x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

10 Julai 2010

32. DARI RUMAH SEWA KE RUMAH GURU

.
SEMASA isteriku mula bersamaku di Jengka 10, kami menumpang di rumah guru bujang lelaki, 14-W, rumah yang aku menjadi ketuanya selama ini. Kami tinggal di dalam bilik yang sebelum ini aku huni bersama dengan Mohd Sharim. Rakanku itu dengan senang hati berpindah ke bilik utama, yang dihuni oleh dua orang rakan lain. Hal tersebut telah diatur lebih awal sebelum cuti sekolah kerana rumah yang hendak kami sewa masih dalam proses mengubahsuai oleh pemiliknya, Encik Alimon, peneroka di Jengka 10.

2. Sebulan kemudian baru kami dapat berpindah ke rumah sewa itu yang terletak betul-betul di hadapan sekolahku. Sewanya RM75.00 sebulan. Rumah itu terletak hanya 150 meter dari rumah guru yang kami tinggalkan. Dari pintu atau tingkap dapur rumah itu, dapat kami lihat blok rumah guru dan gelanggang badminton yang terletak di pinggir jalan. Bilik airnya dan tandas terletak di luar rumah, yang menyebabkan aku terpaksa membina pagar daripada papan untuk menutup pandangan pelajar sekolah ketika kami masuk dan keluar dari situ. Yang tidak seronoknya rumah itu ialah dinding di bahagian dapur dan bilik kami dibina dua lapis tetapi berongga di antara lapisan itu. Hal ini menyebabkan tikus bersarang di dalamnya. Kami terpaksa memasang jerat tikus. Setiap malam berekor-ekor tikus mengena perangkap yang dipasang.

3. Empat lima langkah di depan rumah kami terbentang jalan yang memisahkan rumah itu daripada deretan kedai runcit Haji Din dan kedai makan kepunyaan Mak Haji dan suaminya, Pak Soh, manakala di kiri rumah terletak kedai runcit Pak Rashid dan isterinya, Mak Yam. Ketika pasar malam diadakan, gerai-gerai yang didirikan di sepanjang jalan itu betul-betul berada di depan tingkap bilik tidur kami. Bil air dan elektrik kami bayar di Pejabat Pos Bandar Pusat Jengka, Namun, setelah Jengka 10 mendapat perkhidmatan Pos Bergerak sekali seminggu, kami menunggu kedatangan van pos itu yang beroperasi tidak jauh dari rumah sewa kami.

4. Selepas lebih kurang sembilan bulan perkahwinan kami, pada pukul 10.00 malam hari Ahad, 9 Disember 1990, anak sulungku dilahirkan di Hospital Daerah Dungun. Isteriku sudah beberapa lama tinggal dengan ibu bapanya sebagai persediaan untuk bersalin. Pada waktu itu aku juga pulang ke Dungun. Isteriku sakit untuk bersalin pada hari Sabtu malam Ahad, sedangkan pada hari petang kami masih sempat menjamu selera di gerai makan di tepi Pantai Teluk Lipat. Pada mulanya emaknya mahu anak sulungnya itu bersalin di rumah, tetapi oleh sebab kesukaran, jururawat dari Klinik Desa Sura yang datang ke rumah menasihati mentuaku itu menghantarnya ke hospital. Jururawat itu sendiri yang memanggil ambulans dari Hospital Daerah Dungun yang terletak lebih kurang 400 meter sahaja dari rumah mentuaku. Aku yang sepatutnya kembali ke Jengka 10 pada hari Ahad itu, terpaksa berbuat demikian lewat sehari.

5. Anak perempuan itu kunamai Suzati. Aku sendiri yang mereka nama itu. Isteriku mengikut sahaja. Su pada pangkal namanya memang bahagian awal namaku, yang pada pendapatku bermaksud “indah”. Zati pula bermaksud “hakiki” dan berkaitan dengan jati atau sejati yang bemaksud “asli”, “murni” dan “tulen”. Namun begitu, sebahagian daripada perkataan zati ialah sisipan yang ada kaitan dengan perasaan lalu tetapi kekal di dalam hati. Selepas pantang barulah isteriku dan anak sulung kami itu kembali ke Jengka 10, dihantar oleh keluarganya.

6. Pada hari Sabtu, 7 Disember 1991, kami berpindah ke rumah guru 14-R. Barang-barang diangkut menggunakan lori kepunyaan Encik Baharum dengan bayaran RM10.00 sahaja. Rakan-rakan guru dan jiran-jiran datang memberi bantuan. Mereka dijamu dengan bubur kacang dan roti. Asalnya rumah itu dihuni oleh Cikgu Bidi bin Mat Nor dan isterinya, Cikgu Normah. Setelah kedua-duanya bertukar ke sekolah di bandar Mentakab, Penolong Kanan Pentadbiran menawarkan rumah itu kepadaku kerana aku memegang jawatan Penyelaras Pusat Sumber Sekolah. Di sebelah rumahku tinggal Azni bin Ismail, Setiausaha Sukan, yang ketika itu juga sudah mempunyai seorang anak lelaki.

7. Rumah guru ini mempunyai tiga buah bilik. Bilik utamanya terletak di tengah-tengah. Oleh sebab pada waktu itu Suzati masih kecil, dua bilik lain tidak dihuni. Bilik ketiga dijadikan stor dan tempat simpanan permainan anak sulungku itu, dan selalunya Suzati akan bermain di situ. Bilik kedua pula kosong, dan hanya dihuni apabila datang tetamu, khususnya bapa mentuaku yang kerap datang mengunjungi kami. Apabila memperoleh tuntutan perpindahan dari rumah sewa ke rumah kerajaan, kami membeli satu set sofa yang ringkas dan murah.

8. Selepas lebih setahun menghuni rumah ini, pada pukul 2.52 petang 19 Februari 1993, lahir pula anak kedua kami, juga di Hospital Daerah Dungun. Anak lelaki ini dinamai Syafiq Hakimi, hasil persepakatan kami. Seperti juga ketika melahirkan Suzati, isteriku menghabiskan masa pantangnya di rumah ibu bapanya di Dungun. Ketika mengandungkan Syafiq Hakimi, isteriku menghadapi cabaran yang hebat. Dua kali dia jatuh di bilik air. Kali pertama dia terjatuh di rumah ibuku di Temangan Lama kerana tergelincir, dan kali kedua pula dia jatuh tertiarap ketika keluar dari bilik air di rumah kami di Jengka 10. Namun, ternyata kandungannya amat kuat kerana dia tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang dia mengandung, tetapi dia mengalami kesukaran ketika melahirkan anak kami itu.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan