SELEPAS menamatkan pelajaran di sekolah rendah, aku ingin mendapatkan pelajaran menengah di Sekolah Menengah Hamzah, Machang kerana sekolah itu mempunyai “kelas peralihan” untuk memasuki aliran bahasa Inggeris. Malangya, mulai tahun 1975, kelas tersebut telah dimansuhkan apabila sistem pendidikan negara mula melaksanakan aliran kebangsaan di peringkat sekolah menengah.
2. Aku pun bersekolah di Sekolah Menengah Kampung Pek. Sekolah itu terletak di pinggir Jalan Machang-Kuala Krai, kira-kira 10 batu dari rumahku. Untuk ke sekolah itu, aku menunggang basikal ke pekan Temangan, dan menaiki bas sekolah kepunyaan Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) dari Machang. Aku masih ingat pemandunya seorang India, konon ceritanya bekas askar Gurkha pada zaman Jepun, yang kami panggil “Pak Cik Pa”, tetapi apabila di belakangnya, kami panggilnya “Stopa Keling”. Kami bayar tambang bas secara bulanan. Konduktornya, kadang-kadang Nasir, Mahmud, atau Hassan akan menebuk kad tambang kami setiap hari.
3. Semasa di tingkatan satu hingga tiga, aku pelajar biasa yang tidak cemerlang. Dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang aku duduki pada tahun 1977, aku hanya mendapat 32 agriget, dengan Bahasa Melayu (gred 2), Ilmu Alam (gred 5), Tawarikh (gred 6), Sains Paduan (gred 7), Sains Pertanian (gred 7), Ilmu Hisab Moden (gred 7), dan Pengetahuan Ugama Islam (gred 8). Keseluruhannya, aku masih memperoleh pangkat A, dan dapat melanjutkan pelajaran di tingkatan 4. Ketika itu Sekolah Menengah Kampung Pek masih belum mempunyai kelas tingkatan 4. Oleh itu, kami dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Machang. Tidak lebih dua bulan di sekolah itu, kami dipanggil balik ke Kampung Pek kerana sekolah kami itu mula membuka dua buah kelas tingkatan empat. Ketika di tingkatan 4 inilah aku mula menunjukkan kelebihan tersendiri berbanding dengan rakan lain.
4. Semasa di tingkatan 5, aku giat dalam kokurikulum. Aku dilantik menjadi Ketua Rumah Sukan (aku terlupa nama rumah sukan itu). Aku juga terlibat dalam permainan hoki. Aku masih ingat, aku pernah menjaringkan gol kemenangan untuk pasukan rumahku melalui pukulan penalti. Selain itu, aku pernah mewakili sekolah dalam olahraga bagi acara 400 meter di peringkat daerah Machang. Pertandingan yang perit ialah acara merentas desa. Kami terpaksa berlatih berminggu-minggu. Pelajar lelaki terpaksa merentas kebun getah dan sawah sejauh tujuh batu. Pernah sekali, aku demam, tetapi terpaksa berlari juga, kerana aku ketua rumah. Aku menyertai Persatuan Bahasa Melayu, dan dilantik sebagai Ketua Pengarang Makalah Bahasa Melayu. Yang lucunya, aku juga dilantik sebagai Ketua Editor Bahasa Inggeris walaupun aku bukan ahli persatuan itu. Ketika di tingkatan 4, aku dipilih menjadi Pengawas Perpustakaan, dan ketika di tingkatan 5, aku menjadi Ketua Pengawas Perpustakaan. Aku juga dilantik sebagai Penolong Ketua Tingkatan 5A. Aku selalu membantu guru kelasku, Cikgu Yusof Harun, yang mengajarkan Kesusasteraan Melayu, menulis buku rekodnya dan mengisi kedatangan pelajar. Mungkin ada yang tidak percaya bahawa ketika di tingkatan 5 itu, selain menjadi Ketua Pengawas Perpustakaan, aku juga dilantik menjadi Pengawas Sekolah. Kedua-dua tugas itu aku jalankan dengan baik, dan tidak pernah terjadi pertembungan waktu bertugas.
5. Selain kegiatan tadi, aku juga selalu mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan, termasuklah syarahan agama dan syarahan bahasa Inggeris. Aku masih ingat, dalam satu pertandingan syarahan agama di Dewan Majlis Daerah Machang, aku terlupa fakta ketika di pertengahan syarahan, lalu aku terus turun dari pentas, menyebabkan ustazah yang menjadi guru pengiring terpinga-pinga dan tidak berkata apa-apa. Keaktifanku dalam kegiatan-kegiatan tersebut tidak menghalang aku untuk mencapai keputusan yang baik dalam pelajaran. Pada setiap kali ujian bulanan, ujian penggal pertama, ujian pertengahan tahun, dan ujian akhir tahun, aku menduduki tempat pertama hingga keempat. Oleh itu, setiap kali ujian, aku tidak ketinggalan menerima hadiah akademik.
6. Sejak tingkatan tiga lagi aku memohon Biasiswa Persekutuan dan Biasiswa Negeri. Namun, aku gagal. Oleh itu, ketika di tingkatan 5, apabila guru kelasku memberiku borang Biasiswa Negeri, aku menolaknya. Aku memberi alasan bahawa aku kecewa, dan emakku sudah serik untuk mendapatkan tandatangan pengesahan daripada penghulu kampung dan wakil rakyat, tetapi selalu gagal. Hal ini sampai kepada pengetahuan guru besar, Cikgu Sulaiman Hassan. Cikgu ini memujukku supaya mengisi borang tersebut dengan jaminan bahawa dia akan memberi perhatian wajar. Dengan berat hati, aku mematuhi permintaan itu, dan emakku yang senang hati dengan jaminan itu, bersusah payah lagi menemui wakil rakyat yang sukar ditemui selepas pilihan raya. Beberapa bulan kemudian, guru besar memanggilku ke biliknya dan memberitahu bahawa permohonan aku berjaya. Aku diarahkan membuka akaun Bank Bumiputra. Ketika itu, untuk membuka akaun bank itu, depositnya hanya $1.00.
7. Pada tempoh itu, aku mula giat dalam bidang penulisan. Guruku yang mula-mula mengagumiku ialah Cikgu Shamsuddin, guru yang pernah mengajarku Bahasa Melayu dan Ilmu Hisab Moden. Dia mengucapkan tahniah apabila terbaca karya sainsku yang tersiar dalam ruangan “Taman Sains”, Utusan Pelajar. Kebetulan pula kemudiannya dia menjadi Guru Perpustakaan. Hal penulisanku ini dapat dibaca dalam blogku yang lain, http://www.titistinta.blogspot.com/.
8. Aku menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada akhir tahun 1979. Ketika itu kawasan kampungku dilanda banjir. Aku masih ingat, pada hari terakhir peperiksaanku, aku terpaksa menaiki perahu tambang dari Kampung Padang (Chekok) hingga ke Kampung Pertok, sebelum dapat meneruskan perjalanan dengan kereta. Ketika pulang, sekali lagi aku terpaksa menaiki perahu tambang dengan bayaran $2.00.
9. Keputusan SPM itu diumumkan pada tahun 1980. Aku mendapat tahu tentang pengumuman keputusan itu agak lewat. Aku terdengar siaran Radio Malaysia Kelantan tentang beberapa keputusan SPM di Kota Bharu. Aku pun bergegas ke sekolahku. Sampai di sekolah, sudah ramai rakanku yang mengambil keputusan masing-masing. Apabila melihatku, mereka segera menerpa dan mengucapkan tahniah. Guru-guru turut berbuat demikian. Aku terpinga-pinga. Rupa-rupanya aku pelajar tunggal yang memperoleh Pangkat 2. Sudah pasti aku berjaya ke Tingkatan 6, kata mereka. Keputusanku sederhana sahaja, iaitu Bahasa Malaysia (Pangkat 2), Kesusasteraan Melayu (Pangkat 3), Pengetahuan Ugama Islam (Pangkat 6), Sejarah (Pangkat 6), Ramapaian Sains (Pangkat 6), dan Kajihayat Manusia (Pangkat 7). Hal ini bermakna aku gagal mata pelajaran Ilmu Hisab Moden dan Ilmu Alam.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan