x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

27 Julai 2009

3. KETIKA DI SEKOLAH RENDAH



AKU memasuki alam persekolahan pada awal tahun 1969. Sekolahku, Sekolah Kebangsaan Temangan, lebih kurang 10 kilometer jauhnya dari rumahku. Aku tidak ingat perasaanku ketika mula memasuki dunia ilmu. Namun demikian, aku masih ingat aku ditempatkan di Darjah 1B. Kelasku itu terletak di blok yang berdekatan dengan sebuah kolam, yang dikatakan orang wujud pada zaman Jepun menduduki Tanah Melayu dahulu. Pada masa itu sekolah itu terdiri daripada dua buah blok serta sebuah kantin. Setiap darjah terdiri daripada dua buah kelas, sehinggalah darjah enam. Bilik guru, pejabat dan bilik guru besar terletak di hujung bangunan kedua. Sejak beberapa tahun lalu, bangunan-bangunan itu telah dirobohkan dan didirikan bangunan baharu. Aku dapat melihat sekolah itu setiap kali aku pulang ke kampung kerana sekolah itu terletak di tepi jalan di pinggir pekan Temangan.

2. Di sekeliling sekolahku terdapat kebun getah. Oleh itu, padang sekolah yang terletak di hadapan kedua-dua buah blok dan berdekatan dengan pintu masuk hadapan, sentiasa dipenuhi oleh daun pokok getah dan biji getah, terutamanya ketika daun getah luruh dan musim buah getah pecah dan menyebarkan bijinya. Pada setiap pagi, sebelum memulakan pelajaran, kami dikehendaki membersihkan daun atau biji getah yang berlanaran di bahagian tepi padang. Jika ada kemuncup, kami juga perlu mencabut atau memotong kemuncup itu. Aku membawa pisau lipat kecil untuk memotong umbi kemuncup. Dengan menggunakan pisau, aku dapat mengelakkan jari dan telapak tangan menjadi pedih.

3. Pada setiap hari, aku, adik-adik, dan rakan-rakan kami dari Temangan Lama berjalan kaki datang dan pulang dari sekolah. Sekiranya kami bersekolah pada sidang pagi, kami terpaksa bangun sebelum subuh, mandi di telaga di belakang rumah, dan bertolak ke sekolah selewat-lewatnya pukul 6.30 pagi. Pada musim hujan, jalan tanah yang kami lalui lecak teruk. Oleh itu, kami sering berkaki ayam dan membimbit kasut hingga ke tempat kering. Di sepanjang jalan terdapat dua tempat air turun dari bukit, dan kami membasuh kaki di situ. Ketika pulang, kami sering berhenti di kawasan yang kami panggil “air lata” (air terjun kecil) itu untuk berehat daripada panas matahari, dan kerap juga kami membasahkan pakaian kami di situ. Perjalanan kami pergi dan balik dari sekolah melalui kaki bukit dan tebing Sungai Temangan. Pada musim hujan, air sungai itu keruh pekat dan arusnya laju.

4. Seperti murid lain pada masa awal persekolahan darjah satu, aku tidak tahu menulis dan membaca. Namun begitu, aku cepat belajar, kerana dalam masa dua bulan, aku sudah dapat mengenal huruf dan dapat membatang suku kata dan perkataan dengan baik. Pada pertengahan tahun 1969 itu, aku sudah dapat membaca buku bahasa Melayu dengan fasih, malahan pernah pula aku diminta oleh guru agar membantu rakan sekelasku. Aku juga dapat menulis dengan baik pada tahun pertama di sekolah. Pada tahun berikutnya, aku berada dalam darjah 2B, walaupun ada rakanku dalam darjah 2A yang masih belum dapat membaca dan menulis dengan lancar. Namun, tidak lama kemudian, aku dinaikkan ke darjah 2A setelah aku diuji tentang kefasihan membaca dan menulis. Ketika dalam darjah 3A, aku sering mendapat tempat yang baik. Walaupun begitu, aku hanya memperoleh 4B dan 1C dalam Penilaian Darjah Lima pada tahun 1973.

5. Aku masih ingat dua orang guru yang sangat istimewa bagi kami. Cikgu Nik Asiah yang bertubuh kecil, sangat pandai bercerita. Ceritanya yang popular ialah Puteri Kapas, kisah puteri raja cantik yang menjadi mangsa dengki ibu tirinya. Sekurang-kurangnya sekali sebulan, kami yang dalam darjah 1 dan 2 berkumpul mendengar Cikgu Nik Asiah bercerita. Telatahnya menarik hati kami kerana suaranya disesuaikan dengan watak dan gerak tubuhnya dapat menggambarkan hal yang sedang diceritakan. Apabila Cikgu Nik Asiah bercerita, Ustaz Wahab pula menunjukkan kepandaiannya melukis watak dan suasana yang sedang diungkapkan oleh Cikgu Nik Asiah pada papan hitam. Kami juga akan bernyanyi beramai-ramai beberapa buah lagu, antaranya “Lagu Tiga Kupang” dan “Bangau Oh Bangau”.

6. Aku juga masih ingat akan Cikgu Che Esah. Beliau mengajari kami mata pelajaran Sains dan Jawi ketika dalam darjah tiga. Badan cikgu ini besar, dan suaminya, Cikgu Abdul Rahman, yang kami panggil Cikgu Man sahaja, turut mengajar di sekolah ini. Peristiwa yang masih aku ingat adalah tentang cubitan Cikgu Che Esah setiap kali kami tersilap menjawab soalannya, atau melakukan kesalahan tertentu. Dia akan mencubit perut kami dengan kuat, dipulasnya, ditariknya ke atas dan ke bawah. Aku sendiri ternganga menahan sakit, dan terpaksa mengikut arah cubitannya sama ada ke atas atau ke bawah agar tidak terlalu sakit. Lazimnya kesan cubitannya ialah warna merah pada perut kami. Seingatku, kami tidak pernah mengadu kepada orang tua kami. Satu lagi peristiwa, aku menjawab satu soalan Sains tentang bunyi enjin. Aku memberikan jawapan bahawa bunyi enjin merdu. Aku didenda berdiri di atas kerusi. Ketika itu, lalulah kereta api berkepala hitam melalui landasan yang tidak jauh dari pagar sekolahku itu. Cikgu Che Esah bertanya kepadaku, “Sedap tak bunyi enjin kereta api itu?” Aku menjawab, “Tak sedap”. Aku pun faham bahawa bunyi enjin tidak merdu, tidak seperti bunyi burung.

7. Kerana Cikgu Che Esah yang bengkeng (garang) itu, aku pandai membaca dan menulis Jawi. Kalau tidak dapat membaca tulisan Jawi, kami pasti didenda berdiri di atas lantai, kemudian naik di atas kerusi, dan seterusnya di atas meja. Jika gagal juga, perut kami akan dicubit. Aku belajar daripada seorang kawan perempuan yang sekelas denganku. Aku tidak tahu macam mana dia pandai, tetapi ajarannya menyebabkan aku selalu terlepas daripada didenda. Akhirnya, aku pandai membaca dan menulis Jawi. Malangnya, aku sudah terlupa nama kawanku itu.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan