x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

04 Jun 2010

29. MERINTIS PENERBITAN MAJALAH SEKOLAH

.
MEMBUAT catatan merupakan kegemaranku. Selain menulis diari setiap hari, aku selalu mencatat isi utama ucapan pengetua atau penolong kanan ketika perhimpunan mingguan di SMJX. Rakan yang duduk di sebelahku hairan dengan kesukaanku ini. Dia tidak faham tujuan aku berbuat demikian. Aku hanya mengatakan bahawa aku suka berbuat demikian. Tujuannya aku sendiri tidak pasti.

2. Akhirnya, aku mendapat idea untuk menerbitkan segala catatanku itu untuk perhatian atau peringatan kepada pelajar. Untuk hanya mengisi ruang dengan catatan tentang kata-kata nasihat pengetua sahaja, tentulah tidak mencukupi. Aku menambah bahan dengan memasukkan berita aktiviti sekolah, sama ada yang sudah dijalankan atau yang bakal dilaksanakan. Berita kejayaan sekolah juga kumuatkan. Kata-kata hikmat dan peribahasa juga kuselitkan. Jika ada ruang, aku masukkan sajak pendekku sebagai selingan. Aku menaip bahan itu menggunakan mesin taipku dengan teliti supaya kelihatan kemas. Mula-mulanya aku menaipnya pada stensil yang aku miliki sendiri, dan aku meminta pekerja am mencetaknya. Terbitan itu mengandungi dua muka surat sahaja (sehelai), aku edarkan kepada pengetua, penolong kanan, penyelia petang, guru, dan satu salinan setiap kelas.

3. Pengetua memujiku kerana mengambil inisiatif itu. Beliau menganggap penerbitan itu memberi manfaat kepada pelajar, dan dapat mencatat aktiviti sekolah untuk dokumentasi. Selama ini, tiada pihak yang sanggup berbuat demikian. Oleh itu, dia memintaku meneruskan penerbitan itu. Stensil yang diperlukan boleh diminta daripada kerani. Hal ini memberi dorongan yang kuat untukku menerbitkan surat siaran itu dua minggu sekali. Satu ruanganku kunamai “Amanat Pengetua” untuk mencatatkan inti ucapan pengetua sewaktu perhimpunan atau mesyuarat guru.

4. Surat siaran itu, selain diedarkan kepada guru dan pelajar, ditampal juga pada papan kenyataan. Ketika ada majlis yang melibatkan ibu bapa, pengetua meminta pekerja am memperbanyak penerbitan itu untuk diedarkan kepada tetamu yang hadir. Seorang guru yang baru bertukar ke sekolah itu juga mengagumiku. Menurutnya, dia yang pernah berkhidmat di sekolah yang lebih besar sebelum ini tidak menerbitkan bahan siaran sedemikian.

5. Dengan hal yang demikian, setiap minggu aku akan mengumpul bahan untuk kumuatkan dalam surat siaran itu, “Suara SMJX”. Setiap malam aku akan menaipkan bahan dengan berhati-hati pada stensil supaya ruangannya tidak berterabur, dan kelihatan seperti surat khabar. Apabila cukup dua minggu, selalunya semua ruangan siap kumasukkan. Aku menyerahkan kepada pekerja am untuk mencetaknya. Setiap kali pekerja am mencetak penerbitan itu, aku melihat cara memprosesnya. Bahagian kertas pada stensil dikeluarkan, dan bahagian berlubang pada atas stensil disangkutkan pada bonjol kecil pada mesin cetak kecil itu. Stensil itu ditarik tegang ke bawah. Dakwat cetak daripada tiub dimasukkan ke tempatnya. Akhirnya aku pandai mencetak sendiri menggunakan mesin. Aku diberi kebenaran memasuki bilik cetak itu pada bila-bila masa aku mahu mencetaknya sendiri.

6. Pada hujung tahun 1992, Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Diauudin bin Omar, memberitahuku bahawa pengurusan sekolah berminat untuk menerbitkan majalah sekolah mulai tahun berikutnya. Mesyuarat pengurusan bersetuju melantik aku sebagai pengendali atau penyelarasnya. Aku memang sedar sekolah itu tiada majalah sekolah, tetapi tidak mahu menawarkan diri kerana kerjanya tidaklah mudah. Pengalaman menerbitkan majalah itu di IB dahulu masih kuingat, tetapi tidaklah menyebabkan aku berasa serik. Dengan permintaan itu, aku bersetuju. Ketika itu SMJX telah menerima pengetua baharu, Tuan Haji Muhammad Mustaffa bin Muhammad Nor, dari Sekolah Menengah Clifford, Kuala Lipis.

7. Mulai awal 1993, aku pun mengambil langkah menerbitkan majalah itu. Aku meminta Cikgu Diauudin itu menyenaraikan beberapa orang guru majalah. Apabila guru majalah sudah disenaraikan, aku pun memberi tugas kepada mereka mengikut kemahiran atau kebolehan mereka yang aku tahu. Kemudiannya, aku menghebahkan hal penerbitan itu kepada pelajar dan meminta yang berminat agar dapat menemuiku. Ramai pelajar yang menawarkan diri, menyebabkan aku terpaksa membuat saringan dengan pertolongan guru yang dilantik.

8. Dalam mesyuarat pertama, aku memberi fokus tentang tugas yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang guru majalah. Penolong Kanan Kokurikulum sanggup mencari syarikat percetakan dengan merujuk kepada rakan-rakannya di sekolah lain yang sudah menerbitkan majalah sekolah. Usaha untuk mendapatkan kata alu-aluan daripada Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan, Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh/Maran, dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru akan dibuat oleh Cikgu Diauudin sendiri. Namun begitu, draf kata alu-aluan itu telah kubuat sendiri. Dalam mesyuarat jawatankuasa kali ketiga, Cikgu Shahrin Ismail, AJK Grafik, telah mencadangkan nama “JASA” untuk majalah itu. Oleh sebab tiada cadangan lain, dan perkataan “jasa” mempunyai makna yang baik, aku mengambil keputusan menerima nama itu, dan dipersetujui oleh Penolong Kanan Kokurikulum.

9. Kami pun bekerja keras untuk menyiapkan majalah itu. Selain menyelaraskan segala aktiviti, aku sendiri mengambil peranan sebagai editor bahasa Melayu, dengan memilih dan menyunting karya kreatif. Segala bahan itu kuserahkan kepada redaksi pelajar agar menaipnya semula. Ketua editor redaksi daripada kalangan pelajar yang kulantik ialah Rosmiza Abdul Rahman, yang kupilih berdasarkan kemampuannya menulis karangan yang baik dalam latihan dan peperiksaan.

10. Namun begitu, aku tidak dapat menyiapkan majalah itu kerana mulai bulan Julai 1993, aku meninggalkan SMJX, mengikuti kursus Diploma Pengajian Tinggi 1 di Institut Bahasa. Aku pun menyerahkan tugas itu kepada Cik Zaleha binti Md. Nor. Sudah tidak banyak yang perlu dibereskan oleh mereka, kerana bahagian yang rumit sudah kuselesaikan. Jawatankuasa hanya perlu mendapatkan penaja, mengambil gambar guru, pelajar, kelab dan persatuan, sukan, unit uniform, aktiviti sekolah, dan sebagainya, serta laporan yang perlu untuk dimuatkan. Penambahan atau pengurangan terpulang kepada kebijaksanaan mereka sendiri.

11. Pada awal tahun 1994, ketika aku sudah tinggal di Pantai Dalam, Kuala Lumpur dengan ahli keluarga, aku mendapat tahu bahawa majalah sulung SMJX itu sudah diedarkan kepada warga SMJX. Aku kemudiannya diberi satu salinan majalah tersebut pada akhir bulan Mac tahun itu. Aku amat berbangga dengan penerbitan itu. Bagiku, aku telah merintis satu bidang baharu di sekolah itu.


.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan