x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

02 Jun 2010

28. BERMALAM DI STESEN BAS KUANTAN

.
BERADA di SMJX, sangat sukar untuk keluar ke mana-mana jika tidak mempunyai kenderaan. Oleh itu, kami perlu mendapatkan pertolongan rakan yang mempunyai motosikal atau kereta untuk menghantar kami ke Bandar Pusat Jengka. Selalunya aku meminjam motosikal rakan walaupun aku belum memiliki lesen memandu. Dari Bandar Pusat Jengka untuk masuk ke Jengka 10 tidak sukar kerana banyak teksi atau kereta sapu di pekan itu.

2. Untuk pulang ke Kelantan dari Jengka, pada awalnya agak sukar. Kami selalu menggunakan perkhidmatan bas persiaran yang dimiliki oleh pemilik sebuah restoran di Jengka Pusat. Pemilik restoran itu berasal dari Kelantan, dan seorang dari kampungku kutemukan pernah bekerja di situ. Bas itu akan bertolak pada pukul 8.00 malam. Bas itu akan melalui Terengganu dan aku lazimnya terus ke Kota Bharu, tetapi kadang-kadang turun di Pasir Puteh. Dari Kota Bharu atau Pasir Puteh, aku akan menaiki bas untuk ke Machang. Dari Machang, aku mengambil teksi atau kereta sapu ke Temangan. Dari Temangan, kalau tiada kereta, aku akan berjalan kaki sahaja. Jika ada orang yang mengenaliku, aku dibenarkan menumpang kenderaan mereka.

3. Beberapa tahun kemudian, kami mendapat pilihan lain untuk pulang ke Kelantan. Aku selalu menggunakan perkhidmatan bas SKMK Temerloh-Kota Bharu yang menggunakan laluan Kuala Lipis, Gua Musang, dan Machang. Tiketnya boleh dibeli di stesen minyak di Jengka Pusat. Bas ini akan mengambil penumpang di Jengka Pusat. Untuk kembali ke Jengka, aku akan menaiki bas SKMK di Stesen Bas Machang, dan turun di persimpangan Jengka 10, berdekatan dengan Jengka 11. Dari situ, aku akan berjalan kaki sejauh empat hingga lima kilometer, atau jika bernasib baik, dapat menumpang motosikal atau kereta peneroka yang lalu.

4. Aku pulang ke kampung sekali atau dua kali sebulan. Balik ke kampung sebenarnya meletihkan. Pada petang hari Jumaat, sebaik-baik sahaja tamat waktu persekolahan, aku menumpang kereta rakan yang tinggal di Jengka Pusat, untuk menaiki bas malam. Aku sampai di Temangan pada waktu pagi Sabtu. Pada petangnya aku akan mengunjungi rakan di kampung, atau ke padang bola untuk bermain bola sepak. Waktu malam itulah aku dapat sepenuhnya bersama dengan mek, ayah, dan adikku Aini dan Yusmi. Pagi Ahad keesokannya, aku keluar ke Machang; menaiki bas untuk pulang ke Jengka. Biasanya aku akan sampai di rumah guru pada pukul 5.00 atau 6.00 petang, dan aku masih sempat turun ke padang untuk menyertai rakan-rakan bermain bola sepak.

5. Pada bulan Oktober 1987, aku menerima surat tawaran jawatan pegawai pendidikan C2. Untuk tujuan pelantikan ke kategori itu, aku perlu menyediakan surat akuan atau surat sumpah. Aku menyelesaikan hal ini di Mahkamah Majistret Jerantut. Namun begitu, aku tidak sempat menyediakan dokumen pemeriksaan kesihatan kerana aku tidak sempat menjalani pemeriksaan di Hospital Daerah Jerantut. Kebetulan pada hujung minggu itu aku mahu pulang ke kampung. Aku mengambil keputusan untuk menjalani pemeriksaan di Kelantan sahaja. Oleh itu, pada hari Ahad aku ke Hospital Besar Kota Bharu. Walaupun aku ke sana pada waktu pagi, keputusan x-ray kuperoleh lewat petang. Aku mula resah kerana aku harus pulang ke Jengka hari itu juga kerana esok sekolah dibuka seperti biasa. Aku ke Stesen Teksi Kota Bharu. Kebetulan ada sebuah teksi yang mahu ke Kuantan. Aku mengambil keputusan untuk menaiki teksi itu. Aku diam sahaja sepanjang perjalanan teksi yang amat panjang itu sambil berkira cara untuk aku meneruskan perjalanan ke Jengka. Teksi tiba di Kuantan pada pukul 11.00 malam. Sudah tidak ada bas atau teksi yang mahu ke Jengka Pusat.

6. Aku tidak ada pilihan lain selain bermalam di bandar Kuantan. Dari stesen teksi di hadapan Balai Polis Kuantan, aku berjalan ke stesen bas di tepi Sungai Kuantan. Mula-mulanya aku berkira-kira mahu menginap di hotel murah tempat aku bermalam ketika menghadiri temu duga dahulu. Berkali-kali aku menoleh ke arah hotel itu. Entah mengapa, aku mengambil keputusan untuk bermalam di stesen bas itu. Keadaan di stesen bas itu sentiasa sibuk walaupun pada waktu malam, kerana sentiasa ada bas dari dalam dan luar Pahang singgah untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Gerai yang menjual buah dan makanan ringan juga dibuka hingga lewat malam. Dengan beg yang berisi pakaian tambahan, aku bersandar di bangku stesen bas itu. Akhirnya, tinggal aku seorang di situ. Pada lewat tengah malam, aku berbaring di atas bangku dengan berbantakan beg, di samping memastikan dompet wangku selamat semasa aku terlena. Aku sebenarnya tidak dapat tidur dengan lena kerana sentiasa terjaga. Tambahan pula, nyamuk selalu menggangguku.

7. Esoknya, selepas sembahyang Subuh di surau stesen bas itu, aku cepat-cepat bersarapan. Aku tidak mahu terlepas bas pertama ke Jengka. Namun, puas kutunggu bas Jengka tidak muncul-muncul di stesen itu. Aku mengambil keputusan untuk menaiki teksi. Nasibku baik terdapat teksi yang mahu ke bandar Maran. Di Maran, aku segera ke stesen bas. Kebetulan terdapat sebuah bas yang sudah bergerak untuk ke Jengka Pusat. Berkejar aku mendapatkan bas itu, dan akhirnya aku tiba di Bandar Pusat Jengka. Malangnya, aku gagal mendapatkan kenderaan untuk ke Jengka 10. Masa semakin suntuk kerana sudah tengah hari. Aku terpaksa berjalan kaki. Beberapa ketika, sebuah motosikal lalu, dan tanpa segan-silu, aku menahannya. Pemuda itu mahu ke Jengka 11 sahaja, namun dia tidak keberatan menumpangkan aku hingga simpang ke Jengka 10. Aku berterima kasih kerana sekurang-kurangnya aku tidak perlu berjalan kaki beberapa kilometer. Dari simpang itu, aku berjalan kaki lagi. Nasibku baik kerana sebuah motosikal turut sudi menumpangkan aku, tetapi dia mahu ke Jengka 1. Aku meminta pertolongannya untuk menghantarku ke rumah guru. Nasib aku sungguh baik sekali lagi kerana dia tidak keberatan menghantarku kerana katanya adiknya juga ada bersekolah di Jengka 10. Aku menghulurkan wang kepadanya tetapi dia enggan menerimanya.

8. Sampai di rumah guru, hari sudah awal petang. Suasana sunyi. Rakan-rakanku tentu sudah ke sekolah. Yang anehnya, rakan yang mengajar sidang pagi tidak kelihatan. Pintu rumah berkunci. Aku yang memiliki kunci sendiri, segera masuk, mandi dan memakai pakaian kerja. Segera aku meninggalkan rumah. Tiba di bilik guru, aku dapati ramai guru berada di situ. Guru Besar, Cikgu Musa, berada di hadapan sekali. Baru aku teringat bahawa hari itu ada Mesyuarat Guru. Aku masuk tanpa kata, dan duduk dengan diam di tempat dudukku. Aku juga bersyukur kerana guru besar tidak berkata apa-apa tentang kelewatanku sama ada semasa mesyuarat itu atau waktu lain selepasnya.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan