x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

28 Ogos 2010

44. AKU DAN PELAJARANKU

.
CARA belajarku di universiti, semenjak tahun pertama di IB, tidak berubah sehingga tahun akhir. Setiap subjek aku salin nota semasa kuliah dan tutorial, dan dikemas kini di rumah. Sekiranya terdapat maklumat tambahan yang kuperoleh daripada buku rujukan, aku masukkan ke dalam buku nota. Kekemasan itu menyebabkan notaku selalu dipinjam rakan untuk difotostat. Sebagai balasan, kebanyakan rakan selalu memberiku nota atau bahan rujukan yang diperoleh mereka secara percuma.

2. Pada tahun akhir, aku belajar secara berkumpulan. Ahli kumpulanku ialah rakan-rakan rapatku: Suhaimi bin Ibrahim, Kamaruzaman bin Mohd Yusoff, dan Che Hashidah binti Che Harun. Kesemua rakanku itu berasal dari Kelantan. Suhaimi sudah kukenal di Jengka kerana dia juga pernah mengajar di sana, manakala Kamaruzaman mengajar di Kelantan. Che Hashidah pula datang atas tiket Pahang sepertiku, kerana dia bersama suaminya pegawai di sebuah bank di Raub, dan kemudiannya mereka berpindah ke Jerantut. Kamaruzaman dan Che Hashidah fasih bahasa Inggeris, tidak seperti aku dan Suhaimi.

3. Perbincangan dilakukan pada hari cuti hujung minggu, atau semasa tiada kuliah. Mereka akan datang ke rumah sewaku pada sebelah pagi, dengan membawa buah tangan. Isteriku pula menyediakan air. Sebelum datang membuat perbincangan, kami menetapkan tajuk yang perlu disentuh. Dalam perbincangan, kami akan membentangkan isi masing-masing. Bagi mata pelajaran bahasa Melayu, akulah yang menjadi fasilitator, yang akan memberi pandangan dan pembetulan sekiranya perlu. Selalunya penjelasan yang kuberi lebih mendalam daripada yang diberi oleh pensyarah, sehinggakan Kamaruzaman kerap mengatakan lebih baik mengikuti kuliahku daripada kuliah di kampus. Selalunya kami mengambil masa dua hingga tiga jam sahaja bagi setiap perbincangan. Namun begitu, seringnya setengah jam, dan kadang-kadang lebih, masa terbuang kerana banyak bercakap tentang hal lain.

4. Di kampus, aku aktif bertanya dan bercakap ketika subjek bahasa. Apabila pensyarah bertanya tentang tatabahasa, kerap aku menjadi penyelamat dengan memberi jawapan yang tepat. Acap juga Encik Nuwairi menyuruhku membuat huraian tentang tatabahasa berdasarkan buku Tatabahasa Dewan. Aku pernah menegur Puan Indirawati binti Zahid ketika dia mengajarkan topik fonologi kerana kesilapannya menggunakan lambang fonetik dan padanan bunyi. Dalam satu tutorial bagi kursus Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu, aku menyatakan kepada pensyarah, Prof. Madya Sanat bin Mohd Nasir, bahawa huraian dalam satu artikel oleh Prof. Dr. Asmah binti Haji Omar mengelirukan dan bertentangan. Prof. Madya Sanat tidak mahu menerima pendapatku, namun aku tetap dengan pandanganku walaupun aku tidak memanjangkan hal itu untuk menghormati guruku itu.

5. Dalam subjek Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu pada tahun ketiga, pensyarahnya, Encik Wong Khek Seng, antaranya menggunakan rujukan daripada buku Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita oleh Ismail Hussein (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1992), Sejarah Pertumbuhan Bahasa Melayu oleh Darwis Harahap (Universiti Sains Malaysia: 1992), dan Masyarakat dan Budaya Melayu oleh Ismail Hamid (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1991). Kesemua buku ini merujuk penggunaan bahasa Melayu, khususnya yang bentuk bertulis, bermula pada akhir abad ketujuh, iaitu pada zaman bahasa Melayu kuno, sezaman dengan perkembangan pengaruh Sriwijaya di Asia Tenggara. Dalam tutorial, aku mengutarakan pendapat Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, sebaliknya menganggap bahasa Melayu bermula pada zaman kedatangan pengaruh Arab dn Islam ke Nusantara, iaitu pada zaman bahasa Melayu klasik. Aku memberitahu sumber rujukanku ialah buku Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (Universiti Kebangsaan Malaysia: 1972), iaitu berdasarkan ucapan penerimaan beliau sebagai profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia. Encik Wong mengakui bahawa beliau belum membaca buku itu dan mengucapkan terima kasih kerana memberi input baharu kepadanya. Namun aku memberi pendapat bahawa pandangan Prof. Syed Muhammad Naquib itu masih boleh dihujahkan kerana bahasa Melayu sebenarnya telah lama ada, kerana bahasa itu wujud bersama lahirnya bangsa Melayu, yang sudah tentu sudah cukup lama, cuma penggunaan bahasa itu tidak dirakam atau ditulis.

6. Semasa tahun ketiga juga, bagi kursus Prinsip Pemahaman, Penikmatan dan Penilaian Kesusasteraan Bentuk Prosa, pensyarah dan tutornya, Encik Hashim bin Ismail, menggunakan novelet karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Tivi (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1995) sebagai teks kajian utama. Dalam tutorial, aku mengutarakan pendapat bahawa pengarang novel itu sangat melampau dalam membicarakan keburukan pengaruh televisyen, dan amat menghina pemilik televisyen, dengan tidak menyentuh kebaikan televisyen kepada masyarakat. Aku sudah lapan kali khatam buku yang tidak tebal itu dengan bacaan sebagai penulis dan pengkaji. Aku memberitahu sidang tutorial bahawa aku suka akan cara Shahnon yang teliti menghurai sesuatu sehingga kita dapat merasai dan membayangnya dengan mendalam. Namun kebanyakan novel lain karya penulis Ranjau Sepanjang Jalan itu selalu pesimis dan sering dipengaruhi politik sebelah pihak, seperti dalam Srengenge (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1981), Tok Guru (Fajar Bakti: 1988), dan Baginda Sutan (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1989).

7. Kebanyakan buku aku baca berkali-kali, terutamanya buku yang aku jadikan bahan kajian atau rujukan. Setiap aspek yang ingin kukaji aku selongkar dengan tekun. Ketelitianku membuat rujukan dan kajian memberi faedah yang banyak kepadaku. Ternyata aku dapat menguasai sesuatu tajuk dengan baik, dan dapat mengutarakan pandangan sendiri, dengan menyatakan alasan dan bukti tertentu.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan