x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

26 Julai 2009

2. SEMASA AKU MASIH KANAK-KANAK



SEBAGAI anak kampung, aku tidak berbeza daripada kanak-kanak lain. Hidup sebagai kanak-kanak tidak lepas daripada bermain, makan dan tidur. Tidak banyak yang kuingat lagi, namun kenangan terhadap usia setahun jagung itu sangat indah.

2. Apabila ayah ke bandar Machang kerana sesuatu urusan, lazimnya aku ikut bersama. Kami akan menaiki bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK). Syarikat itu, yang dimiliki oleh bumiputera, satu-satunya syarikat bas yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan di Kelantan. Apabila tiba di Machang, ayah akan membawa aku makan laksa di dalam pasar, yang disebut “merket” (daripada perkataan bahasa Inggeris, “market”) oleh orang Kelantan. Dahulunya “merket” terletak berhampiran Stesen Bas Machang, dan tidak jauh daripada Balai Polis Machang. Pasar, stesen bas dan balai polis itu sudah dipindahkan ke tempat lain.

3. Aku juga sering bersama dengan bapa saudara bongsu sebelah emak, Che Ali bin Jusoh. Dia selalu membawaku ke pekan Temangan dan makan bubur kacang di kedai yang terletak di hadapan “merket” Temangan. Sekarang ini kedai itu masih ada tetapi kepunyaan orang lain, manakala pasar itu sudah uzur, dan banyak petak kedainya sudah tidak digunakan. Selain itu, aku sering diajak oleh pak su aku itu menangkap sejenis burung, yang aku sudah lupa namanya. Burung itu dikatakan tinggal di atas gunung, dan akan datang pada malam hari apabila dipanggil menggunakan seruling yang dibuat sendiri oleh bapa saudaraku itu. Burung itu akan menjunam turun dan terlekat pada jaring yang direntang tinggi. Aku akan berbaring di atas tikar, menemani pak su meniup serulingnya dengan lagu yang mendayu-dayu. Selalunya banyak burung dapat ditangkap, tetapi kadang-kadang yang datang bukan burung, tetapi ular.

4. Datukku sebelah emak, Jusoh bin Deraman, dikenali dengan nama Pak Soh Pasir oleh ramai orang. Dia digelar demikian kerana pernah mengangkut pasir dari Sungai Temangan menggunakan perahu besar. Keistimewaan datukku ini ialah kebolehannya membuat pelbagai jenis kraf. Dia pandai mencucuk atap daun kelapa, membuat pelbagai alat menangkap ikan, antaranya tuar, bubu, temilai, dan tangkul, membuat sarang burung ketitir, dan bertukang rumah. Dengan berdamping dengan datukku ini, aku pandai membuat sarang burung yang mudah-mudah, dan membuat perangkap burung “ruak” (wak-wak). Perangkap ini dibuat daripada batang buluh yang dibelah dan dijalin menjadi seperti bentuk kun menggunakan akar yang menjalar. Aku menahan perangkap ini di tepi sawah di depan rumah kami, atau di dalam hutan tidak jauh daripada rumah. Aku selalu berjaya memperoleh burung wak-wak, selain burung murai atau burung candik (merbah). Sesekali, perangkapku mengena ayam nenekku sendiri yang mencari makan di sekitar tempat perangkap itu dipasang.

5. Datukku ini yang kami panggil “Che”, atau kadang-kadang Tok Jusoh, garang orangnya. Mengikut emakku dan bapa saudaraku, ketika mereka kecil dahulu, Tok Jusoh ini lebih garang. Pak su aku itu diberhentikan sekolah ketika di tingkatan dua kerana acap meminta duit untuk membeli buku. Aku pernah dikejarnya kerana kedegilanku tidak mengindahkan larangannya supaya aku tidak mengait buah rambutan di depan rumahnya yang baru berwarna kuning. Aku terpaksa lari sekuat hati dengan menanggalkan selipar. Larian datukku itu sungguh pantas, menyebabkan aku sangat penat dan hampir ditangkapnya. Nasib baik akalku panjang. Aku melarikan diri ke arah nenekku, Minah, dan berlindung di belakangnya. Aku selamat di situ. Selepas peristiwa itu, apabila Tok Jusoh melarangku melakukan sesuatu, aku akan mematuhinya walaupun dengan berat hati.

6. Satu permainan yang popular semasa aku di sekolah rendah ialah “gurah”. Permainan ini menggunakan bola gurah, yang seperti guli, tetapi lebih besar. Gurah yang boleh di beli di kedai di pekan Temangan terdiri daripada dua jenis. “Gurah batu” ialah jenis yang keras dan sukar pecah terkena hantukan gurah lain, dan berwarna agak kebiruan. “Gurah gandum” ialah gurah yang lazimnya berwarna putih seperti gandum atau kapur, dan mudah pecah. Ketika membeli gurah, jika tidak pasti jenisnya berdasarkan sifatnya itu, kami akan menjilat gurah itu. Gurah yang melekat pada lidah merupakan gurah jenis gandum, dan jika tidak melekat, gurah itu jenis batu. Sudah tentu kami akan memilih gurah jenis batu. Gurah perlu dipangkah. Terdapat dua format permainan gurah, iaitu satu lubang dan tiga lubang. Kedua-duanya boleh dimainkan secara seorang lawan seorang atau antara dua regu. Semasa di sekolah rendah, aku terkenal dalam kalangan kawan-kawan di sekolah dan di kampungku, handal memangkah, kerana dapat memangkah gurah lawan walaupun dalam jarak yang jauh. Pada waktu rehat, kami habiskan masa bermain gurah di belakang bangunan sekolah. Aku pernah menulis tentang permainan gurah ini dan dikirimkan kepada editor majalah Dewan Budaya, tetapi tidak disiarkan hingga sekarang.

7. Aku juga terkenal dengan kemahiran melastik burung. Aku mampu menjatuhkan burung dengan melastiknya dari jauh. Lastik boleh dibuat sendiri. Cabangnya diperoleh daripada pokok bercabang, peregangnya daripada getah gelung yang dipintal beberapa gelung, sesuai dengan kekuatan tangan untuk menariknya, dan pelapik tempat meletak batu sebagai peluru selalunya menggunakan kulit daripada kasut buruk. Di hadapan rumahku terdapat pokok jambu yang menjadi tempat berkumpulnya burung pipit dan burung candik. Selalu juga aku dan kawan-kawan masuk ke dalam semak di beberapa tempat di kampung kami untuk memburu burung sampai terlupa makan tengah hari. Kami melastik burung yang boleh dimakan, seperti burung pipit yang kami panggil “jijit”, burung murai, dan burung merbah yang kami panggil “candik”. Burung yang diperoleh kami sembelih sendiri menggunakan pisau lipat kecil atau pisau cukur yang kami bawa. Sesekali kami memburu tupai dan kelawar yang tidur pada bawah pelepah kelapa secara suka-suka. Kadang-kadang pula, buah mempelam yang kami panggil “buah pauh” turut menjadi mangsa.

8. Keseronokan bermain “perang-perang” atau “tembak-tembak” masih kekal dalam kenangan. Aku, adik dan rakan bermain di dalam semak atau di dalam lalang di tepi jalan atau di tebing sungai. Senapang kami buat sendiri menggunakan papan atau kayu yang bentuknya hampir menyerupai senjata itu. Peregang untuk menarik peluru dibuat daripada getah urat (getah gelung). Peluru selalunya terdiri daripada buah terung pipit atau kami panggil “terung manggul” yang tua. Kadang-kadang kami menggunakan buah ubi kanji. Ada juga sesekali kami menggunakan tanah keras sehingga menyebabkan lawan kami bengkak dan berdarah. Kami juga pernah bermain “perang sumpit”. Alat ini dibuat daripada batang buluh kecil yang kami panggil “buluh peleting” dan banyak tumbuh di tebing alur berhampiran dengan rumahku. Pelurunya menggunakan buah cenerai putik, yang dimasukkan ke dalam lubang buluh peleting sepanjang sejengkal atau lebih. Peluru ini ditujah dengan kuat menggunakan penujah yang dibuat daripada buluh yang diraut atau kayu yang sesuai. Apabila buah cenerai itu ditekan dengan kuat, terhasil bunyi letupan kecil tetapi langsing, dan buah itu akan melayang ke arah sasaran.
.

1 ulasan:

  1. zaman kanak kanak ketika tinggal di kampung memang best...

    BalasPadam