x

TERIMA KASIH KERANA MENZIARAHI LAMAN INI -- CATATAN TENTANG SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH HIDUP SAYA, DAN PENGLIBATAN SAYA DALAM PENULISAN (KREATIF DAN BAHASA) LAMAN INI SEDANG DIUBAH SUAI DAN DITAMBAH - DIGABUNGKAN DENGAN LAMAN TITIS TINTA SUPAYA LEBIH MANTAP

13 September 2009

8. KE MAKTAB PERGURUAN


KETIKA masih bekerja di tapak Balai Bomba Machang, aku telah dipanggil untuk menjalani ujian pemilihan guru di Sekolah Kebangsaan Zainab, Jalan Telipot, Kota Bharu. Kalau tidak silap aku, tiga kertas ujian terpaksa dihadapi, iaitu kertas Matematik, Bahasa Malaysia, dan kertas tentang tugas guru. Aku berasa tiada harapan, kerana aku memang lemah Matematik. Aku tahu beberapa orang rakanku yang memohon kursus perguruan ketika masih di tingkatan 6 atas kandas dalam ujian berkenaan.

2. Ketika aku ke Machang untuk mengambil teksi ke Kota Bharu, aku bertembung dengan Cikgu Shamsuddin, guru Matematik dan Bahasa Melayu ketika di SM Kampung Pek. Aku sempat belajar Matematik dengannya tidak sampai setengah jam. Kata Cikgu Shamsuddin, tahap soalan Matematik ujian itu setaraf dengan SRP sahaja. Dia yakin aku akan berjaya. Kebetulan pula, rakanku semasa di SM Kampung Pek, Zainab, dari Kampung Jakar, juga mahu menjalani ujian yang sama. Kami menaiki teksi yang sama. Sampai di Kota Bharu, dia mendahulukan tambang teksiku kerana dia dan drebar teksi tidak ada wang kecil. Malangnya, aku tidak sempat mengembalikan tambang itu kepadanya kerana kami kesuntukan masa. Selepas menjalani ujian dan sibuk untuk pulang, aku tidak bertemunya. Diharapkan Zainab dapat menghalalkan tambang teksi itu.

3. Ujian pelbagai pilihan itu benar-benar mengujiku. 60 soalan Matematik, 60 soalan Bahasa Malaysia, dan 100 soalan tentang keguruan, terpaksa kami jawab dalam masa tiga jam terus-menerus. Soalan Bahasa Malaysia kujawab dengan pantas dan yakin. Soalan Matematik membuatkan aku berpeluh sejuk walaupun sebahagiannya dapat kujawab dengan yakin, tetapi selebihnya aku “tembak” sahaja. Soalan tentang bidang keguruan lebih menyebabkan aku sesak nafas kerana pilihan jawapannya hampir sama, dan banyak yang kuanggap memang semua pilihan itu jawapannya. Terpaksalah aku “tembak” juga. Apabila ditanya oleh calon lain, aku hanya dapat menjawab, “tak nampak jalan”, yang menyebabkan calon itu tertawa.

4. Tanggapan “tak nampak jalan” itu rupa-rupanya meleset. Aku didatangi surat panggilan temu duga yang diadakan di Maktab Perguruan Kota Bharu, di Pengkalan Chepa. Emakku sibuk mencari wakil rakyat untuk mendapatkan surat sokongan. Usaha emakku berjaya kerana wakil rakyat itu, YB Salleh Che Harun, yang dikenalinya, memberiku sekeping surat kecil yang memohon agar pihak berkenaan dapat memberi pertimbangan yang wajar. Aku kepilkan surat itu bersama dengan salinan asal semua sijil akademik dan kokurikulum yang aku miliki. Aku juga membawa beberapa buah cerpenku yang tersiar di dalam surat khabar. Semua salinan sijil akademik dan kokurikulum telah kuhantar bersama dengan borang permohonan dahulu. Aku berada di dalam bilik temu duga lebih daripada setengah jam. Aku diminta menceritakan novel yang paling menarik perhatianku. Aku pun bercerita tentang novel “Bumi Bertuah” karya Pearl S. Buck, yang terpaksa menulis novelnya itu di atas katil kerana sakit. Aku juga diminta agar menulis ayat, “Aku seorang penulis moden” menggunakan tulisan Jawi. Aku menulisnya dengan betul pada papan tulis, tetapi sedikit senget. Ketika diminta bercakap tentang penemuan baharu, aku menghuraikan hal penciptaan komputer Jawi oleh pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, walaupun aku tidak pernah tahu tentang komputer. Apabila dikehendaki menceritakan hal peristiwa dunia yang sedang berlaku, aku bercakap tentang pertempuran antara Britain dengan Argentina kerana berebut sebuah pulau, yang ketika itu aku sangat ingat namanya. Apabila diacah mahu menempatkan aku di Long Pasia di Sarawak, aku dengan yakin mengatakan bahawa aku tidak akan menolak. Akhirnya, seorang daripada penemu duga itu berkata, “Insya-Allah, tetapi keputusannya di tangan pegawai atasan kementerian.” Aku dapat merasakan bahawa aku mempunyai peluang 50-50. Aku keluar dari bilik temu duga dengan sengihan panjang.

5. Ketika sedang mengajar di sekolah swasta milik Cikgu Ismail Che Mat, dalam hujan lebat bulan Februari 1984, bapa saudaraku, Che Ali, datang dengan motosikalnya membawa surat tawaran ke maktab perguruan. Aku ditawarkan ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur, Kursus Pengajian Melayu dan Sejarah bagi Sekolah Menengah. Mulai itulah aku banyak bergantung kepada pertolongan bapa saudaraku itu, yang kupanggil pak su. Pak Su Ali membawaku ke Hospital Daerah Machang untuk menyiapkan akuan perubatan. Oleh sebab pegawai yang dapat mengesahkan hal itu tiada di hospital itu pada hari itu, pak su menghantarku ke Hospital Kota Bharu dengan motosikalnya agar surat akuan dan salinan x-ray kuperoleh segera. Selesai hal itu, pak su membawaku mencari orang yang sanggup menjadi penjamin dan saksi. Cikgu Hussin, guruku semasa di SK Temangan, yang dikenali oleh emak dan ayahku, tidak sanggup menjadi penjamin kerana sudah beberapa orang dijaminnya. Aku dengan pak su mencari Cikgu Ismail Che Mat, dari Machang hingga ke rumahnya di Kuala Krai, tetapi tidak berjumpa. Akhirnya, aku tidak mahu lagi menyusahkan bapa saudaraku itu. Pada hari persekolahan, aku menebalkan muka berjumpa dengan Cikgu Ismail Che Mat di SM Hamzah. Kata Cikgu Ismail Che Mat, maktab itu sesuai dengan bidang aku. Urusan itu selesai di situ dengan agak cepat. Cikgu Zainal Abidin menjadi penjamin pertama dan Cikgu Ismail menjadi penjamin kedua. Cikgu Ismail meminta Cikgu Mohd Zain Salleh, guru Kertas Am, menjadi saksi bagi kedua-duanya.

6. Sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, emakku membuat kenduri kesyukuran. Hidangan disediakan dengan bantuan jiran-jiran. Ketika itu musim hujan. Kawasan rumahku sangat lecah. Namun, ramai orang kampungku dan yang mengenaliku datang. Hasilnya, terkumpullah beberapa puluh ringgit. Aku ke Kuala Lumpur ditemani ayahku. Kami menaiki bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK). Bas itu lewat tiba di Medan Tuanku kerana terpaksa melalui jalan lain disebabkan jalan yang biasa dilalui dinaiki air. Di Medan Tengku, Pak Su Lah, suami emak saudaraku, Rahmah, yang kupanggil Mak Mah, yang tinggal di Bukit Kemuning, Kelang, sudah lama menunggu. Dia membawa kami ke Maktab Perguruan Bahasa. Ketika mendaftar, ayahku sempat berkenalan dengan pelatih senior yang berasal dari Bachok. Ayahku memintanya agar membantuku pada peringkat awal di maktab itu. Selepas aku mendapat bilik di asrama, ayah dan Pak Su Lah meninggalkan aku. Pak Su Lah membawa ayahku ke rumahnya dahulu sebelum ayahku pulang ke Kelantan pada malam esoknya.
.

12 September 2009

7. DUA TAHUN MENGANGGUR


SELEPAS tamat pelajaranku di tingkatan enam, aku hanya tinggal di rumah. Tumpuanku diberikan kepada penulisan kreatifku. Dengan menyertai aktiviti kesusasteraan yang dijalankan oleh Persatuan Penulis Kelantan, banyak karya yang aku hasilkan. Hal ini aku ceritakan dalam blog http://www.titistinta.blogspot.com/.

2. Pada bulan Februari atau Mac 1982, keputusan STP diumumkan. Aku memperoleh keputusan yang agak baik, tetapi tidak memuaskan hatiku. Aku sangat kecewa dengan keputusan kertas Bahasa Melayu yang hanya gred E, dan Kertas Am pula gred 6. Mata pelajaran terbaik ialah Sejarah, dengan Gred C, manakala kertas Ilmu Alam aku hanya mendapat Subsidiari (sekadar lulus). Kertas Ekonomi aku gagal sama sekali dan tidak dicatatkan pada sijil.

3. Aku mengisi borang permohonan ke universiti, tetapi aku gagal. Aku terus tinggal di rumah, meneruskan kerja penulisanku. Ketika menganggur, aku sering tertekan dengan sikap orang sekampung. Mereka selalu bercerita tentang saudara-mara yang hanya lepasan SPM, mendapat kerja atau ada yang mengikuti kursus perguruan, sedangkan aku lepasan STP masih terperuk di rumah. Emakku menyuruhku memohon maktab perguruan. Aku tidak berbuat demikian kerana aku tidak berminat untuk menjadi guru. Aku membayangkan untuk bekerja di pejabat.

4. Kehidupan kami sangat susah pada waktu itu. Ayahku meninggalkan kami lima beranak untuk mencari rezeki di Singapura. Dua atau tiga bulan sekali dia akan pulang membawa rezeki yang agak lumayan. Emakku terus dengan kerjanya menoreh getah. Pelbagai jawatanku aku mohon berdasarkan iklan dalam surat khabar. Ada satu jawatan yang diiklankan sebagai “Pegawai Penempatan Pekerja” yang dikeluarkan oleh Ladang Sungai Terah di Gua Musang. Apabila aku menghadiri temu duga, barulah aku tahu bahawa tugas “pegawai” itu mencari pekerja untuk menoreh getah dan kerja lain di ladang tersebut. Di depan penemu duganya, awal-awal lagi aku sudah menunjukkan tidak berminat. Suami jiranku mencadangkan aku memohon kerja di tempat adiknya bertugas di Pengkalan Chepa. Aku pun menjalani temu duga tetapi aku tidak berjaya. Sehingga akhir tahun 1982, aku gagal mendapat apa-apa pekerjaan.

5. Pada awal tahun 1983, aku mendaftar diri untuk mengambil peperiksaan STPM secara persendirian. Aku tidak memasuki sekolah swasta seperti rakanku yang lain. Aku hanya belajar sendiri berdasarkan nota dan buku yang masih aku simpan. Tekadku hanya untuk membaiki keputusan mata pelajaran Bahasa Melayu, walaupun aku mendaftar untuk semua subjek. Bagiku, kalau aku mendapat A bagi mata pelajaran itu, subjek lain mendapat D pun tidak mengapa.

6. Dalam pada itu, aku bekerja sebagai kuli projek membina Balai Bomba Machang yang baharu. Abang Mat, jurutera di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Machang yang menyelia projek itu mencadangkan agar aku bekerja di situ. Abang Mat ialah kenalan rapat dan orang sekampung isteri bapa saudaraku (Che Ali). Adiknya, yang aku kenalinya dengan panggilan Kak Ani, bekerja sebagai kerani dalam projek pembinaan itu. Datukku, Jusoh Deraman, lebih awal bekerja di situ, diikuti adikku, Azmi, yang baru tamat SPM di SM Kampung Pek. Kami bekerja dalam bahagian simen. Subkontraktornya Cina, tetapi mandurnya orang Melayu, dikenali sebagai Pak Pa. Mula-mula aku dan Azmi diberi upah RM10.00 sehari. Selepas sebulan bekerja, upah kami dinaikkan kepada RM12.00 sehari. Oleh sebab kami berulang alik pada setiap hari, Abang Mat dan Kak Ani mencadangkan kami menginap di dalam bilik kosong di sebelah pejabat projek. Bilik kosong itu dan pejabat projek terletak di tingkat atas. Aku dan Azmi menerimanya. Kami tidur di atas beberapa keping papan lapis dengan bantalnya kami bawa sendiri dari rumah. Hanya datukku yang berulang-alik setiap hari. Dia akan membawakan kami bekal untuk tengah hari yang disediakan oleh emakku. Pada petang Khamis barulah kami balik ke rumah kerana hari Jumaat kami diberi cuti. Kami akan datang lagi pada pagi Sabtu.

7. Kami tidak takut bermalam di situ kerana pejabat itu letaknya di tepi Jalan Machang-Kuala Krai, yang lalu-lalangnya sentiasa sibuk mulai awal pagi hingga tengah malam. Selain itu, di sebelah pejabat projek itu, Balai Bomba lama masih beroperasi. Ahli bomba bertugas sepanjang masa. Seorang ahli bomba di situ, aku panggilnya Abang Mud, waris dengan datukku. Kami memang sudah lama kenal kerana aku kerap ke rumah ibu bapanya di Bukit Panau, Tanah Merah. Rumah Ketua Balai Bomba yang tinggal dengan keluarganya juga terletak di sebelah balai itu. Rakan lain yang bekerja sama bahagian dengan kami dan bahagian lain pula menginap di dalam kongsi tidak jauh dari situ, di belakang balai lama. Kalau kami mahu tidur dalam hawa dingin, kami diberikan kunci pejabat projek untuk masuk ke situ pada waktu malam. Namun, kami tidak pernah masuk ke situ. Pekerja lain tidak boleh memasuki bilik kami itu, apatah lagi pejabat projek itu. Hal ini menimbulkan rasa cemburu dan dengki pekerja yang lain. Pada suatu pagi, ketika kami turun mandi di bilik air, kami dapati bilik air yang tidak berkunci itu dipenuhi tahi orang. Bukan main meradang Abang Mat apabila mendapat tahu hal itu. Dia memberi amaran kepada pekerja yang tinggal di kongsi agar jangan mendekati pejabat projek itu.

8. Beberapa bulan bekerja, Azmi berhenti kerana dia mendapat tawaran jawatan pekerja am di Bank Bumiputra. Dia dikehendaki bertugas di Kota Bharu. Tinggal aku seorang terkontang-kanting pada waktu malam. Abang Mud selalu mempelawa aku menonton televisyen di ruang tamu kuatersnya, dan mahu membawaku minum pada waktu malam, namun aku berbuat demikian sekali-sekala sahaja. Kalau ada bata atau atap genting yang baru sampai dengan treler, aku diminta oleh subkontraktor untuk membantu Kak Ani menghitung jumlahnya. Aku tidak pernah menolak suruhan itu kerana aku akan diberi upah RM10.00 setiap hari, dan pada masa yang sama upah asalku yang RM12.00 itu tetap aku peroleh.

9. Pada pertengahan tahun 1983, iklan pengambilan guru pelatih keluar. Emakku mendesakku supaya membuat permohonan. Aku terpaksa melupakan ketidakminatanku terhadap jawatan guru. Kebetulan pula seorang jurutera lain dari Tanah Merah yang selalu datang menyelia projek itu ingin mengambil borang permohonan guru untuk anaknya. Dia yang tidak mengetahui letaknya Maktab Perguruan Kota Bharu meminta aku pergi bersamanya. Aku dengan senang hati pergi bersamanya kerana aku mengetahui lokasi maktab itu. Tambang teksi dan makan minum ditanggung oleh jurutera itu. Aku pun mengisi dan menghantar borang permohonan guru.

7. Pada bulan November 1983, aku berhenti daripada menjadi kuli bangunan baharu Balai Bomba Machang untuk menghadapi peperiksaan STPM yang diadakan di dewan SM Hamzah. Setelah tamat peperiksaan, Cikgu Ismail Che Mat, guru Ekonomiku ketika di SM Hamzah dahulu menawarkan aku mengajar di sekolah swasta yang baru dibelinya di Guchil, Kuala Krai. Aku sudah lupa nama sekolah swasta itu. Mulai awal tahun 2004, aku bertugas di sana. Aku tinggal di sebuah rumah yang disewa untuk pelajar lelaki. Aku hanya pulang ke kampung pada hujung minggu. Jika aku tidak mahu pulang, aku akan bertandang ke rumah Kak Dah dan Abang We, sepupu emakku, di Bukit Chengal, Batu Jong. Aku mendapat pengalaman menjadi guru Sejarah, tetapi aku tidak memperoleh pendapatan sebanyak yang kudapat ketika menjadi kuli tempoh hari. Pelajarnya tidak ramai, hanya ada beberapa kelas, dan upahnya amat mengecewakan. Namun demikian, aku tidak mengundurkan diri, kerana pemilik rumah sewa itu sangat baik denganku, di samping aku sangat menghormati Cikgu Ismail.


.