x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

31 Mei 2010

27. MENGAJAR KELAS KOMPUTER

.
PADA tahun-tahun awal aku berkhidmat di SMJX, sekolah itu mempunyai empat buah bangunan sahaja. Dua buah bangunan batu dua tingkat dan dua buah bangunan kilat daripada kayu. Satu daripada bangunan batu dua tingkat itu memuatkan bilik guru, pejabat dan bilik guru besar, dan beberapa buah bilik darjah. Di tingkat bawah bangunan ini, semuanya bilik darjah, tetapi dindingnya boleh ditolak ke tepi untuk dijadikan dewan apabila ada fungsi tertentu, dan di hujungnya terdapat satu pentas kecil. Di hujung bangunan ini, yang dipisahkan oleh sebuah lorong, terdapat bilik yang digunakan sebagai surau. Satu lagi bangunan batu dua tingkat menempatkan bilik darjah, perpustakaan dan tandas di tingkat atas, manakala makmal sains dan bilik cetak di tingkat bawah. Kedua-dua bangunan kayu merupakan bilik darjah. Sekolah juga mempunyai sebuah bangunan kantin yang terletak berdekatan pintu pagar utama.

2. Jumlah bangunan yang terhad itu masih sesuai kerana sekolah ini menempatkan pelajar tingkatan satu hingga tiga sahaja. Selepas menamatkan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sini, pelajar akan melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat di SM Jengka Pusat atau SM Jengka 2. Namun demikian, beberapa tahun kemudian, sebuah bangunan batu tiga tingkat dibina dengan pembiayaan Bank Dunia di tepi padang. Selepas itu, kelas tingkatan empat mula dibuka di sekolah ini.

3. Sekolah ini juga tidak mempunyai bekalan elektrik daripada Lembaga Letrik Negara (LLN). Walaupun begitu, sekolah mempunyai sebuah generator yang akan dipasang apabila sekolah melaksanakan aktiviti yang memerlukan penggunaan pembesar suara. Pernah terjadi ketika Mesyuarat Agung PIBG dijalankan yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Maran, generator tiba-tiba meragam. Aku yang bertugas bahagian siar raya dalam majlis itu bersama dengan Cikgu Wan Noor Azmi kelam-kabut dibuatnya. Oleh itu, kami menyediakan sebuah enjin kecil sebagai langkah berjaga-jaga. Generator ini akan dipasang setiap malam mulai pukul 7.00 malam hingga 11.00 malam agar dapat menerangkan rumah guru berdekatan. Kami akan berkongsi membeli minyak untuk menggerakkan generator itu, selain peruntukan sekolah yang memang ada tetapi terhad. Generator juga akan dipasang apabila ada aktiviti yang melibatkan penggunaan komputer, sama ada yang melibatkan pelajar atau guru.

4. Setahun di SMJX, secara tidak sengaja aku terlibat dengan penggunaan komputer. Sekolah ini mempunyai 10 unit komputer jenama Apple jenis lama dan sebuah pencetak. Komputer ini dikhaskan untuk Kelab Komputer. Kagum juga aku dengan sekolah ini, kerana mempunyai komputer. Sebulan sekali datang guru yang mengajarkan hal komputer kepada beberapa orang guru yang terlibat. Guru-guru inilah yang akan membimbing pelajar. Pada suatu hari, ketika guru komputer ini datang, aku berada di situ. Guru lain yang terlibat meminta aku ikut sama dalam bimbingan itu. Aku tidak menolak. Komputer itu terdiri daripada sebuah monitor yang bersambung dengan papan kekunci, manakala unit pemprosesan utamanya (CPU) berbentuk kotak kecil dan disambung pada bahgian belakang monitor. CPU itu boleh dimasukkan cakera liut berbentuk segi empat leper. Beberapa kali mengikuti latihan, dan kerana usahaku sendiri berlatih, akhirnya aku dapat menggunakan komputer itu dengan baik. Aku dapat mengingat kod arahan dengan pantas kerana aku membuat catatan dan selalu merujukinya. Untuk membuat arahan agak cerewet kerana pengguna terpaksa menekan butang papan kekunci setiap kali mahu menggunakannya. Contohnya, untuk menebalkan huruf, pengguna perlu menekan “Ctrl” dan “B” serentak sebelum dan selepas perkataan yang perlu ditebalkan hurufnya, dan pada skrin monitor akan terpapar arahan itu. Untuk menyimpan hasil kerja, pengguna perlu menekan “Ctrl” dan “S” serentak.

5. Akhirnya, aku telah diminta agar mengajari pelajar-pelajar Kelab Komputer. Bukan itu sahaja, aku juga kemudiannya menjadi "guru komputer" kepada guru-guru lain, malahan guru yang belajar komputer sebelum kedatangan aku ke sekolah ini pun, turut mendapat tunjuk ajarku. Pelajar sangat suka mengikuti kelas komputer ini kerana pada akhir pelajaran, mereka dapat bermain permainan. Namun begitu, terlalu banyak masalah yang timbul. Komputer cepat meragam kerana mendapat bekalan elektrik yang tidak stabil daripada generator. Dua atau tiga tahun selepas itu, kebanyakan komputer rosak dan tidak dibaiki lalu terbiar begitu sahaja. Ketika ini muncullah komputer dengan sistem Windows terawal. Seorang guru, Cikgu Razali, memiliki komputer sistem baharu ini. Aku pernah mencubanya tetapi banyak yang aku tidak faham tentang sistem operasinya.

6. Di SMJX, aku dilantik sebagai Penyelaras Pusat Sumber selepas dua tahun menjadi Penolong Penyelaras. Tugas utamaku menyelaraskan perjalanan perpustakaan dan bilik tayang. Di sinilah aku mula pandai mengendalikan rakaman pita video menggunakan alat perakam video (VCR), alat yang tidak pernah kumiliki sebelum ini. Aku akan menyediakan pita video sekiranya ada guru yang ingin menggunakannya, malahan aku merakam siaran televisyen, terutamanya Radio dan TV Malaysia (RTM) dan TV Pendidikan untuk digunakan oleh guru dan pelajar. Rakaman aku yang terakhir ialah Kejohanan Piala Thomas 1992, yang dimenangi oleh Malaysia, yang aku rakam di rumah menggunakan televisyenku sendiri.

.

27 Mei 2010

26. GAJI DAN PENGESAHAN JAWATAN

.
GAJI pertama setelah berkhidmat di SMJX semenjak 5 Januari 1987 diterima pada bulan Mei tahun itu. Seksa juga jiwa menunggu siapnya gaji diurus oleh pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang. Guru Besar mencadangkan supaya aku dan rakan yang kesuntukan wang meminjam pendahuluan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menampung keperluan makan dan minum buat sementara. Walau bagaimanapun, aku tidak berbuat demikian kerana kebetulan aku mempunyai simpanan wang lebihan daripada elaun semasa di IB, dan simpanan hasil penulisan kreatifku. Aku juga mempunyai akaun Amanah Saham Nasional (ASN) yang boleh kugunakan untuk keperluan harian. Mek aku juga pernah mahu memberi wang simpanannya yang dikumpul daripada pemberianku semasa di maktab dahulu tetapi aku mahu dia menyimpan untuk keperluan keluarga di kampung.

2. Hendak mengambil gaji juga sangat seksa. Bandar Pusat Jengka ketika itu mempunyai sebuah bank sahaja, iaitu Habib Bank. Semua jabatan, agensi dan syarikat swasta bertumpu di bank itu. Pengeluaran wang menggunakan sistem manual. Walaupun setiap pelanggan mengambil nombor giliran, proses untuk mendapatkan wang sangat lambat. Pada hari gaji, ada pelanggan yang menunggu bank dibuka semenjak awal pagi. Sekiranya terlewat, belum tentu diperoleh wang sebelum tengah hari. Oleh itu, kami guru yang mengajar pada sebelah petang, akan ke bank pada waktu pagi, dan selalunya membawa kiriman pengeluaran wang rakan lain yang mengajar pada sebelah pagi. Sekiranya kami pun gagal mendapat wang, akan kami titipkan kertas giliran kami kepada rakan sebelah pagi untuk diambil pada sebelah petang. Bank akan menjadi lengang dan urusannya lebih cepat selepas seminggu hari gaji berlalu.

3. Apabila Bank Simpanan Nasional (BSN) membuka cawangan di pekan Bandar Pusat Jengka, kami mendesak pihak sekolah menukar urusan pembayaran gaji daripada Habib Bank kepada BSN. Kebetulan BSN juga sudah memperkenalkan sistem kad ATM. BSN juga terdapat di bandar atau pekan lain, oleh itu sangat memudahkan kami. Akhirnya permintaan kami disetujui pihak sekolah. Hal ini menyenangkan kami kerana kami dapat mengeluarkan wang pada waktu kami mempunyai kelapangan.

4. Aku menjalani temu duga jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kategori C2 tetap pada 20 Jun 1987. Temu duga diadakan di Wisma Sri Pahang, di Kuantan, pada pukul 8.30 pagi. Oleh sebab Jengka 10 dengan Kuantan sangat jauh, aku terpaksa ke Kuantan pada petang sehari sebelum temu duga dilangsungkan. Aku menyewa hotel murah yang terletak betul-betul di depan Stesen Bas Kuantan, di tepi Sungai Kuantan. Kebetulan aku keseorangan, dan tiada pula rakan dari sekolah lain yang kujumpai, aku menyewa bersendirian. Ketika hendak ke pusat temu duga pada pagi 20 Jun 1987 barulah aku bertemu dengan beberapa orang kawan dari sekolah lain. Temu duga tidaklah sukar. Aku ditanya tentang sejarah, tetapi yang paling banyak adalah tentang bahasa, termasuk tentang bahasa istana.

5. Surat tawaran jawatan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bertarikh 3 Oktober 1987 menawariku jawatan tersebut dengan gaji $535.00 sebulan. Akhirnya aku dilantik secara rasmi dalam Kategori C2 bermula 1 Mac 1987 melalui surat SPP yang bertarikh 22 Disember 1987. Aku disahkan jawatan mulai 1 Mac 1988, iaitu setahun kemudian, melalui surat SPP yang bertarikh 30 November 1989. Mulai 1990, aku menerima pertukaran tetap perkhidmatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah (PPPBS).

6. Aku amat terkilan pada tahun 1989 kerana percubaanku untuk menukar statusku daripada Kategori C2 kepada C1 tidak mendapat perhatian. Semasa memohon ke maktab perguruan dahulu (1983), aku menggunakan kelulusan SPM (1979) dan STP (1981). Aku kemudiannya mempunyai STPM (1983). Aku yakin bahawa kelayakanku bukan sekadar C2, tetapi C1. Gaji C1 dan C2 mempunyai jurang yang agak tinggi. Akhirnya, oleh sebab aku tidak mempunyai saluran yang kukuh untuk memperjuangkan hak aku itu, aku terpaksa akur dengan gaji C2 sahaja.
.

21 Mei 2010

25. AKTIVITI RIADAHKU

.
PADA peringkat awal aku bertugas di SM Jengka 10 (SMJX), seorang kakitangan am yang masih muda, memanggilku “ustaz”. Aku selalu memakai seluar trek maktab, yang berwarna hijau, ketika beriadah pada waktu petang, mungkin itu sebabnya.

2. Penerimaan guru di sini terhadap rakan baharu mereka di luar dugaanku. Mereka sungguh ramah bertegur sapa. Hal yang selalu ditanya ialah asalku, kerana apabila aku bercakap, aku masih mengekalkan penggunaan bahasa kebangsaan. Dengan hal yang demikian, dalam jangka waktu yang singkat, aku sudah dapat mengenali ramai guru lama. Hal ini menyebabkan aku tidak kekok dan mudah menyesuaikan diri.

3. Pada waktu petang, kami bermain badminton di gelanggang yang terdapat di kawasan rumah guru. Oleh sebab gelanggang ini di tempat terbuka, ketika angin bertiup kuat, kami tidak dapat bermain. SMJX tidak mempunyai dewan, oleh itu aktiviti permainan ini sangat terhad. Selain itu, kami bermain sepak takraw dan bola tampar. Aku tiada kemahiran dalam permainan sepak takraw walaupun aku kerap bermain sukan ini ketika di kampung. Sewaktu di maktab dulu, juniorku, Mohd Noor, mengetawakan aku kerana bola takraw terkena tanganku ketika aku membuat tandukan. Bola tampar juga tidak kuminati kerana aku tidak pandai mengangkat bola untuk direjam. Sesekali beberapa orang guru bermain tenis, tetapi aku tidak pernah mencuba. Kami lebih memberi perhatian kepada bola sepak yang dimainkan di padang sekolah. Kami bermain bola sepak sesama guru, tetapi acap juga bersama dengan belia rancangan itu. Kalau tidak cukup pemain, lima sebelah pun kami bermain. Dalam permainan sebenar, aku selalu bermain pada bahagian pertahanan. Aku menyedari kelebihanku apabila kawan-kawan dan muridku mengatakan bahawa pasukan lawanku sukar untuk menembusi kawasan gol secara dekat apabila aku bermain pada posisi itu. Untuk mengajar pemain pertahanan sekolahku menjaga kawasan gol dengan baik, aku tidak pandai. Oleh itu, aku menggalakkan muridku yang bermain untuk pasukan sekolah melihat aksiku ketika cuba menghalang pasukan lawan membawa atau menghantar bola ke kawasan gol.

4. Selain bermain secara suka-suka menentang pasukan belia Jengka 10, pasukan bola sepak guru selalu mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan belia itu, dan pasukan dari sekolah lain, seperti pasukan SK Jengka 10, SM Jengka 2, SM Jengka 21, SM Jengka Pusat, dan SK Sungai Tekam. Setiap tahun kami menyertai pertandingan bola sepak Persatuan Sukan dan Kebajikan Pendidikan Pahang (PSKPP). Yang seronoknya, ketika kami bermain, ramai guru akan turun memberi sokongan, termasuk guru perempuan, sama ada yang sudah berkahwin atau belum. Sekiranya perlawanan diadakan di tempat lawan, kami akan mengadakan rombongan dengan beberapa buah kereta. Guru perempuan tidak ketinggalan datang memberi sokongan. Keaktifanku bermain bola sepak ini berterusan sehingga tahun 1993.

5. Kerana aktif bermain bola sepak, aku mengalami kecederaan sebanyak dua kali. Kali pertama, ketika bermain suka-suka dengan pasukan belia Jengka 10, lututku sakit seperti tercabut ketika cuba menghalang seorang penyerang lawan membuat rembatan ke pintu gol. Lututku sakit hampir dua minggu dan tidak dapat bermain. Alhamdulillah, akhirnya baik sendiri. Kali kedua, kecederaan terjadi ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Belia Jengka 10. Dalam kejohanan ini, aku “dibeli” oleh satu pasukan belia, dan diletakkan sebagai pemain penyerang. Aku antara penjaring gol bagi pasukanku. Dalam permainan separuh akhir, aku dirembat dengan kuat oleh seorang belia pasukan lawan yang selalu bermain denganku. Betis kananku terasa sakit yang amat sangat. Ketika rehat, apabila aku melihat betisku itu, didapati terdapat satu lekuk dan darah beku. Ya Allah, gerun aku melihatnya. Akibatnya, aku tidak bermain dalam perlawanan akhir. Sakit itu kutanggung sehingga aku pulang ke kampung seminggu kemudian. Hari pertama di kampung, aku masih ke padang bola sepak di kampungku, dan bermain dengan rakan-rakan di kampung, tetapi berhati-hati agar tidak terkena betisku. Apabila mek aku mengetahui hal itu, dia memaksaku pergi berurut. Kami ke rumah Mak Da; rumahnya berdekatan Surau Temangan Lama. Mak Da memang aku kenal kerana menoreh getah di kebun Cina bersama dengan mek. Ketika diurut oleh Mak Da, air mataku menitis menahan sakit yang amat sangat. Satu ketika, aku meraung kesakitan yang tidak tertahan. Beberapa hari selepas diurut, kesakitanku semakin kurang walaupun lekuk itu tidak mudah hilang.

6. Pada hari minggu, kami yang bujang selalu mengunjungi rumah penduduk di kawasan Felda kami. Kalau musim buah, banyaklah buah rambutan, langsat, durian dan manggis yang dapat kami bawa pulang. Selalunya kami yang tinggal di rumah guru 14-W akan keluar dengan kereta Cikgu Shahrir, guru yang sudah berkahwin tetapi isterinya bekerja di Melaka. Kadang-kadang guru bujang di rumah guru 14-V akan ikut serta. Jika tidak muat kereta, kami bermotosikal. Aku terpaksa menumpang kerana tiada kenderaan. Kunjungan kami tidak terhad setakat sekitar Jengka 10, malahan masuk ke kawasan Felda lain yang terdapat murid sekolah kami, seperti Sungai Tekam Getah, Jengka 1, dan Kota Gelanggi 4. Sekiranya kami berkunjung ke rumah murid sekolah, kami akan dipaksa makan tengah hari di rumah mereka. Aku dikenali oleh ibu bapa pelajar kerana kerap menjadi pengacara majlis Mesyuarat Agung PIBG. Orang bujang tidak menolak rezeki. Pernah kami mengunjungi rumah guru sesekolah yang tinggal di kawasan Felda lain kerana suaminya pengurus di Felda itu. Kami dijamu masakan gulai tempoyak pedas ikan terubuk. Sambil berdesit menahan pedas, kami terpaksa berhati-hati kerana tulang ikan terubuk sangat banyak dan halus. Selepas itu, muka kami kemerahan kerana menahan pedas.

7. Untuk membeli barangan yang murah, kami akan ke kawasan kedai yang dikenali sebagai Tongkiat. Kawasan itu terletak dalam Felda Jengka 1. Kawasan perniagaan ini tidak luas. Terdapat dua deretan kedai, yang sudah usang keadaannya, di sebelah-menyebelah jalan berturap tar yang tidak lebar, tetapi menjadi tumpuan, khususnya ketika pekerja mendapat gaji. Kedai ini mirip dengan kedai yang terdapat di tebing Sungai Semantan, di Temerloh. Barangan elektrik dan perabot rumah dapat diperoleh dengan harga yang murah. Kadang-kadang kami keluar ke bandar yang lebih jauh, sama ada Temerloh atau Jerantut. Sehari suntuk kami meronda di sekitar kedua-dua buah bandar itu. Kadang-kadang, selepas Asar baru kami ke bandar Temerloh. Lebih kurang pukul 11.00 malam, baru kami bertolak pulang, setelah pusat perniagaan sudah ditutup. Paling dekat pun, kalau kami kebosanan, kami akan keluar ke Bandar Pusat Jengka. Di pekan ini terdapat pasar minggu, pejabat pos, Bank Simpanan Nasional, Perwira Habib Bank, Balora Mastika (Dewan Orang Ramai), dan kemudiannya dibina sebuah cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Hospital Jengka. Samrin, pemenang rancangan More Jutaria TV3, berasal dari pekan ini.

.

15 Mei 2010

24. MEMBIMBING PASUKAN DRAMA SEKOLAH

.
OLEH sebab gerkoku semasa di IB ialah Kelab Drama, maka guru besar menugaskan aku sebagai Guru Penasihat Kelab Bahasa dan Budaya. Yang membantuku ialah seorang guru sementara tanpa latihan, Cik Che Rozita. Selepas pertemuan pertama kelab tersebut, seorang pelajar perempuan mendatangiku dan menyerahkan sepucuk surat daripada bapanya. Surat yang bertulis tangan itu menyatakan bahawa dia tidak bersetuju anaknya terlibat dalam aktiviti tarian atau seumpamanya.

2. Aku tidak menunjukkan reaksi apa-apa tentang hal itu. Namun, di dalam hatiku, aku sudah maklum konsep sempit masyarakat tentang budaya dan seni. Kalau budaya, tidak lebih daripada tarian, dan seni tidak lebih daripada nyanyian dan lakonan, sedangkan ruang lingkupnya sangat luas. Hal itu aku sampaikan kepada Che Rozita. Kami membuat keputusan menjelaskan hal itu kepada pelajar tersebut. Sekiranya keluarganya masih tidak membenarkannya, aku mencadangkan dia bertukar kelab atau persatuan.

3. Che Rozita meminati hal kraf tangan dan sulaman. Oleh itu, aku menggalakkan dia mengajari pelajar hal itu dalam aktiviti kelab kami. Aku sendiri menumpukan perhatian tentang pementasan. Pada tahun 1987 itu ada pertandingan drama anjuran TV3 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Guru besar yang berminat dalam bidang pementasan, mengharapkan aku dapat menimbulkan minat pelajar tentang bidang itu. Aku pun menulis skrip “Mengejar Impian”. Banyak pelajar tampil untuk mengambil bahagian. Setelah dibuat pemilihan, 14 orang pelajar dipilih untuk membawakan watak, dan lima orang lain mengendalikan teknik dan peralatan. Pertandingan diadakan di sebuah sekolah di Jerantut, Pahang, kerana ketika itu sekolahku terletak dalam Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut. Pasukan dramaku menduduki tempat kedua, kerana hanya dua pasukan sahaja yang bertanding. Kami dikalahkan oleh pasukan Sekolah Menengah Kuala Tembeling yang dibimbing oleh Cikgu Zulkifli Talib. Cikgu Zulkifli super seniorku ketika di IB, yang juga Pengerusi Penerbitan dan Penerangan PGP pada tahun 1984. Namun begitu, skripku diisytiharkan sebagai Skrip Terbaik yang membolehkan aku menerima pialanya, manakala Mohd Rosli bin Ab. Wahab, pelakon watak utama dramaku, memenangi hadiah Pelakon Lelaki terbaik. Dengan hal yang demikian, walaupun pasukan drama sekolahku gagal mewakili daerah Jerantut, kami memenangi dua hadiah utama.

4. Pada bulan Julai 1989 pula, pasukan drama yang aku bimbing menyertai Pertandingan Drama TV3-Kementerian Pendidikan di Maran. Hal ini berlaku demikian kerana sekolahku telah diletakkan di bawah PPD Maran pula. Kali ini aku menulis skrip “Jawapan” dengan 10 orang pelakon. Latihan dilakukan pada waktu petang. Pelakon lelaki aku benarkan menumpang di rumah guru tempat aku menetap pada waktu tengah hari. Mereka akan memasak nasi dan makan di rumahku. Pasukanku memenangi tempat ketiga sahaja, namun skripku masih unggul sebagai skrip terbaik pertandingan. Pemenang kali ini ialah Sekolah Menengah Jengka 2, yang dipimpin oleh Encik Mohd Fauzi bin Abdullah, yang kemudiannya menjadi pensyarah IB.

5. Tahun berikutnya, 1990, aku masih lagi ditugaskan untuk memimpin pasukan drama sekolah. Pasukan itu kunamai “Kumpulan Pementasan”. Drama kali ini berjudul “Buang”, dengan mengemukakan 12 orang anggota persembahan. Pelakon menunjukkan minat yang sangat tinggi dalam latihan. Ketuanya, Nasharuddin bin Bidin, yang juga pendukung watak utama, membantuku membentuk kawan-kawannya. Guru besar juga memberi sokongan dengan membenarkan aku membeli apa-apa peralatan yang diperlukan yang dalam kemampuan sekolah. Hasilnya, sekolahku memperoleh johan peringkat daerah Maran. Dengan kemenangan itu, kami mewakili Maran ke peringkat negeri yang diadakan di Sekolah Menengah Sains, Raub. Kami dihantar dengan menggunakan van Penolong Kanan 1, Encik Ab. Samad bin Mubin dan kereta Penyelia Petang, Encik Abdul Mubin bin Husain. Walau bagaimanapun, pasukan kami gagal memperoleh kedudukan yang baik.

6. Kali terakhir aku memimpin pasukan drama SMJX ini adalah pada tahun 1992. Kali ini kami menyertai pertandingan sketsa. Berdasarkan cerita asal oleh Shaharin Ismail, aku menggarap skrip “Jalan Keluar”. Hanya enam orang pelakon terlibat dalam pertandingan ini. Pasukan kami memperoleh tampat kedua sahaja.

7. Tiada pertandingan drama pada tahun 1993. Kebetulan pula, aku sudah meninggalkan SMJX pada pertengahan tahun ini untuk mengikuti Kursus Diploma Pengajian Tinggi di Institut Bahasa, selama setahun, dan seterusnya mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Rancangan Bahasa Melayu di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Namun, aku berasa bangga, telah dapat meletakkan SMJX antara sekolah yang dikenali di daerah Jerantut dan Maran. Aku sendiri tidak menduga, dalam empat penyertaan drama kami, kami mampu menduduki tiga tempat terbaik di peringkat daerah.
.

14 Mei 2010

23. MULA BERKHIDMAT

.
PADA pertengahan bulan Disember 1986, aku menerima surat bertarikh 12 Disember 1986 daripada Institut Bahasa bahawa aku ditempatkan di Pahang. Aku perlu menunggu surat daripada Jabatan Pelajaran Pahang untuk mengetahui sekolah tempat aku bakal berkhidmat. Pahang sebuah negeri yang paling luas di Semenanjung Malaysia. Di manakah tempatnya? Orang baharu sepertiku sudah tentu bukan di kawasan bandar. Pasti aku ditempatkan di pedalaman. Di manakah tempatnya? Hal ini menyebabkan aku berdebar kencang. Deti ditempatkan di mana? Ah, sudah tentu di Sabah. Tidak mungkin yang di Sabah dan Sarawak dibawa ke Semenanjung, kerana ramai dari Semenanjung yang dibawa ke sana untuk memenuhi kekosongan tempat.

2. Beberapa hari selepas itu, aku menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Negeri Pahang bertarikh 17 Disember 1986. Surat itu menjelaskan bahawa aku ditempatkan di Sekolah Menengah Jengka 10, Jerantut. Walau bagaimanapun, jabatan mengarahkan aku ke Sekolah Menengah Abu Bakar, Temerloh, Pahang, untuk mengikuti satu taklimat, pada 5 Januari 1987, bermula pada pukul 8.00 pagi.

3. Aku berjumpa dengan rakanku yang tinggal di Kampung Padang, Temangan. Dia baru keluar dari Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Dia juga ditempatkan di Pahang, tetapi di sekolah rendah di Triang. Kami memang “gelap gambar” tentang negeri Pahang. Negeri Kelantan sendiri pun belum habis dikunjungi, inikan pula negeri lain. Nasib kami baik kerana rakan sepenulisanku, Arazmi Seman yang tinggal di Kampung Pauh sedang bertugas di Sekolah Menengah Purun, Bera, Pahang. Daripadanyalah kami mendapat gambaran tentang tempat tuju kami.

4. Kami menaiki bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) ke Temerloh. Sampai di bandar itu pada waktu pagi. Kami pun mencari teksi. Dengan segera kami dihantar ke sana. Sekolah Menengah Abu Bakar, Temerloh, sangat terkenal, tetapi lebih dikenali dengan panggilan ABS (Abu Bakar School). Kami diberi taklimat dari pagi hingga petang. Aku cuba mencari rakan-rakan dari IB yang ditempatkan di Pahang. Alhamdulillah, aku bertemu dengan Nor Liza Mohd Noor, Zahrah V.V. Abu, dan dua tiga orang lagi. Yang lelaki tidak pula kutemukan. Oleh sebab taklimat itu berakhir pada lewat petang, aku tidak tahu tempat hendak dituju. Zahrah mempelawa aku menumpang di rumahnya. Aku tidak ada jalan lain, harus bersetuju dan sangat berterima kasih kepadanya. Aku pun bermalam di rumah wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Pahang itu bersama dengan Nor Liza, dan dua orang rakan lagi. Pada malam itu, ayah Zahrah, V.V. Abu dak ada di rumah.

5. Keesokan harinya, aku dihantar oleh Zahrah dan emaknya ke Stesen Bas Temerloh, yang terletak dekat dengan Masjid Temerloh. Aku mengambil keputusan mengambil teksi ke Bandar Pusat Jengka. Dari bandar Temerloh, teksi menyeberangi jambatan Sungai Temerloh, hingga ke Kampung Awah. Dari situ, teksi melalui kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan. Kiri dan kanan jalan dipenuhi sama ada pokok getah atau pokok kelapa sawit. Apabila sampai di Bandar Pusat Jengka, aku meminta drebar teksi itu menghantar aku ke Jengka 10. Felda Jengka 10 atau dikenali juga sebagai Felda Mawar merupakan rancangan kelapa sawit. Apabila mengetahui aku hendak mendaftar di sekolah, dia terus membawa aku ke dalam kawasan sekolah tersebut. Untuk memasuki kawasan sekolah itu, kenderaan terpaksa mendaki bukit yang agak tinggi. Aku pun menuju ke pejabat yang terletak betul-betul di depan pintu pagar masuk.

6. Guru Besar sekolah itu, Encik Musa bin Ibrahim, bertubuh besar dan tinggi, serta berkulit putih. Daripada air mukanya yang selalu tersenyum, aku membuat kesimpulan dia orang yang mudah mesra. Lega hatiku mendapat guru besa yang sedemikian. Setelah mengetahui aku belum mempunyai tempat tinggal, dia mencadangkan aku tinggal di rumah guru sahaja. Rumah guru itu terletak lebih kurang 100 meter dari sekolah. Aku sudah mengetahuinya kerana drebar teksi tadi telah menunjuk kawasan rumah guru itu kepadaku. Satu lagi kawasan rumah guru terletak di hadapan sekolah rendah, tetapi jauhnya sekali ganda daripada rumah guru yang terdekat itu. Rumah guru itu dihuni kebanyakannya guru sekolah rendah, tetapi terdapat satu unit dihuni oleh guru sekolah menengah yang sudah berkeluarga, dan satu unit lagi dihuni oleh guru sekolah menengah yang masih bujang. Cikgu Musa tinggal di rumah guru besar di kawasan itu. Aku yang tiada sebarang kenderaan memilih rumah yang paling dekat dengan sekolah. Berjalan kaki lima minit pun boleh sampai. Apabila aku ke rumah yang dimaksudkan, seorang guru baharu sudah sampai ke rumah itu. Dia berasal dari Johor, lepasan Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. Aku tidak pasti bertemu atau tidak dengannya dalam taklimat di SM Abu Bakar semalam. Namanya Azni bin Ismail, bertubuh tinggi lampai. Ketika melalui pintu, kepalanya hampir menyentuh alang pintu. Kalau menaiki bas mini di Kuala Lumpur, pasti dia terpaksa menundukkan kepalanya sepanjang masa.

7. Di kawasan rumah guru itu, terdapat empat blok rumah. Setiap blok mengandungi dua unit rumah. Rumah yang aku masuki itu merupakan unit yang paling hujung, dikhaskan kepada guru lelaki yang masih bujang atau tidak membawa isteri. Unit yang berkembar disebelahnya untuk guru perempuan yang masih bujang juga. Unit-unit lain diduduki guru yang sudah berkahwin. Rumah itu tidak jauh dari kedai Mara tanah rancangan Felda itu. Terdapat beberapa buah kedai makan dan kedai runcit. Kedai makan yang paling popular ialah kedai Mak Aji dengan suaminya, Pak Soh, terletak beberapa meter sahaja dari pagar sekolahku. Di sebelah kedai Mak Aji, terdapat kedai runcit, kepunyaan Haji Din, dan di depan kedai Mak Aji, terdapat kedai runcit Pak Rashid. Di sebelah kiri kedai runcit Pak Rashid, terdapat pula kedai makan Mak Yam dan suaminya, Pak Sulaiman. Terdapat juga sebuah kedai runcit lain, kedai Mat Rani, yang turut menjual ikan dan sayur-sayuran. Pada setiap pagi, kedai itulah menjadi tumpuan golongan suri rumah.

8. Aku tinggal di rumah bujang itu dalam seminggu sahaja. Aku berpindah ke rumah bujang yang terletak di hadapan jalan masuk ke kawasan perumahan guru itu, kerana penghuni rumah bujang itu tidak ramai. Pada tahun awal 1988, aku telah dipilih sebagai ketua rumah bujang itu. Pihak sekolah memotong gajiku untuk bayaran sewa rumah itu, dan ahli lain akan membayar secara tunai kepadaku dengan agihan sama rata. Yang paling senior di rumah itu ialah Shahril, berasal dari Melaka. Selepasku, datang lagi beberapa orang guru baharu, antaranya Shaharin bin Ismail, dari Kelantan, serta guru sementara yang sedang mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC), iaitu Sharim bin Mohd Dahalan, dan Mohd Sufian. Aku kemudiannya sebilik dengan Sharim.

9. Pada mulanya, aku ditugaskan mengajarkan mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu tingkatan satu dan dua, pada sidang petang. Namun demikian, pada pertengahan tahun 1988, aku telah diminta mengambil tempat Cikgu Mohd Yusoff bin Mohamad yang melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Dengan yang demikian, aku telahpun dilantik sebagai Ketua Panitia Sejarah. Tugasku mengajarkan mata pelajaran Sejarah untuk kesemua kelas tingkatan tiga yang berjumlah sembilan kelas. Oleh itu, dalam seminggu, aku mengajar 27 waktu. Tugas itu, dalam satu keadaan, amat memudahkan aku. Setiap kali topik baharu, aku mungkin menghadapi masalah bagi kelas yang pertama dan kedua, namun bagi kelas-kelas lain selepas itu, sangat mudah bagiku kerana aku dapat mengingat semua fakta. Aku dapat mengajar dengan lancar tanpa perlu merujuk buku teks atau nota. Namun, yang beratnya ialah ketika keputusan peperiksaan. Sekiranya keputusan teruk, segalanya terletak di atas kepalaku 100%.

10. Penetapan kelas dibuat mengikut jantina. Biasanya, kelas terpandai bagi setiap tingkatan ialah kelas perempuan. Kelas yang kedua terpandai, dikhaskan kepada lelaki. Bagi kelas berkedudukan yang pertama hingga kelima, lazimnya tiada masalah. Namun, bagi kelas seterusnya, terutamanya yang lelaki, selalunya amat menjengkelkan aku. Kelas-kelas ini kurang minat untuk belajar dan selalu bising, degil dan malas. Untuk mengemudi kelas sedemikian dengan baik, aku terpaksa sentiasa mencari idea untuk berlucu dan bercerita. Sesetengah kelas, apabila aku berlucu atau menceritakan suatu hal yang ada kaitan dengan tajuk pengajaran, mereka berminat. Namun, terdapat sebuah kelas pandai yang pasif. Walaupun aku berkelakar dan bercerita, mereka tidak pernah senyum atau ketawa. Sebak rasa hatiku setiap kali aku bersungguh-sungguh hendak menceriakan suasana kelas. Akhirnya aku mengambil keputusan tidak mahu berkelakar lagi. Guru lain juga mengakui bahawa murid di kelas itu pelajarnya terlalu serius walaupun agak rajin.
.

03 Mei 2010

22. WAKTU-WAKTU TERAKHIR DI IB

.
MULAI Februari 1984 hingga November 1986, lebih kurang tiga tahun aku dan rakan-rakan berkampung di MPB-IB. Gelagat remaja menyelubungi kehidupan kami. Empat orang pegawai tentera yang turut mengikuti latihan perguruan asas bersama-sama kami, walaupun sudah berusia dan mempunyai anak – Deraman bin Awang, Mohd Khalid bin Duriat, Sarjan Ahmad bin Sulaiman, dan Sarjan Alias bin Abd. Majid – akhirnya sering bertingkah laku remaja seperti kami. Benarlah teori psikologi yang kami pelajari, bahawa kebiasaan akan mengubah tingkah laku.

2. Akhirnya, kehidupan dan keriangan kami di IB bakal berakhir. Sebelum meninggalkan IB, kami menghadapi peperiksaan akhir. Oleh sebab kami masih mengikuti sistem penggal, maka peperiksaan akhir menguji kami seluruh pelajaran yang telah kami pelajari, lebih-lebih lagi pelajaran tahun kedua. Oleh itu, kami perlu bekerja keras membuat ulang kaji yang banyak. Aku sendiri, sudah mula membuat persediaan sebulan sebelum peperiksaan itu berlangsung. Mana-mana topik yang tidak aku kuasai aku berikan tumpuan lebih. Walau bagaimanapun, tidaklah sampai aku menjadi “ulat nota”. Topik yang sukar kuingat aku tulis pada kertas A4 menggunakan pen ‘Artline’ dengan saiz yang agak besar, lalu kutampalkan pada almari pakaian dan dinding pada bahagianku. Dengan cara demikian, secara tidak sengaja, setiap kali menghadapi almari dan dinding, aku membaca nota itu, yang akhirnya membuatkan aku ingat satu persatu. Semasa peperiksaan berlangsung, kehidupan kami seperti biasa. Seminggu kami dibenarkan mengulang kaji pelajaran tanpa sebarang kuliah. Pada waktu malam, selepas menikmati juadah, kami tetap menonton televisyen seperti biasa. Pukul 10.00 atau 11.00 barulah kami naik ke bilik untuk mengulang kaji atau membuat perbincangan dengan rakan.

3. Entah mengapa, dalam tempoh beberapa bulan sebelum kehidupan kami di IB berakhir, aku tiba-tiba jatuh hati. Sebelum ini, aku tidak pernah kisah banyak rakan dalam kalangan senior atau rakan seangkatanku berpasangan di bilik rehat atau di kantin. Deti Paider, gadis dari Tawau, Sabah, mencuri hatiku. Hal ini mungkin berputik ketika kami sama-sama melakukan lawatan sambil belajar ke maktab perguruan di Pantai Timur anjuran Persatuan Guru Pelatih pada pertengahan April 1986. Dia yang selalu bersama dengan rakan-rakan rapatnya dua tiga kali mengajakku bergambar bersama mereka di Teluk Chempedak, Kuantan dan di bandar Kuala Terengganu, Terengganu. Selepas lawatan itu, dia sering menegurku, “Hai, Mi” apabila kami berselisih. Aku akan menjawab setiap sapaannya, dengan perkataan, “Hai, Det”. Sebelum ke kuliah pada waktu pagi, selepas bersarapan di bilik makan masing-masing, dia selalu berada di hadapan asrama dengan rakan-rakan baiknya, dan akan menyapaku dengan perkataan itu apabila aku lalu di hadapannya. Kadang-kadang, aku yang terlebih dahulu menyapanya. Sekali-sekala, apabila aku menyapanya, dia akan berkata, “Sudahlah, pergilah!” Selepas itu, kami bergerak ke bilik kuliah masing-masing. Dia yang periang selalu berjalan pantas dan terpaksa dikejar kawan-kawannya.

4. Semua pelajar tahun akhir diraikan dalam Jamuan Perpisahan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 29 Oktober 2006. Kami makin mesra. Akhirnya, kami berbual setiap kali selepas makan malam di bilik rehat sambil menonton televisyen. Kami bercerita tentang diri kami dan keluarga. Rakannya pernah mengatakan bahawa sulaman kasih kami sudah terlambat, tetapi dia dengan tegas berkata bahawa masanya masih sempat. Pada 9 November 1986, kami mengikuti lawatan ke Melaka. Namun, sepulangnya dari lawatan itu, aku menjauhi diri daripadanya apabila aku mendengar rakan mengatakan aku mendekati Deti kerana aku gagal mendekati rakan baiknya, Fariza. Dia pula tiba-tiba mengembalikan wang tambang yang aku bayarkan untuknya ketika ke Melaka melalui Fariza. Apabila dia menegurku seperti biasa ketika kami berselisih, aku tidak lagi membalasnya seperti biasa. Sehinggalah suatu ketika, ketika aku di bilik rehat, dia datang kepadaku dan dengan terus terang bertanya sebab aku berubah sikap. Selepas menjelaskan hal yang aku alami, kami akhirnya berbaik-baik kembali dan berjanji tidak akan mendengar cakap orang.

5. Namun, saat yang sangat meruntun hatiku adalah pada hari perpisahan kami. Aku menghantarnya di hadapan asrama ketika menaiki van maktab untuk dibawa ke lapangan terbang bersama rakan-rakan lain yang hendak kembali ke Malaysia Timur. Aku tidak mengikutinya kerana aku tidak sanggup. Selepas beberapa jam, dia menelefonku dari lapangan terbang mengatakan bahawa penerbangannya ditunda. Hatiku menjerit mahu menemuinya kembali, tetapi aku tidak sanggup melihat dia meninggalkan aku sekali lagi. Walaupun pada malam sebelumnya kami berjanji akan mengikat hubungan kami kepada yang lebih rasmi dalam masa tiga tahun, aku tidak tega melihat dia terbang membawa hatiku. Air mataku menitis selepas meletakkan gagang telefon di ruang legar asrama, menyembunyikan mataku yang merah daripada pandangan rakan-rakan, dan terpaksa memujuk hatiku di dalam bilik.

6. Aku juga sudah membuat persiapan untuk pulang ke kampung. Tiket bas sudah dibeli. Barang-barang di dalam bilik sudah dimasukkan ke dalam beg. Buku-buku rujukan yang aku fikir masih berguna, telah aku hantar melalui pos ke kampung lebih awal. Akhirnya, aku meninggalkan asrama, bilik kuliah, dewan syarahan, kantin, dan segala yang ada di IB. Selamat tinggal, IB yang berjasa. Aku akan datang lagi pada hari konvokesyen nanti, insya-Allah.

7. Di kampung, aku melanjutkan kegiatanku dalam bidang penulisan. Di kampung juga, aku merindui butir bicara Deti melalui tulisan uniknya. Tulisannya yang hampir berbentuk segi empat itu lain daripada yang lain. Selain itu, hatiku berdebar menunggu surat penempatanku sebagai guru. Ketika ditanya isteri bapa saudaraku tentang tempat aku bakal ditugaskan, aku dengan selamba menjawab bahawa kemungkinan besar di Sabah. Isteri pak su aku itu tidak senang dengan jawapanku kerana sekiranya aku ditempatkan di negeri itu, aku akan terlalu jauh daripada emakku. Hatiku tidak gusar kalau ditugaskan di negeri itu, kerana aku tahu seseorang sedang menantiku di sana.
.

01 Mei 2010

21. LOGHAT & BAHASA KEBANGSAAN

.
PELATIH di IB datangnya dari segenap pelosok tanah air. Apabila berkumpul, pelbagai bahasa yang boleh didengar, khusus dialek. Yang paling ketara kedengaran ialah dialek Kelantan, dan dialek dari utara, yang sangat mendominasi jumlah pelatih di IB.

2. Sebelum memasuki IB, kerana bersekolah dan berada di Kelantan sepanjang masa, percakapanku menggunakan dialek Kelantan seratus peratus. Dialek tidak digunakan ketika menjawab soalan guru atau membuat pembentangan sahaja. Namun, aku agak tertanya-tanya tentang diriku sendiri yang tidak terlalu terpengaruh dengan dialek Kelantan. Pada satu tahun selepas menduduki STP, aku mengikuti satu kursus belia di Pasir Puteh. Dalam pembentangan, aku bercakap tentang Dasar Ekonomi Baru. Aku diberi kredit tinggi oleh pembimbing kursus, bukan sahaja kerana fakta aku tepat kerana aku banyak tahu tentangnya semasa di tingkatan enam, tetapi bahasa yang aku gunakan ialah bahasa standard. Pembimbing itu tidak menyangka aku anak watan Kelantan.

3. Aku pernah mengajarkan subjek Sejarah di sebuah sekolah swasta kecil di Guchil, Kuala Krai. Aku menggunakan bahasa standard di dalam bilik darjah. Hal itulah agaknya yang menyebabkan aku dapat berbahasa baku ketika bertutur dengan rakan dari negeri lain dan semasa pembentangan di dalam bilik kuliah. Walaupun begitu, aku tidak menganggap sebutan bahasa kebangsaan yang aku gunakan sudah sempurna.

4. Aku sering juga berbual ringkas dengan Pak Cik Kamarudin, pekerja yang menjaga lif di asrama, ketika di dalam lif, atau ketika secara kebetulan kami sembahyang berjemaah di surau maktab. Dia bertanya tentang kampungku. Dia kelihatan tidak percaya bahawa aku berasal dari Kelantan. Menurutnya, percakapanku bukan cakap orang Kelantan. Cara aku bercakap tidak ada langsung bau Kelantan, tidak seperti orang dari Kelantan yang lain. Aku hanya tersengih mendengar ulasannya.

5. Namun begitu, aku menjadi kekok kalau berinteraksi dalam kumpulan yang disertai rakan dari Kelantan dengan rakan dari negeri lain. Kalau bercakap “luar” (istilah orang Kelantan bagi bahasa kebangsaan), segan pula kepada rakan sesama Kelantan. Jika bercakap Kelantan, rakan yang bukan dari Kelantan mungkin kurang selesa. Selalunya, aku terpaksa mengambil jalan tengah. Kalau tuturku ditujukan kepada rakan se-Kelantan, aku bercakap loghat Kelantan, dan jikalau untuk rakan bukan dari Kelantan, aku bercakap “luar”. Pernah sekali aku tersasul menyebut satu perkataan, menyebabkan Roseniza tergelak.

6. Pada suatu hari, aku hendak turun ke kedai di Jalan Pantai Baru. Zahari Zainal menyuruhku membeli “ghoti keghin”. Seperti biasa, dia menggunakan loghat utara. Yang aku faham, maksudnya “roti kering”. Aku tidak bertanya lanjut kepadanya hal “roti kering” itu. Apabila aku masuk ke kedai runcit di Jalan Pantai Baru, barulah aku berasa sukar hendak membeli roti kering. Aku dapati kebanyakan roti tidak kering. Memang tiada yang basah, tetapi kesemuanya agak lembap. Aku mencari “ghoti keghin” itu di kedai yang lain. Keadaannya sama sahaja. Akhirnya, selepas pening mencari yang kering, aku mengambil jenis yang kelihatan paling kering. Roti yang keras dan panjang saiznya sangat kering. Apabila aku balik ke asrama, aku segera menemui Zahari di biliknya. Aku menghulurkan roti keringnya yang aku beli. “Eh, bukan yang ini!” kata Zahari. “Ghoti keghin... biskut.” Ha? Roti kering itu nama bagi biskut rupa-rupanya. Aku tersengih untuk melindungi rasa malu.
.