x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

18 Julai 2009

1. LAHIR DALAM KELUARGA



DIBERI aku nama Suhaimi. Kata emak, aku anak kedua, kerana sebelum aku, telah lahir anak lelaki. Emak menyebut namanya Halim, tetapi meninggal semasa kecil. Aku tidak tahu banyak tentang abangku itu, kerana aku tidak bertanya lebih lanjut. Emak juga tidak bercerita lanjut, mungkin kerana aku tidak bertanya. Oleh sebab Halim tiada, aku dianggap sebagai anak sulung.

2. Aku dilahirkan pada 5 Disember 1962. Mengikut catatan pada surat beranakku, kelahiranku terjadi pada pukul 4.30 petang. Aku tidak pasti keadaan semasa aku dilahirkan. Mungkin musim hujan, kerana sehingga aku besar dan mendapat kerja, dalam lingkungan tarikh itu, iaitu bulan November dan Disember, ialah musim hujan lebat dan banjir di tempat lahirku itu. Cuma dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, aku dapati tidak semestinya bulan Disember bulan hujan dan banjir.

3. Kampung kelahiranku itu dinamai Kampung Temangan Lama. Namun begitu, kawasan rumah tempat aku dilahirkan lebih gemar dipanggil Teluk Choh, sempena wujudnya sebuah anak sungai dan teluk yang dalam pada permulaan sempadan kampung itu. Orang yang tinggal di kawasan Teluk Choh itu pula mengenali kawasan rumahku dengan nama Alur Rambai. Nama itu digunakan sempena alur yang terbentang di hadapan rumahku, dan di tebing alur itu terdapat sebatang pokok rambai yang besar dan rendang, serta berbuah lebat. Oleh itu, alamat rumahku boleh menggunakan alamat Kampung Temangan Lama, Kampung Teluk Choh, atau Kampung Alur Rambai. Kampungku ini bersempadan dengan Kampung Bukit Besi, iaitu tempat terletaknya sebuah bukit yang menjadi kawasan pengeluaran bijih besi pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu dahulu.

4. Ayahku, Mohd Salleh bin Yaacob, berasal dari Kampung Tanjung Pauh, Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan. Mengikut kad pengenalannya, dia dilahirkan pada 19 Januari 1938. Daripada mulutnya sendiri, sering kudengar cerita tentang dirinya semasa remaja dan dewasa. Dia kerap meninggalkan kampungnya untuk mencari rezeki bersama dengan orang kampungnya. Dia pernah menjadi penoreh getah di Thailand, dan banyak cerita tentang negara itu diceritakannya. Dia pernah mengambil upah menanam dan menuai padi di Kedah. Malahan, selepas berkahwin, pada zaman komunis bermaharajalela, dia dan emakku menoreh getah di ladang getah orang Inggeris di sempadan Perak dan Selangor. Ketika aku sudah remaja, ayah bekerja sebagai penebas hutan di daerah Maran, Pahang, dan oleh kemiskinan, dia pernah beberapa ketika berhijrah ke Singapura, bekerja sebagai buruh bangunan, dan mendapat pendapatan yang agak lumayan, berbanding berada di negeri sendiri. Dia dapat menulis dan membaca tulisan Rumi dan Jawi, dan paling aku kagumi, tulisannya kemas dan jelas. Ayah sudah menghembuskan nafas terakhirnya pada 8 April 2009 lalu selepas tidak sedarkan diri selama 3 malam dan 3 hari di Wad CCU, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

5. Emakku, Sepiah binti Jusoh, dilahirkan pada 17 Ogos 1939, berasal dari Kampung Pasir Besar, Temangan. Emakku, yang aku dan adik-adik panggil “mek”, anak yang tidak berpelajaran. Dia tidak tahu membaca dan menulis. Daripada ceritanya, aku tahu dia amat terkilan kerana diketepikan daripada mendapat pelajaran. Walau bagaimanapun, dia tahu membaca nama anak-anaknya. Dia kuat bekerja semenjak kecil. Mengikut surat perakuan nikah yang aku temukan, dia berkahwin dengan ayah pada 28 Ogos 1960 di Temangan. Aku tidak tahu bagaimana dia mula mengenali ayah kerana aku tidak pernah bertanya. Yang sempat aku dengar daripada mulutnya, pada peringkat awal, mentuanya tidak suka akannya, tetapi keadaan itu berubah selepas beberapa lama. Mereka kemudiannya menetap di Temangan Lama, setelah ayah mek, Jusoh bin Deraman, membuka tanah di situ.

6. Tidak termasuk seorang adikku yang meninggal semasa dilahirkan, aku mempunyai tiga orang adik. Yang pertama, Azmi, lahir pada tahun 1964, sekarang menetap di Kota Bharu, dan bekerja di CIMB di Kota Bharu. Yang kedua, Yusmi, lahir pada tahun 1966, sekarang menetap di Pasir Gudang, Johor Bahru. Yang ketiga, Noraini, yang lahir pada tahun 1969, menetap di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Semuanya telah mempunyai keluarga dan rumah sendiri di tempat masing-masing. Adikku yang meninggal itu, kalau tidak silap aku, sepatutnya yang bongsu. Oleh sebab dia tiada, Noraini mengambil alih kedudukan itu.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan