x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

03 April 2010

14. KISAH PULANG BERCUTI

.
KAMI yang berasal dari Semenanjung akan pulang ke kampung setiap kali tibanya cuti penggal, cuti hari raya, atau cuti yang melibatkan jangka waktu beberapa hari. Bagi yang tinggal di asrama, dengan meninggalkan asrama, kami membuat tuntutan bayaran balik makanan untuk beberapa hari percutian itu.

2. Masalah besar pada masa itu adalah untuk mendapatkan tiket bas untuk pulang. Bagi cuti penggal, masalahnya tidak timbul kerana waktu cuti sudah terjadual, maka kami dapat menempah tiket lebih awal. Namun, bagi cuti hari raya, khususnya hari raya puasa, kami sukar membuat tempahan awal kerana kami tidak mengetahui tarikh tepat cuti bermula. Selalunya, kami akan diberi cuti awal sehari atau dua hari untuk memastikan kami sudah berada di kampung pada pagi hari raya. Walau bagaimanapun, pengumuman cuti awal itu lambat dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan dan pihak maktab. Oleh itu, sukar untuk kami mengambil tiket untuk pulang. Hati selalu berdebar bimbang akan kehabisan tiket, dan kami terpaksa beraya di asrama bersama dengan rakan dari Sabah dan Sarawak yang juga tidak pulang.

3. Untuk pulang ke kampung dan kembali ke maktab, saya selalunya menaiki bas MARA dan SKMK. Biasanya saya akan menaiki bas perjalanan hari Sabtu malam Ahad, agar sampai ke maktab pada pagi Ahad, dan dapat berehat untuk berkuliah keesokan harinya. Jika tiket hari Sabtu malam tiada, saya akan memilih bas pagi Ahad, atau hari Ahad malam Isnin. Untuk bertolak dari Kelantan, saya terpaksa keluar dari rumah pada waktu petang, untuk menaiki bas di Bengkel Bas SKMK di Jalan Langgar, atau kadang-kadang kami diarahkan naik di Stesen Bas SKMK di pusat bandar Kota Bharu. Walaupun begitu, kadang-kadang Rosniza yang mengambil tiket, dia lebih menyukai bas Budaya. Oleh itu, kami akan menaiki bas itu di Stesen Bas Jalan Hamzah, Kota Bharu. Pada masa itu belum ada perkhidmatan bas dari Machang ke Kuala Lumpur.

4. Pada suatu kali pulang untuk berhari raya, saya dan Rosniza dan beberapa orang kawan meninggalkan asrama lebih awal agar dapat berbuka puasa di Jalan Medan Tuanku, tempat kami menaiki bas untuk ke Kelantan. Bas yang bakal kami naiki ialah bas tambahan syarikat MARA. Mengikut tiket, bas akan bertolak pada pukul 8.30 malam. Namun, pukul 9.00 malam pun, bas berkenaan tidak sampai-sampai. Pukul 10.00 pun tidak sampai juga. Rosniza yang sudah mula melupakan sabarnya, spontan sahaja menjerit, “Hoi, mana bas? Jual tiket tak ada bas ke?” Pegawai syarikat berkenaan yang ada di kaunter menjelaskan bahawa bas sudah ada di bengkel tetapi masih dalam pemeriksaan akhir, dan akan tiba. “Jangan bimbang, dik, bas ada,” katanya. “Alamak, tuan, lambat-lambat nanti sampai lambat, tak sempat sembahyang rayalah kami!” Balas Rosniza yang menyebabkan aku dan Azhar (Ben) tergelak kecil dan pegawai itu tersenyum. Bas itu datang pada pukul 11.30 malam, dan hanya bergerak pada pukul 12.00 tengah malam. Memang pun kami sampai lewat. Kami tiba di Kota Bharu hampir pukul 9.00 pagi. Aku sendiri perlu menaiki bas cepat ke Machang, dan kemudiannya menaiki teksi ke Temangan. Dari Temangan, kalau tiada kereta sapu, aku terpaksa berjalan kaki ke rumahku. Aku tiba di rumah hampir waktu tengah hari. Ketika itu sudah ada orang kampung yang mula mengukus pulut untuk dibuat ketupat tiga bucu berbalut daun palas atau ketupat dakap berbalut daun pisang.

5. Kadang-kadang, ketika menaiki bas untuk kembali ke maktab, bersama kami di atas bas ialah pelajar-pelajar universiti. Mereka agak ramai dan selalu bising bercerita itu dan ini. Ketika kami juga mempunyai bilangan yang agak ramai, kami mewujudkan saingan dengan bercerita itu dan ini dengan suara yang sengaja ditinggikan. Pada masa itu, kami dari maktab sering dipandang sebelah mata oleh pelajar universiti. Maklumlah, apabila tamat kami hanya mendapat sijil, sedangkan mereka mendapat ijazah. Suatu kali, berlaku persaingan hebat di dalam bas. Ketika masing-masing kumpulan cuba mendominasi keadaan, seorang daripada pelajar universiti yang celupar mulutnya bersuara, “Oi, budak maktab! Jadi cikgu gaji tak seberapa, janganlah tunjuk lagak!” Seingatku, Rosniza segera menjawab, “Oh budak U, kami keluar terus dapat kerja walaupun gaji tak seberapa. Awak semua yang belum tentu dapat kerja, entah-entah tanam anggur tak tumbuh-tumbuh!” Kemudian seorang daripada kami mencelah, “Ingat saudara saudari, awak dapat ke U pun kerana cikgu yang gaji tak seberapa itulah yang mengajar! Kena sedar diri sikit!” Kemudian kami gelak ramai-ramai untuk mengajar kumpulan yang merasakan diri mereka lebih bernilai itu. Kesannya, selepas itu, suasana di dalam bas menjadi aman.

6. Ketika cuti maktab dan sekolah, bas berbondong-bondong menuju ke Pantai Timur, khususnya Kelantan. Aku tidak hairan akan hal ini kerana di Kuala Lumpur dan Selangor, banyak pegawai kerajaan, pekerja kilang, serta pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi berasal dari Kelantan. Bas selalunya berhenti dua kali, iaitu di Temerloh dan di Kemaman. Apabila berhenti untuk makan di sebuah restoran di tepi jalan, bas memenuhi kawasan. Aku masih ingat, ketika berhenti di suatu tempat untuk pulang berhari raya, kedai makan di situ kehabisan makanan. Sepinggan nasi terpaksa dikongsi dua orang. Jika tidak berbuat demikian, tidak bersahurlah kami jawabnya.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan