x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

21 Mei 2010

25. AKTIVITI RIADAHKU

.
PADA peringkat awal aku bertugas di SM Jengka 10 (SMJX), seorang kakitangan am yang masih muda, memanggilku “ustaz”. Aku selalu memakai seluar trek maktab, yang berwarna hijau, ketika beriadah pada waktu petang, mungkin itu sebabnya.

2. Penerimaan guru di sini terhadap rakan baharu mereka di luar dugaanku. Mereka sungguh ramah bertegur sapa. Hal yang selalu ditanya ialah asalku, kerana apabila aku bercakap, aku masih mengekalkan penggunaan bahasa kebangsaan. Dengan hal yang demikian, dalam jangka waktu yang singkat, aku sudah dapat mengenali ramai guru lama. Hal ini menyebabkan aku tidak kekok dan mudah menyesuaikan diri.

3. Pada waktu petang, kami bermain badminton di gelanggang yang terdapat di kawasan rumah guru. Oleh sebab gelanggang ini di tempat terbuka, ketika angin bertiup kuat, kami tidak dapat bermain. SMJX tidak mempunyai dewan, oleh itu aktiviti permainan ini sangat terhad. Selain itu, kami bermain sepak takraw dan bola tampar. Aku tiada kemahiran dalam permainan sepak takraw walaupun aku kerap bermain sukan ini ketika di kampung. Sewaktu di maktab dulu, juniorku, Mohd Noor, mengetawakan aku kerana bola takraw terkena tanganku ketika aku membuat tandukan. Bola tampar juga tidak kuminati kerana aku tidak pandai mengangkat bola untuk direjam. Sesekali beberapa orang guru bermain tenis, tetapi aku tidak pernah mencuba. Kami lebih memberi perhatian kepada bola sepak yang dimainkan di padang sekolah. Kami bermain bola sepak sesama guru, tetapi acap juga bersama dengan belia rancangan itu. Kalau tidak cukup pemain, lima sebelah pun kami bermain. Dalam permainan sebenar, aku selalu bermain pada bahagian pertahanan. Aku menyedari kelebihanku apabila kawan-kawan dan muridku mengatakan bahawa pasukan lawanku sukar untuk menembusi kawasan gol secara dekat apabila aku bermain pada posisi itu. Untuk mengajar pemain pertahanan sekolahku menjaga kawasan gol dengan baik, aku tidak pandai. Oleh itu, aku menggalakkan muridku yang bermain untuk pasukan sekolah melihat aksiku ketika cuba menghalang pasukan lawan membawa atau menghantar bola ke kawasan gol.

4. Selain bermain secara suka-suka menentang pasukan belia Jengka 10, pasukan bola sepak guru selalu mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan belia itu, dan pasukan dari sekolah lain, seperti pasukan SK Jengka 10, SM Jengka 2, SM Jengka 21, SM Jengka Pusat, dan SK Sungai Tekam. Setiap tahun kami menyertai pertandingan bola sepak Persatuan Sukan dan Kebajikan Pendidikan Pahang (PSKPP). Yang seronoknya, ketika kami bermain, ramai guru akan turun memberi sokongan, termasuk guru perempuan, sama ada yang sudah berkahwin atau belum. Sekiranya perlawanan diadakan di tempat lawan, kami akan mengadakan rombongan dengan beberapa buah kereta. Guru perempuan tidak ketinggalan datang memberi sokongan. Keaktifanku bermain bola sepak ini berterusan sehingga tahun 1993.

5. Kerana aktif bermain bola sepak, aku mengalami kecederaan sebanyak dua kali. Kali pertama, ketika bermain suka-suka dengan pasukan belia Jengka 10, lututku sakit seperti tercabut ketika cuba menghalang seorang penyerang lawan membuat rembatan ke pintu gol. Lututku sakit hampir dua minggu dan tidak dapat bermain. Alhamdulillah, akhirnya baik sendiri. Kali kedua, kecederaan terjadi ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Belia Jengka 10. Dalam kejohanan ini, aku “dibeli” oleh satu pasukan belia, dan diletakkan sebagai pemain penyerang. Aku antara penjaring gol bagi pasukanku. Dalam permainan separuh akhir, aku dirembat dengan kuat oleh seorang belia pasukan lawan yang selalu bermain denganku. Betis kananku terasa sakit yang amat sangat. Ketika rehat, apabila aku melihat betisku itu, didapati terdapat satu lekuk dan darah beku. Ya Allah, gerun aku melihatnya. Akibatnya, aku tidak bermain dalam perlawanan akhir. Sakit itu kutanggung sehingga aku pulang ke kampung seminggu kemudian. Hari pertama di kampung, aku masih ke padang bola sepak di kampungku, dan bermain dengan rakan-rakan di kampung, tetapi berhati-hati agar tidak terkena betisku. Apabila mek aku mengetahui hal itu, dia memaksaku pergi berurut. Kami ke rumah Mak Da; rumahnya berdekatan Surau Temangan Lama. Mak Da memang aku kenal kerana menoreh getah di kebun Cina bersama dengan mek. Ketika diurut oleh Mak Da, air mataku menitis menahan sakit yang amat sangat. Satu ketika, aku meraung kesakitan yang tidak tertahan. Beberapa hari selepas diurut, kesakitanku semakin kurang walaupun lekuk itu tidak mudah hilang.

6. Pada hari minggu, kami yang bujang selalu mengunjungi rumah penduduk di kawasan Felda kami. Kalau musim buah, banyaklah buah rambutan, langsat, durian dan manggis yang dapat kami bawa pulang. Selalunya kami yang tinggal di rumah guru 14-W akan keluar dengan kereta Cikgu Shahrir, guru yang sudah berkahwin tetapi isterinya bekerja di Melaka. Kadang-kadang guru bujang di rumah guru 14-V akan ikut serta. Jika tidak muat kereta, kami bermotosikal. Aku terpaksa menumpang kerana tiada kenderaan. Kunjungan kami tidak terhad setakat sekitar Jengka 10, malahan masuk ke kawasan Felda lain yang terdapat murid sekolah kami, seperti Sungai Tekam Getah, Jengka 1, dan Kota Gelanggi 4. Sekiranya kami berkunjung ke rumah murid sekolah, kami akan dipaksa makan tengah hari di rumah mereka. Aku dikenali oleh ibu bapa pelajar kerana kerap menjadi pengacara majlis Mesyuarat Agung PIBG. Orang bujang tidak menolak rezeki. Pernah kami mengunjungi rumah guru sesekolah yang tinggal di kawasan Felda lain kerana suaminya pengurus di Felda itu. Kami dijamu masakan gulai tempoyak pedas ikan terubuk. Sambil berdesit menahan pedas, kami terpaksa berhati-hati kerana tulang ikan terubuk sangat banyak dan halus. Selepas itu, muka kami kemerahan kerana menahan pedas.

7. Untuk membeli barangan yang murah, kami akan ke kawasan kedai yang dikenali sebagai Tongkiat. Kawasan itu terletak dalam Felda Jengka 1. Kawasan perniagaan ini tidak luas. Terdapat dua deretan kedai, yang sudah usang keadaannya, di sebelah-menyebelah jalan berturap tar yang tidak lebar, tetapi menjadi tumpuan, khususnya ketika pekerja mendapat gaji. Kedai ini mirip dengan kedai yang terdapat di tebing Sungai Semantan, di Temerloh. Barangan elektrik dan perabot rumah dapat diperoleh dengan harga yang murah. Kadang-kadang kami keluar ke bandar yang lebih jauh, sama ada Temerloh atau Jerantut. Sehari suntuk kami meronda di sekitar kedua-dua buah bandar itu. Kadang-kadang, selepas Asar baru kami ke bandar Temerloh. Lebih kurang pukul 11.00 malam, baru kami bertolak pulang, setelah pusat perniagaan sudah ditutup. Paling dekat pun, kalau kami kebosanan, kami akan keluar ke Bandar Pusat Jengka. Di pekan ini terdapat pasar minggu, pejabat pos, Bank Simpanan Nasional, Perwira Habib Bank, Balora Mastika (Dewan Orang Ramai), dan kemudiannya dibina sebuah cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Hospital Jengka. Samrin, pemenang rancangan More Jutaria TV3, berasal dari pekan ini.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan