x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

06 April 2010

15. PENGALAMAN MENJALANI LATIHAN MENGAJAR

.
SEPANJANG tiga tahun menjadi pelatih di MPB/IB, kami menjalani latihan mengajar dua kali. Latihan Tahap 1 pada tahun kedua (1985), dan Tahap 2 pada tahun akhir (1986). Kedua-dua kali latihan mengajar itu aku ditempatkan di Petaling Jaya, dan pada sesi petang. Aku dan rakan-rakan dihantar dan dijemput oleh bas maktab.

2. Untuk latihan Tahap 1, aku ditugaskan mengajar di SM Taman Sea. Tarikhnya sudah aku lupa. Sekolah ini boleh tahan ancaman disiplinnya. Sepanjang aku menjalani latihan di situ, banyak kali juga kulihat kereta peronda polis berada di hadapan pintu pagar sekolah. Kata pelajar, polis selalu datang kerana terdapat remaja luar sekolah yang selalu memeras ugut pelajar sekolah itu, dan kadang-kadang menceroboh ke dalam kawasan sekolah.

3. Aku sudah terlupa rakan-rakan yang turut menjalani latihan mengajar di situ bersamaku. Yang kuingat, pensyarah yang menyelia pengajaran Bahasa Melayu ialah Encik Wan Zulkifli. Pensyarah yang menyelia pengajaran Sejarah mungkin Puan Rohani Shaari. Puan Leela Rajaratnam, pensyarah Pendidikan Seni pula menjadi penyelia am. Aku masih ingat, Puan Leela menegurku kerana tulisanku kurang jelas untuk dilihat oleh pelajar di bahagian belakang. Namun, dia membuat kesimpulan, pengajaranku mencapai tahap yang memuaskan. Encik Wan Zul pula tidak banyak cakap. Puan Rohani memang terkenal baik dengan pelatih dan selalu ketawa. Mereka datang sekali sahaja menyeliaku. Keputusannya, aku memperoleh gred B sahaja dalam Latihan Mengajar Tahap 1 ini.

4. Latihan Tahap 2 aku jalani di SM (Perempuan) Taman Petaling. Sekolah ini terletak di kaki bukit, mungkin Bukit Gasing. Sekiranya hujan lebat, air dari bukit itu mencurah ke dalam kawasan sekolah, menyebabkan sebahagian kawasan sekolah itu digenangi air. Bersama-samaku menjalani latihan di situ ialah Mat Rohan Sattar (PMG), Mustafa Kamal Abd. Rahim (PMG), Sharifah Shari (PMS), Chong Suat Gaik (PIS), Fariza Saad (PIS), Anne Mary Perumal (PIS), dan Siti Baizura Kassim (PIS).

5. Sepanjang menjalani latihan di situ, aku dapati tiada secebis sampah yang terdiri daripada kertas atau bahan yang sengaja dibuang, selain daun pokok yang menghiasi kawasan sekolah itu. Walaupun pelajarnya semua perempuan, mereka suka akan kerja menghiasi sekolah. Dalam satu aktiviti gotong-royong, pelajar yang perlu aku selia menyuruhku duduk sahaja di bilik guru. Beberapa ketika kemudian, apabila masa gotong-royong tamat, wakil pelajar datang menemuiku. Aku dijemput melihat hasil kerja mereka. Aku tercengang dan kagum. Pagar itu bercat kemas. Rupa-rupanya pelajar di sekolah itu tidak perlu diawasi sekiranya membuat kerja sedemikian. Bertuahnya guru di sekolah itu!

6. Aku mengajarkan Bahasa Melayu di tingkatan 2, mengambil waktu Encik Onn, guru yang sangat baik denganku, dan mengajarkan Sejarah di tingkatan 1. Pensyarah yang menyeliaku ialah Puan Saedah Yunus bagi subjek Sejarah, tetapi penyelia subjek Bahasa Melayu, aku lupa. Penyelia am pula ialah Encik Wan Zulkifli. Selalunya apabila mereka hendak datang menyelia kami, mereka akan memaklumkan hal itu kepada kami terlebih dahulu. Selalu juga kami yang bertanya tarikh mereka mahu datang supaya kami dapat membuat persediaan yang "istimewa". Sekiranya diketahui tiada pensyarah datang, kami membuat persediaan yang biasa sahaja.

7. Pelajar Kelas tingkatan 2 yang aku ajar itu boleh tahan dari segi sikap mereka. Kebanyakannya terdiri daripada pelajar Cina, beberapa orang India, dan seorang dua Melayu. Ketika aku mengajar, mereka bercakap-cakap dan senyum-senyum. Terusik hati dibuat mereka. Pada suatu kali, aku sedang diselia oleh Cikgu Onn. Ketika aku menulis sesuatu pada papan hitam, aku terdengar bunyi tendangan meja yang kuat di belakang. Cepat-cepat aku berpaling ke belakang, tetapi aku tidak mengesan apa-apa, lalu kuteruskan pengajaran. Selepas tamat pengajaran, Cikgu Onn memberitahuku bahawa dia menendang kerusi seorang pelajar yang bercakap-cakap ketika aku membelakangkan mereka. Cikgu ini amat prihatin kerana setiap kali aku masuk ke kelas, dia sefring lalu di beranda untuk mengawasi pelajarnya yang dianggapnya nakal itu.

8. Aku sendiri sangat geram dengan perangai budak di dalam kelas itu. Pernah sekali, selepas aku tegur dua tiga kali, seorang budak Cina yang tembam, masih gelak-gelak. Tanpa terkawal, aku sepak betisnya dengan kuat. Dia tidak memberi apa-apa reaksi, walaupun kawannya yang lain agak terkejut dengan tindakanku. Apabila pulang ke asrama, hujung jari kakiku terasa sakit, bahana menyepak betis budak itu. Timbul kebimbanganku kalau-kalau betisnya luka, dan ibu bapanya membuat aduan. Esoknya, apabila aku masuk ke kelas itu, aku dapati dia hadir seperti biasa. Apabila aku bertanya keadaannya, dia tersengih sambil berkata tiada apa-apa. Namun, Penyelia Petang, seorang perempuan India, mengingatkan kami agar memberitahunya sekiranya ada pelajar yang kurang ajar. Seorang pengawas India perempuan, yang selalu menyapa aku dan akhirnya baik dengan aku, memerliku: “Saya dengar cikgu sepak bola semalam?” “Huh, mana kamu tahu?” Balasku. “Saya tahulah,” balasnya.

9. Kelas Sejarah di tingkatan 1 yang aku ajarkan terdiri daripada pelajar yang lebih pintar dan menumpukan perhatian kepada pelajaran. Ketika asyik mengajarkan satu tajuk, baru aku sedar bahawa satu alat bantu tidak ada di atas meja. Aku agak gelabah sebentar, kerana guru penyelia, Cikgu Saedah ada di belakang. Namun demikian, menyedari dia tidak kisah sangat akan aku, kerana asyik menulis di dalam buku, aku mendekati seorang pelajar dan berbisik kepadanya supaya ke bilik guru dan mengambil alat bantu yang tertinggal di atas meja. Apabila pelajar itu keluar, aku meneruskan pengajaran seperti biasa mengikut langkah yang aku tulis di dalam Buku Latihan Mengajar. Alhamdulillah, ketika pelajar tadi mengetuk pintu dan membawa masuk alat yang tertinggal itu, aku pun tiba pada langkah yang memerlukan penggunaan alat itu. Ketika aku pandang ke arah penyeliaku di belakang, dia seperti tidak perasan hal yang berlaku di depan. Selepas tamat pengajaran, dia memberi respon yang baik terhadap proses pengajaranku, termasuk catatan di dalam Buku Latihan Mengajar.

10. Semasa sambutan Hari Guru peringkat sekolah, majlis sambutan dikendalikan oleh Pengawas Sekolah. Guru hanya memberi nasihat dan memantau keadaan. Kami guru pelatih hanya diminta menyertai dan memeriahkan majlis. Satu aktiviti yang aku ingat ialah perlawanan bola sepak antara pasukan sekolah dengan guru. Tidak dapat aku bayangkan permainan itu kerana kami pasukan guru terdiri daripada lelaki, manakala pasukan sekolah itu perempuan. Sekolah itu mempunyai beberapa orang guru lelaki sahaja, termasuk Encik Onn dan dua tiga orang lagi. Dalam kalangan guru pelatih, aku dan Mat Rohan sahaja yang dapat bermain, kerana Mustafa Kamal baru pulih daripada kemalangan jalan raya. Untuk mencukupkan pemain, guru terpaksa meminjam pekerja kantin dan pekerja sekolah. Oleh sebab pelajar mempunyai ramai pemain, mereka boleh menukar pemain bila-bila masa, sedangkan kami tidak dapat berbuat demikian. Pengawas perempuan yang selalu menyakat aku juga bermain. Aku yang setiap petang bermain bola sepak di kampung ketika belum memasuki maktab, menggunakan kebolehan yang tidak seberapa untuk memperdaya budak-budak itu. Aku menjaringkan beberapa gol, yang membolehkan pasukan guru memenangi perlawanan itu.

11. Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah kepada guru. Guru dikehendaki duduk di tempat masing-masing. Apabila diumumkan acara penyampaian hadiah bermula, murid dengan hadiah masing-masing akan mencari guru dan memberi hadiah. Aku menerima beberapa jenis hadiah daripada beberapa orang murid. Antara yang aku ingat ialah bunga dan beg duit. Terdapat guru yang menerima jam tangan. Mustafa Kamal juga menerima hadiah yang lumayan, kerana dia antara guru pelatih yang paling tampan.

12. Sepanjang menjalani latihan, aku diselia tidak kurang daripada 10 kali oleh pensyarah. Selain itu, guru mata pelajaran juga menyeliaku beberapa kali. Alhamdulillah, aku mendapat gred A dalam Latihan Mengajar Tahap 2.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan