x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

16 Ogos 2009

5. GURU-GURUKU DI SM KAMPUNG PEK


AKU menimba ilmu di Sekolah Menengah Kampung Pek selama lima tahun (1975-1979). Aku masih ingat beberapa orang guru di sekolah ini. Selain Cikgu Shamsuddin dan Cikgu Yusof Harun, cikgu lain ialah Cikgu Ong. Apabila terlihat Cikgu Ong, atau mengetahui Cikgu Ong akan lalu berdekatan blok atau kelas, kami akan segera masuk ke kelas dan mendiamkan diri atau pura-pura sedang belajar. Cikgu keturunan Cina itu gemar menyoal pelajar walaupun di kelas yang tidak diajarinya. Dia selalu menyoal kami hal agama, termasuk menyuruh rakanku azan. Jika kami gagal menjawab soalannya, atau tidak dapat menyelesaikan suruahnya, kami akan dikategorikan sebagai “ayam mata ddene” (ayam mata berair). Esoknya, dia akan datang lagi bertanya kami sehingga kami dapat menjawabnya.

2. Cikgu lain ialah Cikgu Ariffin, guru sukan dan guru Pendidikan Jasmani, serta mengajarkan Sains Pertanian. Cikgu ini sangat baik, dan pengajarannya juga menarik. Kegemarannya memberi hadiah wang kalau pelajar dapat menjawab soalannya bagi mata pelajaran Sains Pertanian. Jika kami enggan menerimanya, dia akan menawarkan penamparnya kepada kami, dan terpaksalah kami mengambil hadiahnya itu. Kadang-kadang dia akan membayar makan tengah hari kami di kantin sekiranya kami tidak pulang kerana terpaksa menguruskan kebun amali tanaman. Aku masih ingat, dengan tunjuk ajarnya, aku dapat membuat lompatan acara lompat kijang mencapai tahap 9 meter, dan rekod itu tidak dapat dipecahkan oleh pelajar lain di sekolahku sepanjang aku di sekolah itu. Cikgu Ariffin sangat bangga, dan bertanya di hadapan pelajar lain, “Siapa yang ajar?” Sudah tentu aku mengatakan dialah yang mengajarnya, kerana memang dia mengajar kami cara lompatan itu dalam pelajaran Pendidikan Jasmani. Selepas beberapa lama meninggalkan sekolah itu, aku pernah bertemunya dua kali ketika aku melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama di Universiti Malaya, dan menyewa di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam. Yang mengejutkan aku, dia masih mengenaliku dan masih mengingati namaku selepas 18 tahun berpisah. Kali yang pertama, kami terserempak di Chow Kit, dan dia tidak segan-segan menyapaku dengan memanggil namaku. Ketika itu dia sudah bertugas sebagai Nazir Persekutuan di Kuala Lumpur. Kali kedua, ketika berjalan ke arah rumah sewaku di Taman Bukit Angkasa pada pukul waktu awal malam, dalam keadaan cahaya agak terang, dia memanggilku dari dalam kereta. Katanya, dia menunggu anaknya yang juga menyewa di taman perumahan itu. Beliau ada memberitahuku bahawa dia memohon untuk bertukar ke Kelantan.

3. Guru besar, Cikgu Sulaiman Hassan, bertubuh besar. Semenjak peristiwa aku enggan mengisi borang biasiswa, dia mula baik denganku. Aku masih ingat, pernah dia berjalan seiringan denganku dengan memegang bahuku, seperti abang berjalan segandingan dengan adik. Beliau sangat tegas dan tidak teragak-agak bertindak spontan sekiranya pelajar melakukan kesalahan yang dianggapnya serius. Aku pernah melihat dia menempeleng seorang pelajar di beranda bangunan kelasku, menyebabkan pelajar itu terduduk. Selepas menamatkan pelajaran di sekolah itu, aku mendapat tahu bahawa beliau ditukarkan ke sebuah sekolah di Kota Bharu.

4. Guru lain yang masih kuingat nama ialah Cikgu Faridah (bekas pelajar sekolah itu), Cikgu Mustafa (Guru Disiplin yang disegani), Cikgu Rokayah (guru Ekonomi Rumah Tangga yang bengkeng), Ustazah Naimah (guru Pendidikan Islam yang lemah-lembut), Cikgu Yaakub (yang bertubuh gempal), Cikgu Abu Bakar Othman (guru Ilmu Alam, dari Pulau Pinang, yang meninggal dalam kemalangan jalan raya), Cikgu Ghazali Setapa (guru Ilmu Hisab Moden, dan guru rumah sukanku), Cikgu Tan Woon Poor (guru Bahasa Inggeris, yang pernah menceritakan keseronokan ketika berada di universiti), Cikgu Razali Gani (guru Ilmu Alam), Cikgu Mohd Amin (guru Lukisan), dan Cikgu Hussein (yang suka berpakaian “tahi cicak”, iaitu berbaju putih dan berseluar hitam).
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan