51 orang pelatih mendaftar diri, dan seorang tidak hadir. Peserta lelaki ditempatkan di empat buah pondok penginapan (chalet), dan peserta perempuan ditempatkan di asrama perempuan. Tempoh kursus adalah dari 28 Julai 1985 hingga 10 Ogos 1985.

3. Sesi pertama pada hari pertama, 28 Julai 1985, ialah penubuhan ahli jawatankuasa kepimpinan. Aku telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan dan Penerangan, dengan keputusan majoriti. Aku lupa pencadangku, tetapi aku rasa Mohsin, kerana dialah yang mengenali dan mengetahui kebolehanku. Kami dibahagikan kepada lima kumpulan, yang kami namakan mengikut nama bunga. Aku dimasukkan ke dalam Kumpulan Kiambang, yang diketuai oleh Azizi Abdul Rahman dari Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur. Setiap aktiviti, sama ada aktiviti ceramah dan teori atau bengkel, di dalam atau di luar dewan, kami sentiasa dalam kumpulan yang ditetapkan.

4. Senarai nama guru pelatih yang terlibat aku catatkan untuk kenangan, dan mungkin suatu masa nanti, penting dijadikan rujukan.

• Wan Yaacob binti Wan Ibrahim – MP Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur (Ketua Kumpulan Anggerik)
• Sabah binti Ahmad – MP Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor.
• Mazlan bin Yahya – MP Kuantan, Semambu, Pahang.
• Abdul Rahim bin Sulaiman – MP Sri Kota, Jalan Kuantan, Kuala Lumpur
• Amit bin Haji Basrin – MP Sandakan, Sandakan, Sabah.
• Ishak bin Abdul Manaf – MP Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.
• Roslan bin Mansor – MP Kinta, Ipoh, Perak.
• Mordiah binti Haji Madon – MP Batu Lintang, Kuching, Sarawak.
• Sabar bin Haji Julaini – MP Rajang, Bintangor, Sarawak.
• Nurulhuda binti Abdullah – MP Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.
• Hamdan bin Asmat – MP Mohd Khalid, Johor Bahru, Johor.
• Azizi bin Abdul Rahman – MP Teknik, Cheras, Kuala Lumpur (Ketua Kumpulan Kiambang)
• Noor Aziah binti Ghazali – MP Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka.
• Suhaimi bin Mohd Salleh – MP Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
• Noraliza binti Jaafar – MP Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.
• Kamaliah binti Salleh – MP Mohd Khalid, Johor Bahru, Johor.
• Hamdan bin Taib – MP Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu.
• Abdullah Sani bin Abdul Razak – MP Islam, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
• Mohamad Asri bin Ayob – MP Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kelantan.
• Rafaei bin Ismail – MP Lembah Pantai, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
• Bakar bin Othman – MP Sandakan, Sandakan, Sabah.
• Mohsin bin Ariffin – MP Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (Ketua Kumpulan Melur)
• Jah Leha bin Yusof – MP Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.
• Ismail bin Mohamad – MP Kuala Terengganu, Batu Rakit, Terengganu.
• Zulkifli bin Ismail – MP Teknik, Cheras, Kuala Lumpur.
• Selamat bin Ujud – MP Ipoh, Hulu Kinta, Perak.
• Suhana binti Mohamed Zamri – MP Persekutuan, Bukit Gelugor, Pulau Pinang.
• Abd. Halim bin Hussain – MP Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kelantan.
• Rabaah binti Mohd Julie – MP Sarawak, Miri, Sarawak.
• Joshua Oniyeye Graman – MP Batu Lintang, Kuching, Sarawak.
• Noor Akmar binti Mohd Pahri – MP Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.
• Kamaruzaman bin Hassan – MP Lembah Pantai, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (Ketua Kumpulan Dahlia)
• Surizan binti Md. Adil – MP Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka.
• Mohd Jakir bin Haji Ludin – MP Sarawak, Miri, Sarawak.
• Yong Wing Cheang – MP Keningau, Keningau, Sabah.
• Darizah binti Abd. Rashid – MP Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.
• Jason Luhat Awing – MP Rajang, Bintangor, Sarawak.
• Norliwati binti Omar – MP Kuala Terengganu, Batu Rakit, Terengganu.
• Abdullah bin Sanin – MP Islam, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
• Silahhuddin bin Saleh – MP Sri Pinang, Pulau Pinang.
• Ahmad Rosli bin Ismail – MP Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan.
• Borhan bin Md. Nor – MP Sri Pinang, Pulau Pinang (Ketua Kumpulan Mawar)
• Norimah binti Abd. Latif Hushein – MP Keningau, Keningau, Sabah.
• Nordin bin Mohd Salleh – MP Ipoh, Hulu Kinta, Perak.
• Tengku Norlizar binti Tengku Chik – MP Persekutuan, Gelugor, Pulau Pinang.
• Ab. Wahab bin Ya – MP Kuantan, Semambu, Pahang.
• Mohd Basri bin Baharom – MP Sri Kota, Jalan Kuantan, Kuala Lumpur.
• Noraniza binti Abdul Rahman – MP Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu.
• Mohd Arif bin Abdul Manaf – MP Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor.
• Mohd Yunos bin Abdul Rahman – MP Kinta, Ipoh, Perak.
• Awang Lai – MP Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.


4. Setiap hari, kecuali ketika kami dalam aktiviti perkhemahan selama tiga hari, sesi latihan kami bermula pukul 5.45 pagi untuk program sembahyang Subuh dan kuliah Subuh, diikuti dengan aktiviti senaman pada pukul 6.30 pagi. Sarapan pagi dapat kami nikmati mulai 7.15 pagi, dan perhimpunan bersama-sama dengan peserta kursus kemahiran pada pukul 7.45. pagi. Acara kami di dewan bermula pukul 8.15 pagai, akan berakhir pukul 5.00 petang. Pada waktu malam, sesi bermula pada pukul 9.00 malam selepas sembahyang Maghrib dan Isyak, dan berakhir pada pukul 11.00 malam. Walaupun begitu, sekiranya urusan kami tidak selesai mengikut jadual, kami perlu menamatkannya walaupun terpaksa lanjut hingga pukul 12.30 tengah malam.

5. Setiap pagi, ketika perhimpunan, peserta kursus kemahiran datang ke medan perhimpunan mengikut jadual. Sebaliknya, kebanyakan kami tiba lewat, kerana bangun lewat, kerap ponteng senanam pagi, dan terpaksa pula lewat bersarapan pagi. Hal ini gara-gara selalu tidur lewat yang menyebabkan kami letih dan mengantuk. Yang menggembirakan kami, pihak pusat latihan dan jurulatih kami tidak menegur kami dengan serius. Peserta kursus kemahiran pula menunggu kami di medan perhimpunan walaupun sering bermula lewat. Kami akan menyanyi lagu “Negaraku”, diikuti dengan lagu pusat latihan itu, “Belia Peretak” dan “Belia Malaysia” oleh peserta kursus kemahiran, dan kami peserta kursus kepimpinan menyanyikan lagu “Guru Malaysia”.

6. Peserta kursus kemahiran sanggup menunggu kami guru pelatih kerana mereka tertarik dengan lagu “Guru Malaysia”. Apabila kami menyebut perkataan “membantu” dan “membina” pada rangkap ketiga, mereka akan mengulang setiap perkataan tersebut dengan bersemangat sekali, dan menjadikan nyanyian lagu itu sangat ceria. Apabila tamat lagu itu, mereka bertepuk tangan yang menyebabkan kami tersenyum bangga. Seorang peserta memberitahuku, lagu “Guru Malaysia” sangat berbekas di hati mereka. Ah, betapa bangganya aku!

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putera puteri negara kita.

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua.

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu
Membina
Negara yang tercinta.

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Tunai tetap kami tunaikan...!


7. Sekiranya sesi kami tamat tepat pada pukul 11.00 malam, aku dan Ahli Jawatankuasa Penerbitan dan Penerangan akan menyiapkan kerja kami. Penerbitan kami memuatkan gambar setiap peserta kursus kepimpinan berserta, nama peserta, maktab yang diwakili dan kursus yang diikuti di maktab mengikut kumpulan. Terdapat juga kata alu-aluan dan karya. Gambar dilekatkan pada kertas taip dan difotostat, manakala teks lain ditaip menggunakan stensil dan dicetak di bilik cetak pusat latihan itu. Kami dibenarkan menggunakan bilik itu dengan bebas pada waktu malam. Penerbitan itu, yang kami namakan Persatuan Belia Kancil KKKGP Peretak 2/85 selesai dan diedarkan dua hari sebelum kursus berakhir. Walau bagaimanapun, kami yang menjadi ahli jawatankuasa penerbitan hampir setiap malam terpaksa pulang lewat dan tidur lewat. Dua kali juga aku terpaksa pulang pukul 2.30 pagi, susup-sasap merayap masuk ke chalet ketika rakan lain sedang enak dibuai mimpi.

8. Aktiviti teori dan ceramah serta bengkel diadakan di dalam dewan. Setiap kumpulan perlu merancang dan menyiapkan setiap tajuk yang diberikan, dan perlu membentangkannya, dan kumpulan lain akan mengaju pelbagai soalan yang menyakitkan kepala dan perasaan. Aktiviti luar pula melibatkan perkhemahan di tepi sungai kira-kira tiga hingga empat kilometer di luar pusat latihan, pada 2 Ogos hingga 4 Ogos 1985. Sepanjang masa berkhemah, acap kali peserta dikejutkan pada awal pagi, dan kami terpisat-pisat bangun. Ketika ini Jawatankuasa Perkhemahan akan menggunakan kuasa masing-masing “mengenakan” kami. Sungguhpun begitu, kami tidak perlu memasak makanan, kerana makanan dibawa dari pusat latihan.

9. Aktiviti yang paling mencabar ialah “jelajah hutan”. Kami perlu mendaki dan menuruni lurah di celah-celah akar dan pokok besar. Dalam apa-apa keadaan sekalipun, kami perlu bersama dengan kumpulan masing-masing. Penilaian dibuat berdasarkan kerjasama dan cara kami bertindak dan menyelesaikan masalah. Keadaan yang teruk kami alami adalah ketika hendak menyeberang sungai yang deras, dalam, dan berbatu-batu besar di samping meniti di atas batang kayu yang merentangi sungai. Seluar sukan yang aku pakai carik, lututku luka dan berdarah apabila terlanggar batu besar di dalam air setelah dua tiga orang rakan dalam kumpulanku terjatuh ketika menyeberangi sungai.

10. Sebelum ke pusat latihan itu, aku sudah mengetahui bahawa seorang rakanku yang juga berminat dalam penulisan, berasal dari Kelantan, mengikuti kursus kemahiran di situ. Dia pernah mengirimi aku surat dari pusat itu. Dia juga memberitahuku bahawa seorang peminatku, perempuan, dari Kedah, turut mengikuti latihan kemahiran di situ. Malangnya, aku sudah terlupa nama kenalanku dan peminatku itu dan kursus yang diikuti mereka. Namun demikian, aku mengenali peminatku itu kerana dia pernah mengirimiku sekeping gambar. Ketika makan tengah hari pada hari kedua kursusku, dia bertugas mengagihkan nasi dan lauk. Aku tahu dia mengenaliku setelah dia melihat tanda nama yang aku pakai, menyebabkan aku mengusiknya dengan menutup tanda namaku. Seingatku, kami tidak sempat berborak kerana tiada ruang masa. Dengan kenalanku itu pun, aku dapat berbual sekali-sekala ketika sembahyang di surau. Untuk sembahyang Jumaat, kami dibawa dengan bas ke masjid di pekan Kuala Kubu Bharu.

11. Pada hari terakhir kursus, 10 Ogos 1985, kami diraikan dalam majlis penutupan. Penyampaian sijil dilakukan. Kami kembali ke maktab masing-masing pada keesokan harinya. Pada hari pertama aku kembali mengikuti kuliah di maktab, seorang senior terkejut melihat aku sangat cengkung. Aku hanya berseloroh, “Nasib baik masih hidup.”

19 Mac 2010

10. MAJALAH PANTAI JAYA 1985: BERTELAGAH DENGAN KETUA PENSYARAH PENASIHAT

.
SEPERTI yang telah aku catatkan dalam Perkara 9 Catatan 8, pada tahun kedua, aku terpilih sebagai Naib Pengerusi Penerbitan dalam pilihan raya Persatuan Guru Pelatih. Aku menewaskan Ibrahim bin Talib, yang juga seorang penulis yang berbakat. Sebagai Ahli Majlis Guru Pelatih, tugasku yang utama ialah hal penerbitan, iaitu edaran bulanan, serta majalah tahunan, Pantai Jaya. Pengerusi Penerbitan ketika itu ialah Sdr. Mazli bin Md. Yusoff.

2. Ketika menerbitkan majalah Pantai Jaya 1985, aku diberi kuasa sepenuhnya oleh Pengerusi Penerbitan untuk menentukan kandungan dan segala urusan percetakan. Ibrahim Talib aku lantik sebagai Ketua Editor, manakala Setiausaha dijawat oleh Rosni bin Omar. Mengikut tradisi penerbitan majalah ini, pelatih daripada kalangan guru yang mengikuti Kursus Dalam Pendidikan setahun diambil untuk membantu kami. Sungguhpun demikian, kebanyakan tugas kami laksanakan sendiri.

3. Kami memilih syarikat percetakan yang terletak di Jalan Pantai Baru. Hal ini memudahkan aku melihat perkembangan percetakan. Ketua Pensyarah Penasihat yang dilantik oleh pengurusan maktab ialah Puan Jauharah binti Haji Tak, dengan dibantu oleh Cik Norsiah binti Abd. Rahman sebagai penolongnya. Oleh sebab maktab ini mempunyai kursus bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina, maka majalah ini diisi dengan makalah dalam ketiga-tiga bahasa tersebut.

4. Ketika urusan percetakan majalah itu hampir siap, aku diarahkan oleh pihak maktab agar mengikuti Kursus Kepimpinan Guru Pelatih. Turut sama diarahkan ialah Naib Bendahari Persatuan Guru Pelatih, Sdr. Mohsin bin Ariffin selama dua minggu. Puan Jauharah meminta aku menyerahkan urusan kepadanya. Aku pun mengingatkannya tentang iklan agar tidak tersalah cetak, kerana terdapat iklan yang bersaiz ¼ halaman, ½ halaman, dan sehalaman penuh. Aku juga menyerahkan urusan rakaman gambar kepada Ibrahim Talib dan akan dipastikan kelancarannya oleh ketua pensyarah penasihat itu. Kebetulan urusan rakaman gambar pensyarah, pelatih mengikut kelas, kelab dan persatuan, unit uniform, dan sebagainya, dijadualkan dilakukan semasa saya mengikuti kursus. Rakaman gambar dibuat oleh Sdr. Ismail bin Awang Kechik, kakitangan Unit Teknologi Pendidikan.

5. Pada 26 Julai 1985, aku dan Mohsin pun bertolak ke Pusat Latihan Belia Peretak, di Kuala Kubu Bharu. Aku lupakan suasana di maktab dan memberi tumpuan kepada kursus kepimpinan di pusat latihan tersebut. Kebetulan pula, dua orang kenalanku sedang mengikuti kursus kemahiran di situ. (Hal ini akan aku ceritakan dalam catatan lain). Kursus itu berakhir pada 10 Ogos 1985. Apabila aku kembali ke maktab, semuanya sudah selesai. Tidak lama kemudian, majalah itu pun dapat diedarkan kepada pelatih, pensyarah dan kakitangan lain. Hatiku senang kerana sudah menyelesaikan tugasan berat.

6. Namun demikian, aku dikejutkan dengan tuntutan daripada beberapa pengiklan. Mereka tidak puas hati dengan penyiaran iklan yang tidak mengikut saiz yang ditetapkan, dan meminta ganti rugi. Apabila aku menyemak iklan yang diterbitkan, didapati ada kesilapan saiz berbanding dengan bayaran. iklan semuka penuh dicetak setengah muka, sebaliknya yang sepatutnya separuh dicetak penuh sehalaman. Kesilapan ini menyebabkan aku terpaksa berdepan dengan Penasihat Persatuan Guru Pelatih. Aku berterus terang bahawa segalanya telah kuserahkan kepada ketua guru penasihat majalah.

7. Ketika bertemu dengan Puan Jauharah, aku dimarahi kerana memberi maklumat yang salah. Beliau mempertahankan diri bahawa saiz yang dicetak itu seperti yang aku serahkan kepadanya. Aku tunjukkan kepadanya salinan kertas karbon bertaip menggunakan mesin taip yang masih aku simpan. Persemukaan ini terjadi di Bilik Pensyarah. Apabila beliau enggan menerima bukti yang aku berikan, tanpa terkawal aku meninggikan suara, “Saya tak mahu bertanggungjawab, cikgu. Cikgu jawablah kepada PGP!” Akibatnya, pensyarah lain yang ada di bilik itu memandang kami. Aku tidak rasa bersalah ketika itu oleh sebab mukaku merah padam kerana marah.

8. Keadaan ditenangkan oleh pensyarah mentorku. Dia memujukku supaya meninggalkan pensyarah itu. Pengerusi Penerbitan, Mazli tidak pernah bertanyaku hal itu. Dalam mesyuarat Jawatankuasa PGP (Persatuan Guru Pelatih) juga aku tidak ditanyai tentang hal itu. Aku juga berdiam diri. Aku menganggap segalanya selesai. Aku juga tidak tahu kaedah penyelesaian yang dibuat.

9. Selepas peristiwa itu, aku cuak untuk bertemu dengan pensyarah itu. Nasib baik dia tidak mengajar aku. Pada tahun berikutnya, aku menarik diri daripada bertanding jawatan Pengerusi Penerbitan. Aku tidak mahu menanggung risiko menerbitkan majalah dengan ketua penasihatnya pensyarah yang sama. Memang benar, terbitan 1986 juga dinasihati oleh pensyarah itu. Pada tahun itu majalah dikendalikan oleh Ibrahim Talib pula, yang dipilih sebagai Pengerusi Penerbitan. Namun demikian, aku masih terlibat kerana diminta menjadi Ketua Editor. Aku berurusan terus dengan Ibrahim Talib, dengan itu aku tidak bertemu dengan pensyarah penasihat.

10. Ketika hampir menamatkan pengajian, aku memohon maaf di dalam hati kepada Puan Jauharah kerana meninggikan suara. Aku tidak pasti dia masih ingat atau tidak hal ini. Ketika aku kembali ke Institut Bahasa pada tahun 2007 untuk menerima sijil perguruan, aku tidak ingat berjumpa atau tidak dengannya. Mungkin dia belum memaafkan aku, kerana aku tidak pernah memohon maaf dengan suara. Harapnya dia sudah memberikan kemaafan.

.

13 Mac 2010

9. TAHUN PERTAMA DI MPB

.
.

SEPERTI lazimnya, kehidupan di institusi pengajian bermula dengan minggu suai kenal. Aku dan rakan-rakan menjalaninya dari pagi hingga malam. Kadang-kadang, selepas jam 10.30 juga kami terpaksa menjalani aktiviti yang dikendalikan oleh senior yang menginap di tingkat yang sama dengan kami. Aku ditempatkan di tingkat 12, dan tinggal sebilik dengan rakan yang berasal dari utara, Mohd Tajuddin bin Azizan.
.
2. Selepas minggu orientasi itu, beberapa orang pelatih baharu terkena serangan penyakit bintil-bintil merah di seluruh badan. Mereka dihantar ke Hospital Universiti. Hospital itu kelihatan tidak jauh dari situ, kerana dapat dilihat dengan jelas dari tingkat asrama kami. Kemudian aku juga terkena penyakit itu, berjangkit daripada rakan sebilik. Aku disuruh pergi ke hospital. Tiada sesiapa yang sanggup menghantar aku. Aku pun mengambil keputusan pergi sendiri. Aku tidak tahu mengambil bas, lalu membuat keputusan berjalan kaki sendirian ke sana. Rupa-rupanya hospital itu tidaklah sedekat yang disangka. Berpeluh aku berjalan. Apabila sampai berhampiran hospital itu, aku terpaksa bertanya orang untuk masuk. Proses untuk mendapat rawatan juga tidak secepat yang disangka. Namun, dengan surat pengenalan diri daripada pihak maktab, dan penyakit yang kualami itu sudah banyak menjangkiti pelatin lain, aku diperiksa dengan segera. Aku mendapat cuti tujuh hari. Aku balik semula ke asrama maktab dengan berjalan kaki juga.

3. Ekoran penyakit itu, aku diasingkan. Aku ditempatkan di bilik sakit yang terletak di tingkat satu asrama. Terdapat dua ruang untuk lelaki, tetapi penghuninya aku seorang. Penyelia Asrama, yang dipanggil Juruwati, mahu aku membuka semua lampu di situ pada waktu malam. Ketika makan, urus setia asrama menghantar makanan kepadaku. Seorang daripada mereka kagum kerana aku tidak takut. Yang selalu datang ialah rakan setingkatku, Rosniza Ismail, mengikuti Pengajian Melayu peringkat sekolah rendah. Keluargaku di rumah tidak tahu bahawa aku terkena jangkitan itu. Selepas aku bebas daripada penyakit itu barulah aku tahu bahawa di tingkat satu asrama itu, tidak jauh dari bilikku, seorang pelajar meninggal dunia kerana terjun dari tingkat tujuh setahun lalu. Baru aku teringat hal itu kerana aku pernah membacanya dalam surat khabar ketika aku masih bekerja di Machang. Kemudiannya, aku mendengar pelbagai cerita aneh yang terjadi di sekitar asrama itu. Alhamdulillah, hal yang tidak baik itu tidak aku alami sepanjang aku berada di asrama itu.
.
4. Aku menginap di asrama itu selama tiga tahun, iaitu sepanjang aku menjadi pelatih di maktab itu. Pada tahun kedua, aku dibenarkan menetap di asrama setelah aku terpilih sebagai Naib Pengerusi Penerbitan dalam pilihan raya Persatuan Guru Pelatih. Aku menewaskan Ibrahim Talib, rakan yang sekursus dengan Rosniza, yang juga seorang penulis yang berbakat. Sebagai Ahli Majlis Guru Pelatih, aku terlibat dengan banyak urusan rasmi maktab, dan memakai kot yang berwarna kuning langsat. Tugasku yang utama ialah dalam hal penerbitan, iaitu edaran bulanan, serta majalah tahunan, Pantai Jaya. Pengerusi Penerbitan ketika itu ialah Mazli. (Rentetan peristiwa tentang hal Jawatankuasa Penerbitan ini akan aku ceritakan dalam catatan selanjutnya).
.
5. Ketika di Maktab Perguruan Bahasa ini, keputusan STPM 2003 diumumkan. Keputusan yang kuperoleh ialah tiga mata pelajaran lulus penuh, dengan Bahasa Malaysia (Prinsipal B), Pengajian Am (Prinsipal D), dan Geografi (Prinsipal E), manakala Sejarah, hanya lulus sebahagian (R). Keputusannya tidak membanggakan aku, malahan matlamatku untuk mendapat A dalam kertas Bahasa Malaysia tidak tercapai. Namun, aku tidak kisah, kerana aku sudah berada di maktab perguruan. Selepas tamat kursus, aku sudah terjamin mendapat pekerjaan, sebagai guru. Oleh itu, aku tidak langsung memohon tempat di universiti.
.
6. Aku ditempatkan di kelas G. Dalam setiap kelas dicampurkan pelbagai kursus. Aku sendiri dalam kursus Pengajian Melayu dan Sejarah (PMS). Kursus lain ialah Pengajian Inggeris dan Sejarah (PIS), Pengajian Melayu dan Geografi (PMG), dan Pengajian Cina dan Geografi (PCG). Kursus peringkat sekolah rendah ditempatkan dalam kelas lain, juga bercampur kursus, iaitu Pengajian Melayu dan Pengajian Inggeris.
.
7. Dalam kokurikulum, kami telah ditetapkan untuk menganggotai unit uniform, sukan, dan persatuan tertentu. Aku dipilih sebagai anggota pancaragam, ahli permainan hoki, dan Kelab Drama. Hoki dan Kelab Drama tidak asing bagi aku, tetapi menjadi ahli pancaragam, suatu hal yang baharu. Di sekolah, aku tidak pernah menganggotai sebarang unit uniform. Dalam pancaragam, aku dikehendaki memainkan alat muzik trombon. Bukan main susah aku hendak meniup dan mengendalikan alat yang besar ini. Sampai akhir kursus aku tidak pandai meniup alat itu dengan baik. Kalau ditiup, aku sendiri tidak sanggup mendengarnya. Pensyarah Penasihat, Encik Abdul Murad Hamid, mengatakan tiupan aku “terlalu klasik”. Dalam permainan hoki pula, aku selalu dikatakan mencangkul rumput. Aku rasa gelaran itu tidak tepat sama sekali, namun aku tidak kisah asalkan kakiku tidak dicangkul pemain lain.
.
8. Semasa tahun pertama, aku tidak banyak terlibat dengan aktiviti besar. Aku berpeluang untuk meneruskan kegiatanku menghasilkan karya kreatif. Aku bersaing dalam penulisan dengan M. Amin Siddiq, rakanku dalam kursus Pengajian Melayu-Geografi, tetapi kami tidak sekelas. Aku menulis sajak dan cerpen, yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Bacaria, Mingguan Islam, serta ruangan cerpen di RTM Kuala Lumpur. Daripada honororium yang kuperoleh, aku gunakan untuk keperluan harian. RM100.00 kukirimkan kepada emakku di kampung. Dengan itu, wang elaun pengajian yang telah ditolak bayaran makanan asrama dan keperluan lain oleh pihak maktab, tersimpan kukuh dalam Malayan Banking (Maybank). Sesekali sahaja wang itu kukeluarkan, menggunakan kad ATM “Kawanku”.
.
9. Untuk mengirim karya dan membuat kiriman wang kepada emakku, aku akan ke Pejabat Pos Pantai Baharu. Pejabat pos itu tidak jauh dari maktab. Aku berjalan kaki ke sana. Kekerapan aku berurusan di situ menyebabkan aku mengenali seorang kerani pejabat pos itu. Mungkin kerana dia juga berasal dari Kelantan, iaitu Pengkalan Batu, Pasir Mas, memudahkan aku berurusan di situ sekiranya dia bekerja. Raja Esah namanya. Kerap kali aku terkinja-kinja di belakang kerana pelanggan ramai, apabila dia ternampak aku, segera dia memanggil aku, yang membolehkan aku menyelesaikan urusan dengan cepat.
.
10. Ketika pertama kali aku hendak keluar ke pusat bandar Kuala Lumpur, aku dan rakan, Rosniza, tidak tahu arah tuju. Aku hanya mengikut kawanku menaiki sebuah bas mini dan membayar tambang 50 sen. Kami turun apabila rakan lain turun. Selepas itu, kami tidak tahu arah tuju. Namun, aku meyakinkan Rosniza bahawa kalau terjumpa dengan Kompleks Pertama, kami dapat berjalan ke Chow Kit. Aku masih mengingati jalan itu ketika ke kedai buku itu semasa aku mengikuti rombongan sekolah pada tahun 1981 lalu. Malangnya, apabila kami berada di depan Kompleks Pertama, selepas puas bertanya orang yang kami temukan dalam perjalanan tentang kompleks itu, aku tidak tahu hendak ke kiri atau ke kanan. Seperti dalam drama televisyen, tiba-tiba aku terdengar orang memanggil nama ringkasku dengan kuat, “Mi!” Apabila diperhatikan, aku nampak seorang pemuda melambai-lambai kami dari kaki lima Kompleks Pertama. Aku tersenyum lebar. Rupa-rupanya ada juga kenalanku di ibu kota ini. Kami bergegas-gegas menyeberangi jalan dan bertemunya. Dialah rakan dalam Rumpun Seni Melayu Kelantan, berasal dari Tanah Merah. Memang aku tahu dia ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai wartawan. Namanya Kamaruzzaman Yusoff, yang lebih dikenali sebagai Kamarul. Dia menolong kami mencari tempat tuju kami. Selepas itu, hingga sekarang, aku tidak lagi bertemunya. Yang selalu dapat aku tengok ialah wajahnya dalam kaca televisyen, kerana dia kemudiannya berjaya sebagai pelakon.
.
.

13 September 2009

8. KE MAKTAB PERGURUAN


KETIKA masih bekerja di tapak Balai Bomba Machang, aku telah dipanggil untuk menjalani ujian pemilihan guru di Sekolah Kebangsaan Zainab, Jalan Telipot, Kota Bharu. Kalau tidak silap aku, tiga kertas ujian terpaksa dihadapi, iaitu kertas Matematik, Bahasa Malaysia, dan kertas tentang tugas guru. Aku berasa tiada harapan, kerana aku memang lemah Matematik. Aku tahu beberapa orang rakanku yang memohon kursus perguruan ketika masih di tingkatan 6 atas kandas dalam ujian berkenaan.

2. Ketika aku ke Machang untuk mengambil teksi ke Kota Bharu, aku bertembung dengan Cikgu Shamsuddin, guru Matematik dan Bahasa Melayu ketika di SM Kampung Pek. Aku sempat belajar Matematik dengannya tidak sampai setengah jam. Kata Cikgu Shamsuddin, tahap soalan Matematik ujian itu setaraf dengan SRP sahaja. Dia yakin aku akan berjaya. Kebetulan pula, rakanku semasa di SM Kampung Pek, Zainab, dari Kampung Jakar, juga mahu menjalani ujian yang sama. Kami menaiki teksi yang sama. Sampai di Kota Bharu, dia mendahulukan tambang teksiku kerana dia dan drebar teksi tidak ada wang kecil. Malangnya, aku tidak sempat mengembalikan tambang itu kepadanya kerana kami kesuntukan masa. Selepas menjalani ujian dan sibuk untuk pulang, aku tidak bertemunya. Diharapkan Zainab dapat menghalalkan tambang teksi itu.

3. Ujian pelbagai pilihan itu benar-benar mengujiku. 60 soalan Matematik, 60 soalan Bahasa Malaysia, dan 100 soalan tentang keguruan, terpaksa kami jawab dalam masa tiga jam terus-menerus. Soalan Bahasa Malaysia kujawab dengan pantas dan yakin. Soalan Matematik membuatkan aku berpeluh sejuk walaupun sebahagiannya dapat kujawab dengan yakin, tetapi selebihnya aku “tembak” sahaja. Soalan tentang bidang keguruan lebih menyebabkan aku sesak nafas kerana pilihan jawapannya hampir sama, dan banyak yang kuanggap memang semua pilihan itu jawapannya. Terpaksalah aku “tembak” juga. Apabila ditanya oleh calon lain, aku hanya dapat menjawab, “tak nampak jalan”, yang menyebabkan calon itu tertawa.

4. Tanggapan “tak nampak jalan” itu rupa-rupanya meleset. Aku didatangi surat panggilan temu duga yang diadakan di Maktab Perguruan Kota Bharu, di Pengkalan Chepa. Emakku sibuk mencari wakil rakyat untuk mendapatkan surat sokongan. Usaha emakku berjaya kerana wakil rakyat itu, YB Salleh Che Harun, yang dikenalinya, memberiku sekeping surat kecil yang memohon agar pihak berkenaan dapat memberi pertimbangan yang wajar. Aku kepilkan surat itu bersama dengan salinan asal semua sijil akademik dan kokurikulum yang aku miliki. Aku juga membawa beberapa buah cerpenku yang tersiar di dalam surat khabar. Semua salinan sijil akademik dan kokurikulum telah kuhantar bersama dengan borang permohonan dahulu. Aku berada di dalam bilik temu duga lebih daripada setengah jam. Aku diminta menceritakan novel yang paling menarik perhatianku. Aku pun bercerita tentang novel “Bumi Bertuah” karya Pearl S. Buck, yang terpaksa menulis novelnya itu di atas katil kerana sakit. Aku juga diminta agar menulis ayat, “Aku seorang penulis moden” menggunakan tulisan Jawi. Aku menulisnya dengan betul pada papan tulis, tetapi sedikit senget. Ketika diminta bercakap tentang penemuan baharu, aku menghuraikan hal penciptaan komputer Jawi oleh pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, walaupun aku tidak pernah tahu tentang komputer. Apabila dikehendaki menceritakan hal peristiwa dunia yang sedang berlaku, aku bercakap tentang pertempuran antara Britain dengan Argentina kerana berebut sebuah pulau, yang ketika itu aku sangat ingat namanya. Apabila diacah mahu menempatkan aku di Long Pasia di Sarawak, aku dengan yakin mengatakan bahawa aku tidak akan menolak. Akhirnya, seorang daripada penemu duga itu berkata, “Insya-Allah, tetapi keputusannya di tangan pegawai atasan kementerian.” Aku dapat merasakan bahawa aku mempunyai peluang 50-50. Aku keluar dari bilik temu duga dengan sengihan panjang.

5. Ketika sedang mengajar di sekolah swasta milik Cikgu Ismail Che Mat, dalam hujan lebat bulan Februari 1984, bapa saudaraku, Che Ali, datang dengan motosikalnya membawa surat tawaran ke maktab perguruan. Aku ditawarkan ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur, Kursus Pengajian Melayu dan Sejarah bagi Sekolah Menengah. Mulai itulah aku banyak bergantung kepada pertolongan bapa saudaraku itu, yang kupanggil pak su. Pak Su Ali membawaku ke Hospital Daerah Machang untuk menyiapkan akuan perubatan. Oleh sebab pegawai yang dapat mengesahkan hal itu tiada di hospital itu pada hari itu, pak su menghantarku ke Hospital Kota Bharu dengan motosikalnya agar surat akuan dan salinan x-ray kuperoleh segera. Selesai hal itu, pak su membawaku mencari orang yang sanggup menjadi penjamin dan saksi. Cikgu Hussin, guruku semasa di SK Temangan, yang dikenali oleh emak dan ayahku, tidak sanggup menjadi penjamin kerana sudah beberapa orang dijaminnya. Aku dengan pak su mencari Cikgu Ismail Che Mat, dari Machang hingga ke rumahnya di Kuala Krai, tetapi tidak berjumpa. Akhirnya, aku tidak mahu lagi menyusahkan bapa saudaraku itu. Pada hari persekolahan, aku menebalkan muka berjumpa dengan Cikgu Ismail Che Mat di SM Hamzah. Kata Cikgu Ismail Che Mat, maktab itu sesuai dengan bidang aku. Urusan itu selesai di situ dengan agak cepat. Cikgu Zainal Abidin menjadi penjamin pertama dan Cikgu Ismail menjadi penjamin kedua. Cikgu Ismail meminta Cikgu Mohd Zain Salleh, guru Kertas Am, menjadi saksi bagi kedua-duanya.

6. Sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, emakku membuat kenduri kesyukuran. Hidangan disediakan dengan bantuan jiran-jiran. Ketika itu musim hujan. Kawasan rumahku sangat lecah. Namun, ramai orang kampungku dan yang mengenaliku datang. Hasilnya, terkumpullah beberapa puluh ringgit. Aku ke Kuala Lumpur ditemani ayahku. Kami menaiki bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK). Bas itu lewat tiba di Medan Tuanku kerana terpaksa melalui jalan lain disebabkan jalan yang biasa dilalui dinaiki air. Di Medan Tengku, Pak Su Lah, suami emak saudaraku, Rahmah, yang kupanggil Mak Mah, yang tinggal di Bukit Kemuning, Kelang, sudah lama menunggu. Dia membawa kami ke Maktab Perguruan Bahasa. Ketika mendaftar, ayahku sempat berkenalan dengan pelatih senior yang berasal dari Bachok. Ayahku memintanya agar membantuku pada peringkat awal di maktab itu. Selepas aku mendapat bilik di asrama, ayah dan Pak Su Lah meninggalkan aku. Pak Su Lah membawa ayahku ke rumahnya dahulu sebelum ayahku pulang ke Kelantan pada malam esoknya.
.

12 September 2009

7. DUA TAHUN MENGANGGUR


SELEPAS tamat pelajaranku di tingkatan enam, aku hanya tinggal di rumah. Tumpuanku diberikan kepada penulisan kreatifku. Dengan menyertai aktiviti kesusasteraan yang dijalankan oleh Persatuan Penulis Kelantan, banyak karya yang aku hasilkan. Hal ini aku ceritakan dalam blog http://www.titistinta.blogspot.com/.

2. Pada bulan Februari atau Mac 1982, keputusan STP diumumkan. Aku memperoleh keputusan yang agak baik, tetapi tidak memuaskan hatiku. Aku sangat kecewa dengan keputusan kertas Bahasa Melayu yang hanya gred E, dan Kertas Am pula gred 6. Mata pelajaran terbaik ialah Sejarah, dengan Gred C, manakala kertas Ilmu Alam aku hanya mendapat Subsidiari (sekadar lulus). Kertas Ekonomi aku gagal sama sekali dan tidak dicatatkan pada sijil.

3. Aku mengisi borang permohonan ke universiti, tetapi aku gagal. Aku terus tinggal di rumah, meneruskan kerja penulisanku. Ketika menganggur, aku sering tertekan dengan sikap orang sekampung. Mereka selalu bercerita tentang saudara-mara yang hanya lepasan SPM, mendapat kerja atau ada yang mengikuti kursus perguruan, sedangkan aku lepasan STP masih terperuk di rumah. Emakku menyuruhku memohon maktab perguruan. Aku tidak berbuat demikian kerana aku tidak berminat untuk menjadi guru. Aku membayangkan untuk bekerja di pejabat.

4. Kehidupan kami sangat susah pada waktu itu. Ayahku meninggalkan kami lima beranak untuk mencari rezeki di Singapura. Dua atau tiga bulan sekali dia akan pulang membawa rezeki yang agak lumayan. Emakku terus dengan kerjanya menoreh getah. Pelbagai jawatanku aku mohon berdasarkan iklan dalam surat khabar. Ada satu jawatan yang diiklankan sebagai “Pegawai Penempatan Pekerja” yang dikeluarkan oleh Ladang Sungai Terah di Gua Musang. Apabila aku menghadiri temu duga, barulah aku tahu bahawa tugas “pegawai” itu mencari pekerja untuk menoreh getah dan kerja lain di ladang tersebut. Di depan penemu duganya, awal-awal lagi aku sudah menunjukkan tidak berminat. Suami jiranku mencadangkan aku memohon kerja di tempat adiknya bertugas di Pengkalan Chepa. Aku pun menjalani temu duga tetapi aku tidak berjaya. Sehingga akhir tahun 1982, aku gagal mendapat apa-apa pekerjaan.

5. Pada awal tahun 1983, aku mendaftar diri untuk mengambil peperiksaan STPM secara persendirian. Aku tidak memasuki sekolah swasta seperti rakanku yang lain. Aku hanya belajar sendiri berdasarkan nota dan buku yang masih aku simpan. Tekadku hanya untuk membaiki keputusan mata pelajaran Bahasa Melayu, walaupun aku mendaftar untuk semua subjek. Bagiku, kalau aku mendapat A bagi mata pelajaran itu, subjek lain mendapat D pun tidak mengapa.

6. Dalam pada itu, aku bekerja sebagai kuli projek membina Balai Bomba Machang yang baharu. Abang Mat, jurutera di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Machang yang menyelia projek itu mencadangkan agar aku bekerja di situ. Abang Mat ialah kenalan rapat dan orang sekampung isteri bapa saudaraku (Che Ali). Adiknya, yang aku kenalinya dengan panggilan Kak Ani, bekerja sebagai kerani dalam projek pembinaan itu. Datukku, Jusoh Deraman, lebih awal bekerja di situ, diikuti adikku, Azmi, yang baru tamat SPM di SM Kampung Pek. Kami bekerja dalam bahagian simen. Subkontraktornya Cina, tetapi mandurnya orang Melayu, dikenali sebagai Pak Pa. Mula-mula aku dan Azmi diberi upah RM10.00 sehari. Selepas sebulan bekerja, upah kami dinaikkan kepada RM12.00 sehari. Oleh sebab kami berulang alik pada setiap hari, Abang Mat dan Kak Ani mencadangkan kami menginap di dalam bilik kosong di sebelah pejabat projek. Bilik kosong itu dan pejabat projek terletak di tingkat atas. Aku dan Azmi menerimanya. Kami tidur di atas beberapa keping papan lapis dengan bantalnya kami bawa sendiri dari rumah. Hanya datukku yang berulang-alik setiap hari. Dia akan membawakan kami bekal untuk tengah hari yang disediakan oleh emakku. Pada petang Khamis barulah kami balik ke rumah kerana hari Jumaat kami diberi cuti. Kami akan datang lagi pada pagi Sabtu.

7. Kami tidak takut bermalam di situ kerana pejabat itu letaknya di tepi Jalan Machang-Kuala Krai, yang lalu-lalangnya sentiasa sibuk mulai awal pagi hingga tengah malam. Selain itu, di sebelah pejabat projek itu, Balai Bomba lama masih beroperasi. Ahli bomba bertugas sepanjang masa. Seorang ahli bomba di situ, aku panggilnya Abang Mud, waris dengan datukku. Kami memang sudah lama kenal kerana aku kerap ke rumah ibu bapanya di Bukit Panau, Tanah Merah. Rumah Ketua Balai Bomba yang tinggal dengan keluarganya juga terletak di sebelah balai itu. Rakan lain yang bekerja sama bahagian dengan kami dan bahagian lain pula menginap di dalam kongsi tidak jauh dari situ, di belakang balai lama. Kalau kami mahu tidur dalam hawa dingin, kami diberikan kunci pejabat projek untuk masuk ke situ pada waktu malam. Namun, kami tidak pernah masuk ke situ. Pekerja lain tidak boleh memasuki bilik kami itu, apatah lagi pejabat projek itu. Hal ini menimbulkan rasa cemburu dan dengki pekerja yang lain. Pada suatu pagi, ketika kami turun mandi di bilik air, kami dapati bilik air yang tidak berkunci itu dipenuhi tahi orang. Bukan main meradang Abang Mat apabila mendapat tahu hal itu. Dia memberi amaran kepada pekerja yang tinggal di kongsi agar jangan mendekati pejabat projek itu.

8. Beberapa bulan bekerja, Azmi berhenti kerana dia mendapat tawaran jawatan pekerja am di Bank Bumiputra. Dia dikehendaki bertugas di Kota Bharu. Tinggal aku seorang terkontang-kanting pada waktu malam. Abang Mud selalu mempelawa aku menonton televisyen di ruang tamu kuatersnya, dan mahu membawaku minum pada waktu malam, namun aku berbuat demikian sekali-sekala sahaja. Kalau ada bata atau atap genting yang baru sampai dengan treler, aku diminta oleh subkontraktor untuk membantu Kak Ani menghitung jumlahnya. Aku tidak pernah menolak suruhan itu kerana aku akan diberi upah RM10.00 setiap hari, dan pada masa yang sama upah asalku yang RM12.00 itu tetap aku peroleh.

9. Pada pertengahan tahun 1983, iklan pengambilan guru pelatih keluar. Emakku mendesakku supaya membuat permohonan. Aku terpaksa melupakan ketidakminatanku terhadap jawatan guru. Kebetulan pula seorang jurutera lain dari Tanah Merah yang selalu datang menyelia projek itu ingin mengambil borang permohonan guru untuk anaknya. Dia yang tidak mengetahui letaknya Maktab Perguruan Kota Bharu meminta aku pergi bersamanya. Aku dengan senang hati pergi bersamanya kerana aku mengetahui lokasi maktab itu. Tambang teksi dan makan minum ditanggung oleh jurutera itu. Aku pun mengisi dan menghantar borang permohonan guru.

7. Pada bulan November 1983, aku berhenti daripada menjadi kuli bangunan baharu Balai Bomba Machang untuk menghadapi peperiksaan STPM yang diadakan di dewan SM Hamzah. Setelah tamat peperiksaan, Cikgu Ismail Che Mat, guru Ekonomiku ketika di SM Hamzah dahulu menawarkan aku mengajar di sekolah swasta yang baru dibelinya di Guchil, Kuala Krai. Aku sudah lupa nama sekolah swasta itu. Mulai awal tahun 2004, aku bertugas di sana. Aku tinggal di sebuah rumah yang disewa untuk pelajar lelaki. Aku hanya pulang ke kampung pada hujung minggu. Jika aku tidak mahu pulang, aku akan bertandang ke rumah Kak Dah dan Abang We, sepupu emakku, di Bukit Chengal, Batu Jong. Aku mendapat pengalaman menjadi guru Sejarah, tetapi aku tidak memperoleh pendapatan sebanyak yang kudapat ketika menjadi kuli tempoh hari. Pelajarnya tidak ramai, hanya ada beberapa kelas, dan upahnya amat mengecewakan. Namun demikian, aku tidak mengundurkan diri, kerana pemilik rumah sewa itu sangat baik denganku, di samping aku sangat menghormati Cikgu Ismail.


.