x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

17 April 2011

52. MEREKA KETERANGAN LENCANA SEKOLAH

PADA satu tahun, sekolah diminta agar mengirim keterangan tentang logo sekolah atau lencana sekolah untuk diterbitkan. Aku diminta mereka keterangan itu kerana sudah puas dicari, tidak dijumpai. Aku membelek majalah sekolah yang sempat kujumpai, namun tiada catatan tentang lencana sekolah.


Pihak pengurusan mendesakku merekanya sahaja asalkan sesuai. Dalam keadaan terdesak sempat juga aku terfikir bahawa penting juga aku di sekolah ini. Maklumlah, diberi kepercayaan untuk mencipta keterangan logo sekolah yang telah digunakan sekian lama.

Aku pun meneliti lencana tersebut. Terdapat dua imej sahaja, iaitu gambar sebuah buku yang sedang terbuka dan sebuah pelita yan menyerupai pelita dalam cerita Aladin. Di hujung pelita itu terdapat cahaya. Hanya dua warna sahaja yang digunakan, iaitu biru dan putih. Selain itu, terdapat dua ungkapan, iaitu nama sekolah, “Sekolah Menengah Sultan Omar”, dan di bahagian paling bawah pula terdapat slogan, “Rajin Usaha Tangga Kejayaan”. Berdasarkan nama sekolah itu, aku mengagak bahawa lencana itu mula digunakan pada tahun 1975, kerana mengikut sejarah sekolah itu yang aku baca, nama sekolah itu mula digunakan pada tahun itu. Sebelum tahun itu, sekolah tempat aku mengajar ini menggunakan nama dalam bahasa Inggeris, “Dungun English Secondary School” atau singkatannya, “DESS”.

Akhirnya aku pun mendapat idea tentang makna warna dan lambang gambar seperti yang berikut:

Warna biru: Melambangkan perpaduan dan semangat kerjasama antara pelajar yang berbilang keturunan dan seluruh warga sekolah pada setiap masa dan keadaan.


Warna putih: Penekanan terhadap kesucian, keharmonian dan kemuliaan yang diperoleh daripada ilmu dan perpaduan yang wujud di sekolah ini.

Buku (sedang terbuka): Sekolah ini mementingkan aktiviti keilmuan yang memberi faedah kepada warga sekolah dan masyarakat, juga sekolah sentiasa bersedia untuk berkhidmat dan menyebarkan ilmu yang berguna pada setiap masa.


Lampu (sedang bernyala) : Keadaan hidup yang harmoni dan cemerlang hasil daripada pengamalan ilmu yang diperoleh, di samping kegigihan dan ketulusan guru mendidik pelajarnya, juga pelbagai bakti yang ditabur oleh pelajarnya, yang menjadi pemangkin kejayaan sekolah dan masyarakat Malaysia.


Aku tidak membuat tafsiran tentang slogan “Rajin Usaha Tangga Kejayaan” dengan tanggapan bahawa maknanya sedia dimaklumi. Bentuk lencana yang tajam ke bawah dan ditadah oleh tiga deretan ruang yang diisi dengan slogan itu juga tidak kutafsir kerana aku sendiri tidak memahaminya. Aku menyerahkan tafsiranku tentang logo sekolah itu kepada pihak pengurusan dengan harapan disunting semula. Namun begitu, aku mendapat tahu bahawa keterangan itu dihantar begitu sahaja.

Beberapa lama kemudian, aku ditunjukkan sebuah buku tebal yang diterima oleh pihak sekolah. Pada satu halaman, tertera nama sekolahku, SMK Sultan Omar, Dungun, dan lencana sekolah, serta keterangannya seperti yang aku tulis.

Ini “bakti” keduaku selain memanjangkan hayat majalah Pelita. Kalau dalam setiap keluaran majalah sekolah itu tercatat namaku sebagai Penyelaras, pencipta keterangan bagi lencana sekolah itu tidak dicatat. Aku tidak pasti ada orang akan percaya kalau aku memberitahu bahawa aku yang menulis keterangan itu setelah keterangan asal tidak dijumpai. Sungguhpun keterangan logo sekolah itu aku masukkan dalam majalah sekolah yang aku terbitkan mulai edisi tahun 2004, aku tidak mencatat bahawa aku yang menulis keterangan itu. Bimbang sekali aku akan dikata memandai-mandai nanti. Wajarkah tindakanku itu?