x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

12 September 2009

7. DUA TAHUN MENGANGGUR


SELEPAS tamat pelajaranku di tingkatan enam, aku hanya tinggal di rumah. Tumpuanku diberikan kepada penulisan kreatifku. Dengan menyertai aktiviti kesusasteraan yang dijalankan oleh Persatuan Penulis Kelantan, banyak karya yang aku hasilkan. Hal ini aku ceritakan dalam blog http://www.titistinta.blogspot.com/.

2. Pada bulan Februari atau Mac 1982, keputusan STP diumumkan. Aku memperoleh keputusan yang agak baik, tetapi tidak memuaskan hatiku. Aku sangat kecewa dengan keputusan kertas Bahasa Melayu yang hanya gred E, dan Kertas Am pula gred 6. Mata pelajaran terbaik ialah Sejarah, dengan Gred C, manakala kertas Ilmu Alam aku hanya mendapat Subsidiari (sekadar lulus). Kertas Ekonomi aku gagal sama sekali dan tidak dicatatkan pada sijil.

3. Aku mengisi borang permohonan ke universiti, tetapi aku gagal. Aku terus tinggal di rumah, meneruskan kerja penulisanku. Ketika menganggur, aku sering tertekan dengan sikap orang sekampung. Mereka selalu bercerita tentang saudara-mara yang hanya lepasan SPM, mendapat kerja atau ada yang mengikuti kursus perguruan, sedangkan aku lepasan STP masih terperuk di rumah. Emakku menyuruhku memohon maktab perguruan. Aku tidak berbuat demikian kerana aku tidak berminat untuk menjadi guru. Aku membayangkan untuk bekerja di pejabat.

4. Kehidupan kami sangat susah pada waktu itu. Ayahku meninggalkan kami lima beranak untuk mencari rezeki di Singapura. Dua atau tiga bulan sekali dia akan pulang membawa rezeki yang agak lumayan. Emakku terus dengan kerjanya menoreh getah. Pelbagai jawatanku aku mohon berdasarkan iklan dalam surat khabar. Ada satu jawatan yang diiklankan sebagai “Pegawai Penempatan Pekerja” yang dikeluarkan oleh Ladang Sungai Terah di Gua Musang. Apabila aku menghadiri temu duga, barulah aku tahu bahawa tugas “pegawai” itu mencari pekerja untuk menoreh getah dan kerja lain di ladang tersebut. Di depan penemu duganya, awal-awal lagi aku sudah menunjukkan tidak berminat. Suami jiranku mencadangkan aku memohon kerja di tempat adiknya bertugas di Pengkalan Chepa. Aku pun menjalani temu duga tetapi aku tidak berjaya. Sehingga akhir tahun 1982, aku gagal mendapat apa-apa pekerjaan.

5. Pada awal tahun 1983, aku mendaftar diri untuk mengambil peperiksaan STPM secara persendirian. Aku tidak memasuki sekolah swasta seperti rakanku yang lain. Aku hanya belajar sendiri berdasarkan nota dan buku yang masih aku simpan. Tekadku hanya untuk membaiki keputusan mata pelajaran Bahasa Melayu, walaupun aku mendaftar untuk semua subjek. Bagiku, kalau aku mendapat A bagi mata pelajaran itu, subjek lain mendapat D pun tidak mengapa.

6. Dalam pada itu, aku bekerja sebagai kuli projek membina Balai Bomba Machang yang baharu. Abang Mat, jurutera di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Machang yang menyelia projek itu mencadangkan agar aku bekerja di situ. Abang Mat ialah kenalan rapat dan orang sekampung isteri bapa saudaraku (Che Ali). Adiknya, yang aku kenalinya dengan panggilan Kak Ani, bekerja sebagai kerani dalam projek pembinaan itu. Datukku, Jusoh Deraman, lebih awal bekerja di situ, diikuti adikku, Azmi, yang baru tamat SPM di SM Kampung Pek. Kami bekerja dalam bahagian simen. Subkontraktornya Cina, tetapi mandurnya orang Melayu, dikenali sebagai Pak Pa. Mula-mula aku dan Azmi diberi upah RM10.00 sehari. Selepas sebulan bekerja, upah kami dinaikkan kepada RM12.00 sehari. Oleh sebab kami berulang alik pada setiap hari, Abang Mat dan Kak Ani mencadangkan kami menginap di dalam bilik kosong di sebelah pejabat projek. Bilik kosong itu dan pejabat projek terletak di tingkat atas. Aku dan Azmi menerimanya. Kami tidur di atas beberapa keping papan lapis dengan bantalnya kami bawa sendiri dari rumah. Hanya datukku yang berulang-alik setiap hari. Dia akan membawakan kami bekal untuk tengah hari yang disediakan oleh emakku. Pada petang Khamis barulah kami balik ke rumah kerana hari Jumaat kami diberi cuti. Kami akan datang lagi pada pagi Sabtu.

7. Kami tidak takut bermalam di situ kerana pejabat itu letaknya di tepi Jalan Machang-Kuala Krai, yang lalu-lalangnya sentiasa sibuk mulai awal pagi hingga tengah malam. Selain itu, di sebelah pejabat projek itu, Balai Bomba lama masih beroperasi. Ahli bomba bertugas sepanjang masa. Seorang ahli bomba di situ, aku panggilnya Abang Mud, waris dengan datukku. Kami memang sudah lama kenal kerana aku kerap ke rumah ibu bapanya di Bukit Panau, Tanah Merah. Rumah Ketua Balai Bomba yang tinggal dengan keluarganya juga terletak di sebelah balai itu. Rakan lain yang bekerja sama bahagian dengan kami dan bahagian lain pula menginap di dalam kongsi tidak jauh dari situ, di belakang balai lama. Kalau kami mahu tidur dalam hawa dingin, kami diberikan kunci pejabat projek untuk masuk ke situ pada waktu malam. Namun, kami tidak pernah masuk ke situ. Pekerja lain tidak boleh memasuki bilik kami itu, apatah lagi pejabat projek itu. Hal ini menimbulkan rasa cemburu dan dengki pekerja yang lain. Pada suatu pagi, ketika kami turun mandi di bilik air, kami dapati bilik air yang tidak berkunci itu dipenuhi tahi orang. Bukan main meradang Abang Mat apabila mendapat tahu hal itu. Dia memberi amaran kepada pekerja yang tinggal di kongsi agar jangan mendekati pejabat projek itu.

8. Beberapa bulan bekerja, Azmi berhenti kerana dia mendapat tawaran jawatan pekerja am di Bank Bumiputra. Dia dikehendaki bertugas di Kota Bharu. Tinggal aku seorang terkontang-kanting pada waktu malam. Abang Mud selalu mempelawa aku menonton televisyen di ruang tamu kuatersnya, dan mahu membawaku minum pada waktu malam, namun aku berbuat demikian sekali-sekala sahaja. Kalau ada bata atau atap genting yang baru sampai dengan treler, aku diminta oleh subkontraktor untuk membantu Kak Ani menghitung jumlahnya. Aku tidak pernah menolak suruhan itu kerana aku akan diberi upah RM10.00 setiap hari, dan pada masa yang sama upah asalku yang RM12.00 itu tetap aku peroleh.

9. Pada pertengahan tahun 1983, iklan pengambilan guru pelatih keluar. Emakku mendesakku supaya membuat permohonan. Aku terpaksa melupakan ketidakminatanku terhadap jawatan guru. Kebetulan pula seorang jurutera lain dari Tanah Merah yang selalu datang menyelia projek itu ingin mengambil borang permohonan guru untuk anaknya. Dia yang tidak mengetahui letaknya Maktab Perguruan Kota Bharu meminta aku pergi bersamanya. Aku dengan senang hati pergi bersamanya kerana aku mengetahui lokasi maktab itu. Tambang teksi dan makan minum ditanggung oleh jurutera itu. Aku pun mengisi dan menghantar borang permohonan guru.

7. Pada bulan November 1983, aku berhenti daripada menjadi kuli bangunan baharu Balai Bomba Machang untuk menghadapi peperiksaan STPM yang diadakan di dewan SM Hamzah. Setelah tamat peperiksaan, Cikgu Ismail Che Mat, guru Ekonomiku ketika di SM Hamzah dahulu menawarkan aku mengajar di sekolah swasta yang baru dibelinya di Guchil, Kuala Krai. Aku sudah lupa nama sekolah swasta itu. Mulai awal tahun 2004, aku bertugas di sana. Aku tinggal di sebuah rumah yang disewa untuk pelajar lelaki. Aku hanya pulang ke kampung pada hujung minggu. Jika aku tidak mahu pulang, aku akan bertandang ke rumah Kak Dah dan Abang We, sepupu emakku, di Bukit Chengal, Batu Jong. Aku mendapat pengalaman menjadi guru Sejarah, tetapi aku tidak memperoleh pendapatan sebanyak yang kudapat ketika menjadi kuli tempoh hari. Pelajarnya tidak ramai, hanya ada beberapa kelas, dan upahnya amat mengecewakan. Namun demikian, aku tidak mengundurkan diri, kerana pemilik rumah sewa itu sangat baik denganku, di samping aku sangat menghormati Cikgu Ismail.


.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan