x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

27 Mei 2010

26. GAJI DAN PENGESAHAN JAWATAN

.
GAJI pertama setelah berkhidmat di SMJX semenjak 5 Januari 1987 diterima pada bulan Mei tahun itu. Seksa juga jiwa menunggu siapnya gaji diurus oleh pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang. Guru Besar mencadangkan supaya aku dan rakan yang kesuntukan wang meminjam pendahuluan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menampung keperluan makan dan minum buat sementara. Walau bagaimanapun, aku tidak berbuat demikian kerana kebetulan aku mempunyai simpanan wang lebihan daripada elaun semasa di IB, dan simpanan hasil penulisan kreatifku. Aku juga mempunyai akaun Amanah Saham Nasional (ASN) yang boleh kugunakan untuk keperluan harian. Mek aku juga pernah mahu memberi wang simpanannya yang dikumpul daripada pemberianku semasa di maktab dahulu tetapi aku mahu dia menyimpan untuk keperluan keluarga di kampung.

2. Hendak mengambil gaji juga sangat seksa. Bandar Pusat Jengka ketika itu mempunyai sebuah bank sahaja, iaitu Habib Bank. Semua jabatan, agensi dan syarikat swasta bertumpu di bank itu. Pengeluaran wang menggunakan sistem manual. Walaupun setiap pelanggan mengambil nombor giliran, proses untuk mendapatkan wang sangat lambat. Pada hari gaji, ada pelanggan yang menunggu bank dibuka semenjak awal pagi. Sekiranya terlewat, belum tentu diperoleh wang sebelum tengah hari. Oleh itu, kami guru yang mengajar pada sebelah petang, akan ke bank pada waktu pagi, dan selalunya membawa kiriman pengeluaran wang rakan lain yang mengajar pada sebelah pagi. Sekiranya kami pun gagal mendapat wang, akan kami titipkan kertas giliran kami kepada rakan sebelah pagi untuk diambil pada sebelah petang. Bank akan menjadi lengang dan urusannya lebih cepat selepas seminggu hari gaji berlalu.

3. Apabila Bank Simpanan Nasional (BSN) membuka cawangan di pekan Bandar Pusat Jengka, kami mendesak pihak sekolah menukar urusan pembayaran gaji daripada Habib Bank kepada BSN. Kebetulan BSN juga sudah memperkenalkan sistem kad ATM. BSN juga terdapat di bandar atau pekan lain, oleh itu sangat memudahkan kami. Akhirnya permintaan kami disetujui pihak sekolah. Hal ini menyenangkan kami kerana kami dapat mengeluarkan wang pada waktu kami mempunyai kelapangan.

4. Aku menjalani temu duga jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kategori C2 tetap pada 20 Jun 1987. Temu duga diadakan di Wisma Sri Pahang, di Kuantan, pada pukul 8.30 pagi. Oleh sebab Jengka 10 dengan Kuantan sangat jauh, aku terpaksa ke Kuantan pada petang sehari sebelum temu duga dilangsungkan. Aku menyewa hotel murah yang terletak betul-betul di depan Stesen Bas Kuantan, di tepi Sungai Kuantan. Kebetulan aku keseorangan, dan tiada pula rakan dari sekolah lain yang kujumpai, aku menyewa bersendirian. Ketika hendak ke pusat temu duga pada pagi 20 Jun 1987 barulah aku bertemu dengan beberapa orang kawan dari sekolah lain. Temu duga tidaklah sukar. Aku ditanya tentang sejarah, tetapi yang paling banyak adalah tentang bahasa, termasuk tentang bahasa istana.

5. Surat tawaran jawatan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bertarikh 3 Oktober 1987 menawariku jawatan tersebut dengan gaji $535.00 sebulan. Akhirnya aku dilantik secara rasmi dalam Kategori C2 bermula 1 Mac 1987 melalui surat SPP yang bertarikh 22 Disember 1987. Aku disahkan jawatan mulai 1 Mac 1988, iaitu setahun kemudian, melalui surat SPP yang bertarikh 30 November 1989. Mulai 1990, aku menerima pertukaran tetap perkhidmatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah (PPPBS).

6. Aku amat terkilan pada tahun 1989 kerana percubaanku untuk menukar statusku daripada Kategori C2 kepada C1 tidak mendapat perhatian. Semasa memohon ke maktab perguruan dahulu (1983), aku menggunakan kelulusan SPM (1979) dan STP (1981). Aku kemudiannya mempunyai STPM (1983). Aku yakin bahawa kelayakanku bukan sekadar C2, tetapi C1. Gaji C1 dan C2 mempunyai jurang yang agak tinggi. Akhirnya, oleh sebab aku tidak mempunyai saluran yang kukuh untuk memperjuangkan hak aku itu, aku terpaksa akur dengan gaji C2 sahaja.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan