x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

Biodata

1.    Kelahiran

JASAD saya dilahirkan pada 5 Disember 1962. Mengikut surat akuan kelahiran, saya mula melihat dunia pada pukul 4:30 petang hari tersebut. Mengikut perkiraan yang saya peroleh daripada Internet, hari itu ialah hari Rabu.

Kelahiran saya terjadi di Kampung Temangan Lama. Kampung itu terletak dalam mukim Temangan, di jajahan (daerah) Machang, Kelantan. Walaupun begitu, orang-orang kampung saya memanggil kawasan rumah saya itu secara tidak rasmi sebagai Alur Rambai. Hal ini berlaku kerana di hadapan rumah saya ketika itu terdapat sebatang sungai kecil, yang biasa kami panggil alur. Di tebing alur itu tumbuh sebatang pokok rambai yang besar, dengan buahnya yang lebat, besar, dan manis. Daripada situasi itulah nama Alur Rambai itu diberikan.

 

2.    Ayahanda dan Bonda

AYAHANDA saya, Mohd Salleh bin Yaacob, berasal dari Kampung Tanjung Pauh, Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan. Ayah dilahirkan pada 19 Januari 1938 (hari Rabu). Dia meninggal dunia pada 8 April 2009 (hari Rabu) di Wad CCU Hospital Sultanah Zainab II, Kota Bharu selepas beberapa hari koma.

Bonda saya pula, yang saya dan adik-adik panggilnya mek, berasal dari Kampung Pasir Besar, Temangan. Mek yang dilahirkan pada 17 Ogos 1939 (hari Khamis) kembali ke rahmatullah pada 10 Mac 2014 (hari Isnin), dua hari selepas kapal terbang MAS, MH371 diisytiharkan hilang di Lautan Hindi. Arwah mek meninggal di rumah adik bongsunya, Che Ali, bersebelahan dengan rumahnya, beberapa hari selepas keluar dari Hospital Machang. 

  

3.    Adik-beradik

SAYA mempunyai tiga orang adik. Berdasarkan cakap-cakap mek, saya mengetahui bahawa saya bukan anak sulung. Saya dikatakan mempunyai abang, yang kerap disebut oleh mek, bernama Halim. Abang saya itu meninggal dunia beberapa hari selepas dilahirkan. Oleh sebab ketiadaannya, saya mengambil alih tempatnya sebagai anak sulung. Adik saya ialah Azmi (lahir pada 15 Ogos 1964) yang kini menetap di Kota Bharu, Kelantan, Yusmi (lahir pada 20 Februari 1966) yang bermastautin di Masai, Johor, dan Noraini (lahir pada 5 Julai 1969) yang tinggal di Branang, Semenyih, Selangor. Saya masih ingat, kami mempunyai adik bongsu, tetapi adik itu meninggal dunia juga sejenak selepas dilahirkan. Oleh itu, Noraini menjadi adik bongsu kami.


4.  Isteri dan Anak-anak

ISTERI saya ialah Sabariah Nor binti Salleh. Dia yang setahun lebih muda daripada saya merupakan bekas pelajar SM Sultan Omar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 pada tahun 1976 – 1980 aliran Sains. Saya mengenalinya setelah dia menjadi penulis karya kreatif seperti saya. Kali pertama kami bertemu ketika sama-sama mengikuti Hari Sastera di Pulau Pinang pada tahun 1985. Kami mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 1990.  

Anak saya yang pertama ialah Suzati yang dilahirkan pada 9 Disember 1990. Dia bersekolah di SMK Sultan Omar semasa di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, sebelum melanjurkan pelajaran di Sekolah Menengah Teknik, Dungun. Dia merupakan lulusan kumpulan pertama Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Institut Pendidikan Guru  Sehingga sekarang, dia berkhidmat sebagai guru di SK Kempas, Johor Bahru.

Anak yang kedua ialah Syafiq Hakimi, yang lahir pada 19 Februari 1993, juga bersekolah di SMK Sultan Omar sehingga Tingkatan 6, tetapi keluar dari sekolah ini kerana melanjutkan pelajaran bagi Diploma Pengaturcaraan Komputer di Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang.

Anak bongsu saya, Syahida Athirah, bersekolah menengah di SMK Sura, dan menduduki Tingkatan 6 di SMK Tengku Intan Zaharah. Pada tahun 2022 ini, dia sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Animasi 2D di Universiti Teknologi Mara Kampus Puncak Perdana di Selangor, menamatkan pengajiannya dalam bidang animasi pada bulan Mei 2023.






5.    Pendidikan di Sekolah

PENDIDIKAN formal saya bermula di Sekolah Kebangsaan Temangan pada tahun 1969. Sejak darjah satu lagi saya sudah dapat menulis dan membaca. Saya selalu disuruh oleh guru agar membaca buku teks di hadapan bilik darjah sambil diikuti satu persatu oleh rakan-rakan. Dalam Ujian Penilaian Darjah Lima yang saya duduki pada tahun 1973, saya memperoleh 4B dan 1C.          

Pelajaran menengah saya bermula di Sekolah Menengah Rendah Kampung Pek (sekarang bertukar nama kepada SMK Seri Intan) pada tahun 1975. Saya menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1977, dengan mendapat Pangkat A.

Oleh sebab sekolah itu belum mempunyai tingkatan empat, saya dan rakan-rakan perlu melanjutkan pelajaran di sekolah lain. Saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Machang. Namun begitu, selepas dua bulan, saya dan rakan-rakan kembali ke SMR Kampung Pek apabila sekolah lama saya itu membuka dua buah kelas untuk tingkatan empat. Oleh itu, saya dan rakan-rakan merupakan perintis pendidikan menengah atas di sekolah itu.

Saya menamatkan pelajaran di sekolah itu pada tahun 1979 selepas mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dalam peperiksaan itu, saya merupakan calon tunggal yang mendapat Pangkat 2, dan layak menyambung pelajaran di tingkatan enam di Sekolah Menengah Hamzah, Machang pada 1980 hingga 1981, dan secara automatik mendapat Biasiswa Kecil Persekutuan.

Dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada tahun 1981, saya hanya mendapat dua prinsipal, iaitu untuk mata pelajaran Sejarah (Pangkat C), dan Bahasa Malaysia (Pangkat E). Saya gagal dalam permohonan ke universiti. Kalau di SMR Kampung Pek dahulu, saya dan rakan-rakan merupakan perintis peperiksaan SPM, di Sekolah Menengah Hamzah ini pula, saya dan rakan-rakan menjadi generasi terakhir yang menduduki STP. Hal ini terjadi kerana mulai 1982, peperiksaan STP telah berubah menjadi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saya mengambil STPM secara persendirian pada tahun 1983, tetapi saya mendapat dua prinsipal juga, iaitu Bahasa Malaysia (Pangkat B) dan Kertas Am (Pangkat D). Walaupun begitu, saya gembira kerana saya dapat membaiki keputusan Bahasa Malaysia saya daripada E menjadi B.


6.    Pendidikan Ikhtisas Keguruan

SAYA mengikuti pendidikan keguruan di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Saya menjadi pelatih di maktab itu pada tahun 1984. Ketika saya menamatkan pengajian pada tahun 1986, maktab itu bertukar nama menjadi Institut Bahasa. Saya mengikuti kursus Pengajian Melayu dan Sejarah peringkat Sekolah Menengah. Semasa menjadi pelatih di situ, saya pernah menjawat jawatan Naib Pengerusi Penerbitan dan Penerangan, Persatuan Guru Pelatih, pada tahun 1985. Tugas utama saya menerbitkan majalah maktab. Saya juga dilantik menjadi Ketua Pengarang Buletin Persatuan Pelajar Islam (PPI), walaupun saya bukan ahli jawatankuasa persatuan tersebut. Sepanjang tiga tahun di maktab itu, saya tinggal di asrama.

Dalam peperiksaan akhir, saya memperoleh Sijil Perguruan Asas dengan Pangkat Cemerlang. Saya juga dianugerahi Pelajar Terbaik Akademik Pengajian Melayu semasa Majlis Penyampaian Sijil pada 28 Februari 1987. Saya menerima kedua-dua sijil itu daripada Encik Eric Yeow Teck Siang, mantan Pengetua Institut Bahasa yang saya kagumi. Ketika majlis itu, beliau sudah bertukar ke Bahagian Pendidikan Guru.


7.     Pendidikan di Universiti

PERJALANAN saya untuk mendapatkan segulung ijazah bermula pada tahun 1993. Saya terpilih mengikuti Program Berkembar antara Universiti Malaya dengan Institut Bahasa yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru. Kursus itu bermula di Institut Bahasa. Pada mulanya, saya mengikuti kursus Diploma Pendidikan Tinggi yang setaraf dengan Kursus Dalam Perkhidmatan sehingga tahun 1994. Hasilnya, saya mendapat Diploma Pengajian Tinggi (Ijazah Tahun Pertama Pengajian Melayu) dengan sijil Kepujian.

Selepas itu, dengan cuti separuh gaji, saya mengikuti pengajian peringkat ijazah mulai Julai 1994 hingga April 1995 di Institut Bahasa. Mulai Julai 1995, saya mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaya. Program pengajian saya ialah Rancangan Bahasa Melayu, di Jabatan Pengajian Melayu. Pengajian saya tamat pada bulan Mac 1998. Pada 8 Ogos 1998, saya menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Melayu dengan Kepujian Kelas Pertama. Dengan kejayaan itu, saya juga menerima Anugerah Buku Universiti yang bernilai RM200.00.


8.   Kerjaya sebagai Guru

Selesai mengikuti Kursus Perguruan Asas di Institut Bahasa, saya ditugaskan di Sekolah Menengah Jengka 10, Bandar Pusat Jengka, Pahang mulai 5 Januari 1987. Saya meninggalkan sekolah itu pada tahun 1993 kerana mengikuti kursus Diploma Pengajian Tinggi yang setaraf dengan Kursus dalam Perkhidmatan di Institut Bahasa, Kuala Lumpur melalui Program Kembar Institut Bahasa dengan Universiti Malaya. Selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa) di Universiti Malaya, saya bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, Dungun, Terengganu mulai 1 April 1998.


9.  Persaraan

Saya mula berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendiikan mulai 5 Januari 1984 hingga 4 Disember 2022. Saya menamatkan perkhidmatan dalam gred DG52, yang saya peroleh tiga bulan sebelum saya bersara. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan