x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

29 Ogos 2009

6. DI SEKOLAH MENENGAH HAMZAH


SEPERTI diduga, aku dipanggil untuk memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Hamzah, Machang pada tahun 1980. Aku sahajalah wakil dari SM Kampung Pek. Pelajar lain datangnya dari SM Kebangsaan Machang, SM Abdul Samad, Pulai Chondong, dan sekolah dari Kuala Krai, antaranya SM Sultan Yahya Petra, SM Kebangsaan Kuala Krai, dan dari SM Hamzah sendiri.

2. Kalau tidak silap aku, terdapat dua kelas tingkatan 6 atas dan dua kelas 6 bawah. Beberapa orang rakan seangkatanku di sini yang masih kuingat, antaranya ialah Noor Zari Hamat (“pakar ekonomi” dari Pangkal Jenereh), Mohd Shari Daud, Lee Chye Ewe, Zundin Mahmood, Azahar, Nasir, dan Mohd Nazri. Profesion Noor Zari dan Mohd Shari tidak kutahu. Lee Chye Ewe pernah menjadi guru tetapi berhenti dan menumpukan perhatian dalam bidang komunikasi. Zundin, daripada laporan akhbar beberapa tahun lepas, menjawat jawatan Ketua Polis Daerah di Kedah. Nasir menjadi guru sepertiku, pernah bertemu dengannya di Kem Mahmood di Pasir Mas semasa sama-sama mengikuti Kursus Induksi, dan yang terakhir kutahu, berkhidmat di SMK Temangan. Kawan rapatku, Mohd Nazri, tidak kutahu hal dirinya selepas kami pernah berjumpa ketika sama-sama menjalani ujian permohonan guru pada tahun 1983. Yang perempuan pula, antaranya Maimon Mamat dan Norashikin. Maimon amat rapat denganku, tetapi tidak kutahu pekerjaannya. Norashikin pula, aku diberitahu pernah mengikuti kursus sebagai Inspektor Polis.

3. Di sekolah ini, aku tidak sesibuk ketika di SM Kampung Pek. Aku hanya memegang jawatan Pengerusi Persatuan Bahasa Malaysia. Persatuan ini menerbitkan makalah bulanan, Suara, dan aku menjadi editornya. Pernah sekali persatuan ini menganjurkan lawatan sehari ke Pantai Cinta Berahi (sekarang Pantai Cahaya Bulan). Selain itu, aku turut menjadi ahli jawatankuasa majalah sekolah, Harimau, yang dipimpin oleh Cikgu Lim Swee Tin. Namun begitu, aku sangat giat menghasilkan karya. Lebih-lebih lagi dengan adanya Cikgu Lim Swee Tin yang merupakan penulis bukan Melayu terkenal di Kelantan. Adik iparnya, Lee Chye Ewe, yang menjadi rakan sekelasku, turut berbakat dalam bidang ini. Hal ini dapat dibaca dalam blogku yang lain, http://titistinta.blogspot.com/.

4. Dalam blog itu, sudah aku ceritakan hal aku dan guru Bahasa Malaysia, Cikgu Abdullah. Aku mempunyai cerita lain dengan guru Kesusasteraan Melayu, Cikgu Ismail Che Taib. Pendapatku tentang puisi berbeza daripada beliau. Oleh itu, aku selalu menjawab lain daripada yang diajarinya dalam peperiksaan. Akibatnya, aku selalu mendapat markah yang rendah. Cikgu itu tidak pernah menegurku dengan terang-terang, tetapi rasa tidak senangnya dapat aku kesan daripada tindakannya menulis markahku besar-besar pada kertas ujian. Hal sedemikian tidak dilakukan kepada rakan yang lain walaupun mereka juga mendapat markah rendah. Cikgu Ismail, semasa aku sudah berkhidmat di SMKSO, melalui siaran akhbar, telah menjawat jawatan Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkal Meleret, dan kemudiannya menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Sains Machang. Guru Kertas Am, Cikgu Zahari Ismail, agak unik. Setiap soalannya mesti dijawab dahulu sebelum dia masuk kepada isi atau topik lain. Jika tidak, dia akan menunggu kami menjawabnya. Aku sendiri pernah menjawab soalannya dengan jawapan dalam istilah Inggeris, “cultural shock”, tetapi dia membalasnya supaya jangan menyusahkan lidah sehingga berlipat, lalu aku menjawabnya dalam bahasa Melayu, “kejutan budaya”. Guru Ekonomi pula ialah Cikgu Zainal Abidin Hassan yang berbadan gempal dan Cikgu Ismail Che Mat yang berbadan sederhana. Guru Sejarah Islam (Sejarah 6) ialah Cikgu Ishak Ismail, abang kepada rakanku ketika di SM Kampung Pek, manakala guru Sejarah 2 ialah Cikgu Mohd Yusoff Salleh.

5. Hal yang patut juga aku catatkan ialah kehadiran pakar mata pelajaran Ekonomi, Dr. Ismail Mohd Salleh ke sekolah kami. Beliau mengagumkan aku kerana dalam keadaan tanpa penglihatan, beliau dapat menyelesaikan pelbagai masalah tentang mata pelajaran itu dengan mudah. Walaupun beliau dibantu oleh saudaranya untuk melukis kelok pada papan hijau, beliau seperti dapat membaca fikiran kami setiap kali kami mengemukakan persoalan. Selalunya dia akan memintas soalan kami dengan cekap, dan hal yang dijelaskannya memang fakta yang kami maksudkan. Kebetulan ketika catatan ini sedang diusahakan, beliau telah kembali ke Rahmatullah pada 27 Ogos 2009, bersamaan 6 Ramadan 1430. Dengan pemergiannya, Dewan Negara kehilangan seorang senator buta yang sangat prihatin akan nasib anak bangsa.

6. Tempat di luar Kelantan yang pertama kali kulawati ialah Kuala Lumpur. Hal ini terjadi pada tahun 1981 apabila pelajar tingkatan 6 mengadakan lawatan sambil belajar semasa cuti penggal. Di Kuala Lumpur, kami melawat Zoo Negara, Tasik Perdana, Balai Seni Lukis Negara, Muzium Negara, dan Tugu Negara. Di Muzium Negara, aku dapat melihat Batu Bersurat Kuala Berang, batu bersurat yang mencatatkan hal penyebaran Islam dan bahasa Melayu klasik di Nusantara, yang baru dibawa balik dari Singapura. Tugu Negara ketika itu letaknya di tepi jalan, tidak jauh dari stesen kereta api Kuala Lumpur. Setahuku, tugu itu kemudiannya dibom oleh anasir subversif, lalu dibaiki dan dipindahkan ke lokasi sekarang. Kami bermalam di asrama Sekolah Menengah Sains Alam Syah. Di Zoo Negara, aku diperli oleh mak cik penjual air dan kuih di depan taman binatang itu, “Mak cik tak jual pasir”. Hal ini terjadi selepas dia mendengar aku mengatakan “tak sir” (tak mahu) kepada Mohd Nazri. Dari Kuala Lumpur kami terus ke Perak. Kami bermalam di dalam bilik darjah di Sekolah St Michael, Ipoh. Aku dan Mohd Nazri mandi dan bersembahyang di Masjid India yang berdekatan dengan sekolah itu. Apabila kami ke Tapah, kami bermalam pula di asrama Sekolah Menengah Tapah. Malangnya, kami tidak dapat ke Cameron Highlands, kerana bas sekolah sewaan kami dikatakan tidak berupaya naik ke sana, yang kebetulan ketika itu hari hujan.

7. Aku menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada akhir tahun 1981. Sebenarnya, peperiksaan itu dikenali sebagai Higher School Certificate (HSC), dianggap sebagai peperiksaan antarabangsa kerana dikendalikan oleh Universiti Malaya. Tahun itu merupakan tahun terakhir peperiksaan itu kerana mulai tahun 1982, diperkenalkan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. Aku mengambil kertas Bahasa Malaysia, Sejarah, Ilmu Alam, Ekonomi, dan Kertas Am. Apabila STPM diperkenalkan, Kertas Am ditukar kepada Pengajian Am.









.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan