x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

23 April 2010

19. MACAM-MACAM CERITA...

.
TINGGAL di asrama amat mengujakan. Banyak gelagat yang dapat dirakam. Aku masih ingat, semasa tahun pertama, menghuni tingkat 12, kami buat jamuan tingkat. Juadahnya hanya sate dan nasi himpitnya. Sate ditempah di pasar malam Kampung Kerinchi. Oleh sebab banyak, kami makan sepuas-puasnya. Ada rakan yang makan tiga empat cucuk sekali suap ke dalam mulut. Natijahnya, pada malam itu kami kepanasan dan berpeluh-peluh. Aku sendiri terpaksa tidur berkipas ligat, tidak berbaju, dan melupakan selimut.

2. Semasa tahun kedua, aku ditempatkan di tingkat 13 bersama dengan seorang junior tahun pertama, di sebelah Bilik Warden. Bilik aku betul-betul menghadap ke arah asrama Maktab Perguruan Lembah Pantai (MPLP) dan bangunan yang menempatkan kafetaria maktab itu. Pelajar IB selalu juga mengunjungi kafetaria MP Lembah Pantai untuk merasai masakan kafetaria itu. Aku turut turun sekali-sekala apabila diajak rakan, untuk bertukar selera. Dari bilik itu, aku dapat melihat keseluruhan maktab itu dan Maktab Perguruan Islam (MPI). Semasa tahun ketiga, aku masih ditempatkan di tingkat 13, tetapi di bilik lain, sebilik dengan Mat Rohan bin Sattar. Bilik ini menghadap ke arah kantin maktab. Dari bilik ini, aku dapat melihat padang bersama MPLP dan MPI, serta kawasan Jalan Pantai Baru, termasuk bangunan imigresen (sekarang sudah jadi bangunan Telekom), serta Angkasapuri. Ke sebelah kanan sedikit, aku dapat melihat sebahagian kawasan Kampung Kerinchi.

3. Ketika hampir hari raya puasa, berlaku “peperangan” antara penghuni asrama IB dengan penghuni asrama MPLP. Aku tiidak pasti pihak yang memulakan “peperangan” itu, tetapi selalunya berlaku pada setiap hari, terutama waktu malam, selepas solat Tarawih. Penghuni asrama IB akan menembak mercun roket ke arah asrama MPLP. Oleh sebab kami berada pada keadaan yang tinggi, tingkat 13, dan berada di atas bukit pula, tembakan mercun itu selalunya mampu masuk ke kawasan asrama mereka. Tembakan dibuat dari anjung beranda tingkat yang betul-betul menghadap asrama MPLP. Namun, mereka tidak mengaku kalah. Mereka turut membalas dengan menembak mercun roket. Tembakan mereka, walaupun dibuat di tingkat yang paling tinggi, tidak masuk ke kawasan asrama IB, sebaliknya jatuh di atas jalan yang memisahkan pagar IB dengan MPLP. Kalau dapat masuk pun, hanya di kaki bukit IB. Riuh-rendah bunyi tingkahan mercun sepanjang beberapa malam. Sorak-sorai juga menghiasi suasana.

4. Pada satu tahun, Pestarama Permainan diadakan di padang MPLP. Dalam satu pertandingan hoki lelaki antara Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) dengan IB, penyokong MPIK yang terdiri daripada pelajar lelaki bermotosikal, tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil. Penyokong-penyokong tersebut membuat onar di luar padang. Kumpulan penyokong IB yang ramai menegur perbuatan mereka. Berlakulah cabar-mencabar, lalu terjadi pertembungan. Pelajar MPIK menyerang kami dengan topi keledar. Daripada cara mereka bercakap, aku tahu kebanyakannya berasal dari Kelantan. Ah, malu aku, orang senegeriku buat kacau...

5. Yang kasihannya, dalam kalangan kami itu, ada pensyarah Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), Encik Zainal bin Abdul Rahman. Dia juga turut diasak dari belakang oleh pelajar MPIK. Melihat keadaan itu, abang Deraman bin Awang, rakan kami dari angkatan tentera, segera masuk menghadang pelajar itu. “Eh, mu tengok dulu, sapa dia. Demo gode pensyarah kami tau!” Kata Deraman dalam loghat Kelantan, kerana dia juga berasal dari Kelantan. Pelajar itu segera berhenti lalu meminta maaf. “Saya tak tau,” katanya. Kemudiannya pertembungan itu dapat dileraikan, dan gerombolan dari MPIK itu meninggalkan padang itu.

6. Seingatku, aku pernah menyertai acara merentas desa yang diadakan di IB pada tahun pertama (2004). Aku yang pernah menjadi atlet sekolah semasa di tingkatan 4 dan 5, tetapi pencen ketika berada di tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas, mahu mencuba nasib. Aku dapat menghabiskan larian, tetapi aku tidak ingat sama ada aku mendapat hadiah atau tidak. Penyampaian hadiah dilakukan di hadapan asrama, disempurnakan oleh Pengetua, Encik Eric Yeow Teck Siang.

7. Pada satu tahun, mungkin tahun kedua, aku meminta adikku, Azmi, yang kebetulan balik ke rumah, menghantarku ke Stesen Bas Machang dengan motosikalnya, untuk kembali ke IB. Ketika itu, maktab belum dibuka semula. Aku perlu datang awal kerana ada program melibatkan anak yatim di maktab. Kami ke Machang lebih kurang jam 5.00 petang, supaya Azmi dapat kembali ke rumah dengan motosikal sebelum malam tiba. Namun, sebelum meninggalkan aku, aku membelanjai Azmi makan roti canai dahulu. Malam itu, ketika dalam perjalanan, selepas aku terlena sebentar, aku terasa hendak buang air yang amat sangat. Perutku memulas hebat. Aku terpaksa ke tandas bas. Aku yang duduk di tepi tingkap terpaksa melalui seorang penumpang di sebelahku yang nyenyak tidur secara berhemah agar tidak mengganggunya. Ketika masuk ke dalam tandas, aku terasa aku telah tercirit. Benar, ada objek kuning pada seluar dalamku. Ya Allah, apa yang patut aku buat? Mahu tidak mahu, selepas membuang hampas, aku terpaksa membasuh seluar itu, dan memerahnya betul-betul. Kemudian aku memakainya semula, menyebabkan seluar pada bahagian punggungku pun lembab! Kisah ini tidak pernah diketahui sesiapa, termasuk keluargaku.

8. Ketika bas berhenti rehat berhampiran Temerloh, Pahang, aku turut turun untuk mengisi perut. Maklumlah, petang tadi cuma makan sekeping roti canai, dan sudahpun dikirim ke dalam mangkuk tandas. Aku meneguk seteguk air teh. Tiba-tiba aku hampir terlompat dan hampir terjerit. Perutku sakit yang amat sangat apabila dimasuki air tadi. Lama aku tersandar di kerusi sambil berkerut muka menahan sakit. Ya Allah, apa yang sudah terjadi? Apabila sakit reda, aku pun menyuap nasi goreng. Selepas dikunyah, aku pun menelannya. Ya Allah! Sekali lagi hal yang sama terjadi. Aku sudah tidak berani menelan air atau makanan lagi. Teh dan nasi goreng itu aku tinggalkan begitu sahaja. Aku kembali ke dalam bas. Mengapakah hal ini menimpa aku? Mungkinkah bahana roti canai tadi?

9. Setelah memasuki bilik asrama, aku cuba minum air. Hal yang sama terjadi. Adakah usus perutku sudah rosak? Mengapa tiba-tiba sahaja. Aku pun mengambil keputusan untuk tidur sahaja. Sampai tengah hari, ketika acara meraikan anak yatim sudah bermula di kantin, aku berbelah bahagi sama ada akan menyertainya atau tidak. Perutku sudah lapar. Kalau aku pergi, aku takut untuk menelan sebarang air atau makanan. Kalau aku tidak pergi, pasti ada ahli majlis PGP yang perasan aku tiada. Dilema sungguh. Namun, aku bertekad tidak akan pergi. Biarlah apa-apa pun yang terjadi. Selepas sembahyang Zuhur sendirian di bilik, aku terus tidur kembali. Hampir pukul enam, aku terbangun. Perutku berkeroncong. Ya Allah. Aku cuba menguji keadaan perutku. Aku minum air masak. Berhati-hati aku menelannya, sambil menunggu kejutan sakit. Alhamdulillah, tidak sakit lagi. Aku minum lagi beberapa teguk. Ya, benar-benar sudah tidak sakit. Aku mengambil keputusan turun mencari makanan. Aku benar-benar lapar.

10. Pada tahun 1986, aku mengalami sindrom sakit kepala, hampir dua atau tiga minggu. Pada masa itu, kuliah sebelah petang diperkenalkan. Selepas makan tengah hari di bilik makan, aku mandi dan sembahyang. Ketika turun semula ke kuliah, kepalaku berdenyut-denyut. Kepalang sakitnya. Esoknya berlaku lagi tetapi aku menelan panadol awal-awal. Namun, sakitnya terasa juga. Di dalam bilik kuliah, aku menahan sakit tanpa dapat menerima apa-apa inti pengajaran pensyarah. Anehnya, hal itu berlaku pada waktu petang. Pada sesi pagi, tidak timbul masalah. Hal itu berulang hampir setiap hari. Kemudian, aku mula ponteng kuliah tertentu untuk membolehkan aku tidur pada waktu petang. Aku berpesan kepada rakan sekuliah, sekiranya aku tidak hadir, itu bermakna aku sakit kepala yang tidak dapat ditahan. Aku ceritakan perkara yang sebenar. Aku sudah lupa jumlah kuliah yang aku tuang. Nasib baik, tiada pensyarah yang mengungkitkan hal itu. Namun, aku bersyukur, selepas itu aku tidak mengalaminya lagi. Alhamdulillah, tetapi aku hairan akan hal yang menimpaku itu, boleh datang dan pergi begitu sahaja.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan