x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

14 Julai 2010

33. INSTITUT BAHASA, AKU DATANG SEKALI LAGI!

.
KETIKA isteriku berada di Dungun sebagai persiapan menunggu kelahiran anak kedua kami pada awal Februari 1993, aku membuat permohonan untuk mengikuti Program Kembar antara Maktab Perguruan dengan Universiti Dalam Negeri yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia. Borang itu sebenarnya dipohon oleh rakanku, Mazlan bin Abdul Samad, yang tinggal di Rumah Guru 14-Q, bersebelahan dengan blok rumahku. Apabila memperoleh borang itu, tujuh orang rakan lain membuat salinan fotostat, dan tanpa kuminta, Mazlan membuat satu salinan untukku.

2. Aku pun mengisi borang itu selengkapnya dan menghantarnya dengan dokumen yang diperlukan. Termasuk aku dan Mazlan, sembilan orang semuanya guru di sekolahku yang membuat permohonan. Aku memilih kursus Pengajian Melayu di Institut Bahasa-Universiti Malaya, kerana itulah kelayakanku, di samping Institut Bahasa itu bekas maktabku. Aku memilih kategori Diploma Pengajian Tinggi 1 (DPT 1) kerana aku belum pernah mengikuti sebarang Kursus Dalam Perkhidmatan semenjak aku berkhidmat. Aku tidak berharap sangat tentang permohonan itu. Dalam hatiku, sudah tidak ada niat untuk melanjutkan pelajaran lagi. Cukuplah rasanya dengan kedudukanku sekarang sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah Kategori C2 Tingkatan Biasa.

3. Pada bulan awal bulan Mei, aku menerima surat daripada Bahagian Pendidikan Guru yang mengarahkan aku menjalani temu duga di Institut Bahasa pada 12 Mei 1993, pukul 2.00 petang. Dua orang rakanku juga dipanggil menjalani temu duga kursus Pengajian Matematik di Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang. Aku pun membuat persediaan yang diperlukan. Selain mengumpul semua sijil akademik dan aktivitiku sepanjang di Institut Bahasa dan semasa di SMJX, aku mengumpul semua genre karyaku yang telah disiarkan, difotostat dan dijilid.

4. Pada hari temu duga itu, aku menaiki bas di Temerloh, dan tiba di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pada waktu hampir tengah hari. Aku ditemu duga di sebuah bilik kuliah “Rumah Panjang” oleh tiga ahli panel. Seorang daripadanya ialah Puan Raminah binti Shabran, pensyarah dari Universiti Malaya, yang kutahu namanya sebagai pengarang buku Bahasa Malaysia yang ditulisnya untuk kegunaan maktab perguruan bersama dengan Rahim bin Syam. Seorang lagi dari Bahagian Pendidikan Guru, yang memang tidak kukenali. Wakil dari IB pula ialah Encik Mohd Kassim bin Ismail, pensyarah IB, yang juga tidak kukenal, kerana dia belum bertugas di situ semasa aku dalam Kursus Perguruan Asas 1984-1986.

5. Pada pertengahan Jun 1993, aku menerima surat daripada Bahagian Pendidikan Guru yang menawariku kursus itu dan diminta melaporkan diri di Institut Bahasa pada 5 Julai 1993, pukul 8.30 pagi. Mula-mulanya aku diserang serba salah. Aku ragu tentang dua perkara. Pertama, tempat tinggal sepanjang aku melanjutkan pelajaran. Yang kedua, tentang perbelanjaan yang besar terpaksa kugunakan sepanjang kursus itu. Aku terpaksa mengeluarkan belanjaku yang besar untuk sewaan rumah dan berkaitan pengajian, dan pada masa yang sama menyara hidup keluargaku di Jengka. Pada masa itu gajiku belum seberapa, sekadar RM900.00 sebulan. Oleh sebab aku belajar dengan status cuti separuh gaji, separuh gajiku terpaksa dipotong. Bayangkan hidupku dengan RM450.00 dan separuh Elaun Khidmat Awam, walaupun simpananku masih ada.

6. Isteriku menggalakkan aku pergi kerana dia mampu menjaga anak-anak kami yang masih kecil itu sendirian. Rakan-rakanku juga meminta aku tidak melepaskan peluang itu. Aku dianggap bertuah, kerana daripada sembilan orang yang membuat permohonan, aku sahaja yang berjaya. Mereka menganggap aku memang layak. Pengetua SMJX yang baharu, Encik Muhammad Mustafa bin Muhammad Nor, memanggilku apabila dia diberitahu oleh rakan-rakan tentang keberatanku untuk menerima tawaran itu. Dia memelukku erat sambil menyatakan bahawa dia tidak akan menganggap aku anak buahnya yang baik sekiranya aku menolak tawaran itu.

7. Aku berasa amat terharu. Aku pun mengisi Borang Jawapan (A) yang menyatakan bahawa aku menerima tawaran tersebut. Aku pun membuat persediaan untuk ke sana. Tugasku sebagai Penyelaras Pusat Sumber kuserahkan kepada penolongku, Cikgu Wan Noor Azmi. Tugasku sebagai Penyelaras Majalah Sekolah kuserahkan kepada Cikgu Zaliha. Borang Perjanjian Pendidikan Guru diselesaikan, dengan Cikgu Diauudin bin Omar, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, dan Cikgu Mohd Nazri bin Mohamed masing-masing menjadi saksi pertama dan kedua, dan Cikgu Bahari bin Mat, Penolong Kanan Pentadbiran menjadi saksi untuk kedua-duanya.

8. Aku bertolak ke Kuala Lumpur pada petang 4 Julai 1993. Pada malamnya aku bermalam di sebuah hotel murah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, iaitu di Chow Kit. Semalaman itu aku berperang dengan keraguanku itu yang masih belum padam. Pagi esoknya, ketika aku bersiap, perasaanku masih tidak tetap. Kemudiannya, aku membuat keputusan nekad. Aku keluar dari hotel, tidak menuju ke Institut Bahasa, sebaliknya menuju ke hentian bas Jalan Pekeliling. Isteriku terkejut melihat kepulanganku. Rakan-rakanku juga demikian. Isteriku tidak membantah.

9. Dua hari aku kembali ke Jengka 10, aku tidak pergi ke sekolah, sebaliknya berada di rumah. Aku membuat pertimbangan semula. Aku sudah menyerahkan tugasku kepada rakan-rakan, sudah tentu aku tidak berhak menuntutnya semula. Alangkah malunya aku nanti. Dengan dorongan daripada Azni, jiranku, aku menelefon Naib Pengetua Institut Bahasa bertanya tentang statusku. Dia menasihatiku datang melaporkan diri. Akhirnya aku membuat keputusan untuk kembali ke IB. Isteriku menasihatiku supaya bermalam dahulu di rumah Abang Zakaria, kenalan dan saudara jauh mentuaku yang tinggal di Selayang. Aku juga mengenalinya dan isterinya kerana pernah berjumpa ketika mereka pulang ke Kemaman, kawasan tempat asal isteriku. Isteriku menelefon Abang Zakaria, dan Abang Zakaria memintaku menelefonnya apabila sampai di Kuala Lumpur nanti.

10. Azni menghantarku ke Bandar Pusat Jengka dengan keretanya. Aku tiba pada waktu tengah hari di Kuala Lumpur. Oleh sebab Abang Zakaria tidak dapat datang menjemputku, dia memintaku menaiki bas di hujung Jalan Raja dan turun berdekatan Balai Polis Selayang. Aku tidak dapat membayangkan tempatnya, walaupun semasa di IB dahulu, aku masih ingat telah menyertai rombongan Kelab Drama melakukan kunjungan mesra di rumah orang tua dan anak yatim di situ. Akhirnya, selepas seketika tercari-cari apabila turun berhampiran Balai Polis Selayang, aku sampai juga di rumah Abang Zakaria. Rumahnya terletak di tingkat atas, manakala bahagian bawahnya terdapat Klinik Zakaria. Namun begitu, klinik itu bukan kepunyaannya.

11. Keesokannya, aku menaiki bas ke Kuala Lumpur. Aku tiba di IB dalam pukul 9.00 pagi dan terus ke pejabat pentadbiran. Ketika itu peserta kursus DPT 1 dan DPT 2 sedang menjalani suai kenal untuk hari terakhir, dan sedang berada di Pusat Sumber. Ketua Pustakawan, Cik Fatimah binti Ibrahim yang masih kukenali mengucapkan selamat kembali ke IB kepadaku.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan