x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

14 Mei 2010

23. MULA BERKHIDMAT

.
PADA pertengahan bulan Disember 1986, aku menerima surat bertarikh 12 Disember 1986 daripada Institut Bahasa bahawa aku ditempatkan di Pahang. Aku perlu menunggu surat daripada Jabatan Pelajaran Pahang untuk mengetahui sekolah tempat aku bakal berkhidmat. Pahang sebuah negeri yang paling luas di Semenanjung Malaysia. Di manakah tempatnya? Orang baharu sepertiku sudah tentu bukan di kawasan bandar. Pasti aku ditempatkan di pedalaman. Di manakah tempatnya? Hal ini menyebabkan aku berdebar kencang. Deti ditempatkan di mana? Ah, sudah tentu di Sabah. Tidak mungkin yang di Sabah dan Sarawak dibawa ke Semenanjung, kerana ramai dari Semenanjung yang dibawa ke sana untuk memenuhi kekosongan tempat.

2. Beberapa hari selepas itu, aku menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Negeri Pahang bertarikh 17 Disember 1986. Surat itu menjelaskan bahawa aku ditempatkan di Sekolah Menengah Jengka 10, Jerantut. Walau bagaimanapun, jabatan mengarahkan aku ke Sekolah Menengah Abu Bakar, Temerloh, Pahang, untuk mengikuti satu taklimat, pada 5 Januari 1987, bermula pada pukul 8.00 pagi.

3. Aku berjumpa dengan rakanku yang tinggal di Kampung Padang, Temangan. Dia baru keluar dari Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Dia juga ditempatkan di Pahang, tetapi di sekolah rendah di Triang. Kami memang “gelap gambar” tentang negeri Pahang. Negeri Kelantan sendiri pun belum habis dikunjungi, inikan pula negeri lain. Nasib kami baik kerana rakan sepenulisanku, Arazmi Seman yang tinggal di Kampung Pauh sedang bertugas di Sekolah Menengah Purun, Bera, Pahang. Daripadanyalah kami mendapat gambaran tentang tempat tuju kami.

4. Kami menaiki bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) ke Temerloh. Sampai di bandar itu pada waktu pagi. Kami pun mencari teksi. Dengan segera kami dihantar ke sana. Sekolah Menengah Abu Bakar, Temerloh, sangat terkenal, tetapi lebih dikenali dengan panggilan ABS (Abu Bakar School). Kami diberi taklimat dari pagi hingga petang. Aku cuba mencari rakan-rakan dari IB yang ditempatkan di Pahang. Alhamdulillah, aku bertemu dengan Nor Liza Mohd Noor, Zahrah V.V. Abu, dan dua tiga orang lagi. Yang lelaki tidak pula kutemukan. Oleh sebab taklimat itu berakhir pada lewat petang, aku tidak tahu tempat hendak dituju. Zahrah mempelawa aku menumpang di rumahnya. Aku tidak ada jalan lain, harus bersetuju dan sangat berterima kasih kepadanya. Aku pun bermalam di rumah wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Pahang itu bersama dengan Nor Liza, dan dua orang rakan lagi. Pada malam itu, ayah Zahrah, V.V. Abu dak ada di rumah.

5. Keesokan harinya, aku dihantar oleh Zahrah dan emaknya ke Stesen Bas Temerloh, yang terletak dekat dengan Masjid Temerloh. Aku mengambil keputusan mengambil teksi ke Bandar Pusat Jengka. Dari bandar Temerloh, teksi menyeberangi jambatan Sungai Temerloh, hingga ke Kampung Awah. Dari situ, teksi melalui kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan. Kiri dan kanan jalan dipenuhi sama ada pokok getah atau pokok kelapa sawit. Apabila sampai di Bandar Pusat Jengka, aku meminta drebar teksi itu menghantar aku ke Jengka 10. Felda Jengka 10 atau dikenali juga sebagai Felda Mawar merupakan rancangan kelapa sawit. Apabila mengetahui aku hendak mendaftar di sekolah, dia terus membawa aku ke dalam kawasan sekolah tersebut. Untuk memasuki kawasan sekolah itu, kenderaan terpaksa mendaki bukit yang agak tinggi. Aku pun menuju ke pejabat yang terletak betul-betul di depan pintu pagar masuk.

6. Guru Besar sekolah itu, Encik Musa bin Ibrahim, bertubuh besar dan tinggi, serta berkulit putih. Daripada air mukanya yang selalu tersenyum, aku membuat kesimpulan dia orang yang mudah mesra. Lega hatiku mendapat guru besa yang sedemikian. Setelah mengetahui aku belum mempunyai tempat tinggal, dia mencadangkan aku tinggal di rumah guru sahaja. Rumah guru itu terletak lebih kurang 100 meter dari sekolah. Aku sudah mengetahuinya kerana drebar teksi tadi telah menunjuk kawasan rumah guru itu kepadaku. Satu lagi kawasan rumah guru terletak di hadapan sekolah rendah, tetapi jauhnya sekali ganda daripada rumah guru yang terdekat itu. Rumah guru itu dihuni kebanyakannya guru sekolah rendah, tetapi terdapat satu unit dihuni oleh guru sekolah menengah yang sudah berkeluarga, dan satu unit lagi dihuni oleh guru sekolah menengah yang masih bujang. Cikgu Musa tinggal di rumah guru besar di kawasan itu. Aku yang tiada sebarang kenderaan memilih rumah yang paling dekat dengan sekolah. Berjalan kaki lima minit pun boleh sampai. Apabila aku ke rumah yang dimaksudkan, seorang guru baharu sudah sampai ke rumah itu. Dia berasal dari Johor, lepasan Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. Aku tidak pasti bertemu atau tidak dengannya dalam taklimat di SM Abu Bakar semalam. Namanya Azni bin Ismail, bertubuh tinggi lampai. Ketika melalui pintu, kepalanya hampir menyentuh alang pintu. Kalau menaiki bas mini di Kuala Lumpur, pasti dia terpaksa menundukkan kepalanya sepanjang masa.

7. Di kawasan rumah guru itu, terdapat empat blok rumah. Setiap blok mengandungi dua unit rumah. Rumah yang aku masuki itu merupakan unit yang paling hujung, dikhaskan kepada guru lelaki yang masih bujang atau tidak membawa isteri. Unit yang berkembar disebelahnya untuk guru perempuan yang masih bujang juga. Unit-unit lain diduduki guru yang sudah berkahwin. Rumah itu tidak jauh dari kedai Mara tanah rancangan Felda itu. Terdapat beberapa buah kedai makan dan kedai runcit. Kedai makan yang paling popular ialah kedai Mak Aji dengan suaminya, Pak Soh, terletak beberapa meter sahaja dari pagar sekolahku. Di sebelah kedai Mak Aji, terdapat kedai runcit, kepunyaan Haji Din, dan di depan kedai Mak Aji, terdapat kedai runcit Pak Rashid. Di sebelah kiri kedai runcit Pak Rashid, terdapat pula kedai makan Mak Yam dan suaminya, Pak Sulaiman. Terdapat juga sebuah kedai runcit lain, kedai Mat Rani, yang turut menjual ikan dan sayur-sayuran. Pada setiap pagi, kedai itulah menjadi tumpuan golongan suri rumah.

8. Aku tinggal di rumah bujang itu dalam seminggu sahaja. Aku berpindah ke rumah bujang yang terletak di hadapan jalan masuk ke kawasan perumahan guru itu, kerana penghuni rumah bujang itu tidak ramai. Pada tahun awal 1988, aku telah dipilih sebagai ketua rumah bujang itu. Pihak sekolah memotong gajiku untuk bayaran sewa rumah itu, dan ahli lain akan membayar secara tunai kepadaku dengan agihan sama rata. Yang paling senior di rumah itu ialah Shahril, berasal dari Melaka. Selepasku, datang lagi beberapa orang guru baharu, antaranya Shaharin bin Ismail, dari Kelantan, serta guru sementara yang sedang mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC), iaitu Sharim bin Mohd Dahalan, dan Mohd Sufian. Aku kemudiannya sebilik dengan Sharim.

9. Pada mulanya, aku ditugaskan mengajarkan mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu tingkatan satu dan dua, pada sidang petang. Namun demikian, pada pertengahan tahun 1988, aku telah diminta mengambil tempat Cikgu Mohd Yusoff bin Mohamad yang melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Dengan yang demikian, aku telahpun dilantik sebagai Ketua Panitia Sejarah. Tugasku mengajarkan mata pelajaran Sejarah untuk kesemua kelas tingkatan tiga yang berjumlah sembilan kelas. Oleh itu, dalam seminggu, aku mengajar 27 waktu. Tugas itu, dalam satu keadaan, amat memudahkan aku. Setiap kali topik baharu, aku mungkin menghadapi masalah bagi kelas yang pertama dan kedua, namun bagi kelas-kelas lain selepas itu, sangat mudah bagiku kerana aku dapat mengingat semua fakta. Aku dapat mengajar dengan lancar tanpa perlu merujuk buku teks atau nota. Namun, yang beratnya ialah ketika keputusan peperiksaan. Sekiranya keputusan teruk, segalanya terletak di atas kepalaku 100%.

10. Penetapan kelas dibuat mengikut jantina. Biasanya, kelas terpandai bagi setiap tingkatan ialah kelas perempuan. Kelas yang kedua terpandai, dikhaskan kepada lelaki. Bagi kelas berkedudukan yang pertama hingga kelima, lazimnya tiada masalah. Namun, bagi kelas seterusnya, terutamanya yang lelaki, selalunya amat menjengkelkan aku. Kelas-kelas ini kurang minat untuk belajar dan selalu bising, degil dan malas. Untuk mengemudi kelas sedemikian dengan baik, aku terpaksa sentiasa mencari idea untuk berlucu dan bercerita. Sesetengah kelas, apabila aku berlucu atau menceritakan suatu hal yang ada kaitan dengan tajuk pengajaran, mereka berminat. Namun, terdapat sebuah kelas pandai yang pasif. Walaupun aku berkelakar dan bercerita, mereka tidak pernah senyum atau ketawa. Sebak rasa hatiku setiap kali aku bersungguh-sungguh hendak menceriakan suasana kelas. Akhirnya aku mengambil keputusan tidak mahu berkelakar lagi. Guru lain juga mengakui bahawa murid di kelas itu pelajarnya terlalu serius walaupun agak rajin.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan